Skip to content

Sistem Peredaran Darah Manusia (Panduan Lengkap)

Bagaimanakah sistem peredaran darah manusia menjalankan fungsinya? Artikel ini akan membincangkan sistem peredaran manusia berserta organ yang terlibat.

Pengenalan

Sistem peredaran darah atau sistem kardiovaskular terdiri daripada jantung dan pelbagai salur darah. Sistem ini mengangkut nutrient dan darah ke seluruh anggota badan tanpa henti walaupun sewaktu anda sedang tidur. Sel dan tisu tidak dapat berfungsi sekiranya mereka tidak mendapat bekalan nutrient dan oksigen yang cukup dan akhirnya akan mati. Selain itu, sistem kardiovaskular terletak dia bahagian tengah dada setiap individu dan bersambung dengan jaringan salur darah yang meluas.

Komponen dalam sistem peredaran darah

1. Darah

Sejenis tisu cecair yang terdiri daripada:

  • Sel darah merah (Eritrosit)- mengangkut oksigen dan karbon dioksida yang melibatkan jantung dan seluruh anggota badan
  • Sel darah putih (Leukosit) – terlibat dalam sistem imun badan dan memberikan perlindungan dari serangan patogen.
  • Platelet – membentuk plak dan terlibat dalam proses pembekuan darah.
  • Plasma – membawa sel darah, nutrient dan bahan buangan badan.

2. Jantung

Jantung mengepam sekurangnya-kurangnya 2,000 gallon sehari dan mempunyai saiz sebesar segenggam tangan. Organ ini terbahagi kepada empat bahagian. Bahagian atas dikenali sebagai atrium dan terdiri daripada atrium kiri dan kanan. Bahagian bawah pula dikenali sebagai ventrikel dan terdiri daripada ventrikel kiri dan kanan.

Septum merupakan dinding yang membahagi antara ventrikel kanan dan kiri serta antara atrium kanan dan kiri. Dinding ventrikel kiri lebih berotot dari ventrikel kanan kerana memerlukan tekanan yang lebih kuat untuk mengepam darah ke seluruh anggota badan.

Bagi memastikan darah yang dipam adalah berterusan dan dalam arah sehala, terdapat empat injap yang menutup dan membuka laluan ke setiap ruangan jantung. Sekiranya injap tidak berfungsi dengan baik, jantung boleh menjadi ‘bocor’ dan boleh membawa ke risiko kematian.

3. Salur darah

Salur darah berfungsi bagi membawa darah dari jantung ke seluruh anggota badan dan kembali semula ke jantung. Salur darah terdiri daripada:

  1. Arteri – Mengangkut darah yang kaya dengan oksigen keluar dari jantung ke seluruh anggota badan kecuali arteri pulmonari. Arteri mempunyai dinding tebal dan terlibat dalam mengawal tekanan darah. Arteri kemudian membentuk jaringan yang lebih kecil yang dikenali sebagai arteriol.
  2. Vena– Mengangkut darah yang kaya dengan karbon dioksida kembali ke jantung. Dinding vena adalah lebih tipis dari dinding arteri.
  3. Kapilari – Menjadi penghubung antara arteri yang paling kecil dan vena yang paling kecil. Dinding mereka yang sangat nipis membolehkan pertukaran gas, air dan nutrient dengan tisu berhampiran boleh berlaku.

Terdapat dua jenis sistem peredaran darah manusia iaitu sistem peredaran sistemik dan sistem peredaran pulmonari. Sistem peredaran sistemik  merupakan sistem utama yang memainkan peranan penting bagi peredaran darah yang kaya dengan oksigen ke organ, tisu dan sel di setiap bahagian badan. Darah yang nyahoksigen dibawa semula ke jantung melalui sistem yang sama. 

Bagi sistem peredaran pulmonari pula, sistem ini hanya melibatkan pengedaran darah antara paru-paru dan jantung. Lokasi ini merupakan tempat di mana pertukaran gas respirasi iaitu gas karbon dioksida dan gas oksigen berlaku. Darah yang mengandungi karbon dioksida kembali ke jantung melalui vena kava.

Kitaran kardiak

Kitaran ini terbahagi kepada dua iaitu sistol dan diastol.

