Skip to content

Kanser Limfoma: Punca, Simptom & Rawatan

Apakah punca kepada masalah kanser limfoma? Artikel ini akan membincangkan punca, simptom dan rawatan kepada masalah ini.

Pengenalan

Limfoma adalah kanser sistem limfa, yang merupakan sebahagian daripada bahagian badan yang khas untuk melawan jangkitan kuman dan virus dalam tubuh.

Sistem limfa termasuk nodus limfa (kelenjar limfa), limpa, kelenjar timus dan sumsum tulang. Limfoma boleh menjejaskan bahagian-bahagian tersebut serta organ lain di seluruh badan.

Dua subjenis utama kanser limfoma ialah limfoma Hodgkin (dahulunya dipanggil penyakit Hodgkin) dan limfoma bukan Hodgkin. Terdapat beberapa perbezaan antara limfoma bukan Hodgkin dan limfoma Hodgkin:

  • Limfoma bukan Hodgkin biasanya terdapat pada individu yang berumur 65 tahun ke atas, manakala limfoma Hodgkin boleh menjejaskan orang yang berumur 20-an dan 30-an, serta orang yang berumur 65 tahun ke atas.
  • Limfoma Hodgkin agak jarang berlaku. Limfoma bukan Hodgkin adalah jenis kanser keenam paling banyak didapati di dunia.
  • Terdapat lebih daripada 70 jenis limfoma bukan Hodgkin yang berbeza. Limfoma Hodgkin mempunyai enam jenis yang berbeza.
  • Orang yang menghidap limfoma bukan Hodgkin tidak mempunyai limfosit Reed-Sternberg, sel darah putih bersaiz besar yang terdapat pada limfoma Hodgkin.
  • Dalam limfoma Hodgkin, keputusan biopsi menunjukkan sel Reed-Sternberg bersama-sama dengan limfosit tidak berkanser dan sel imun yang lain. Sebaliknya, keputusan biopsi untuk limfoma bukan Hodgkin biasanya menunjukkan sel limfoma berkanser dan sangat sedikit, sel bukan kanser jika ada.

Rawatan limfoma yang terbaik untuk anda bergantung pada jenis limfoma dan tahapnya. Rawatan limfoma mungkin melibatkan kemoterapi, ubat imunoterapi, terapi sinaran, pemindahan sumsum tulang atau beberapa kombinasi ini.

Punca

Setakat ini, punca limfoma masih belum dikenalpasti. Tetapi ia bermula apabila sel darah putih yang melawan penyakit yang dipanggil limfosit mengalami mutasi genetik. Mutasi akan mengakibatkan sel menjadi tidak normal dan membiak dengan cepat, menyebabkan banyak limfosit berpenyakit yang terus membiak. Mutasi ini juga menyebabkan sel tidak mudah mati dan hidup lama, tidak seperti sel normal yang biasanya mati apabila terdapat kecacatan. Ini menyebabkan terlalu banyak limfosit yang berpenyakit dan tidak berfungsi dengan baik dalam nodus limfa anda dan menyebabkan nodus limfa, limpa dan hati membengkak.

Risiko

Faktor-faktor yang boleh meningkatkan risiko limfoma termasuklah:

  • Umur. Sesetengah jenis limfoma lebih banyak terdapat pada orang muda, manakala yang lain kerap didiagnosis pada orang lebih 55 tahun.
  • Lelaki. Individu berjantina lelaki mempunyai kemungkinan lebih tinggi untuk menghidap limfoma berbanding wanita.
  • Mempunyai sistem imun yang lemah. Limfoma lebih kerap berlaku pada orang yang mempunyai penyakit sistem imun yang boleh menjejaskan fungsi limpa atau pada orang yang mengambil ubat yang mengurangkan fungsi sistem imun mereka seperti pesakit-pesakit kanser dan pemindahan organ.
  • Dijangkiti kuman dan virus tertentu. Sesetengah jangkitan dikaitkan dengan peningkatan risiko limfoma, termasuk virus Epstein-Barr dan jangkitan bakteria Helicobacter pylori.

Simptom

Antara simptom-simptom limfoma termasuklah:

  • Bengkak pada nodus limfa yang tidak menyakitkan di leher, ketiak atau pangkal paha anda
  • Keletihan yang berterusan
  • Demam
  • Kuat berpeluh pada malam hari
  • Sesak nafas
  • Penurunan berat badan secara mendadak yang tidak jelas
  • Kulit gatal

Pemeriksaan dan Ujian

Ujian dan prosedur yang digunakan untuk mendiagnosis limfoma termasuk:

  • Pemeriksaan fizikal. Doktor akan memeriksa nodus limfa yang bengkak, termasuk bahagian leher, ketiak, pangkal paha, limpa dan hati.
  • Biopsi. Biopsi ialah prosedur yang dilakukan untuk mengambil sebahagian tisu nodus limfa untuk diuji di makmal bagi menentukan jenis limfoma. 
  • Ujian darah. Ujian darah dilakukan bagi mengira bilangan sel-sel tertentu dalam sampel darah anda yang boleh memberi petunjuk tentang kanser limfoma.
  • Aspirasi sumsum tulang. Aspirasi sumsum tulang ialah prosedur yang dilakukan dengan cara memasukkan jarum ke dalam tulang pinggul untuk mengeluarkan sampel sumsum tulang. Sampel ini akan dianalisis untuk mengesahkan kanser limfoma.
  • Ujian pengimejan. Ujian pengimejan seperti CT, MRI dan tomografi pelepasan positron (PET) dilakukan untuk mencari tanda-tanda limfoma yang mungkin terdapat di bahagian lain badan.

