Skip to content

Asid Hidroklorik: Definisi, Formula Kimia dan Kegunaan

Apakah itu Asid Hidroklorik? Artikel ini akan membincangkan definisi, formula kimia, cara penghasilan dan kegunaan asid Hidroklorik.

Definisi

Asid hidroklorik, atau juga dikenali sebagai asid muriatic, adalah sejenis larutan akues bagi hidrogen klorida dengan formula kimianya ialah HCl.

HCL

Formula Kimia Asid Hidroklorik

Asid hidroklorik tidak mempunyai warna, berupa seakan-akan air yang jernih dengan bau yang tajam. HCl dikelaskan di bawah asid kuat dan merupakan salah satu komponen utama di dalam asid gastrik yang wujud di dalam system pencernaan kita. Selain itu, ia juga adalah bahan kimia yang sangat penting di dalam makmal dan pelbagai jenis industri termasuklah industri pembuatan bahan kimia.

Cara Asid Hidroklorik dihasilkan di dalam industri

Asid hidroklorik adalah sejenis larutan akues bagi gas hidrogen klorida. Di Amerika Syarikat, terdapat empat kaedah asas utama yang digunakan untuk penghasilan asid hidroklorik, iaitu dengan cara;

  • Pengklorinan bahan kimia organik
  • Penggabungan hidrogen (H) dan klorin (Cl)
  • Proses penghasilan garam-asid sulfurik
  • Produk sampingan bagi pembuatan silica

Kebanyakan asid hidroklorik dihasilkan melalui pengklorinan bahan kimia organik dengan jumlah yang jauh lebih kecil yang berasal dari proses lain. Sesetengah syarikat seperti OxyChem menghasilkan asid hidroklorik dengan cara menggabungkan hidrogen dan klorin di dalam ‘pembakar asid’. Produk bagi tindak balas tersebut ialah gas hidrogen klorida yang kemudiannya diserap di dalam air yang sudah dibuang mineralnya untuk menghasilkan asid hidroklorik yang mempunyai ketulenan yang tinggi.

Kegunaan Asid Hidroklorik

Asid hidroklorik ialah asid kuat, bersifat menghakis yang boleh digunakan secara meluas di dalam pelbagai industri termasuklah industri pemprosesan besi dan keluli yang bakal digunakan di dalam sektor pembinaan. Di dalam industri kimia pula, asid hidroklorik digunakan di dalam skala yang besar bagi penghasilan vinil klorida yang digunakan untuk membuat plastik polivinil klorida (PVC) dan merupakan bahan kimia utama yang digunakan untuk menghasilkan poliurietana (polyurethane) dan kalsium klorida.

Asid hidroklorik juga turut digunakan untuk membuat banyak lagi bahan-bahan kimia yang lain dengan pelbagai kegunaan seperti pembasmi kuman, bahan di dalam racun, dan pembasmi lendiran. Satu lagi kegunaan popular bagi asid hidroklorik ialah sebagai bahan pencuci barangan di dalam rumah, sanitasi kolam renang.

1. Penghasilan besi dan keluli

Asid hidroklorik digunakan di dalam operasi pengawetan keluli untuk membuang karat dan bahan kotoran lain daripada karbon, aloi, dan keluli tidak berkarat, sebagai persediaan terakhir sebelum digunakan sebagai bahan dalam sektor pembuatan seperti kereta, bangunan, badan kereta dan lain-lain lagi. Ia turut digunakan di pengukiran aluminium dan aplikasi pembersihan logam.

2. Bahan pencuci di dalam rumah

Asid hidroklorik dijadikan sebagai bahan di dalam bahan pencuci di rumah seperti pencuci mangkuk tandas, pencuci lantai jubin bilik air, dan pencuci pelbagai permukaan porselin yang lain disebabkan oleh sifatnya yang menghakis yang dapat membantu membersihkan kesan kotoran yang degil.

3. Bahan sanitasi kolam renang

Asid hidroklorik digunakan sebagai bahan kimia untuk rawatan air di dalam kolam renang bagi mengekalkan pH yang optima di dalam air.