1. Diastol

  • Diastol berlaku apabila ventrikel dalam keadaan rehat dan tidak mengecut.
  • Darah dari bahagian atrium mengisi bahagian ventrikel pada jantung. 
  • Salur darah ini berperanan mengembalikan darah ke jantung sebelum ventrikel mengecut.
  • Darah beredar melalui injap pulmonari dan injap aorta dan kemudian berhenti sementara apabila injap trikuspid tertutup.

2. Sistol

Sistol terjadi apabila ventrikel mengecut dan mengepam darah ke aorta dan arteri pulmonari. Pada waktu ini, injap aorta dan injap pulmonari dalam keadaan terbuka bagi membenarkan aliran masuk darah. Tekanan yang berbeza di antara dinding di bahagian dalam ventrikel dengan dinding salur darah yang berhampiran memaksa darah mengalir dari ventrikel ke saluran darah tersebut.

Masalah sistem peredaran darah manusia

Sekiranya sistem ini mengalami gangguan atau kecederaan, boleh menyebabkan pelbagai masalah kesihatan yang serius. Golongan warga emas berisiko untuk mempunyai masalah berkaitan sistem peredaran disebabkan faktor penuaan yang mengakibatkan jantung tidak dapat mengepam secara efisien seperti biasa. Berikut merupakan masalah yang dapat dilihat:

1. Aneurisme 

  • Penyakit ini terjadi akibat kehadiran gelembung kecil atau bengkak yang berisi darah dan boleh membawa kerosakan pada sel-sel sekelililing apabila pecah. Hal ini disebabkan salur darah yang lemah menyebabkan saluran arteri yang membawa otak ke darah terhalang. Aneurisme boleh menyebabkan saluran darah di otak menjadi sempit secara tiba-tiba dan pecah. Hal ini boleh menyumbang kepada keadaan pendarahan dalaman. 

2. Aterosklerosis

Pengumpulan plak di sekeliling dinding arteri yang menyebabkan penyakit kardiovaskular ini boleh terjadi. Plak yang terdiri daripada deposit kolesterol, kalsium dan makrofraj ini menyebabkan dinding arteri menjadi sempit sehingga aliran darah tersekat. 

3. Hipertensi atau tekanan darah tinggi 

Tekanan darah terjadi apabila jantung mengepam darah melalui arteri, terdapat tekanan berlaku antara darah dan dinding arteri. Hipertensi terjadi apabila tekanan darah adalah melebihi paras normal. Kebiasaannya, bacaan tekanan sistolik yang optima ialah kurang 120 mmHg manakala bacaan tekanan diastolik yang optima tidak melebihi 80 mmHg.

Tekanan darah yang tinggi boleh mengakibatkan arteri kurang elastik, menjadikan peredaran darah ke jantung berkurang. Sekiranya keadaan ini tidak dirawat, hal ini boleh menyebabkan kegagalan jantung. Kebanyakan pesakit hipertensi tidak menunjukkan sebarang gejala menyebabkan penyakit ini turut dikenali sebagai pembunuh senyap.

Kesimpulan

Akhir kata, sistem peredaran darah manusia amat penting bagi memastikan bekalan darah dan nutrient mencukupi di seluruh anggota badan. Jantung, darah, arteri, vena dan kapilari merupakan komponen yang membentuk sistem yang kompleks ini.

Setiap individu hendaklah menjaga dengan sebaik-baiknya supaya dapat memastikan setiap organ dapat menjalankan fungsi dengan sempurna. Hal ini boleh dilakukan dengan mengamalkan gaya hidup yang sihat di samping melakukan pemeriksaan di klinik atau hospital berdekatan secara berkala.

Rujukan 

  1. Portal MyHEALTH  (2011, October 6).
  2. Cardiovascular system: Function, organs, diseases, and more. (2021, July 30). – Medical News Today
  3. CDC. (2020, May 19). High Blood Pressure Symptoms and Causes. Centers for Disease Control and Prevention.
  4. Cleveland Clinic. (2021, September 13). Cardiovascular System: Overview, Anatomy and Function.
  5. Dottie. (2012, March 19). Tekanan Darah Tinggi / Hipertensi. PORTAL MyHEALTH.
  6. Klabunde, R. E. (2012). CV Physiology | Cardiac Cycle. Cvphysiology.com.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

20 − 5 =