Skip to content

Perut Memulas: Punca, Simptom dan Rawatan

Apakah punca kepada masalah perut memulas? Artikel ini akan membincangkan beberapa punca dan rawatan kepada masalah ini.

Pengenalan

Perut memulas atau tidak selesa selalunya disebabkan oleh ketidakcernaan makanan, inflamasi atau radang pada usus disebabkan jangkitan, serta boleh juga disebabkan oleh masalah angin. Kebiasaannya, masalah perut memulas tidak memerlukan rawatan doctor kecuali jika anda mengalami simptom-simptom tambahan yang menjadi petanda masalah lain yang lebih serius.

Punca dan simptom berkaitan

Perut memulas berlaku apabila terdapat gangguan pada aktiviti dan pergerakan perut dan usus. Ia sebenarnya bukan sekadar masalah pada bahagian perut sahaja tetapi juga usus ataupun pada organ-organ berdekatan seperti hempedu, buah pinggang, dan rahim. 

Organ-organ berdekatan yang turut boleh menyebabkan rasa perut memulas seperti rajah di bawah-dalam kotak merah:

Gangguan dan kesakitan ini dikesan oleh saraf berdekatan dan seterusnya menyebabkan rasa sakit yang diterjemahkan sebagai memulas. Terdapat beberapa punca yang boleh menyebabkan perut memulas seperti:

Masalah Perut/Usus:

1. Keracunan makanan

Masalah ini kebiasaanya terjadi apabila kita memakan makanan yang mengandungi kuman atau bakteria ataupun bahan buangan toksik kuman atau bakteria. Bahan buangan toksik bakteria menyebabkan radang pada usus, mengganggu pergerakan dan menyebabkan rasa sakit. Bakteria jahat yang membiak dalam usus juga mengeluarkan gas sekaligus menambah ketegangan otot.

Simptom berkaitan : Cirit birit, muntah, rasa loya, najis berbau dan berwarna hijau/ merah jika serius.

2. Sembelit

Najis adalah hasil akhir system perkumuhan dan tahap kekerasan najis bergantung kepada masa transit di dalam usus serta jumlah air yang diminum dan fiber. Masalah sembelit berlaku apabila najis kekurangan air dan fiber, serta tidak berjaya dibuang dan menjadi lebih keras selagi ia berada di dalam rectum (usus besar di hujung salur pencernaan).

Penambahan makanan menambah kekerasan najis dan ia menyebabkan usus menjadi tegang. Ketegangan rektum ini pula mempengaruhi usus pada bahagian atas dan menyebabkan rasa perut memulas.

Simptom berkaitan : Pedih pada bahagian lubang punggung, muntah (jika terlalu teruk), demam.

3. Masalah pencernaan

Pesakit yang mengalami masalah pencernaan juga kerap mengalami perut memulas. Ini kerana masalah pencernaan turut mempengaruhi pergerakan usus dan menyebabkan rasa memulas. Contoh masalah pencernaan seperti masalah Refluk Gastroesophagus (GERD),ulser perut, gastrik, radang hempedu, Ketidakhadaman laktosa/Fruktose/Glute, Sindrom rengsa/iritasi usus (IBS), kanser perut.

Simptom berkaitan: Masalah angin, najis terlalu lembut atau keras, kulit kemerah-merahan, najis terlalu busuk, berat badan tidak bertambah. 

Masalah menstruasi : 

1. Sindrom pra-menstruasi/ Ketika menstruasi/selepas menstruasi

Kebanyakan wanita mengalami masalah perut memulas sebelum, semasa atau selepas menstruasi. Akan tetapi, rasa memulas ini sebenarnya disebabkan oleh proses pengembangan and pengecutan otot Rahim. Rasa sakit ketika proses menstruasi ini dikesan oleh beberapa saraf yang turut mengesan rasa sakit di usus, buah pinggang organ lain, dan kemudiannya dirasai seperti perut memulas. 

Simptom berkaitan : Rasa loya, penat, pening dan sakit kepala, sakit belakang

Masalah pundi hempedu:

1. Batu di pundi hempedu

Pundi hempedu menghasilkan enzim untuk pencernaan seperti mencerna lemak. Terkadang, diet tinggi lemak menyebabkan penggumpalan lemak dan penghasilan batu. Batu-batu lemak ini menyebabkan radang dan rasa sakit yang turut mempengaruhi usus dan menyebabkan rasa memulas.

Simptom berkaitan: Sakit perut, sakit di bahagian bahu kanan, rasa loya

2. Kanser hempedu

Kanser hempedu boleh berlaku dan kebiasaannya ditemani dengan rasa sakit perut yang berpanjangan. Ia kebiasaanya lambat dikesan. 

