Skip to content

Radas Dalam Makmal: Jenis, Sifat dan Kegunaan

Apakah itu radas yang digunakan di dalam makmal? Artikel ini akan membincangkan maksud radas, sifat mereka dan juga jenis-jenis radas yang ada.

Pengenalan

Radas adalah alat yang digunakan di dalam makmal untuk membuat sesuatu ujikaji. Disebabkan ujikaji selalu melibatkan reaksi kimia yang berbahaya, maka alat yang digunakan perlulah tidak boleh bertindak balas dengan kimia. Oleh itu, mereka perlu mempunyai beberapa sifat.

Ujikaji di dalam makmal memerlukan kita menggunakan pelbagai jenis radas untuk melaksanakan walau satu eksperimen yang ringkas. Radas yang digunakan pula tidak boleh digunakan sebarangan kerana keselamatan adalah aspek yang paling utama yang harus diketengahkan di dalam makmal.

Radas-radas di dalam makmal terdiri daripada pelbagai jenis, ada yang diperbuat daripada plastik, ada juga diperbuat daripada besi, tetapi kebanyakan radas di dalam makmal diperbuat daripada kaca.

Penggunaan kaca yang lebih meluas daripada bahan-bahan lain dalam pembuatan radas di dalam makmal adalah kerana kaca adalah bahan tidak organik, bersifat lutsinar yang membolehkan pemerhatian kepada bahan ujikaji dilakukan dengan mudah, tegar, dan bahan yang bersifat serba boleh kerana mampu bertahan di dalam kondisi yang ekstrem, suhu tinggi dan suhu rendah.

Selain itu, kaca bersifat nadir (inert) dan stabilyang tidak bertindak balas kepada sebarang reaksi kimia yang dijalankan. Kaca juga mudah ditempa membuatkan ia mudah dibentuk menjadi pelbagai bentuk mengikut kesesuain kegunaan semasa.

Jenis-jenis kaca.

Terdapat beberapa jenis kaca yang digunakan untuk membuat radas di dalam makmal, antaranya kaca borosilikat (borosilicate glass), kaca soda-kapur (soda-lime glass), dan juga kaca neutral. Setiap kaca yang dinyatakan di atas mempunyai sifat yang berbeza antara satu sama lain.

Radas kaca  yang ada di dalam makmal boleh dikategorikan kepada tiga jenis kaca; kaca lembut, kaca keras, dan juga kaca transmisi suhu dan UV yang tinggi.

Kaca Lembut

Kaca lembut dari segi fizikalnya adalah lebih lembut dari kaca yang lain dan lebih mudah pecah. Kaca ini tidak boleh menampung suhu yang tinggi. Jenis kaca lembut yang paling biasa adalah kaca soda-kapur.

Kaca soda-kapur diperbuat daripada campuran karbonat daripada natrium oksida (Na2O) dan kalsium oksida (CaO) atau magnesium oksida (MgO).

Kaca Keras

Kaca keras pula mempunyai keupayaan untuk mengelak impak hakisan tiga kali lebih kuat daripada jenis kaca lembut. Ia juga mempunyai kadar ketahanan terhadap suhu yang tinggi serta boleh menahan kejutan haba yang lebih baik daripada kaca lembut kerana mempunyai pekali pengembangan haba (thermal coefficients of expansion) yang lebih rendah.

Kaca keras juga secara kimianya bersifat imun kepada larutan beralkali dan larutan-larutan bahan kimia yang lain. Kaca borosilikat adalah contoh kepada kaca keras.

Kaca transimisi suhu dan UV tinggi

 Seterusnya, kaca transmisi suhu dan UV tinggi. Kaca ini lebih popular dikenali sebagai kuartz (quartz) di dalam makmal kerana mempunyai kebolehan daya tahan haba dan transmisi UV yang tinggi tidak serperti jenis-jenis kaca yang lain yang cair dan berubah bentuk apabila terdedah kepada suhu yang ekstrem.

