Skip to content

Kanser mata: Punca, Simptom & Rawatan

Apakah simptom kanser mata? Artikel ini akan membincangkan punca, simptom dan rawatan kepada masalah kanser mata.

Pengenalan

Melanoma ialah sejenis kanser yang terbentuk oleh sel-sel yang menghasilkan melanin, iaitu pigmen yang memberikan warna pada kulit anda. Mata juga terdapat sel yang menghasilkan melanin ini dan oleh itu, ia juga boleh dihidapi melanoma. Melanoma mata juga dipanggil melanoma okular, dan ia merupakan sejenis kanser mata yang paling banyak dihidapi oleh pesakit. Kanser-kanser mata yang lain sangat jarang berlaku, seperti limfoma intraokular, retinoblastoma dan hemangioma. Oleh itu, artikel kali ini akan membincangkan kanser mata jenis melanoma ini.

Kebanyakan melanoma mata terbentuk di bahagian mata yang tidak boleh dilihat oleh mata kasar. Hal ini menjadikan melanoma mata agak sukar dikesan. Di samping itu, melanoma mata biasanya tidak mempunyai simptom pada awal-awal pembentukannya. Melanoma mata boleh terbentuk akibat daripada perebakan kanser lain ke mata (sekunder) atau ia berasal daripada bahagian mata tersebut (primer). Melanoma mata jenis primer adalah lebih jarang berbanding sekunder.

Punca

Setakat ini, punca melanoma mata masih belum dikenalpasti. Namun begitu, melanoma intraokular terbentuk akibat mutasi  dalam DNA sel mata yang sihat. Sel mata yang termutasi tersebut akan membiak di luar kawalan di samping menjadikan sel sukar untuk mati. Sel yang termutasi ini akan terkumpul di dalam mata, membentuk satu jisim yang akhirnya menghasilkan melanoma intraokular.

Melanoma mata paling kerap tumbuh pada sel-sel lapisan tengah mata anda (uvea). Uvea mempunyai tiga bahagian dan setiap satunya boleh ditumbuhi melanoma mata iaitu:

  • Iris, iaitu bahagian berwarna di hadapan mata.
  • Lapisan koroid, iaitu lapisan saluran darah dan tisu penghubung antara sklera dan retina di bahagian belakang uvea.
  • Badan siliari, yang berada di hadapan uvea dan merembeskan cecair lutsinar (aqueous humor) ke dalam mata.

Melanoma mata juga boleh berlaku pada lapisan paling luar di hadapan mata (konjunktiva), dalam soket yang mengelilingi bola mata dan pada kelopak mata walaupun jenis melanoma mata ini sangat jarang berlaku.

Risiko

Antara faktor-faktor yang meningkatkan risiko untuk melanoma mata termasuklah:

  • Mata berwarna cerah. Orang yang mempunyai mata biru atau mata hijau mempunyai risiko melanoma mata yang lebih besar.
  • Berkulit putih. 
  • Umur. Risiko melanoma mata akan meningkat sekiranya usia juga meningkat.
  • Penyakit kulit genetik / keturunan. Keadaan yang dipanggil sindrom nevus displastik, yang menyebabkan tahi lalat tidak normal, boleh meningkatkan risiko anda mendapat melanoma pada kulit dan mata. 
  • Pendedahan kepada cahaya ultraungu (UV). Terdapat beberapa bukti bahawa pendedahan kepada cahaya UV, seperti cahaya dari matahari boleh meningkatkan risiko melanoma mata.
  • Mutasi genetik tertentu. Gen tertentu yang diturunkan daripada ibu bapa kepada kanak-kanak boleh meningkatkan risiko melanoma mata.

Simptom

Melanoma mata kebanyakkannya tidak menyebabkan apa-apa simptom. Namun, antara simptom yang boleh didapati termasuklah:

  • Terlihat sesuatu yang berbentuk seperti cahaya kilat atau bintik-bintik pudar yang terapung
  • Terdapat titik gelap yang semakin membesar pada iris (bahagian mata yang berwarna)
  • Perubahan pada bentuk bulatan gelap di tengah bola mata anda
  • Penglihatan yang semakin lemah atau kabur pada sebelah mata
  • Kehilangan pandangan pada bahagian tepi 

Pemeriksaan dan Ujian

Antara pemeriksaan dan ujian yang dilakukan untuk memeriksa melanoma mata termasuklah:

