Skip to content

Perikarditis: Punca, Simptom & Rawatan

Apakah maksud perikarditis? Artikel ini akan membincangkan definisi, punca, simptom dan rawatan kepada masalah perikarditis ini.

Pengenalan

Tahukah anda bahawa jantung manusia dilapisi oleh satu lapisan luar yang dinamakan sebagai perikardium? Perikardium ini terhasil daripada tisu yang sangat kuat dan kukuh dan berupaya untuk melindungi bahagian luar jantung. Ia juga terbentuk seperti sebuah kantung yang sangat nipis dan mengandungi cecair dan bertindak sebagai pelincir bagi memastikan jantung dapat mengembang dan mengepam darah dengan lancar.

Sekiranya keradangan berlaku pada lapisan ini, perikarditis akan berlaku. Masalah ini seterusnya boleh mengakibatkan perikardium ini menebal dan berparut yang dikenali sebagai perikarditis konstriktif atau mengakibatkan tambahan cecair pada kantung perikardium yang membuatkan jantung tersepit.

Punca

90% kes perikarditis tidak diketahui puncanya. Namun begitu, punca-punca lainnya adalah:

  • Komplikasi pada jantung akibat jangkitan virus, yang kebanyakkannya virus yang menyerang sistem penghadaman badan dan merebak ke jantung
  • Jangkitan bakteria termasuk tuberkulosis
  • Jangkitan kulat
  • Jangkitan daripada parasit
  • Sesetengah penyakit autoimun, seperti lupus, rheumatoid arthritis dan scleroderma
  • Kecederaan pada dada, seperti selepas kemalangan kereta
  • Kegagalan buah pinggang
  • Tumor seperti limfoma
  • Penyakit genetik seperti Familial Mediterranean Fever (FMF)
  • Ubat-ubatan yang menyerang sistem imun (jarang berlaku)

Terdapat beberapa jenis perikarditis seperti:

  • Perikarditis akut. Kebiasaannya berlaku 4-6 minggu. 
  • Perikarditis berterusan (incessant pericarditis). Lebih lama daripada perikarditis akut tetapi lebih pendek daripada tiga bulan. 
  • Perikarditis kronik. Berlaku apabila perikarditis melebihi 3 bulan. 
  • Perikarditis berulang. Kira-kira 15% hingga 30% penghidap perikarditis mengalami perikarditis berulang yang kerap sembuh dan datang kembali selama bertahun-tahun.

Risiko

Risiko untuk menghadapi masalah ini adalah berkait rapat dengan punca-punca di atas. Selain itu, risiko lain untuk menghidapi perikarditis adalah:

  • Serangan jantung
  • Pembedahan jantung terbuka
  • Terapi radiasi / radiotherapy
  • Rawatan perkutaneus, seperti kateterisasi jantung atau radiofrequency ablation (RFA).

Dalam kes-kes di atas, keradangan perikardium adalah disebabkan oleh kesilapan sistem imun badan yang menyerang perikardium sediri.

Simptom Perikarditis

Antara simptom-simptom masalah ini termasuklah mempunyai ciri-ciri sakit dada yang seperti berikut:

  • Terasa tajam dan menikam (terjadi apabila jantung bergeser pada perikardium
  • Sakit dada berlaku ketika batuk, menelan, menarik nafas dalam atau berbaring
  • Simptom lega apabila duduk condong ke hadapan atau membongkok

Simptom-simptom lain termasuklah:

  • Sakit di belakang, leher atau bahu kiri 
  • Sukar bernafas apabila berbaring.
  • Batuk kering
  • Jantung berdebar
  • Keletihan
  • Demam
  • Bengkak kaki

Pemeriksaan dan Ujian

Semasa pemeriksaan, doktor akan memastikan sekiranya pesakit mempunyai ciri-ciri sakit dada yang disebabkan oleh masalah ini seperti terasa tajam di dada dan menular ke bahu kiri atau leher, sakit dada berkurangan apabila duduk dan condong ke hadapan dan semakin teruk apabila bernafas. Doktor juga akan mendengar bunyi jantung melalui stetoskop untuk mengesan bunyi geseran yang boleh disebabkan oleh perikarditis. Antara prosedur lain yang dilakukan untuk mengesahkan perikarditis termasuklah:

  • X-ray dada untuk melihat saiz jantung anda dan sebarang cecair dalam paru-paru anda yang boleh disebabkan oleh komplikasi perikarditis
  • Elektrokardiogram (ECG atau EKG) untuk mengesan perubahan dalam irama dan aliran elektrik jantung anda yang boleh berubah disebabkan oleh perikarditis
  • Ekokardiogram untuk mengesan sekiranya terdapat perubahan yang tidak normal pada kantung sekeliling jantung seperti cecair yang terkumpul dalam perikardium atau perikardium mengeras dan berparut.
  • MRI jantung untuk memeriksa cecair tambahan dalam perikardium, keradangan atau penebalan perikardium
  • Imbasan CT untuk pesakit yang memerlukan pembedahan yang biasanya dilakukan sekiranya mempunyai komplikasi perikarditis konstriktif iaitu perikardium mengeras dan berparut
  • Kateterisasi jantung untuk membaca tekanan darah dalam jantung untuk mengesahkan diagnosis perikarditis konstriktif
  • Ujian darah untuk mengesan sekiranya pesakit mengalami serangan jantung sebelum ini atau mengesan sekiranya terdapat keradangan yang berlaku pada jantung

