Skip to content

Sistem Pembiakan Manusia ( Panduan Lengkap)

Apakah itu sistem pembiakan manusia? Artikel ini akan membincangkan sistem pembiakan manusia dan organ pembiakan manusia

Pengenalan

Pembiakan boleh didefinisikan sebagai sebuah proses biologi bagi menghasilkan individu atau hidupan yang serupa dengan ibu bapa.  Terdapat dua cara hidupan boleh membiak sama ada secara seks atau aseks. Pembiakan seks merupakan proses rumit yang melibatkan pembentukan dan pemindahan gamet sehingga menghasilkan embrio.

Pembiakan aseks pula terdiri daripada proses pembiakan yang melibatkan hanya satu “induk” dan menghasilkan replika induk kerana tidak melibatkan gabungan genetik. Dalam hal ini, manusia membiak dengan cara pembiakan seks.  Dua “induk” terlibat dalam menghasilkan individu yang baharu hasil daripada gabungan gamet dari induk yang berbeza iaitu dari induk lelaki dan induk perempuan.

Proses pembiakan berfungsi bagi menambah bilangan individu yang baharu dan mengelakkan kepupusan. Bagi manusia, proses ini signifikan bagi memastikan kelangsungan spesies dari generasi ke generasi yang lain. 

Bagi manusia, lelaki dan perempuan mempunyai organ pembiakan yang berbeza:

1. Organ pembiakan lelaki

Organ pembiakan lelaki terdiri beberapa bahagian iaitu:

  1. Testis: Tempat penghasilan sperma dan hormon seks lelaki seperti testosteron
  2. Skrotum: Bahagian yang berfungsi dalam memastikan suhu yang optimum bagi penghasilan sperma.
  3. Zakar: Berfungsi untuk menyalurkan sperma ke dalam organ pembiakan perempuan
  4. Vas deferens: Sperma yang dihasilkan disimpan di dalam saluran yang dikenali sebagai epididimis. Sperma melalui proses kematangan dan mengalir ke uretra melalui saluran vas deferens.
  5. Kelenjar prostat: Menghasilkan semen atau air mani yang dan melindungi sel sperma

2. Organ pembiakan perempuan

Sistem reproduktif perempuan mempunyai dua fungsiniaitu pusat bagi penghasilan ovum dan membekalkan nutrient sewaktu proses perkembangan embrio. Organ pembiakan lelaki terdiri beberapa bahagian iaitu:

  1. Uterus: Lokasi bagi embrio berkembang dan membesar. Nama lain bagi organ ini ialah rahim. Dinding uterus dilapisi oleh tisu endometrium yang tebal yang kaya dengan salur darah dan mukus.
  2. Ovari: Tempat penghasilan dan penyimpanan ovum atau “telur”. Hormon estrogen dan progesteron turut dihasilkan di tempat yang sama. Kelahiran kembar berlaku apabila ovari membebaskan lebih daripada satu ovum pada satu masa dan ovum berjaya disenyawakan.
  3. Tiub Fallopio: Tempat proses persenyawaan berlaku antara sperma dan ovum.
  4. Faraj: Bahagian yang menghubungkan serviks kepada bahagian luaran wanita. Organ ini merupakan laluan bagi penerimaan sperma dari zakar.
  5. Serviks: Tempat penghasilan mukus bagi memudahkan sperma berenang ke dalam uterus.

Proses persenyawaan manusia

Proses persenyawaan didefinisikan sebagai percantuman sperma dari lelaki dan ovum dari perempuan bagi menghasilkan zigot. Proses ini amat penting dalam menghasilkan individu yang baharu. Berikut merupakan langkah yang terlibat dalam proses persenyawaan:

  1. Zakar lelaki menyalurkan sperma ke dalam faraj perempuan
  2. Sperma berenang ke arah ovum. Daripada jutaan sperma yang dipancutkan, hanya satu sperma sahaja yang akan bercantum dengan satu ovum. Proses ini berlaku di tiub Fallopio dan dinamakan sebagai proses persenyawaan.
  3. Percantuman nukleus sperma dan ovum menghasilkan zigot. Zigot melalui proses mitosis berulang kali sewaktu menuruni tiub Fallopio bagi membentuk embrio.
  4. Embrio kemudian berkembang di dalam uterus dan seterusnya membentuk fetus. Fetus memperoleh nutrien dan oksigen melalui tali pusat yang menjadi penghubung antara fetus dengan ibunya. Bahan kumuh turut disingkirkan dari fetus melalui saluran yang sama.
  5. Selepas anggaran sembilan bulan, fetus dilahirkan melalui faraj dan dikenali sebagai bayi.

