Skip to content

Sakit Pinggang: Punca, Simptom & Rawatan

Apakah punca sakit pinggang? Artikel ini akan membincangkan punca sakit pinggang, simptom dan rawatan kepada masalah ini.

Pengenalan

Sakit pinggang merupakan salah satu masalah sakit di bahagian belakang badan. Apabila seorang pesakit mengadu mengalami sakit pinggang, Kawasan yang dimaksudkan adalah di bahagian lokasi buah pinggang, iaitu bahagian pinggang belakang sehingga ke bahagian atas pinggul, di bawah tulang dada dan bersebelahan tulang belakang, sama ada kiri atau kanan.

Punca

Kebiasaannya, sakit pinggang di kawasan ini berpunca daripada kecederaan otot. Ia juga boleh disebabkan masalah buah pinggang serta saluran kencing. Berikut adalah antara punca-punca yang mungkin menyebabkan rasa sakit pada bahagian pinggang:

  • Kecederaan pada otot
  • Batu karang dalam buah pinggang
  • Jangkitan pada buah pinggang
  • Pendarahan dalam buah pinggang 
  • Penyumbatan vena dalam buah pingggang
  • Pembengkakan saluran dalam buah pinggang
  • Sista(cyst) dalam buah pinggang
  • Kecederaan pada buah pinggang
  • Sakit buah pinggang kronik
  • Ketumbuhan pada buah pinggang.

Simptom Berkaitan

Pada amnya, kebanyakan punca-punca ini muncul dengan simptom yang sama, iaitu rasa sakit. Tetapi, rasa sakit itu mungkin berbeza. Selain itu, sebahagian daripada punca tersebut juga mempunyai simptom-simpton berkaitan yang lain seperti:

1. Sakit Otot

Selalunya sakit otot ini lebih kepada sakit yang akan berlaku apabila berlaku pergerakan badan. Sebagai contoh orang itu menunduk ataupun memusingkan badannya. Ini kerana ia akan menyebabkan otot dibahagian pinggang itu bergerak dan sakit. Sakit otot ini boleh disebabkan terlebih penggunaan seperti bermain sukan ataupun trauma dibahagian tersebut

2. Batu karang dalam buah pinggang

Rasa sakit dalam masalah batu karang sering dikaitkan dengan rasa sakit yang menyucuk. Ini kerana batu karang dalam buah pinggang kebiasaanya berbentuk tajam. Pesakit juga mungkin boleh mengalami masalah akit Ketika membuang air kecil dan kencing berdarah. Kadang-kala, rasa sakit itu turut merebak ke bahagian celah paha.

3. Jangkitan pada buah pinggang

Jangkitan buah pinggan juga boleh datang dengan rasa sakit Ketika membuang air kecil. Demam, kencing yang lebih pekat, muntah-muntah dan rasa sakit yang bertambah teruk menandakan jangkitan yang bahaya.

4. Pendarahan dalam buah pinggang

Pendarahan boleh disebabkan pelbagai faktor seperti kecederaan, masalah darah ataupun masalah ketumbuhan yang pecah di dalam buah pinggang. Pesakit biasanya akan mengalami kesakitan teruk Bersama kencing berdarah.

5. Penyumbatan vena dalam buah pingggang

Penyumbatan darah dalam vena menyebabkan rasa sakit yang teruk dan berpanjangan. Ia juga boleh menyebabkan kekejangan otot di bahagian sama. Pesakit yang mempunyai masalah darah tinggi, kencing manis dan masalah buah pinggang kronik lebih berisiko mendapat masalah ini.

6. Pembengkakan saluran dalam buah pinggang (Hydronephrosis)

Air kencing perlu dibuang melalui saluran di dalam buah pinggang ke ureter, penyumbatan saluran ini menyebabkan air terkumpul di dalam buah pinggang dan akhirnya menyebabkan pembengkakan. Apabila buah pinggang bengkak, saraf dan otot di sekeliling buah pinggang mengesan masalah ini dan pesakit akan mengalami rasa sakit di bahagian pinggang.

7. Sista(cyst) dalam buah pinggang

Sista adalah ketumbuhan yang mengandungi cecair dan ia boleh tumbuh dalam mana-mana organ. 1 sista atau sista yang kecil kebiasaannya tidak mendatangkan symptom. Akan tetapi, pesakit akan mula mengalami gejala sakit yang kerap dan terkadang sakit di bahagian abdomen apabila sista ini membesar ataupun apabila banyak sista tumbuh di dalam buah pinggang.

8. Kecederaan pada buah pinggang

Sebarang kecederaan yang berlaku kepada buah pinggang seperti luka (disebabkan trauma/batu karang dll) ataupun masalah gangguan saluran darah akan dikesan oleh saraf dan kemudiannya dirasai oleh pesakit selain kencing berdarah.

