Skip to content

Asid Sitrik: Definisi, Formula Kimia dan Kegunaan

Apakah itu Asid Sitrik? Artikel ini akan membincangkan definisi, formula kimia, sejarah, sumber semula jadi dan kegunaan asid sitrik.

Pengenalan

Asid sitrik adalah sejenis sebatian organik dengan formula kimia C₆H₈O₇

C₆H₈O₇

Formula Kimia Asid Sitrik

yang boleh ditemui secara semula jadi di dalam buah-buahan yang bersitrus, terutamanya buah lemon dan limau yang memberikan rasa masam kepada buah-buahan tersebut.

Asid sitrik tiruan yang dibuat oleh manusia dengan menggunakan bahan kimia mempunyai pelbagai kegunaan di dalam industri yang berbeza-beza. Walaubagaimanapun, asid sitrik yang dibuat di kilang adalah berbeza daripada asid sitrik semula jadi yang ada di dalam tumbuh-tumbuhan.

Sejarah

Asid sitrik pertama kali diekstrak daripada jus lemon oleh pengkaji yang berasal daripada Sweden pada tahun 1784. Sebatian yang tidak berbau dan tidak berwarna tersebut telah dihasilkan daripada jus lemon sehingga awal tahun 1900 sebelum para pengkaji menemui bahawa sebatian yang sama juga boleh dihasilkan oleh Aspergillus niger, yang menghasilkan asid nitrik apabila diberikan gula.

Disebabkan keasidannya yang semula jadi memberikan rasa yang masam, asid sitrik digunakan dengan sangat meluas sebagai bahan perasa dan agen pengawetan, terutamanya di dalam sektor pembuatan minuman ringan dan gula-gula. Ia juga banyak digunakan sebagai bahan penstabil atau pengawet ubat-ubatan, dan bahan pembasmi kuman.

Sumber semula jadi asid sitrik

Asid sitrik boleh ditemui di dalam pelbagai jenis buah-buahan bersitrus. Bukan sahaja lemon, malah terdapat pelbagai lagi buah-buahan lain yang kaya dengan kandungan asid sitrik, antaranya ialah;

  • Limau nipis
  • Buah oren
  • Limau gedang
  • Tangerin
  • Buah pomelo

Antara buah-buahan lain yang juga mempunyai asid sitrik tetapi dengan jumlah yang sedikit ialah;

  • Nanas
  • Strawberi
  • Rasberi
  • Kranberi
  • Tomato
  • Ceri

Produk-produk minuman atau makanan yang mengandungi buah-buahan seperti di atas, seperti sos tomato, juga secara tidak langsung akan terkandung dengan asid sitrik. Sementara itu, dalam penghasilan keju, wain, dan roti doh masam, asid sitrik adalah salah satu bahan sampingan yang terhasil daripada proses di atas.

Kebanyakan asid sitrik yang terdapat di dalam bahan makanan dan makanan tambahan yang dikomersialkan adalah bukan diambil daripada sumber sitrus asli kerana penghasilan asid sitrik daripada buah-buahan bersitrus adalah sangat mahal, dan merugikan para pengilang.

Asid sitrik tiruan dan kegunaan

Sifat-sifat yang ada pada asid sitrik menjadikan ia sebagai bahan yang penting di dalam pelbagai jenis industri pembuatan.

Sebanyak kira-kira tujuh puluh peratus (70%) asid sitrik yang dikilangkan digunakan oleh industri pembuatan makanan dan minuman, manakala sebanyak kira-kira dua puluh peratus (20%) asid sitrik digunakan oleh industri ubat-ubatan dan makanan tambahan, dan selebihnya sepuluh peratus (10%) daripada jumlah besar penghasilan asid sitrik akan digunakan oleh industri penghasilan bahan pencuci dan sabun.

1. Industri makanan

Asid sitrik yang dikilangkan adalah salah satu bahan makanan tambahan yang paling biasa digunakan di dalam dunia. Ia digunakan untuk menggalakkan keasidan, meningkatkan perasa, dan mengawet bahan-bahan di dalam makanan.