4. Bahan untuk penghasilan dan pemprosesan makanan

Indsutri makanan menggunakan asid hidroklorik untuk memproses pelbagai jenis produk makanan, seperti sirap jagung yang digunakan di dalam minuman rinngan, biskut, snek, sos dan bijirin. Asid hidroklorik juga digunakan sebagai bahan pengasid di dalam sos, jus sayuran dan bahan makanan di dalam tin untuk meningkatkan rasa dan mengurangkan kerosakan makanan.

5. Asid hidroklorik di dalam pembuatan kalsium klorida

Apabila asid hidroklorik dicampurkan atau ditindakbalaskan dengan batu kapur, ia akan menghasilkan kalsium klorida, sejenis garam yang digunakan untuk mencairkan ais atau salji di atas jalan. Kalsium klorida juga digunakan di dalam industri pembuatan makanan sebagai penstabil dan agen pengental.

6. Kegunaan tambahan asid hidroklorik

Asid hidroklorik digunakan di dalam pembuatan bateri, mentol fotoslash, dan bunga api. Ia juga digunakan di dalam pemprosesan kulit haiwan, pembinaan, pengasidan minyak di dalam telaga dan penghasilan produk gelatin.

Penyimpanan asid hidroklorik

Untuk menyimpan asid hidroklorik, bekas yang berasaskan besi adalah tidak sesuai digunakan untuk penyimpanan kerana sifatnya yang menghakis. Bekas plastik, seperti yang dibuat daripada PVC, boleh digunakan untuk menyimpan asid hidroklorik.

Simpan asid hidroklorik di dalam tempat yang sejuk dan jauhkan daripada makanan dan minuman. Sila praktikkan amalan kebersihan yang baik selepas mengendalikan asid hidroklorik. Bagi pelupusan sisa asid hidroklorik pula, adalah disarankan untuk dikendalikan oleh pihak yang professional dan berlesen untuk melakukan proses pelupusan. Jika tidak, ia akan merosakkan alam sekitar jika terdedah kepada sistem pengairan, tumbuh-tumbuhan mahupun haiwan.

Maklumat keselamatan

Asid hidroklorik yang mempunyai kepekatan yang tinggi, di dalam keadaan cecair, mempunyai bauan yang kuat dan tajam, dan juga bersifat sangat menghakis. Ia boleh menyebabkan kerosakan kepada harta benda juga kesan buruk terhadap kesihatan manusia jika tidak disimpan dengan cara yang betul. Jika terkena asid hidroklorik dengan kepekatan yang tinggi, ia boleh menyebabkan kelecuran kepada kulit, kerosakan kepada mata malah buta, jika terkena di bahagian mata.

Jika tertelan asid hidroklorik dengan kepekatan yang tinggi, ia boleh menyebabkan kecederaan kepada mulut, tekak, esofagus, dan perut. Alat pelindung diri (PPE) seperti alat pernafasan, sarung tangan getah, cermin mata kalis percikan, dan pelindung muka perlu digunakan sekiranya mengendalikan asid hidroklorik.

Jika asid hidroklorik digunakan di tempat kerja, dicadangkan untuk menyediakan stesen untuk membersihkan mata jika sekiranya sebarang kemalangan yang tidak diinginkan berlaku seperti asid terpercik ke dalam mata. Apabila menggunakan pembersih kolam renang yang mengandungi asid hidroklorik, adalah penting untuk mematuhi arahan yang terdapat pada label produk untuk pengendalian yang selamat.

Jenis Asid yang lain

Asid FosforikAsid Benzoik
Asid AsetikAsid Nitrik
Asid SulfurikAsid Formik
Asid HidroklorikAsid Sitrik
Asid AskorbikAsid Lemah
Asid Kuat

Rujukan:

  1. Chemicalsafetyfacts. Org (2021). Hydrochloric Acid.
  2. Wikipedia (2021). Hydrochloric Acid.
  3. Ecolink (2021). What is Hydrochloric Acid?.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

4 + 8 =