Skip to content

Sakit Belakang: Punca, Simptom & Rawatan

Apakah punca kepada masalah sakit belakang? Artikel ini akan membincangkan punca, simptom dan rawatan kepada masalah ini.

Pengenalan

Anda pernah mengalami sakit belakang? Kebiasaannya, sakit belakang lebih banyak dikaitkan dengan bahagian bawah belakang badan. Akan tetapi Ia boleh melibatkan mana-mana bahagian tulang belakang yang terdiri daripada 5 segmen tulang belakang iaitu cevical, thoracic, lumbar, sacral dan coccyx. Bahagian bawah belakang badan adalah antara bahagian yang penting untuk pergerakan manusia.

Struktur tulang belakang, otot, dan saraf di bahagian belakang membolehkan pergerakan seperti membongkok dan memusingkan badan. Bahagian bawah belakang menerima paling banyak tekanan daripada beban ketika mengangkat barang. Masalah sakit ini di bahagian bawah ini mula dirasa apabila berlakunya masalah pada struktur-struktur ini. 

Punca

Selain daripada masalah sakit belakang disebabkan kemalangan atau trauma, kebanyakan masalah belakang yang datang secara tiba-tiba adalah tidak berbahaya. Sakit belakang pada bahagian belakang segmen Thoracic boleh disebabkan oleh masalah jantung, koyakan aorta, atau ketumbuhan.

Manakala sakit bahagian bawah lebih kerap berlaku. Bagaimanapun,dapatkan konsultasi doctor sekiranya anda mengalami sakit belakang yang datang dengan symptom-simptom lain.  Sakit belakang juga boleh berlarutan menjadi masalah kronik. 

Terdapat beberapa faktor risiko yang mempengaruhi masalah sakit belakang, ia termasuk:

  1. Faktor pekerjaan (kerja berat atau posisi Ketika bekerja)
  2. Mengandung
  3. Gaya hidup yang tidak sihat
  4. Kurang bersenam
  5. Usia yang semakin tua
  6. Obesiti atau terlebih berat
  7. Merokok 
  8. Aktiviti fizikal yang berat dan tidak mengikut saranan yang betul
  9. Faktor genetic
  10. Masalah kesihatan lain seperti arthritis dan kanser

Kesemua faktor ini boleh mempengaruhi punca sakit belakang ataupun menyebabkan ia lambat sembuh walaupun dengan rawatan.

Berikut adalah punca biasa masalah sakit belakang bahagian bawah:

1. Masalah Melibatkan Otot

Masalah otot terseliuh atau terkoyak boleh berlaku ketika kita mengangkat barang dengan postur yang salah, walaupun ketika mengangkat bakul kain. Perubahan kedudukan badan secara tiba-tiba dan permainan sukan yang melibatkan pergerakan tertumpu pada bahangian ini juga boleh menjadi punca otot cedera. Radang yang berlaku pada otot yang cedera ini menyebabkan rasa sakit.

2. Masalah Melibatkan Tulang

Terdapat banyak punca sakit belakang yang melibatkan tulang. Ada antaranya yang berlaku selepas kecederaan manakala ada yang terjadi seiring peningkatan usia. Kebanyakan masalah sakit belakang yang melibatkan tulang lebih kronik. 

3. Masalah Hernia pada Tulang Belakang

Masalah hernia pada pelapik tulang belakang (Lumbar disc herniation) atau dikenali juga sebagai prolaps pada pelapik tulang belakang atau intervertebral disc (Prolase invertebral disc atau PID). 

Pelapik tulang belakang (intervertebral disc) terdiri daripada 2 : bahagian annulus fibrosus dan nucleus polposus. Ia bertindak sebagai penyerap tekanan serta berperanan untuk melancarkan pergerakan tulang belakang.

Figure, Intervertebral disc, anulus fibrosus, annulus...] - StatPearls -  NCBI Bookshelf
 Gambar diambil daripada Pubmed

Masalah berlaku apabila terdapat koyakan pada tisu fiber annulus fibrosus dan cecair di bahagian tengah nucleus polposus terkeluar dan kemudiannya menekan saraf dalam tulang belakang. (Gambar 4).

Hernia pada disc/pelapik tulang belakang. Gambar di ambil dari Orthoclinic.com.sg

4. Masalah degeneratif pelapik tulang belakang

Intervertebral disc dipenuhi dengan air dan struktur kolagen pada awal kelahiran untuk memastikan kelinciran pergerakan. Walaubagaimanapun, apabila meningkat usia, kandungan air dan kolagen ini semakin merosot dan tekanan yang berterusan kepada dinding annulus fibrosus boleh menyebabkan masalah lain

Degenerative Disc Disease (DDD)

           

5. Osteoarthritis-OA (Radang pada tulang belakang)

OA boleh berlaku kepada mana-mana tulang termasuk tulang belakang. Radang ini  menyebabkan pergerakan menjadi sulit dan sakit. Selain faktor usia, ia juga boleh berlaku lebih cepat selepas trauma.