  • Pemeriksaan mata. Doktor anda akan memeriksa bahagian luar mata anda menggunakan alat oftalmoskop bagi mencari saluran darah dalam mata yang membesar. Ia boleh memberi petunjuk tumor di dalam mata anda. Alat oftalmoskop tersebut akan memancarkan cahaya bagi melihat bahagian dalam mata anda
  • Ultrasound mata. Ultrasound mata menggunakan gelombang bunyi frekuensi tinggi daripada radas seperti prob yang dipanggil transduser untuk menghasilkan imej mata anda. Transduser diletakkan pada kelopak mata yang tertutup atau pada bahagian hadapan mata anda.
  • Pengimejan untuk melihat saluran darah di dalam mata (angiogram). Semasa prosedur ini dilakukan, pewarna yang selamat akan disuntik ke dalam urat di lengan anda. Pewarna ini akan bergerak ke saluran darah di mata anda dan memudahkan imej saluran mata dilihat semasa proses pengimejan dilakukan.
  • Tomografi koheren optik. Ujian pengimejan ini akan menghasilkan gambar pada bahagian uvea dan retina.
  • Biopsi atau pengambilan sampel tisu mata. Dalam sesetengah kes, doktor akan mengesyorkan prosedur untuk mengeluarkan sampel tisu (biopsi) dari mata bagi diperiksa di makmal. Untuk mengeluarkan sampel, jarum nipis akan dimasukkan ke dalam mata anda dan digunakan untuk mengeluarkan tisu yang disyaki terdapat kanser. Prosedur ini biasanya tidak diperlukan untuk mendiagnosis melanoma mata.

Doktor anda juga akan mungkin mengesyorkan ujian dan prosedur tambahan untuk menentukan sama ada melanoma telah merebak (metastasis) ke bahagian lain badan anda sekiranya anda telah disahkan menghidapi melanoma mata. Ujian ini termasuklah:

  • Ujian darah untuk memeriksa fungsi hati kerana hati mudah diserang kanser.
  • Ujian pengimejan bagi memeriksa bahagian tubuh seperti X-ray dada, imbasan tomografi berkomputer (CT), imbasan pengimejan resonans magnetik (MRI), ultrasound perut dan imbasan tomografi pelepasan positron (PET).

Rawatan

Pilihan rawatan melanoma mata adalah bergantung kepada lokasi dan saiz melanoma mata, kesihatan keseluruhan pesakit dan pilihan pesakit. Melanoma mata kecil kebiasaannya tidak memerlukan rawatan segera dan doktor akan melakukan pemeriksaan berkala bagi melihat tanda-tanda pertumbuhan sebelum membuangnya. 

Antara rawatan yang diberikan bagi melanoma mata termasuklah:

  • Radioterapi. Rawatan ini menggunakan tenaga berkuasa tinggi, seperti proton atau sinar gamma, untuk membunuh sel-sel kanser. Terapi sinaran biasanya digunakan untuk melanoma mata kecil hingga sederhana. Prosedur ini dilakukan dengan meletakkan plak radioaktif pada mata anda yang akan memancar terus kepada tumor dalam prosedur yang dipanggil brachytherapy. Selain itu, sinaran radioaktif ini juga boleh diberikan dengan menggunakan mesin yang akan menghala ke bahagian mata yang terdapat melanoma. Radioterapi kebiasaannya memakan masa beberapa hari.
  • Rawatan laser. Rawatan ini menggunakan laser untuk membunuh sel melanoma dan hanya diberikan mengikut dalam situasi tertentu. Kadangkala, ia digunakan bersama radioterapi.
  • Terapi fotodinamik. Terapi fotodinamik dilakukan dengan mengambil ubat khas yang boleh menjadikan melanoma sensitif dengan gelombang cahaya khas yang akan diberikan setelah mengambil ubat tersebut. Rawatan ini digunakan pada tumor yang lebih kecil, kerana ia tidak berkesan untuk kanser yang lebih besar.
  • Krioterapi. Krioterapi ialah rawatan yang digunakan untuk memusnahkan sel melanoma yang kecil dengan membekukannya namun rawatan ini tidak biasa digunakan.
  • Pembedahan. Pembedahan akan dilakukan untuk membuang sebahagian mata atau membuang keseluruhan mata. Bagi melanoma bersaiz kecil, pembedahan akan dilakukan untuk membuang hanya bahagian yang terdapat melanoma dan sekumpulan tisu sihat yang mengelilinginya. Pembuangan keseluruhan bola mata atau enukleasi akan dilakukan bagi tumor mata yang besar dan yang yang menyebabkan kesakitan. Selepas mata tersebut dikeluatkan, sebuah implan mata akan dimasukkan ke dalam soket mata dan otot yang mengawal pergerakan mata akan dicantumkan bersama implan tersebut bagi membolehkan implan tersebut bergerak seakan-akan mata sebenar. Setelah benar-benar sembuh selepas pembedahan, mata tiruan (prostesis) akan diletakkan.

Komplikasi dan Prognosis

Berdasarkan sebuah kajian yang dilakukan di UK, kadar kelangsungan hidup 5 tahun bagi penghidap kanser mata ialah 80%. Jika kanser didiagnosis pada peringkat awal, kadar survival selama 5 tahun ialah 85%. Kira-kira 73% orang didiagnosis pada peringkat ini. Walau bagaimanapun, kadar kelangsungan hidup bergantung pada saiz dan lokasi tumor dan jenis kanser yang didiagnosis.

Masalah mata yang lain:

Mata BertahiMata Bengkak
Mata Berkedip-kedipMata Berair
Mata MerahKanser Mata
Mata Bernanah

Rujukan:

  1. Eye cancer survival. Eye cancer survival | Cancer Research UK. (2021, November 2). l 
  2. Mayo Foundation for Medical Education and Research. (2022, August 9). Eye melanoma. Mayo Clinic.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

14 − 4 =