Simptom berkaitan: Najis berminyak (lemak tidak dihadam), jaundis, kerap loya, perut rasa penuh. Berat badan turun.

Masalah buah pinggang

1. Batu di buah pinggang

Kurang minum air antara faktor yang menyebabkan pembentukan batu di buah pinggang selain jangkitan salur kencing. Batu ini kebanyakannya tajam. Rasa sakit seperti dicucuk ini turut dikesan oleh saraf yang sama mengesan rasa sakit di bahagian usus.

Simptom berkaitan : Demam, kerap kencing, sakit Ketika kencing, kencing berpasir, sakit pinggang atau bahagian, kencing berdarah. 

2. Punca lain perut memulas termasuk

Kehamilan, amalan pembersihan tangan yang tidak betul, masalah kebimbangan (anxiety), stress (terutama pada kanak-kanak), pengambilan alcohol dan kafein, masalah pancreas, Kanser usus dan kanser perut.

Ujian Pemeriksaan

Secara amnya, masalah perut memulas yang jarang-jarang berlaku bukanlah petanda sesuatu yang serius. Selain pemeriksaan rutin, Doktor mungkin perlu membuat pemeriksaan seperti:

  • Sampel darah untuk melihat kadar jangkitan/ fungsi hati dan buah pinggang. Ujian darah juga boleh dilakukan untuk mengesan kadar lemak di dalam badan dan mengesan tanda awal kanser.
  • Sampel air kencing untuk mengesan darah/kuman dalam masalah melibatkan buah pinggang. 
  • Sampel najis untuk mengesan darah/kuman.
  • Ujian xray untuk mengesan batu karang di buah pinggang/ melihat pengembangan usus dalam masalah sembelit/penyumbatan usus.
  • Ujian Sonografi untuk mengesan batu di hempedu.
  • Ujian Kolonoskopi/ Endoskopi (pengesanan masalah dalam usus menggunakan kamera).

Rawatan

Oleh kerana masalah ini jarang menjadi petanda sesuatu yang serius, rawatan perut memulas adalah bergantung kepada diagnosis atau masalah seperti yang disebut sebelum ini: 

Contoh rawatan akut termasuk:

  1. Ubat demam dan tahan sakit – Panadol boleh digunakan untuk mengurangkan demam dan rasa sakit. Ubat tahan sakit lain seperti morphin juga boleh digunakan jika rasa sakit itu serius. Ia juga boleh diberi melalui suntikan.
  2. Ubat tahan muntah- ubat anti muntah boleh diberikan untuk mengurangkan rasa loya dan muntah. Ia juga boleh diberi melalui suntikan.
  3. Ubat untuk rehidrasi (Oral rehydration salt)- Ubat untuk rehidrasi ini perlu diberikan kepada pesakit yang mengalami cirit birit. Cirit-birit menyebabkan pembuangan zat dan garam penting di dalam badan yang perlu diganti.
  4. Pil charcoal/simethicone : ubat ini diberikan untuk mengurangkan rasa sakit dan tidak selesa. Charcoal juga boleh membantu mengurangkan radang di usus akibat jangkitan kuman.
  5. Ubat untuk sakit kepala
  6. Ubat untuk mencairkan batu karang : Urine alkalizer boleh membantu untuk mengurangkan kekerasan batu karang di buah pinggang.
  7. Ubat sapuan untuk mengurangkan rasa sakit.

Rawatan alternatif untuk mengurangkan rasa sakit termasuk:

  1. Tuaman panas: Tuaman panas boleh membantu mengurangkan rasa sakit Ketika menstruasi.
  2. Minum air dengan cukup untuk mengelakkan sembelit dan dehidrasi
  3. Mengambil air halia untuk membuang angi.

Pencegahan

Pencegahan kepada masalah perut memulas adalah pencegahan kepada sebarang cara untuk mengelakkan punca-puncanya seperti :

  • Mengamalkan amalan kebersihan tangan yang betul untuk mengelakkan jangkitan.
  • Mengurus tekanan dan kebimbangan.
  • Mengurangkan pengambilan makanan yang manyebabkan masalah perut memulas seperti makanan tinggi lemak dan makan ultra proses
  • Mengurangkan pengambilan alcohol dan kafein.
  • Mengunyah makanan dengan betul. 
  • Minum air secukupnya.
  • Bersukan and beriadah

Rujukan:

  1. What cause stomach churning – Medical News Today
  2. Upset Stomach – University Health Services
  3. Stomach upset – NHS
  4. Perut memulas :Simptom, punca, rawatan – The Diagnosa
  5. Gall Bladder Cancer Treat – National cancer Institute
  6. Home remedies for stomach pain – Medical News Today
  7. Rencal Cancer – Saint Lukes

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

seventeen + six =