Angin Ahmar: Punca, Simptom dan Rawatan

angin ahmar

Angin ahmar ataupun strok  merupakan salah satu daripada lima penyebab utama kematian dan salah satu daripada 10 penyebab utama kemasukan ke hospital di Malaysia. Strok berlaku apabila bekalan darah ke bahagian otak terganggu atau berkurangan, sehingga tisu otak tidak mendapat oksigen dan nutrien yang cukup.

Sel otak mula mati dalam 4-5 minit setelah bekalan oksigen kurang. Kesannya, ia boleh menyebabkan kecacatan otak atau lebih teruk, boleh menyebabkan kematian. Strok adalah kecemasan perubatan di mana rawatan segera amat penting bagi mengelakkan sebarang komplikasi daripada berlaku.

Jenis Strok

Terdapat tiga jenis strok utama:

  1. Strok iskemia: Ini adalah jenis strok yang paling biasa, merangkumi 87% daripada semua kes. Darah beku yang tersumbat di otak menghalang darah dan oksigen daripada sampai ke kawasan otak.
  2. Strok hemoragik (strok berdarah): Berlaku apabila saluran darah pecah. Ini biasanya disebabkan oleh aneurisma (dinding saluran darah di otak lemah dan bengkak)  atau Arteriovenous Malformations (AVMs –  gumpalan saluran darah tidak normal yang menghubungkan arteri dan vena)
  3. Transient Ischemic Attack (TIA): TIA juga dikenali sebagai mini strok. Ia berlaku apabila aliran darah ke bahagian otak tidak mencukupi untuk jangka masa yang singkat. Aliran darah normal akan bersambung semula dan simptomnya boleh hilang tanpa rawatan.

Punca Angin Ahmar

Punca strok yang utama ialah penyumbatan saluran darah di otak yang disebabkan oleh plak kolesterol. Darah yang tidak dapat mengalir secara normal ini akan menjadi beku, seterusnya menyebabkan otak tidak dapat menerima sumber oksigen dan nutrien yang cukup (strok iskemia). Keadaan boleh menjadi lebih teruk sekiranya seseorang mempunyai penyakit darah tinggi kerana tekanan darah tinggi ini boleh menyebabkan saluran darah di otak pecah (strok hemorhagik).

FAKTOR RISIKO

Faktor risiko strok boleh dibahagi kepada 2 iaitu faktor boleh ubah dan faktor yang tidak boleh di ubah:

Faktor risiko boleh ubah:

Faktor risiko tidak boleh di ubah:

  • Jantina lelaki
  • Umur melebihi 55 tahun
  • Sejarah strok dalam keluarga

Simptom Angin Ahmar

Sekiranya anda atau seseorang yang anda temui mengalami strok, perhatikan waktu strok bermula. Ini kerana beberapa jenis pilihan rawatan berkesan jika diberikan sejurus selepas strok berlaku.

Tanda angin ahmar (strok) termasuklah:

  • Sukar untuk bercakap
  • Percakapan menjadi tidak jelas (slurred speech)
  • Mulut menjadi senget
  • Sukar menelan dan mudah tersedak
  • Pesakit boleh menjadi separa sedar dan tidak dapat memahami percakapan orang lain
  • Sebahagian anggota badan seperti muka,tangan atau kaki menjadi lemah, kebas dan lumpuh
  • Pandangan menjadi kabur atau gelap
  • Melihat objek seakan-akan ada dua (double vision)
  • Hilang koordinasi atau kestabilan ketika berjalan
  • Sakit kepala
  • Muntah

Anda boleh menggunakan singkatan FAST bagi memudahkan anda mengenali simptom strok dengan lebih efisien:

F: Face drooping (wajah menjadi tidak sekata terutamanya mulut yang nampak senget sebelah)

A: Arm weakness (pesakit strok tidak dapat mengangkat tangan dengan sempurna kerana otot tangan lemah)

S: Speech difficulty (pesakit tidak dapat bertutur dengan jelas)

T: Time to act (Jika anda atau pesakit mempunyai simptom-simptom ini, hubungi hospital bagi mendapatkan rawatan yang segera)

Penyakit Lain yang Berkaitan

Penyakit-penyakit berikut boleh menimbulkan simptom yang sama seperti strok:

  • Kekurangan garam atau gula dalam badan
  • Migrain
  • Bell’s Palsy
  • Sawan
  • Pengsan (syncope)
  • Jangkitan kuman otak
  • Kanser otak

Ujian Pemeriksaan

Doktor membuat diagnosis stroke melalui sejarah pesakit dan pemeriksaan fizikal seperti tekanan darah tinggi, neurologi, kardiovaskular dan yang berkaitan. Selain itu, beberapa ujian makmal dan pengimejan juga perlu bagi mendapatkan diagnosis yang tepat. Ia termasuklah:

  • Ujian darah: untuk melihat kandungan gula, paras platelet, faktor pembeku darah serta parameter jangkitan
  • ECG: untuk melihat aktiviti jantung dan mengenal pasti degupan jantung yang tidak normal
  • Angiogram: iaitu prosedur untuk melihat saluran darah menggunakan bahan kontras
  • MRI atau CT Scan: untuk melihat lokasi pendarahan dalam otak serta kerosakan pada tisu otak
  • Echocardiogram: bagi melihat fungsi normal jantung serta strukturnya.

