Skip to content

Hidung gatal: Punca, Simptom & Rawatan

Gatal hidung adalah gejala yang boleh dikaitkan dengan beberapa masalah kesihatan. Ia boleh dibahagikan kepada dua jenis: kegatalan dalaman dan luaran. Kegatalan dalaman sering disebabkan oleh alahan, selsema dan jangkitan pada saluran pernafasan atas seperti rinitis (keradangan hidung) dan sinusitis (keradangan sinus).

Bagi kegatalan pada bahagian luar pula, ia sering disebabkan oleh penyakit kulit seperti ekzema dan keradangan kulit. Artikel ini akan membincangkan sebab utama kegatalan hidung iaitu alahan.

Punca

Alahan hidung atau allergic rhinitis adalah disebabkan oleh tindak balas hidung terhadap bendasing kecil di udara yang dipanggil alergen. Antara contoh-contoh alergen termasuklah hama, habuk, kulat, bulu haiwan peliharaan dan debunga daripada pokok dan tumbuhan.

Alergen tidak berbahaya kepada kebanyakan orang. Namun, sesetengah orang mempunyai sistem imun yang sensitif dan menganggap alergen adalah merbahaya lalu mengeluarkan histamina untuk melindungi badan. Apabila histamina dikeluarkan, ia menyebabkan selaput lendir di hidung, mata dan tekak keradangan dan gatal kerana tindak balas tersebut diperlukan untuk mengeluarkan alergen.

Risiko

Alahan boleh diwarisi (diturunkan melalui keluarga). Anda lebih berkemungkinan mengalami alahan jika anda mempunyai ibu bapa atau ahli keluarga yang turut mempunyai alahan. Orang yang mempunyai asma atau ekzema juga lebih cenderung untuk mempunyai alahan.

Simptom

Antara gejala lain yang sering diiringi oleh gatal hidung termasuklah:

  • Hidung tersumbat (kesesakan), kerap bersin dan hidung berair.
  • Gatal hidung, tekak dan mata.
  • Sakit kepala, resdung dan terdapat lingkaran hitam bawah mata.
  • Lendir atau kahar di hidung dan tekak.
  • Keletihan dan rasa tidak selesa.
  • Sakit tekak akibat lendir yang menitis ke dalam kerongkong (postnasal drip).
  • Semput, batuk dan sukar bernafas.

Pemeriksaan dan Ujian

Bagi mengesahkan diagnosis kegatalan hidung, doktor kebiasaannya akan bertanya tentang gejala lain dan sejarah perubatan seperti asma dan selesema serta membuat pemeriksaan pada bahagian hidung, mulut dan tekak.

Sampel darah juga akan diambil bagi memeriksa antibodi terutamanya immunoglobulin E (IgE) kerana jumlahnya kebiasaannya meningkat sekiranya pesakit mendapat alahan. Doktor juga akan menasihatkan pesakit yang berkemampuan untuk membuat ujian alergi. 

Ujian alergi kebiasaannya dilakukan dengan mencucuk beberapa jenis alergen ke dalam kulit untuk mengukur tindak balas badan terhadap alergen tersebut. Ujian ini mungkin akan mendatangkan ketidakselesaan kepada pesakit namun prosedurnya sangat singkat dan cepat. Sampel kecil alergen yang berbeza akan dimasukkan dalam kulit (biasanya pada bawah lengan atau belakang badan) menggunakan jarum kecil. Doktor juga boleh menggosokkan alergen tersebut pada kulit.

Jika anda mempunyai alahan kepada alergen, bahagian tersebut akan menjadi merah, gatal dan bengkak dalam masa 15 hingga 30 minit. Sesetengah pesakit juga akan menghidapi bisul di bahagian tersebut. Ujian ini adalah selamat dan berkesan untuk menentukan alergen yang menyebabkan gejala anda.

Rawatan

Terdapat beberapa ubat alahan yang boleh mengurangkan gejala dan ia boleh didapati dalam pelbagai bentuk seperti cecair, pil, ubat titisan mata, semburan hidung dan suntikan. Antara ubat yang sering diberikan termasuklah:

  • Antihistamina. Ubat antihistamina boleh didapati dengan preskripsi atau di farmasi. Ia digunakan untuk menyekat histamina yang dikeluarkan oleh badan semasa tindak balas alahan. Ubat antihistamina boleh didapati dalam bentuk pil, cecair, titisan mata, semburan hidung dan inhaler. Antara contoh ubat antihistamina yang sering digunakan termasuklah Loratadine, Cetirizine, Fexofenadine, Levocetirizine. Ubat ini boleh menyebabkan rasa mengantuk. 
  • Dekongestan: Ubat ini melegakan kesesakan di hidung dan sinus. Ubat ini boleh didapati dalam bentuk pil, cecair atau semburan hidung. Antara kesan sampingan pengambilan ubat ini ialah, ia boleh meningkatkan tekanan darah, menyebabkan sakit kepala dan kesukaran untuk tidur. Dekongestan hidung boleh menjadi ketagihan jika digunakan lebih daripada lima hari.
  • Semburan hidung kortikosteroid: Semburan dan inhaler ini boleh mengurangkan keradangan dan melegakan simptom hidung gatal. Semburan hidung yang paling biasa digunakan termasuklah ialah Flonase®, Nasacort® dan Rhinocort®. Kesan sampingan ubat ini termasuklah sakit kepala, keradangan hidung, hidung berdarah dan batuk.
  • Ubat perencat leukotriene: Semasa tindak balas alahan, badan akan mengeluarkan leukotrien, histamin dan bahan kimia lain yang menyebabkan keradangan dan gejala hidung gatal. Ubat ini hanya boleh diberikan oleh doktor terlatih bagi sesetengah pesakit sahaja dan tidak digunakan secara meluas.

Komplikasi dan Prognosis

Alergi sememangnya boleh mengganggu aktiviti seharian anda, tetapi ia kebiasaannya tidak menyebabkan masalah kesihatan yang serius. Kebanyakan penghidap alergi juga boleh menguruskan simptom dengan membuat perubahan gaya hidup seperti mengelakkan diri daripada terdedah kepada bahan alergen dan mengambil ubat-ubatan tanpa preskripsi.

Orang yang mempunyai alahan daripada alergen bawaan udara mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk menghidapi jangkitan telinga dan jangkitan sinus. Sekiranya anda mempunyai asma, alergi boleh memburukkan gejala asma anda.

Alahan boleh membawa kepada komplikasi seperti rinosinusitis kronik. Ia berlaku apabila keradangan hidung berpanjangan selama 3 bulan dan mempunyai simptom seperti hidung tersumbat dan berair. Rinosinusitis kronik juga dicirikan dengan polip hidung (poliposis hidung), yang terbentuk akibat keradangan kronik pada bahagian mukosa sinus paranasal. Polip hidung biasanya tidak serius dan terdapat pada kedua-dua lubang hidung.

Penyakit Berkaitan Hidung

Hingus HijauBengkak Dalam Hidung
Jerawat HidungHidung Pedih
Patah HidungHidung Merah
Hilang Deria BauHidung Tersumbat
Hidung BerairHidung Bengkak
Hidung Berbau BusukHidung Berdarah
Polip HidungHidung Gatal

Rujukan:

  1. Allergic rhinitis (hay fever): Symptoms, diagnosis & treatment. Cleveland Clinic. (n.d.).
  2. Akhouri S, House SA. Allergic Rhinitis. [Updated 2022 Jun 5]. In: StatPearls [Internet]. Treasure Island (FL): StatPearls Publishing; 2022 Jan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

sixteen + 16 =