Kaca ini banyak digunakan untuk membuat botol (vial) sampel untuk instrumen-instrumen analisa seperti HPLC (High Performance Liquid Chromatography), AAS (Atomic Absorption Spectroscopy) dan lain-lain lagi.

Jenis-jenis Radas

Radas boleh dibahagikan kepada beberapa jenis, ada radas yang digunakan untuk menyimpan bahan kimia, ada yang digunakan untuk menyukat, dan ada juga radas yang digunakan sebagai alat untuk melaksanakan eksperimen.

Secara umumnya, di bawah adalah senarai radas yang paling biasa digunakan di dalam makmal kimia, antaranya;

  • Bikar (beaker): bikar digunakan sebagai bekas untuk menampung, mencampur serta memanaskan bahan kimia.
  • Tabung uji kaji (test tube);  tabung uji kaji digunakan untuk menangani bahan kimia terutamanya untuk melakukan eksperimen dan ujian kualitatif dalam skala yang kecil.
  • Kelalang tiga segi (Conical flask/ Erlenmayer flask); kelalang tiga segi mempunyai pelbagai fungsi antaranya menyukat sampel kimia dalam bentuk cecair, boleh juga digunakan untuk mencampur, memanas dan mendidihkan bahan kimia.
  • Kelalang bulat (round bottom flask); kelalang bulat digunakan untuk menadah bahan kimia yang banyak digunakan dalam proses sistesis, dan proses refluks.
  • Pipet (pipette): pipet adalah alat yang digunakan untuk menyukat sesuatu kuantiti bahan kimia dalam bentuk cecair.
  • Buret (burette); buret juga sejenis alat penyukat cecair yang sering digunakan dalam proses titratan.
  • Silinder penyukat (measuring cylinder); seperti namanya, silinder penyukat adalah radas yang digunakan untuk menyukat cecair
  • Tabung didih (boiling tube); tabung didih adalah tabung berbentuk silinder yang digunakan untuk mendidihkan bahan kimia, boleh didedahkan terus kepada api atau dimasukkan ke dalam ketuhar
  • Botol (vial); botol untuk menyimpan bahan kimia, wujud dalam pelbagai saiz
  • Pengering (dessicator); pengering adalah bekas yang diperbuat daripada kaca yang tebal, dan diisi dalamnya dengan silica gel untuk mengeringkan bahan kimia, radas
  • Corong tiga segi (conical funnel); corong tiga segi digunakan untuk membantu proses penuangan bahan kimia dari radas bermulut luas kepada radas bermulut kecil, juga digunakan bersama dengan kertas turas untuk proses penurasan.
  • Rod pengacau (stirring rod); rod berbentuk silinder panjang yang digunakan untuk mengacau dan mencampurkan bahan kimia
  • Bekas petri (petri dish); bekas kecil berbentuk piring yang digunakan untuk menyimpan sampel bahan kimia
  • Slaid (slide); slaid boleh didapati jika anda menggunakan mikroskop sebagai tempat untuk meletak sampel
  • Turas Buchner (Buchner funnel); turas Buchner digunakan bersama dengan kertas turas sebagai penapis dalam proses turasan
  • Penitik (dropper); penitik digunakan untuk menitiskan bahan kimia dalam skala dan kuantiti yang kecil
  • Kelalang volumetrik (volumetrik flask); kelalang volumetrik digunakan untuk penyediaan bahan kimia yang tepat dari segi kepekatan dan isipadu.
  • Termometer merkuri; alat yang digunakan untuk menyukat suhu yang di dalamnya mengandungi cecair merkuri

Rujukan

  1. Ringo. J (2016). A List of Chemistry Laboratory Apparatus and Their Uses. Owlcation.
  2. Conduct Science (2021). Laboratory Glassware: A Complete Guide.
  3. Wubo Lab Manufacturer (2019). More Than 20 Common Laboratory Apparatus And Their Uses.
  4. Lab Mate Online (2014). What Are the Different Types of Laboratory Glassware?.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

five × 2 =