Rawatan Angin Ahmar

Disebabkan strok iskemia dan strok hemoragik mempunyai punca dan kesan yang berbeza pada tubuh, kedua-duanya memerlukan rawatan yang berbeza. Sebagai contoh, ubat cair darah akan digunakan untuk merawat strok iskemia yang disebabkan oleh darah beku. Tetapi, jika ubat cair darah diberikan kepada pesakit strok hemoragik, maka ia akan memburukkan lagi pendarahan.

Strok iskemia

Rawatan bagi strok iskemia dan TIA adalah serupa iaitu:

1. Ubat cair darah

Ubat cair darah seperti Aspirin perlu diambil dalam masa 24-48 jam selepas serangan strok.

2. Ubat thrombolitik

Ubat thrombolitik seperti Tissue Plasminogen Activator (TPA) atau Alteplase sangat berkesan untuk melarutkan gumpalan darah.  Ia dianggap sebagai rawatan standard untuk merawat strok iskemia dan diberikan sekitar 3-4 jam selepas serangan strok.

3. Mekanikal thrombektomi

Prosedur ini menggunakan tiub kecil untuk dimasukkan ke dalam saluran darah ke bahagian kepala. Ia berfungsi untuk mengeluarkan darah yang beku. Pembedahan ini paling berkesan jika dilakukan 6 -24 jam setelah strok bermula.

4. Stent

Jika doktor mendapati  dinding saluran darah pesakit lemah, penggunaan stent mungkin dilakukan bagi membuka semula saluran darah sempit serta menyokong dinding arteri tersebut.

Strok hemoragik

Tujuan rawatan bagi strok hemoragik adalah untuk menghentikan pendarahan.

1. Ubat Tekanan Darah Tinggi

Rawatan sering dimulakan dengan mengambil ubat yang mengurangkan tekanan di otak dengan mengawal tekanan darah tinggi secara keseluruhan, serta mencegah sawan dan penyempitan saluran darah secara tiba-tiba.

2. Coiling

Tiub kateter dimasukkan ke dalam saluran darah di bahagian paha hingga mencapai ke bahagian otak. Kemudian, satu gegelung kecil akan dilepaskan ke dalam aneurisma  bagi menyekat aliran darah serta menghentikan risiko pendarahan.

2. Clamping

Bagi aneurisma yang tidak pecah atau pendarahan yang telah berhenti, satu klip kecil akan dikepit di pangkat aneurisma. Ia bertujuan unutk memutuskan bekalan darah kepada aneurisma dan mencegah kemungkinan saluran darah pecah atau pendarahan baru.

4. Pembedahan

Strok hemoragik akan meningkatkan tekanan otak sehingga menyebabkan sebahagian daripada otak tertolak ke bahagian lain (brain herniation). Ini akan menganggu fungsi normal otak dan yang paling teruk, ia boleh menyebabkan pesakit berhenti bernafas kerana salah satu pusat kawal pernafasan ialah di kawasan tersebut. Doktor akan melakukan pembedahan Decompressive Craniectomy di mana sebahagian tempurung kepala akan dibuka untuk mengurangkan tekanan dalam otak.

5. Rehabilitasi

Terapi pemulihan atau  rehabilitasi adalah sebahagian daripada rawatan strok yang penting dan perlu dilakukan secara berterusan. Dengan bantuan yang tepat dan sokongan orang tersayang, pesakit boleh mendapat semula kualiti hidup yang  normal.

  • Terapi pertuturan: bertujuan untuk membantu masalah menghasilkan atau memahami pertuturan serta menjadikan komunikasi lebih mudah.
  • Terapi fizikal: membantu pesakit mempelajari pergerakan dan koordinasi. Penting untuk pesakit terus aktif, walaupun ia mungkin sukar pada mulanya.
  • Terapi pekerjaan: membantu pesakit meningkatkan kemampuan untuk melakukan aktiviti harian seperti mandi, memasak, berpakaian, makan, membaca, dan menulis.
  • Kumpulan sokongan: Bergabung dengan kumpulan sokongan dapat membantu pesakit mengatasi masalah kesihatan mental yang biasa berlaku selepas strok  seperti kemurungan. Ahli keluarga juga merasa ia berguna untuk berkongsi pengalaman bersama dan bertukar maklumat tentang penjagaan pesakit strok.

Komplikasi

Strok boleh menyebabkan perubahan fizikal atau emosi kepada pesakit. Antaranya ialah seperti:

  • Lumpuh
  • Tekanan emosi
  • Hilang kemampuan melakukan aktiviti fizikal secara normal
  • Sukar bertutur secara normal
  • Hilang ingatan atau kesukaran berfikir
  • Perubahan tingkah laku dan kemampuan mengurus diri

Pencegahan

Cara terbaik untuk mencegah strok adalah dengan mengelakkan puncanya. Seseorang boleh mencapainya dengan melakukan perubahan gaya hidup seperti:

  • Makan makanan yang sihat
  • Mengekalkan berat badan yang ideal
  • Bersenam
  • Berhenti merokok
  • Mengelakkan alkohol atau hanya minum secara berkala

Rujukan:

  1. Loo, K. W., & Gan, S. H. (2017, February). Burden of stroke in Malaysia. Retrieved January 20, 2021, USM.my
  2. Stroke: Causes, symptoms, diagnosis, and treatment. (n.d.). Retrieved January 20, 2021, from https://www.medicalnewstoday.com/articles/7624
  3. Holland, K. (2019, October 16). Stroke: Symptoms, Causes, Treatment, Types & More. Retrieved January 20, 2021, from Healthline
  4. Stroke. (2020, November 06). Retrieved January 20, 2021, from Mayo Clinic

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

2 × 1 =

Open

Close