6. Spondylolysis, spondylolisthesis dan spondylolitis 

Spondylolysis adalah apabila tulang pars interarticularis pada tulang belakang patah. Spondylolisthesis berlaku apabila kepatahan ini menyebabkan tulang belakang yang lain tergelincir dan lari daripada posisi asal. Manakala spondylitis pula adalah radang pada badan tulang belakang yang menyebabkan percantuman tulang-tulang tersebut. Ketiga-tiga keadaan ini juga boleh disebabkan trauma dan peningkatan umur. 

Simptom Berkaitan

Sakit belakang boleh bermula dengan rasa sakit pada 1 bahagian sehinggalah rasa sakit yang merebak ke bahagian lain seperti punggung, peha, perut atau kaki bahkan keseluruh belakang badan. Rasa sakit ini berbeza bergantung kepada punca dan lokasinya. Antara symptom-simptom yang biasa berlaku adalah seperti :

  • Rasa sakit yang bertambah Ketika mengangkat barang atau membongkok
  • Rasa sakit yang makin teruk apabila berehat, duduk atau berdiri
  • Rasa sakit yang kerap berulang
  • Rasa kejang pada waktu pagi yang berkurang apabila melakukan aktiviti harian
  • Rasa sakit yang kemudiannya merebak ke bahagian lain.

Dapatkan pemeriksaan segera jika anda mengalami symptom seperti:

  • Rasa kebas dan berdenyut-denyut pada kaki atau tangan
  • Sakit belakang yang makin teruk dan tidak bertambah baik walaupun sudah dirawat
  • Sakit belakang selepas jatuh atau mengalami kecederaan
  • Sakit belakang dan: susah mengawal kencing, lemah atau kebas kaki.
  • Demam
  • Kurang berat badan yang tidak dirancang

Ujian Pemeriksaan

Ujian untuk masalah sakit pinggang bermula dengan pengambilan sejarah kesihatan anda. Maklumkan kepada doctor and jika anda mengalami kemalangan atau jatuh. Kemudian, doctor anda akan menjalankan ujian lain seperti:

  • Ujian pengimejan : ujian pengimejan seperti Xray, ultrasound, CT scan atau MRI sangat membantu untuk mengesan punca sakit belakang.
  • Ujian darah : Bergantung kepada sejarah kesihatan anda, doctor anda mungkin juga melakukan ujian darah.

Rawatan

Rawatan masalah sakit belakang bergantung kepada diagnosis. Oleh kerana masalah sakit belakang kebiasaannya disebabkan oleh masalah otot biasa, ia boleh dirawat dengan mudah dengan bantuan ubat-ubatan, rehat dan melakukan aktiviti fizikal yang betul.

  • Menggunakan pad tuaman panas/sejuk : Anda boleh menggunakan tuaman panas/ sejuk pada bahagian belakang anda. Ia juga boleh digunakan jika anda rasa lenguh.
  • Ubat-ubatan : Ubat tahan sakit seperti Panadol, ibuprofen juga boleh digunakan. Selain itu, ubat untuk megurangkan bengkak dan ubat sapuan panas juga boleh membantu. Suntikan ubat tahan sakit juga turut membantu.
  • Rawatan stimulasi elektrik : Rawatan stimulasi elektrik juga boleh membantu untuk mengurangkan rasa sakit otot.
  • Fisioterapi : Kaedah fisioterapi juga didapati membantu untuk mengurangkan rasa sakit serta meningkatkan pergerakan.
  • Akupuntur : Rawatan alternatif seperti akupuntur mungkin boleh dilakukan untuk masalah saraf

Rawatan-rawatan lain kepada punca sakit pinggang lain adalah bergantung kepada diagnosis. Pembedahan juga mungkin dilakukan jika perlu.

Pencegahan

Masalah sakit belakang boleh dielakkan dengan mengurangkan faktor risikonya. Berikut adalah antara cara-caranya:

  • Bersenam : senaman membantu membina badan serta mengawal berat. Senaman yang betul seperti aerobic boleh meningkatkan kesihatan jantung tanpa penglibatan melampau bahagian belakang. Pastikan anda mendapatkan nasihat professional untuk senaman begini.
  • Diet : Diet sihat dan kaya kalsium serta Vitamin D adalah penting untuk kesihatan tulang selain membantu mengawal berat badan.
  • Berhenti merokok: perokok lebih banyak mendapat masalah sakit belakang
  • Kurangkan berat badan : seperti yang telah diterangkan, bahagian bawah belakang badan menampung beban yang banyak terutama jika pesakit mempunyai masalah berat badan tinggi. 
  • Postur:Duduk, berdiri dan angkat barang dengan postur yang betul.
  • Kasut :pilih kasut yang rata dan tidak terlalu menumpukan beban berat badan pada bahagian belakang.

Selain itu, jika terbukti masalah sakit belakang tersebut adalah seiring peningkatan usia, dapatkan supplemen tambahan seperti nasihat doctor.

Rujukan

  1. Spine cancer – Cancer.gov
  2. Non traumatic low back pain – Core EM
  3. Back pain – Pubmed
  4. Cervical disc herniation – Singapore Orthopaedic & Neurosurgery Clinic
  5. Sakit belakang – The Malaysian Medical Gazette
  6. Degenerative disc disease – Nature.com
  7. Degenerative disc disease – Bay Ridge Physio
  8. Back Pain – Mayo Clinic

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

9 − 8 =