Soda, jus, minuman berserbuk, gula-gula, produk tenusu, serta makanan sejuk beku, kebiasaannya mengandungi asid sitrik tiruan. Ia juga kadangkala ditambah kepada buah-buahan di dalam tin dan sayur-sayuran untuk melindungi daripada botulisme, penyakit yang jarang ditemui tetapi sangat serius yang disebabkan oleh bakteria Clostridium botulinum yang menghasilkan toksin.

2. Industri ubat-ubatan dan makanan tambahan

Asid sitrik adalah bahan ruji bagi industri ubat-ubatan dan bahan makanan tambahan kesihatan. Ia ditambah ke dalam ubat-ubatan untuk membantu menstabilkan dan memanjangkan jangka hayat bahan-bahan aktif yang terdapat di dalam ubat, serta digunakan untuk meningkatkan rasa ubat yang berasaskan sirap.

Makanan tambahan mineral seperti magnesium dan kalsium juga mengandungi asid sitrik yang ditemui di dalam bentuk sitrat yang digunakan untuk menambah baik penyerapan.

3. Industri penghasilan bahan pencuci dan sabun

Asid sitrik sangat berguna sebagai bahan pembasmi kuman menentag pelbagai jenis bakteria dan virus. Kajian tabung-uji menunjukkan asid sitrik mampu merawat atau mencegah norovirus manusia, yang menjadi punca utama kepada penyakit yang berasaskan makanan.

Asid sitrik secara komersialnya dijual sebagai bahan pembasmi kuman dan agen pembersihan bagi membuang sisa sabun, kesan kotoran daripada air keras, batu kapur, dan karat. Ia dikatakan sebagai alternatif yang selamat daripada bahan pembasmi kuman dan pencuci konvensional seperti bahan peluntur klorin dan quat.

Kebaikan asid sitrik

Asid sitrik mempunyai pelbagai kebaikan kepada tubuh badan manusia, antaranya ialah;

1. Metabolisme tenaga

Sitrat, molekul yang paling menyerupai asid sitrik adalah molekul pertama yang terbentuk ketika proses kitaran asid sitrik yang juga dikenali sebagai Kitaran Kreb. Tindak balas kimia yang terjadi di dalam badan membantu badan untuk menukarkan makanan yang dicerna kepada tenaga. Manusia dan hidupan lain mendapatkan majoriti sumber tenaga melalui proses tersebut.

2. Meningkatkan penyerapan nutrien

Asid sitrik meningkatkan ketersediaan bio bagi mineral di dalam badan, membolehkan badan untuk menyerap  nutrien dengan lebih efisien. Sebagai contoh, kalsium sitrat tidak memerlukan asid perut untuk proses penyerapan. Ia juga mempunyai kesan sampingan yang lebih sedikit seperti bengkak, penghasilan gas, atau sembelit. Maka, kalsium sitrat adalah pilihan yang baik untuk mereka yang mempunyai asid perut yang sedikit khususnya warga emas.

3. Mengelakkan batu karang

Asid sitrik di dalam bentuk kalium sitrat, menghalang pembentukan batu karang baru dan memecahkan batu karang yang sudah terbentuk. Batu karang ialah sejenis sebatian yang terhasil daripada bahan seperti kristal di dalam buah pinggang. Batu karang sering dirawat dengan asid sitrik di dalam bentuk kalium sitrat.

Walaubagaimanapun, mengambil makanan dengan nilai kandungan asid sitrik yang tinggi seperti buah-buahan bersitrus, juga mampu memberikan kesan yang sama bagi mencegah pembentukan batu karang.

Jenis Asid yang lain

Asid FosforikAsid Benzoik
Asid AsetikAsid Nitrik
Asid SulfurikAsid Formik
Asid HidroklorikAsid Sitrik
Asid AskorbikAsid Lemah
Asid Kuat

Rujukan:

  1. Van De Walle. G (2021). What Is Citric Acid, and Is It Bad for You?. Healthline.
  2. Citric Acid (2021). Wikipedia.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

3 × three =