Skip to content

Pedih Ulu Hati: Punca, Simptom & Rawatan

Apakah punca kepada masalah pedih ulu hati? Artikel ini akan membincangkan punca, simptom dan rawatan kepada masalah pedih ulu hati.

Pengenalan

Pedih ulu hati adalah salah satu masalah bahagian pencernaan yang sering berlaku tetapi boleh dicegah. Ia sebenarnya tidak berkaitan dengan hati, akan tetapi, ia dipanggil pedih ulu hati kerana ulu hati adalah bahagian di bawah dada dan bersebelahan jantung. Deskripsi ini bertepatan dengan lokasi perut-organ yang terlibat dalam masalah pedih ulu hati. Jika kerap berlaku-lebih kurang dua kali dalam masa seminggu, ia dikenali sebagai Masalah Refluk Gastro-Esofagus (Gastro-Esophageal Refluks Disease-GERD). Walaupun pada amnya masalah GERD ini tidak berbahaya, kelewatan pencegahannya boleh membawa kepada komplikasi yang lebih serius.

Sistem pencernaan terdiri daripada beberapa organ utama (Rajah 1). Esofagus adalah tiub makanan yang membawa makanan yang sudah dikunyah ke perut untuk dicerna. Setelah makanan masuk ke perut, lower esophageal sphincter (LES) iaitu otot penutup atau injap esofagus akan mengetat untuk mengelakkan asid perut termasuk ke dalam bahagian esofagus. Ini kerana asid pencernaan yang dirembeskan oleh perut mempunyai ph yang berbeza dan boleh menyebabkan lapisan esofagus luka. Masalah GERD yang kronik boleh menyebabkan kerosakan kekal pada lapisan esofagus.

Punca

Pedih ulu hati terjadi apabila LES ini lemah dan menyebabkan asid pencernaan daripada perut naik semula ke esofagus.

Asid ini menyebabkan radang pada esofagus dan memberi rasa sakit pada bahagian ulu hati. Refluks asid perut juga boleh terkena pada peti suara serta boleh pergi ke paru-paru dan menyebabkan radang dan kerosakan.

Kelemahan otot penutup LES ini boleh berlaku disebabkan beberapa faktor seperti:

  • Makan berlebihan dan berat berlebihan : Makan secara berlebihan atau terlebih berat menyebabkan perut dan otot penutup mengembang lebih daripada biasa. Lama kelamaan, LES menjadi lemah dan longgar, menyebabkan refluks yang kemudiannya merosakkan lagi LES tersebut.
  • Merokok: Merokok mendedahkan LES kepada toksik dan bahan kimia merbahaya dan menyebabkan ia lemah. Bahan dalam rokok juga menyebabkan peningkatan tahap keasidan cecair perut lebih daripada biasa dan merosakkan LES tersebut.
  • Pengambilan alcohol dan minuman tinggi kafein : alcohol adalah faktor penyumbang kepada GERD kerana ia menyebabkan LES menjadi lemah dan kendur. Minuman seperti kopi dan minuman tinggi kafein juga menyebabkan LES menjadi lemah. Refluks yang berlaku kemudiannya menambah kerosakan kepada LES.
  • Ubat-ubatan : Sesetengah jenis ubat boleh menyebabkan LES menjadi kendur dan refluks berlaku. Ubat untuk penyakit seperti anti depresi dan ubat tidur boleh menyumbang kepada masalah ini.
  • Makanan : Makanan berlemak turut menyebabkan LES kendur dan menambah masalah GERD. Selain itu, makanan berasid menambah keasidan asid perut dan air bikarbonat pula boleh menyebabkan pengembangan perut.
  • Mengandung : rahim yang membesar menekan perut dan menyebabkan LES turut mendapat kesannya. Refluks boleh berlaku akibat tekanan ini dan asid yang terkena pada LES menyebabkan LES rosak.

Selain faktor di atas, penyakit seperti esofagus sempit, esofagus pendek, kanser esofagus, hernia bahagian perut juga menjadi faktor lain tetapi jarang berlaku. Masalah esofagus sempit dan esofagus pendek lebih kerap berlaku dalam kalangan kanak-kanak. 

Simptom Yang Berkaitan

Selain simptom pedih ulu hati, pesakit GER turut mengalami simptom lain seperti :

  • Sakit dada.
  • Rasa seperti terdapat cecair panas, masam, pahit atau masin di belakang tekak. 
  • Perut kembung.
  • Kerap sendawa.
  • Rasa seperti ada sesuatu di dalam tekak.
  • Rasa loya.
  • Masalah mengunyah atau rasa sakit apabila mengunyah.
  • Simptom komplikasi refluks di mulut, tekak dan paru-paru seperti batuk berpanjangan, suara menjadi kasar atau sakit tekak berpanjangan.