Rawatan

Rawatan dan ubat-ubatan yang diberikan adalah bergantung kepada punca perikarditis. Contohnya, sekiranya perikarditis tersebut mengakibatkan pengumpulan air pada lapisan perikardium, maka prosedur tambahan akan dilakukan untuk membuang air tersebut manakala sekiranya pesakit mempunyai perikarditis yang menyebabkan kantung jantung mengeras (perikarditis konstriktif), pembedahan akan dilakukan. 

Antara ubat-ubatan yang digunakan untuk perikarditis termasuklah:

  • Ibuprofen / aspirin untuk mengurangkan sakit dan keradangan yang biasanya terdapat berlaku semasa perikarditis akut.
  • Antibiotik sekiranya perikarditis berpunca daripada jangkitan kuman.
  • Colchicine sekiranya perikarditis berulang kembali selepas sembuh buat beberapa minggu.
  • Steroid sekiranya pesakit menghidapi buah pinggang sebagai alternatif kepada ibuprofen dan cochicine.
  • NSAID sekiranya menghidapi perikarditis kronik dan berulang
  • Diuretik atau pil yang mampu mengurangkan cecair yang terdapat pada jantung dll.

Jika perikarditis adalah disebabkan oleh kanser, maka rawatan kanser akan turut diberikan. 

Antara rawatan lain termasuklah:

  • Pericardiocentesis. Prosedur untuk membuang cecair yang terkumpul mengelilingi jantung dan kebiasaannya dilakukan sekiranya pesakit memerlukan rawatan segera yang mengancam nyawa. Doktor akan menggunakan tiub panjang dan nipis ke dalam saluran darah dan dipandu ke jantung yang dipanggil kateter untuk mengeluarkan cecair tambahan. Teknik radiografi seperti ekokardiografi atau imbasan CT akan digunakan bersama untuk memeparkan imej kateter dan jarum tersebut semasa proses penyaluran ke jantung.
  • Sekiranya doktor tidak dapat melakukan pericardiocentesis atas sebab-sebab tertentu, maka doktor akan membuat pembedahan kecil pada dada untuk mengalirkan keluar cecair pada jantung.
  • Pericardiectomy akan dilakukan sekiranya pada pesakit yang mengalami perikarditis konstriktif untuk membuang tisu parut yang mengeras pada perikardium.

Pembedahan kebiasaannya tidak akan dilakukan pada pesakit yang mempunyai perikarditis berulang kerana keradangan yang berulang akan menyukarkan penyembuhan selepas pembedahan.

Komplikasi dan Prognosis

Kebanyakan pesakit ini akan pulih sepenuhnya. Sekiranya simptom tersebut ringan, ia boleh dirawat dengan rehat sahaja. Diagnosis awal dan rawatan perikarditis mampu mengurangkan risiko komplikasi. Namun begitu, bagi sesetengah pesakit yang tidak dirawat, komplikasi-komplikasi berikut boleh berlaku:

  • Pengumpulan cecair di sekeliling jantung (efusi perikardial). Pengumpulan cecair disekeliling jantung boleh disebabkan oleh kanser.
  • Penebalan dan parut pada lapisan luar jantung (perikarditis konstriktif). Sesetengah orang yang mempunyai masalah ini akan mengalami penebalan dan parut kekal pada bahagian kantung luar jantung, yang mampu menghalang jantung daripada mengisi dan mengepam darah dengan betul. Komplikasi ini akan membawa kepada bengkak kaki dan perut serta sesak nafas. Kebiasaannya komplikasi ini adalah berpunca daripada jangkitan kuman pada kantung jantung tersebut.
  • Tekanan pada jantung akibat pengumpulan cecair (tamponade jantung). Keadaan yang mengancam nyawa ini menghalang jantung daripada mengisi darah dengan betul. Apabila kurang darah masuk ke jantung, jantung juga sukar mengepam darah yang secukupnya pada badan lalu mengurang tekanan darah pada seluruh badan secara mendadak. Keadaan ini boleh mengancam nyawa dan memerlukan rawatan kecemasan.

Rujukan:

  1. Pericarditis: Causes, symptoms and treatment. Cleveland Clinic. (n.d.).
  2. Mayo Foundation for Medical Education and Research. (2022, April 30). Pericarditis. Mayo Clinic.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

two × 2 =