Skip to content

Tekak Gatal: Punca, Simptom dan Rawatan

Apakah punca kepada masalah tekak gatal? Artikel ini akan membincangkan punca dan rawatan kepada masalah ini.

Pengenalan

Hampir semua orang pasti pernah mengalami simptom ini. Gatal tekak kebiasaannya adalah simptom yang tidak serius yang disebabkan oleh alahan atau tanda awal jangkitan virus atau bakteria seperti flu. Kebanyakan masanya, simptom ini boleh dirawat dengan mudah dengan membeli ubat dari farmasi atau rawatan tradisional di rumah.

Punca Tekak Gatal

Antara punca-punca tekak gatal adalah seperti berikut:

1. Alahan Bendasing

Alahan bendasing adalah punca utama yang sering menyebabkan masalah tekak ini. Ia terjadi apabila badan bertindak balas secara berlebihan kepada bendasing yang tidak berbahaya dengan melepaskan bahan kimia ke bahagian tekak yang dipanggil histamin. Histamin boleh menyebabkan batuk apabila ia membuatkan otot kerongkong mengecil. Antara bendasing yang sering menyebabkan alahan termasuklah debunga, habuk, bulu kucing, asap rokok atau asap ekzos.

2. Alahan Makanan

Reaksi alahan terhadap makanan berlaku apabila badan bertindak balas terhadap makanan yang tidak berbahaya, seperti alahan bendasing. Reaksi biasanya berlaku dalam masa beberapa minit atau beberapa jam selepas memakan makanan tersebut. Alahan makanan ini boleh menjadi ringan dan juga mengancam nyawa. Antara makanan yang sering menjadi punca alahan ialah kacang tanah, kerang, telur, susu, dan gandum.

3. Alahan Ubat

Sesetengah orang mengalami alahan terhadap ubat-ubatan tertentu termasuk penisilin dan antibiotik. Seperti alahan makanan, alahan tersebut boleh menjadi ringan dan boleh juga mengancam nyawa. 

4. Jangkitan Bakteria atau Virus

Jangkitan kuman boleh bermula dengan gatal tekak sebelum menjadi sakit tekak yang lebih teruk seperti selesema, sakit tekak, demam, sakit badan, dan sesak nafas.

5. Dehidrasi

Dehidrasi berlaku apabila badan kehilangan air. Keadaan ini biasanya berlaku semasa cuaca panas, selepas bersenam, atau semasa sakit. Dehidrasi boleh menyebabkan mulut dan tekak menjadi kering dan hal ini boleh menyebabkan rasa gatal di kerongkong.

6. Refluks Asid

Juga dikenali sebagai pedih ulu hati, sesetengah orang boleh mengalami masalah tekak sekiranya asid di dalam perut naik ke atas dan masuk ke bahagian tekak.  

7. Kesan Sampingan Ubat

Sesetengah ubat boleh menyebabkan batuk kering dan tekak gatal yang bukan disebabkan oleh tindak balas alahan. Contohnya, ACE inhibitor, iaitu ubat tekanan darah tinggi boleh menyebabkan tekak gatal dan batuk kering.

Risiko

Risiko mendapat simptom ini adalah bergantung kepada punca di atas. Antara perkara-perkara yang boleh meningkatkan risiko untuk gejala gatal tekak adalah seperti berikut:

  • Udara kering
  • Merokok atau menghidu asap rokok
  • Pencemaran udara
  • Alergen yang berpotensi seperti debunga, atau bulu haiwan peliharaan
  • Asap kimia, seperti ekzos motor
  • Minum alkohol
  • Makanan atau minuman berasid, seperti buah oren, tomato, atau minuman berkarbonat
  • Makanan yang kering atau keras, seperti pretzel, kerepek atau popcorn
  • Makanan pedas

Simptom

Selalunya, tekak gatal bukanlah satu-satunya simptom yang terdapat pada seseorang. Simptom yang berlaku bersama-sama dengan tekak gatal adalah berbeza-beza mengikut puncanya seperti yang telah diterangkan di atas.

