Skip to content

Kanser Mulut: Punca, Simptom & Rawatan

Kanser mulut atau kanser oral merujuk kepada kanser yang terbentuk di mana-mana bahagian yang terdapat pada rongga mulut. Ia termasuklah bibir, gusi, lidah, lapisan dalam pipi, lelangit dan di bawah lidah.

Kanser mulut adalah salah satu daripada beberapa jenis kanser yang dikelompokkan dalam kategori yang dipanggil kanser kepala dan leher. Kanser mulut dan kanser kepala dan leher sering dirawat dengan cara yang sama.  Secara keseluruhannya, kira-kira 11 orang dalam 100,000 akan menghidap kanser mulut sepanjang hayat. Lelaki lebih berisiko menghidap kanser mulut berbanding wanita. 

Punca

Kanser mulut terbentuk apabila sel-sel pada bibir atau dalam mulut mengalami perubahan (mutasi) dalam DNA mereka. DNA sel berfungsi untuk memberi arahan kepada sel tersebut apa yang perlu dilakukan, contohnya untuk membiak ataupun mati apabila terdapat kecacatan pada sel. Perubahan mutasi boleh terjadi pada DNA sel, dan ini mengakibatkan sel tersebut boleh membiak dengan laju tanpa henti walaupun terdapat kerosakan pada sel tersebut. Sel-sel kanser mulut yang tidak normal ini akan membesar dan akhirnya membentuk tumor. Lama kelamaan ia boleh merebak ke bahagian lain seperti kepala, leher bahkan bahagian badan yang yang lebih jauh.

Kanser mulut selalunya terbentuk oleh sejenis sel sel-sel yang rata dan nipis yang dipanggil sel skuamosa. Ia melapisi bibir anda dan bahagian dalam mulut anda. Kebanyakan kanser mulut adalah karsinoma sel skuamosa. Namun begitu, terdapat juga jenis sel kanser mulut yang lain namun lebih jarang dihidapi.

Risiko

Faktor-faktor yang boleh meningkatkan risiko kanser mulut termasuklah:

  • Penggunaan tembakau dalam apa jua bentuk, termasuk rokok, cerut, paip, mengunyah tembakau dan lain-lain
  • Kerap mengambil minuman beralkohol
  • Terdedah kepada matahari yang kerap pada wajah
  • Menghidapi jangkitan virus melalui aktiviti seksual 
  • Sistem imun yang lemah

Simptom

Kanser mulut mempunyai beberapa tanda dan gejala yang mungkin disalah anggap sebagai masalah biasa atau perubahan dalam mulut yang biasa. Sebagai contoh, anda mungkin melihat tompokan di dalam mulut anda yang tidak boleh dikikis. Tompok ini kebiasaannya terdapat pada sel pra-kanser.

  • Sakit bibir atau lepuh mulut yang tidak sembuh
  • Tompok putih atau kemerahan pada bahagian dalam mulut
  • Gigi longgar
  • Ketumbuhan atau ketulan di dalam mulut
  • Sakit mulut
  • Sakit telinga
  • Kesukaran atau kesakitan ketika menelan
  • Penurunan berat badan yang mendadak tanpa sebarang sebab
  • Terdapat bahagian mulut yang berdarah tanpa sebab
  • Kebas atau sakit pada muka, leher atau dalam mulut tanpa sebarang sebab
  • Kesukaran mengunyah, menelan, bercakap atau menggerakkan rahang atau lidah

Pemeriksaan dan Ujian

Antara ujian dan prosedur yang digunakan untuk mendiagnosis kanser mulut termasuklah:

  • Pemeriksaan fizikal pada bahagian mulut. Doktor atau doktor gigi anda akan memeriksa bibir dan mulut anda untuk mencari sebarang gejala yang tidak normal seperti terdapat kemerahan, bengkak, seperti kudis dan tompok putih (leukoplakia).
  • Pengambilan sebahagian isi atau tisu mulut (biopsi). Jika terdapat bahagian yang mencurigakan ditemui di dalam mulut, doktor atau doktor gigi anda boleh mengeluarkan sampel sel untuk ujian makmal dalam prosedur yang dipanggil biopsi. Doktor akan menggunakan alat pemotong untuk memotong sampel tisu atau menggunakan jarum untuk mengeluarkan sampel dari bahagian yang tidak normal tersebut. Tisu tersebut akan dianalisis di dalam makmal untuk mengesahkan kanser atau mengesan perubahan pra-kanser yang boleh menunjukkan risiko kanser mulut pada masa hadapan.

Rawatan

Jenis rawatan yang diberikan untuk kanser mulut adalah bergantung pada bahagian yang terdapat kanser dan peringkat kanser. Selain itu, doktor juga akan memeriksa kemampuan dan kesihatan secara keseluruhan dan juga pilihan peribadi pesakit. Terdapat pesakit yang hanya memerlukan satu jenis rawatan sahaja manakala yang lain perlu menjalani beberapa rawatan. Antara pilihan rawatan termasuk pembedahan, radioterapi dan kemoterapi. 

