Skip to content

Gusi Bengkak: Punca, Simptom & Rawatan

Pernahkah anda merasakan gusi anda bengkak, berwarna kemerahan, menjadi lembut atau meradang selepas memberus, memflos gigi, atau makan makanan yang keras? Jika ya, anda berkemungkinan menghidapi gingivitis atau keradangan gusi. Sekiranya anda sering mengalami simptom-simptom ini, anda haruslah berjumpa dengan doktor gigi anda untuk mengelakkan masalah gusi ini berlanjutan. Artikel ini akan menerangkan dengan lebih lanjut info-info mengenai gusi bengkak.

Punca Gusi Bengkak

Penyebab utama gusi bengkak atau keradangan gusi (gingivitis) ialah pembentukan plak. Plak, atau biofilem, terbentuk apabila kebersihan mulut yang tidak dijaga dengan baik seperti memberus gigi dua kali sehari. Berikut merupakan langkah-langkah bagaimana plak boleh terhasil dan menyebabkan gusi menjadi bengkak:

  • Plak adalah biofilem atau lapisan yang sangat halus dan melekit yang dihasilkan oleh bakteria yang membiak di dalam mulut apabila terdapat interaksi antara bakteria ini dengan bahan makanan yang mengandungi gula dan kanji. Plak ini terbentuk dengan sangat cepat, oleh itu, ia perlu disingkirkan setiap hari dengan memberus gigi.
  • Plak yang terkumpul akan menebal dan menghasilkan karang gigi atau tartar atau kalkulus yang keras. Karang gigi ini boleh menjadi tempat pembiakan bakteria. Karang gigi ini sukar untuk dihapuskan, dan ia mampu menjadi perisai untuk melindungi bakteria pada gigi dan gusi. Bakteria yang semakin banyak ini menyebabkan keradangan pada gusi. Anda memerlukan pembersihan gigi secara profesional di klinik pergigian untuk menghilangkan karang gigi ini.
  • Gusi menjadi radang. Semakin lama plak dan karang gigi melekat pada gigi, semakin serius radang gusi anda. Lama kelamaan, gusi akan menjadi semakin bengkak dan semakin mudah berdarah. Kerosakan gigi (karies gigi) juga akan berlaku. Jika tidak dirawat, radang gusi boleh mengakibatkan jangkitan dan keradangan pada tulang rahang pula (periodontitis) dan boleh membawa kepada kerosakan gigi kekal.

Antara punca-punca lain yang boleh meningkatkan risiko gusi bengkak ialah:

  • Tidak memberus gigi dua kali sehari
  • Menghisap rokok atau mengunyah tembakau
  • Umur yang lebih tua
  • Mulut kering
  • Tidak mengambil makanan seimbang seperti kurang pengambilan vitamin C
  • Menggunakan peralatan ortodontik yang tidak sesuai
  • Susunan gigi tidak teratur yang menyebabkan gigi tersebut sukar untuk dibersihkan
  • Penyakit yang mengurangkan imuniti seperti leukemia, HIV/AIDS atau rawatan kanser
  • Ubat tertentu, seperti phenytoin untuk sawan epilepsi, dan ubat calcium-channel blocker yang biasa digunaka untuk sakit jantung, tekanan darah tinggi dan penyakit-penyakit lain
  • Perubahan hormon ketika kehamilan, datang haid atau penggunaan pil perancang
  • Genetik
  • Jangkitan virus dan kulat tertentu

Simptom

Gusi yang sihat akan berwarna merah jambu pucat, tidak bengkak terletak rapat di sekeliling gigi. Simptom-simptom gingivitis atau bengkak gusi termasuklah:

  • Gusi bengkak
  • Gusi merah
  • Gusi yang mudah berdarah semasa memberus atau memflos gigi
  • Nafas berbau
  • Gusi surut
  • Gusi lembut

Pemeriksaan dan Ujian

Doktor gigi akan membuat pemeriksaan yang teliti untuk melihat perubahan pada bahagian gusi bengkak termasuklah memeriksa plak dan karang gigi.