9. Ketumbuhan pada buah pinggang

ketumbuhan boleh menyebabkan pembengkakan buah pinggang, masalah penyumbatan dan juga masalah vena tersumbat. Symptom seperti rasa sakit yang berpanjangan, kencing berdarah yang tidak sakit adalah petanda awal selain hilang berat nadan yang tidak dirancang serta kerap demam dan sakit.

10. Sakit buah pinggang kronik

Seperti yang dijelaskan, pesakit buah pinggang kronik lebih berisiko mendapat komplikasi melibatkan buah pinggang. Simptom berkaitan bergantung kepada komplikasi yang berlaku. Pesakit yang menghidapi masalah ini juga mudah penat, boleh mengalami masalah kekurangan darah merah , pening dan muntah, bengkak kaki atau badan serta boleh mengalami masalah kekeliruan apabila sangat teruk.

Ujian Pemeriksaan

Ujian untuk masalah sakit pinggang bermula dengan pengambilan sejarah kesihatan anda. Kemudian, doctor anda akan menjalankan ujian lain seperti:

  • Ujian darah : Masalah jangkitan dan anemia atau kurang darah merah boleh dikesan daripada ujian darah. Fungsi buah pinggang juga boleh dikesan melalui ujian ini.
  • Ujian air kencing : sampel air kencing perlu diambil untuk mengesan jangkitan ataupun kencing berdarah. Ia juga penting untuk mengesan masalah kebocoran gula atau protein buah pinggang.
  • Ujian pengimejan : ujian pengimejan seperti Xray, ultrasound, CT scan atau MRI juga mungkin dilakukan bergantung kepada symptom yang anda alami. Ia membantu dalam diagnosis.

Rawatan

Rawatan masalah sakit pinggang bergantung kepada diagnosis. Bagi pesakit buah pinggang kronik, terdapat banyak faktor yang perlu diambil kira untuk tujuan rawatan seperti kawalan gula dan tekanan darah. Pesakit juga mungkin memerlukan dialysis jika fungsi buah pinggang makin merosot.

  • Masalah sakit pinggang disebabkan faktor otot boleh dirawat dengan tuaman panas atau sejuk dan ubat tahan sakit seperti paracetamol. Kebiasaannya ia tidak akan melarat.
  • Masalah seperti jangkitan ataupun batu karang yang tidak serius boleh dirawat dengan ubat-ubatan yang ringkas seperti ubat tahan sakit dan ubat untuk mencairkan batu karang.Tetapi pembedahan atau prosedur pemecahan batu karang perlu dilakukan jika batu karang pesakit terlalu besar dan mendatangkan penyumbatan. 

Rawatan-rawatan lain kepada punca sakit pinggang lain adalah:

  • Pendarahan dalam buah pinggang : Jika pendarahan berlaku disebabkan kecederaan, pembedahan perlu dilakukan untuk memberhentikan pendarahan tersebut.
  • Penyumbatan vena dalam buah pingggang : Prosedur mencairkan penyumbatan mungkin dilakukan. Selepas itu, pesakit perlu mengambil ubat untuk mencairkan darah untuk mencegah keadaan ini berulang. 
  • Pembengkakan saluran dalam buah pinggang : Rawatan akan dilakukan berdasarkan punca pembengkakan seperti pembedahan membuang ketumbuhan,sista atau batu karang.

Pencegahan

Sebahagian masalah yang menyebabkan sakit pinggang boleh dicegah dengan gaya hidup sihat, tetapi sebahagiannya berlaku tanpa sebab yang diketahui. Justeru, adalah penting untuk kita mengawal faktor boleh ubah ini. 

  • Minum air kosong dengan cukup. Kurang minum air boleh menyebabkan jangkitan dan masalah batu karang.
  • Tidak mengambil minuman bikarbonat atau minuman tenaga. Minuman seperti ini menyebabkan sistem penapisan buah pinggang merosot.
  • Mengawal pengambilan makanan gula dan tinggi koloesterol. Ini membantu mengurangkan risiko darah tinggi dan kencing manis.
  • Mengambil ubat-ubatan yang perlu tepat pada masa jika anda menghidapi penyakit.
  • Melakukan saringan kesihatan sekurang-kurangnya setahun sekali untuk mengetahui taraf kesihatan anda.
  • Bersenam
  • Tidak merokok kerana merokok meningkatkan risiko kanser.
  • Mengambil makan masam/diperam ataupun makanan tinggi asid urik secara berkadar.

Rujukan

  1. Kidney Stone Treatment – Owensborohealth.org
  2. Renal Vein Thrombosis – Renalfellow.org
  3. Kidney Cysts – Browardurologycenter.com
  4. Kidney Masses – dcurology.net
  5. Kidney Hemorrhage – Sciencedirect.com
  6. Kidney Pain – Webmd
  7. Kidney Pain – Healthdirect.gov.au
  8. Kidney Failure – Clevel and Clinic

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

sixteen + eighteen =