Pembentukan kembar siam

Situasi ini terjadi apabila pembahagian embrio tidak lengkap. Bahagian badan bercantum seperti bahagian punggung, dada atau perut dan berkemungkinan berkongsi organ dalaman.

Kejadian kembar siam sering dilaporkan di Asia Tenggara dan Afrika. Kebiasaannya, kembar siam meninggal dunia sebelum mencapai dewasa. Mereka boleh dipisahkan melalui proses pembedahan namun bergantung kepada bahagian yang dicantum bersama.

Perubahan sewaktu mengalami akil baligh

Akil baligh atau kematangan seksual merupakan tanda bahawa seseorang individu berupaya untuk mempunyai anak. Organ pembiakan manusia mula membebaskna hormon seks ke dalam aliran darah sewaktu akil baligh berlaku.

Kebiasaannya, umur akil baligh bermula antara umur 9 – 16 tahun bagi lelaki dan perempuan bergantung sama ada awal ataupun lewat. Bagi lelaki, tanda akil baligh dapat dilihat pada perubahan zakar, pertumbuhan misai dan janggut serta suara yang garau. Manakala bagi perempuan, perubahan pada faraj dan ovari berlaku, perubahan payudara dan punggung membesar.

Isu melibatkan sistem pembiakan

Kemandulan terjadi apabila individu tidak dapat melahirkan anak. Terdapat pelbagai faktor yang boleh menyebabkan kemandulan sama ada dari pihak lelaki, perempuan atau kedua-duanya:

1. Punca kemandulan lelaki:

  • Mati pucuk
  • Ketidakseimbangan hormon
  • Testis tidak berupaya menghasilkan sperma
  • Kurang penghasilan sperma
  • Pendedahan berlebihan kepada persekitaran memudaratkan seperti merokok, mengambil alkohol dan radiasi.

2. Punca kemandulan perempuan:

  • Tiub Fallopio tersumbat disebabkan oleh infalamasi pada tiub Fallopio.
  • Mengalami ketumbuhan dalam uterus
  • Ovari tidak dapat menghasilakn oosit sekunder atau ovum
  • Endometriosis

Langkah penjagaan organ pembiakan

  1. Mengelakkan penggunaan dadah dan minum minuman beralkohol.
  2. Mengelakkan diri daripada persekitaran suhu yang tinggi seperti tab panas yang boleh mempengaruhi penghasilan  dan pergerakan sperma.
  3. Melakukan senaman secara berkala bagi mengelakkan berat badan berlebihan yang boleh memberi kesan kepada penghasilan hormon.
  4. Mengehadkan pengambilan kafein.

Bagi pasangan yang telah berkahwin dan ingin mempunyai zuriat, teknik yang boleh digunakan bagi mencegah kemandulan adalah melalui bank sperma, permanian beradas ataupun persenyawaan in vitro (IVF). Pembedahan turut dilakukan kepada individu yang mengalami tiub Fallopio atau duktus sperma tersumbat.

Kesimpulan

Kesimpulannya, proses pembiakan manusia amat penting bagi menambah bilangan populasi dan memastikan kemandirian spesies. Sistem pembiakan manusia melibatkan organ pembiakan lelaki seperti testis dan zakar serta organ pembiakan wanita iaitu faraj, uterus, ovari dan lain-lain.

Kemandulan merupakan masalah yang berlaku apabila individu tidak berupaya menghasilkan anak dan berpunca daripada beberapa faktor seperti ketidakseimbangan hormon.

Rujukan

  1. CIKGU CLARE_SMKL – 4.2 Sistem Pembiakan Manusia. (n.d.). Sites.google.com.
  2. Dottie. (2011, August 22). Akil Baligh. PORTAL MyHEALTH.
  3. Mayo Clinic. (2021, September 1). Infertility – Symptoms and causes. Mayo Clinic.
  4. Pembiakan aseks. (2022, April 15). Wikipedia.
  5. sitara. (n.d.). Human Reproductive System – Male and Female Reproductive Organs. BYJUS.
  6. WeAcademia. (n.d.). Www.weacademia.com.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

fourteen − 3 =