Skip to content

Kembung Perut: Punca, Simptom dan Rawatan

Apakah punca kepada masalah kembung perut? Artikel ini akan membincangkan punca, simptom dan rawatan kepada masalah kembung perut.

Pengenalan

Angin adalah antara komponen di dalam usus yang tidak mempunyai sebarang bentuk atau saiz. Ia adalah hasil campuran gas dan air daripada pencernaan makanan. Angin di dalam saluran pencernaan dilepaskan daripada badan manusia apabila anda sendawa atau kentut. Kadangkala, masalah angin berlebihan ini boleh berlaku dan ia seringkali menyebabkan perut anda terasa senak, kembung dan and akan lebih kerap mengeluarkan angin.

Secara purata, seorang dewasa akan mengeluarkan angin dalam 15 ke 40 kali dalam sehari. Bagaimanapun, masalah perut kembung boleh berlaku jika anda mengambil sesetengah makanan atau menghadapi masalah usus. 

Punca Kembung Perut

Sistem pencernaan berbeza bagi setiap individu dan kerana ini, kembung perut lebih kerap terjadi pada sesetengah orang. Punca kembung perut boleh dibahagikan kepada dua: angin di bahagian atas salur pencernaan atau di bahagian bawah salur pencernaan. Angin di bahagian atas lebih banyak menghasilkan sendawa dan merupakan kesan akibat terlalu banyak udara terkumpul. Manakala kembung perut akibat angin di bahagian bawah pula seringkali merupakan kesan kepada ketidakhadaman makanan atau masalah usus.

Angin/ gas di dalam saluran pencernaan dihasilkan apabila kita menelan lebih banyak udara daripada biasa seperti ketika makan terlalu laju, mengunyah gula-gula getah, makan menggunakan gigi palsu yang tidak sepadan, merokok ataupun bagi bayi apabila terlalu banyak gelembung udara di dalam susu. Gas berlebihan pula dihasilkan apabila saluran pencernaan tidak dapat mencerna makanan-sama ada kerana komposisi makanan terlalu padat dan penuh karbohidrat ataupun kerana masalah bakteria pengurai di dalam usus. Faktor-faktor ini menyebabkan lebih banyak gas terkumpul dan perlu dilepaskan. 

Antara contoh-contoh makanan yang boleh menyebabkan kembung perut adalah : kacang, bawang, brokoli, bunga kobis, asparagus, buah pir, epal, buah pic, prun, gula gula tanpa gula, dan gula gula getah, roti gandum, bijiran bran, bir, soda dan minuman berkarbonat, susu, krim, aiskrim, dan susu ais.

  • Produk tenusu berlaktosa
  • Fruktosa-sejenis gula dalam buah-buahan yang turut digunakan sebagai pemanis dalam minuman ringan
  • Kekacang dan bran
  • Sorbitol-pengganti gula dalam gula-gula, gula-gula getah dan pemanis tiruan
  • Air bergas dan alcohol
  • Sayuran seperti kubis, brokol, kubis bunga, bok choy

Punca-punca kepada masalah kembung perut adalah:

  • Gastrik
  • Asid Refluks(GERD)
  • Jangkitan saluran pencernaan
  • Ketidakhadaman laktosa
  • Sindrom Keradangan Usus

Simptom yang berkaitan

Kadang-kala, masalah kembung perut adalah petanda kepada masalah kesihatan yang lebih serius. Jika berlaku, masalah-masalah ini seringkali terjadi bersama simptom-simptom tambahan dan lebih sukar untuk hilang. Antara masalah kesihatan yang sering menyebabkan kembung perut adalah: 

1. Bahagian salur pencernaan atas:-Mulut, esophagus dan perut

  • Penyakit Refluk Gastroesophagus (GERD) : Esophagus adalah saluran pencernaan yang menghubungkan mulut dan perut. Penyakit ini terjadi kerana otot salur pencernaan pada bahagian ini tidak kuat dan makanan yang dimakan naik semula ke bahagian atas salur pencernaan bersama asid dari perut. Oleh itu, pesakit GERD kerap sendawa serta mengalami rasa pedih pada bahagian ulu hati.
  • Penyumbatan salur pencernaan : Masalah ini lebih kerap berlaku pada bayi dan kanak-kanak. Usus mungkin tersumbat atau tidak terbentuk dengan sempurna menyebabkan masalah kerap muntah dan sendawa.
  • Masalah Gastrik: Penghasilan asid yang berlebihan atau perlindungan dinding perut yang bermasalah disebabkan oleh bakteria E. coli boleh menyebabkan masalah ini berlaku. Ia juga boleh disebabkan pengambilan ubat tahan sakit yang berpanjangan.