Tekak gatal yang disebabkan oleh alahan boleh disertai oleh simptom-simptom seperti:

  • Hidung berair atau tersumbat
  • Sakit tulang pipi (sinus tersumbat)
  • Mata dan kulit gatal
  • Bersin
  • Keletihan
  • Mata bengkak, merah, atau berair

Antara simptom yang boleh berlaku disebabkan kesan sampingan ubat dan makanan termasuk adalah:

  • Ruam gatal merah
  • Kulit kemerahan di sekeliling mata
  • Telinga gatal
  • Pening dan muntah
  • Cirit-birit
  • Sakit perut
  • Bengkak pada bibir, lidah, dan tekak
  • Masalah bernafas atau menelan
  • Penurunan tekanan darah
  • Pengsan

Sekiranya tekak gatal disebabkan oleh jangkitan kuman, simptom-simptom berikut boleh berlaku:

  • Demam
  • Kelenjar bengkak
  • Sakit otot
  • Kelemahan
  • Sakit kepala
  • Batuk
  • Hidung tersumbat

Apabila tekak gatal disebabkan oleh dehidrasi, simptom-simptom lain yang boleh didapati termasuklah:

  • Dahaga 
  • Mulut kering
  • Air kencing gelap (jarang berlaku)

Jika tekak gatal disebabkan oleh pedih ulu hati, simptom-simptom lain yang boleh didapati termasuklah:

  • Kesukaran atau kesakitan apabila menelan
  • Rasa ‘terbakar’ di dada atau tekak
  • Perut berangin
  • Suara serak
  • Gigi rosak (jarang berlaku)
  • Keradangan gusi
  • Rasa tidak selesa di dalam mulut

Pemeriksaan dan Ujian

Sekiranya masalah ini tidak serius, maka memadai jika anda hanya mengambil rawatan di rumah atau membeli ubat batuk di farmasi. Namun begitu, jika masalah tekak ini disertai dengan simptom-simptom serius yang lain dan berlarutan selama beberapa hari, maka anda haruslah berjumpa dengan doktor. Antara simptom-simptom yang lebih serius termasuklah kelenjar bengkak, demam, kesukaran menelan, nafas berdehit, penurunan berat badan, dan gejala-gejala yang disenaraikan di atas.

Kebiasaannya, doktor akan memeriksa tekak, lubang hidung dan telinga untuk memastikan tiada tanda-tanda lain yang serius. Bergantung kepada simptom-simptom lain, doktor akan memberikan ubat yang bersesuaian.

Rawatan

Kebanyakan masalah ini boleh dirawat di rumah. Antara rawatan yang boleh dilakukan termasuklah:

  • Mengambil satu sudu makan madu
  • Berkumur dengan air garam
  • Mengambil lozeng seperti Strepsils
  • Minum teh panas bersama lemon dan madu
  • Menggunakan pelembap udara (air humidifier)
  • Minum minuman yang sejuk atau makan ais krim

Sekiranya tekak gatal melibatkan penyakit yang lebih serius, maka doktor akan memberikan ubat tambahan. Sekiranya rawatan di atas tidak mampu melegakan masalah ini, maka segeralah berjumpa dengan doktor anda.

Komplikasi dan Prognosis

Kebanyakan gatal tekak hilang sendiri dalam masa 1 minggu atau kurang. Ia juga seringkali tidak membawa kepada masalah kesihatan yang serius namun sekiranya tekak gatal tersebut mengganggu aktiviti seharian anda, anda haruslah segera berjumpa dengan doktor.

Rujukan:

  1. MediLexicon International. (n.d.). Tickle in Throat: Causes, with a cough, and how to get rid of it. Medical News Today.
  2. Healthline Media. (n.d.). 16 natural remedies to soothe a sore throat. Healthline.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

fifteen − 9 =