Sekiranya perlu, doktor gigi juga akan menggunakan x-ray gigi untuk melihat tanda-tanda keradangan atau jangkitan kuman pada bahagian tulang atau periodontitis.

Rawatan

Rawatan segera biasanya mampu menghalang perkembangan gingivitis kepada penyakit gusi yang lebih serius dan kehilangan gigi. Rawatan juga akan menjadi lebih cepat sekiranya gigi diberus sebanyak dua kali sehari dan pesakit tidak merokok

Antara rawatan yang boleh dilakukan di klinik pergigian termasuklah:

  1. Pembersihan gigi dengan panskalaran (scaling). Penskalaran akan membuang semua kesan plak, karang gigi dan bakteria dari permukaan gigi dan bawah gusi.
  2. Penukaran alat ortodontik yang tidak sesuai. Bagi pengguna alat ortodontik seperti crown, bridge dan implant, saiz yang tidak sesuai boleh mengakibatkan radang gusi apabila terdapat plak yang terbentuk pada bahagian yang sukar dibuang.
  3. Penjagaan berterusan. Gingivitis biasanya hilang selepas penskalaran yang menyeluruh dan boleh dielakkan selagi anda meneruskan penjagaan gigi yang rapi seperti memberus gigi dua kali sehari, flos dan berkumur. Sekiranya anda konsisten, anda akan melihat gusi kembali normal dan sihat selepas beberapa hari atau minggu.
  4. Antibiotik. Jika didapati terdapat jangkitan pada gusi, antibiotik akan diberikan kepada pesakit

Antara cara penjagaan rawatan sementara yang boleh dilakukan di rumah termasuklah:

  • Memberus gigi dua kali sehari atau lebih baik selepas setiap kali makan
  • Menggunakan berus gigi yang lembut dan menggantikannya sekurang-kurangnya setiap tiga hingga empat bulan sekali
  • Menggunakan berus gigi elektrik yang lebih berkesan untuk menghilangkan plak dan karang gigi
  • Flos setiap hari
  • Menggunakan ubat kumur untuk membantu mengurangkan plak di antara gigi
  • Menggunakan pencungkil gigi, berus celahan gigi atau batang gigi yang direka khas untuk membersihkan celah-celah gigi
  • Mendapatkan pembersihan gigi di klinik pergigian secara berkala mengikut jadual yang disyorkan
  • Tidak merokok atau mengunyah tembakau

Komplikasi dan Prognosis

Bengkak gigi (gingivitis) yang tidak dirawat boleh menjadi penyakit gusi yang merebak ke tisu dan tulang (periodontitis) yang akhirnya akan membawa kepada kerosakan gigi yang kekal dan kehilangan gigi. 

Sekiranya pesakit mengalami bengkak gigi yang kronik, ia sering dikaitkan dengan beberapa penyakit seperti penyakit respiratori, diabetes, penyakit arteri koronari, strok dan rheumatoid arthritis. Terdapat kajian bahawa bakteria yang bertanggungjawab mengakibatkan periodontitis mampu memasuki saluran darah anda melalui gusi, dan menjejaskan jantung, paru-paru dan organ lain. Namun, kajian ini masih diperingkat awal.

Trench mouth, juga dikenali sebagai necrotising ulcerative gingivitis (NUG), adalah bentuk gingivitis yang paling teruk yang bukan sahaja boleh membuatkan gusi menjadi bengkak, malah dijangkiti dengan pelbagai jenis bakteria, berdarah dan menyebabkan ulser yang teruk pada bahagian gusi yang bengkak. Namun begitu, trench mouth agak jarang berlaku.

Rujukan:

1. Mayo Foundation for Medical Education and Research. (2017, August 4). Gingivitis. Mayo Clinic.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

four × three =