  • Pembedahan. Antara jenis-jenis pembedahan yang boleh dilakukan termasuklah:
    • Pembedahan untuk membuang tumor sahaja. Pakar bedah anda mungkin memotong tumor dan sebahagian tisu sihat yang mengelilinginya untuk memastikan semua sel kanser telah dikeluarkan. Kanser yang lebih kecil boleh dikeluarkan melalui pembedahan kecil. Tumor yang lebih besar mungkin memerlukan prosedur yang lebih besar. Sebagai contoh, pembedahan tumor yang lebih besar mungkin melibatkan bahagian tulang rahang atau sebahagian daripada lidah.
    • Pembedahan untuk membuang kanser yang telah merebak ke leher. Jika sel-sel kanser telah merebak ke nodus limfa di leher, pakar bedah akan mengesyorkan prosedur untuk membuang nodus limfa dan tisu berkaitan di leher. Pembedahan leher membuang sebarang sel kanser yang mungkin merebak ke nodus limfa anda. Prosedur ini juga boleh digunakan untuk menentukan sama ada pesakit memerlukan rawatan tambahan selepas pembedahan.
    • Pembedahan rekonstruktif mulut. Selepas pembedahan dilakukan untuk membuang kanser anda, pakar bedah akan mengesyorkan pembedahan rekonstruktif untuk merapikan semula mulut anda untuk membantu anda mendapatkan semula keupayaan untuk bercakap dan makan. Pakar bedah anda boleh memindahkan cantuman kulit, otot atau tulang dari bahagian lain badan anda untuk membina semula bahagian mulut. Implan pergigian juga boleh digunakan untuk menggantikan gigi asli yang terpaksa dibuang.
  • Radioterapi. Radioterapi menggunakan pancaran tenaga tinggi, seperti sinar-X dan proton, untuk membunuh sel-sel kanser. Ia dipancar melalui sebuah mesin walaupun ia juga boleh diberikan melalui bahan radioaktif berbentuk wayar yang diletakkan berhampiran kanser anda (brachytherapy). Radioterapi sering digunakan selepas pembedahan. Tetapi kadangkala ia mungkin digunakan secara bersendirian jika anda menghidap kanser mulut peringkat awal. Dalam situasi lain, ia boleh digabungkan dengan kemoterapi. Gabungan ini meningkatkan keberkesanan terapi sinaran, tetapi ia juga meningkatkan kesan sampingan yang boleh dialami. Dalam kes kanser mulut pada tahap akhir, terapi sinaran boleh membantu melegakan kesakitan.
  • Kemoterapi. Kemoterapi adalah rawatan yang menggunakan ubat kimia untuk membunuh sel kanser. Ubat kemoterapi boleh diberikan secara bersendirian, digabungkan dengan ubat kemoterapi lain atau digabungkan dengan rawatan kanser lain. Kemoterapi boleh meningkatkan keberkesanan terapi sinaran. Oleh itu, kedua-duanya sering digabungkan bersama. Kesan sampingan kemoterapi adalah bergantung kepada ubat yang diterima. Kesan sampingan yang biasa termasuk loya, muntah dan keguguran rambut.
  • Terapi ubat spesifik (targeted therapy). Rawatan ubat ini berbeza dengan kemoterapi dengan memberikan ubat yang boleh menyasarkan sel kanser melalui struktur sel kanser yang abnormal berbanding sel normal. Ubat ini boleh digunakan secara bersendirian atau digabungkan dengan kemoterapi atau terapi radiasi. Cetuximab (Erbitux) adalah salah satu ubat yang digunakan untuk merawat kanser mulut dalam situasi tertentu. Kesan sampingannya termasuk ruam kulit, gatal-gatal, sakit kepala, cirit-birit dan jangkitan.
  • Imunoterapi. Imunoterapi menggunakan sistem imun pesakit sendiri untuk melawan kanser. Sistem imun badan pesakit yang melawan kanser mungkin tidak mampu menyerang sel kanser kerana ia menghasilkan protein yang boleh ‘membutakan’ sel sistem imun. Imunoterapi berfungsi untuk mengganggu proses tersebut. Rawatan imunoterapi biasanya dikhaskan untuk penghidap kanser mulut peringkat akhir yang tidak bertindak balas terhadap rawatan standard.

Komplikasi dan Prognosis

Seperti kebanyakan kanser, diagnosis dan rawatan awal boleh mengurangkan peluang untuk kanser mulut merebak. Kira-kira 1/3 orang yang dirawat untuk kanser mulut mengalami kanser baharu. Mengikut statistik, kira-kira 63% penghidap kanser mulut masih hidup selama lima tahun selepas didiagnosis.

Rujukan:

  1. Mayo Foundation for Medical Education and Research. (2022, October 26). Mouth cancer. Mayo Clinic. Retrieved December 18, 2022, from 
  2. Oral cancer: Causes, symptoms & treatment. Cleveland Clinic. (n.d.).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

12 − 11 =