Rawatan

Rawatan limfoma akan diberikan bergantung pada jenis, tahap kanser, kesihatan keseluruhan pesakit dan pilihan pesakit. Matlamat rawatan adalah untuk memusnahkan sebanyak mungkin sel kanser dan mengelakkan kanser tumbuh kembali.

Antara rawatan yang diberikan bagi kanser limfoma termasuklah:

  • Pengawasan doktor. Sesetengah limfoma berkembang dengan sangat perlahan. Doktor anda mungkin akan menasihatkan pesakit untuk menunggu rawatan bagi tempoh tertentu atau sehingga ia menyebabkan tanda dan gejala yang mengganggu aktiviti harian. Ujian berkala akan dilakukan untuk memantau keadaan pesakit semasa tempoh ini.
  • Kemoterapi. Kemoterapi ialah rawatan yang menggunakan ubat untuk memusnahkan sel kanser dan biasanya diberikan melalui salur darah dan pil.
  • Radioterapi.  Radioterapi menggunakan pancaran tenaga berkuasa tinggi, seperti sinar-X dan proton, untuk membunuh sel-sel kanser.
  • Pemindahan sumsum tulang. Pemindahan sumsum tulang, juga dikenali sebagai pemindahan sel stem melibatkan penggunaan dos kemoterapi dan radiasi yang tinggi untuk menyahaktifkan perkembangan sel dalam sumsum tulang. Setelah sel dalam sumsum tulang dinyahaktifkan, doktor akan memindahkan sel stem yang sihat ke dalam sumsum tulang. Sel stem ini boleh diperolehi dari badan pesakit sendiri atau dari penderma.
  • Imunoterapi. Rawatan yang diberikan untuk menguatkan sistem imun badan untuk menyerang sel-sel kanser
  • Lain-lain. Ubatan spesifik akan diberikan mengikut jenis-jenis kanser limfoma tertentu yang menyasarkan sel limfoma dan menyekat pertumbuhannya

Rawatan yang biasanya diberikan untuk limfoma bukan Hodgkin ialah:

  • Kemoterapi
  • Radioterapi
  • Imunoterapi
  • Ubatan spesifik yang menyasarkan sel limfoma untuk menyekat pertumbuhannya

Rawatan utama untuk limfoma Hodgkin pula ialah:

  • Kemoterapi
  • Radioterapi
  • Imunoterapi

Pemindahan sumsum tulang hanya akan dilakukan setelah rawatan di atas tidak berkesan.

Komplikasi dan Prognosis

Pesakit limfoma bukan Hodgkin boleh mengalami remisi. Remisi bermaksud, pesakit tidak mempunyai sebarang simptom dan keputusan ujian yang menunjukkan terdapatnya limfoma bukan Hodgkin. Sesetengah pesakit dianggap telah sembuh kerana mereka mengalami remisi selama bertahun-tahun. Namun begitu, limfoma bukan Hodgkin boleh kembali. Kajian menunjukkan bahawa, kebanyakan limfoma bukan Hodgkin yang agresif datang semula dalam tempoh dua tahun pertama selepas rawatan. Adalah penting untuk diingat bahawa tidak semua orang yang didiagnosis dengan limfoma bukan Hodgkin akhirnya akan mati, walaupun tidak dapat disembuhkan.

Bagi pesakit limfoma Hodgkin pula, kadar kelangsungan hidup adalah antara 96% hingga 99% bagi tempoh 5 tahun. Ini bermakna, 96% hingga 99% pesakit limfoma Hodgkin masih hidup lima tahun selepas diagnosis. Namun begitu, sekiranya pesakit didiagnosis pada tahap akhir kanser ini, peratusan kadar kelangsungan hidup akan berkurang kepada 56% – 89%. Limfoma Hodgkin boleh dirawat, namun begitu, kadangkala, rawatan tidak dapat menyembuhkan sesetengah pesakit. Bagi pesakit-pesakit ini, mereka akan disyorkan untuk menjalani pemindahan sumsum tulang atau sel stem.

Rujukan:

  1. Mayo Foundation for Medical Education and Research. (2022, May 5). Lymphoma. Mayo Clinic.
  2. Non-Hodgkin lymphoma: Types, causes, symptoms & treatment. Cleveland Clinic. (n.d.).
  3. Hodgkin lymphoma: Symptoms, diagnosis, causes & treatment. Cleveland Clinic. (n.d.).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

4 × one =