Skip to content

Ubat Benadryl: Dos, Fungsi & Kesan Sampingan

Apakah kegunaan ubat benadryl? Artikel ini akan membincangkan kegunaan, dos dan kesan sampingan ubat ini.

Kandungan didalam setiap dos: Diphenhydramine HCl

Klasifikasi ubat: Antiemetik/antihistamin

Apa itu Benadryl?

Benadryl ialah sejenis ubat antiemetic/antihistamin dimana ia selalu digunakan untuk masalah batuk dan selesema. Ia merawat batuk dan selesema dengan cara mengurangkan histamin iaitu sejenis bahan kimia semulajadi di dalam badan. Justeru itu, Benadryl digunakan untuk merawat gejala yang disebabkan oleh histamin seperti selesema, hidung berhingus, gatal-gatal dan gejala-gejala alahan. Benadryl boleh didapati melalui prekripsi doktor atau dibeli di farmasi.

Fungsi dan Kegunaan Benadryl

Fungsi utama Benadryl adalah untuk merawat gejala yang diakibatkan oleh histamin. Ia juga boleh digunakan untuk merawat masalah seperti:

  • Bersin dan selesema
  • Hidung berhingus
  • Ruam dan gatal-gatal
  • Gejala alahan
  • Gatal-gatal pada mata, tekak atau hidung
  • Mual, muntah-muntah dan pening akibat mabuk perjalanan
  • Kesukaran untuk tidur

Cara pengambilan Benadryl

  • Benadryl diambil secara oral sebelum atau selepas makan atau seperti arahan doktor
  • Anda perlu ikuti arahan dan nasihat doktor jika ubat ini diprekripsikan oleh mereka untuk anda
  • Sila baca arahan pada risalah yang disertakan sekali secara teliti. Langkah ini amat penting untuk mengelakkan sebarang kebarangkalian terjadinya kesan sampingan

Bagaimana Benadryl Berfungsi?

Benadryl berfungsi dengan menghalang dan menghentikan histamine, sejenis bahan kimia semulajadi didalam badan yang dihasilkan ketika berlakunya reaksi/gejala alahan. 

Langkah Berjaga-jaga Sebelum Anda Mula Mengambil Benadryl

Sebelum anda mengambil Benadryl, sila telili dan ambil tahu tentang beberapa perkara penting berkaitannya seperti berikut:

1. Amaran alahan

  • Benadryl boleh menyebabkan berlakunya reaksi alahan kepada golongan yang alah kepada Diphenhydramine HCl
  • Sila dapatkan rawatan dengan segera jika berlaku sebarang kesan sampingan

2. Interaksi antara Benadryl dan masalah kesihatan sedia ada

  • Sila bertanya kepada doktor atau ahli farmasi adakah selamat untuk anda ambil Benadryl sekiranya anda ada masalah kesihatan seperti berikut:
    • Sistem pencernaan yang tersumbat
    • Colostomy atau ileostomy
    • Masalah hati atau penyakit buah pinggang
    • Lelah atau masalah pernafasan
    • Batuk berkahak atau batuk akibat daripada merokok
    • Penyakit jantung
    • Masalah tekanan darah rendah
    • Glaukoma

Cara Penyimpanan

Simpan Benadryl pada suhu bawah 25°C, jauh dari cahaya matahari dan kelembapan. Jauhkan dari kanak-kanak.

Kesan Sampingan Benadryl

Benadryl antara ubat yang berguna terutamanya bagi menangani masalah alahan akibat histamin. Namun kesan sampingan daripada pengambilannya tetap terjadi seperti:

  • Degupan jantung menjadi laju dan berdebar
  • Kesukaran untuk kencing
  • Kekeliruan dan terasa hendak pengsan
  • Pening kepala, mengantuk dan hilang keseimbangan badan
  • Kering pada mulut, tekak dan hidung
  • Sembelit dan sakit perut
  • Penglihatan menjadi kabur 

Bolehkah Ubat Ini Digunakan Oleh Ibu Mengandung Dan Ibu Yang Sedang Menyusukan Anak?

  • Pengambilan ubat ini ketika mengandung memerlukan nasihat daripada doktor atau ahli farmasi
  • Pengambilan semasa meyusukan bayi juga memerlukan nasihat dari doktor atau ahli farmasi kerana ubat ini boleh dirembeskan ke dalam susu dalam kadar yang rendah ketika pengambilannya

Apa Yang Perlu Anda Lakukan Jika Terlepas Dos?

Benadryl adalah ubat yang diambil mengikut dos dan arahan doktor. Namun jika anda seharusnya ambil ubat ini dan terlupa, ambil secepat yang mungkin selepas anda teringat. Namun, jika waktu itu dah hampir dengan waktu untuk ambil dos seterusnya, anda haruslah langkau pengambilan dos tersebut. Anda adalah dilarang untuk menggandakan dos dengan sekali pengambilan.

Terlebih Dos? Apa Yang Harus Dilakukan?

Jika anda terlebih ambil dos Benadryl, anda harus segera dapatkan rawatan doktor walaupun tidak berlaku sebarang reaksi buruk atau keracunan. Terlebih dos Benadryl mampu mengakibatkan berlakunya gejala seperti rasa mengantuk yang teruk, kesukaran untuk bernafas dan pengsan/pitam.

Harus Ingat

  • Sebelum mengambil Benadryl, sila beritahu sejarah perubatan anda dan juga jika anda ada masalah alahan terhadap Diphenhydramine HCl
  • Beritahu juga sekiranya anda ada atau sedang mengambil ubat-ubatan lain
  • Jangan berhenti ambil ubat ini atau ubah dos yang ditetapkan melainkan atas arahan doktor
  • Jangan memandu atau mengendali sebarang peralatan mesin atau jentera berat selepas mengambil Benadryl kerana kesan mengantuk dan pening kepala mungkin terjadi
  • Jangan kongsi ubat ini bersama orang lain walaupun mempunyai simptom yang sama

Interaksi Benadryl Bersama Ubat Lain

  • Sesetengah ubat mampu bertindak balas bersama Benadryl dan mengakibatkan berlakunya kesan sampingan seperti codeine, hydrocodone, alprazolam, lorazepam, carisoprodol, cyclobenzaprine, cetirizine dan chlorpheniramine
  • Kongsikan senarai ubat-ubatan yang anda ambil kepada doktor agar sebarang reaksi buruk dapat dielakkan.
  • Demi keselamatan anda, jangan mulakan pengambilan Benadryl sekiranya anda sedang mengambil ubat-ubatan lain sehingga mendapat nasihat dan konsultasi daripada doktor

Rujukan

  1. Drugs.com” Benadryl?”
  2. MedlinePlus “Diphenhydramine”
  3. MIMS Malaysia “Diphenhydramine”
  4. WebMD “Benadryl – Uses, Side Effects, and More”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

20 + three =