2. Bahagian salur pencernaan bawah-usus kecil dan usus besar

  • Ketidakhadaman laktosa/Fruktose/Gluten: Pesakit yang menghidapi masalah ini tidak boleh mencerna makanan yang mengandungi kandungan laktosa/fruktosa/gluten kerana ia sukar atau tidak dapat dicerna oleh usus mereka. Pesakit boleh mendapat kembung perut dan cirit birit apabila mengambil makanan yang berkenaan.
  • Penyakit seliak (Celiac disease) : Penyakit seliak juga adalah masalah ketidakhadaman gluten tetapi ia lebih serius. Pesakit Seliak mempunyai masalah autoimun di mana system imun badan mereka akan menyerang sel-sel sihat di dalam usus apabila mereka mengambil makanan bergluten. Pesakit Seliak kerap mendapat cirit birit dan juga hilang berat badan. Bagi kanak-kanak, najis mereka mungkin lebih cair, lebih berminyak serta lebih busuk dan besar.
  • Sindrom rengsa/iritasi usus (IBS) : Punca sebenar masalah rengsa/iritasi usus masih tidak diketahui tetapi ia mungkin berlaku disebakan masalah imun atau usus yang terlalu sensitif. Simptom berkaitan termasuk kejang dan sakit perut, kembung perut dan kerap kentut atau sendawa, sembelit atau cirit-birit.
  • Sindrom tertumbuhan lampau bakteria (bacterial overgrowth syndrome) : Pesakit yang mengalami masalah mempunyai bakteria yang terlalu banyak di dalam usus mereka. Pertumbuhan bakteria yang terlampau menghasilkan gas yang banyak dan menyebabkan kembung perut.
  • Jangkitan usus/radang akut(AGE): Jangkitan bakteria/kuman boleh berlaku dan mengganggu pencernaan sekaligus menyebabkan penghasilan gas yang lebih banyak daripada biasa. Kebiasaannya, ia berlaku disebabkan pembuatan makanan yang tidak bersih atau amalan pembersihan tangan yang tidak betul.

Masalah lain yang kurang biasa terjadi adalah seperti ulser perut, sembelit kronik, penyumbatan usus, hernia dan kanser.

Ujian Pemeriksaan

Secara amnya, masalah kembung perut adalah masalah yang tidak perlu dirisaukan. Ia mungkin mendatangkan rasa malu dan ketidakselesaan tetapi jarang sekali memerlukan rawatan intensif.

Jika ianya kerap terjadi, anda mungkin perlu mengubah cara hidup atau diet anda. Dapatkan nasihat doktor jika anda terlalu kerap mengalami masalah kembung perut, dan kerap mengalami cirit birit, muntah, sembelit, kurang berat badan yang tidak dirancang ataupun darah pada najis anda bersama symptom ini. Doktor anda mungkin memeriksa berat badan, membuat ujian daran ataupun meminta anda melakukan kolonoskopi atau endoskopi jika perlu.

Rawatan

Ubat-ubatan yang digunakan untuk melegakan kembung perut adalah seperti:

  1. Ubat Gastrik: Ubat gastrik jenis Proton Pump Inhibitor boleh digunakan untuk merawat masalah gastrik dan juga GERD. Contoh ubat ini adalah Omeprazole, Pantoprazole dan Esomeprazole.
  2. Suplemen Laktosa :Enzim laktosa boleh diambil untuk membantu pencernaan laktosa bagi pesakit yang mempunyai masalah ketidakhadaman. 
  3. Simethicone : Ubat ini mempunyai komposisi yang dapat membantu memecahkan gelembung gas sekaligus mengurangkan penghasilannya.
  4. Activated charcoal(Arang) : Digunakan untuk merawat jangkitan usus dan keracunan makanan. Pil arang juga boleh membantu mengurangkan ketidakselesaan kembung perut. Ia boleh diambil sebelum dan selepas makan.
  5. Probiotik : Digunakan untuk merawat jangkitan usus. Ia boleh menyeimbangkan bakteria baik di dalam saluran pencernaan.

Pencegahan

Beberapa cara pencegahan boleh dilakukan untuk mengelakkan masalah ini. Ia adalah:

  • Memandangkan sebab utama kembung perut adalah tabiat pemakanan, anda perlu mengubahnya. Antara rawatan tanpa ubat yang boleh dilakukan ialah:
  • Kunyah makanan dengan betul dan kurangkan atau elakkan makanan yang menyebabkan usus anda menghasilkan lebih banyak gas. 
  • Pastikan gigi palsu yang anda pakai bersesuaian
  • Kurangkan makanan berlemak 
  • Minum teh pudina untuk mengurangkan kembung perut
  • Berhenti merokok, berhenti minum minuman bergas dan alcohol
  • Mencuba produk tanpa laktosa bagi pesakit yang mempunyai ketidakhadaman.
  • Mengambil halia 
  • Mencatat nota makan untuk mengenal punca

Kesimpulannya, masalah kembung perut adalah masalah yang biasa berlaku dan ia petanda pencernaan normal. Namun, dapatkan nasihat doktor jika anda mempunyai symptom-simptom tambahan.

Rujukan:

  1. Kembung perut-my health.gov
  2. Gas in the digestive tract – National Institute if Diabetes and Digestive and Kidney Diseases
  3. Flatulence – NHS inform
  4. Intestinal Gas – Mayo clinic

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

five − three =