Ujian dan Pemeriksaan

Pedih ulu hati yang biasa boleh dirawat dengan rawatan rumah dan ubat-ubatan. Tetapi jika anda terlalu kerap mendapat pedih ulu hati, anda telah mengalami GERD dan puncanya perlu diketahui. Dapatkan nasihat doktor jika simptom anda berterusan dan lebih kerap. Doktor anda akan menjalankan pemeriksaan berkaitan berdasarkan sejarah kesihatan yang anda berikan. Antara ujian yang akan dilakukan termasuk:

  • ECG (ujian ritma jantung) : ECG dilakukan untuk memastikan anda tidak mengalami masalah jantung yang turut menyebabkan pedih ulu hati.
  • Ujian darah: Ujian darah juga mungkin dilakukan untuk memastikan anda tidak mempunyai sebarang jangkitan atau masalah anemia yang boleh berlaku jika anda adalah pesakit GERD kronik.
  • Ujian Endoskopi: Prosedur endoskopi adalah apabila dostor memasukkan kamera ke dalam salur atas pencernaan anda. Ia penting untuk mengesan radang pada bahagian esofagus serta fungsi LES.

Rawatan

Masalah pedih ulu hati biasa boleh dirawat dengan mudah iaitu dengan megubah cara hidup. Jika anda mengalami GERD, rawatan untuk GERD lebih lama dan memerlukan komitmen. Rawatan yang anda boleh lakukan di rumah termasuk:

  • Mengambil bawang putih dan halia : bawang putih dan halia boleh melegakan pedih ulu hati. Bawang putih juga boleh menbantu mengurangkan keasidan asid perut. 
  • Makan pisang : Pisang juga turut membantu mengurangkan tahap asid dalam perut dan mengurangkan risiko pedih ulu hati.

Antara ubat-ubatan yang biasa digunakan untuk rawatan pedih ulu hati dan GERD adalah

  • Antacid :Ubat antacid seperti Gaviscon boleh digunakan untuk melegakan pedih ulu hati. Namun, ia tidak patut digunakan setiap hari ataupun apabila simptom anda terlalu teruk. Ianya boleh dibeli di farmasi.
  • Ubat Antagonis Histamin 2 : Ubat ini membantu menyekat reseptor Histamin 2 di dalam perut yang terlibat dalam penghasilan cecair asid perut. Ia boleh diambil selama 30 minit atau 60 minit sebelum pengambilan makanan tinggi asid. 
  • Ubat perencat pam proton -Proton pump inhibitors (PPIs): ubat ini juga membantu dalam mengurangkan keasidan asid perut. Ia lebih bagus daripada antagonis Histamin 2 kerana ia turut mempunyai fungsi untuk pemulihan lapisan esofagus pada pesakit GERD. Dapatkan nasihat dan preskripsi doktor untuk ubat ini.

Ubat-ubat ini juga selamat dan boleh diambil oleh Wanita mengandung. Sebilangan kecil pesakit mungkin memerlukan pembedahan untuk membaik pulih fungsi LES ataupun pembedahan bariatric untuk obesiti.

Pencegahan

  • Masalah pedih ulu hati boleh dicegah dengan mengubah cara hidup dan pemakanan. Pesakit GERD juga perlu mengubah cara hidup untuk mengelakkan masalah mereka lebih teruk. Langkah-langkah pencegahan yang boleh dilakukan termasuk:
  • Mengurangkan makan secara berlebihan : makan sekadarnya untuk mengelakkan pengembangan perut akan membantu fungsi LES.
  • Menurunkan berat badan : Kajian menunjukkan pesakit GERD mengalami pengurangan simptom seiring penurunan berat badan
  • Berhenti merokok : Penyembuhan otot LES selepas berhenti merokok juga telah terbukti selain mengurangkan risiko lain
  • Mengurangkan pengambilan alcohol/minuman bikarbonat/minuman tinggi kafein.
  • Makan dengan perlahan dan mengunyah makanan dengan cara yang betul untuk memudahkan pencernaan 
  • Kurangkan makan makanan berlemak
  • Elakkan makan pada waktu tengah malam

Kesimpulannya, pedih ulu hati dan GERD boleh berkurang dengan meningkatnya fungi otot LES. Jadi, amalkan cara hidup yang betul dan dapatkan nasihat dostor jika anda mengalami simptom-simptom yang lebih teruk.

Rujukan

  1. swallowing disorders, John Hopkins Medicine
  2. Badillo R, Francis D. Diagnosis and treatment of gastroesophageal reflux disease. World Journal of Gastrointestinal Pharmacology and Therapeutics. 2014;5(3):105–112.
  3. Esophageal Disorders – Clevel and Clinic
  4. GERD – National Institute of Diabetes and Digestive and Kidney Disease

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

eighteen − seventeen =