Cara Tanam Ubi Keledek dengan Mudah dan Berkesan

cara tanam ubi keledek

Bagaimanakah cara tanam ubi keledek yang betul? Artikel ini akan menerangkan cara penanaman yang mudah dan berkesan untuk menghasilkan hasil yang banyak.

Ingin bercucuk tanam? Tapi tidak tahu hendak tanam apa? Saya mengesyorkan anda semua menanam ubi keledek kerana ianya mudah, kos permulaan yang murah, senang diselenggara serta tidak memerlukan proses yang rumit, tanpa penjagaan yang terlalu rapi dan menguntungkan. Berdasarkan informasi yang diterima daripada petikan Sinar Harian pada tahun 2019, tanaman ini mampu dijual dengan harga lingkungan RM3 ke RM6 sekilogram.

Bayangkanlah harga mencecah RM3 ke RM6 sekilogram dijual secara borong? Tambahan pula, kini kita berada dalam tahun 2020.  Pasti ada perubahan terhadap harga jualannya. Nampak menguntungkan bukan? Tidak kisahlah ingin memulakannya secara kecilan atau skala yang lebih besar. Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.

Tidak cuba, kita tidak tahu hasilnya. Tanpa memanjangkan lagi pengenalan, hari ini saya akan memberi pendedahan serba mudah kepada pembaca tentang keperluan penting untuk penanaman keledek, varieti ubi keledek, cara penanaman, kawalan perosak dan penuaiannya.

Keperluan yang perlu dipenuhi sebelum menanam Ubi Keledek

Ubi keledek boleh sahaja ditanam dalam pelbagai jenis tanah dan iklim yang berbeza. Untuk mendapatkan hasil yang maksimum, kawasan yang mempunyai cuaca panas berpanjangan serta tanah yang mampu meresap air dengan sempurna seperti tanah gembur berpasir adalah yang paling ideal untuk tanaman ini. Ianya masih lagi mampu hidup pada kawasan lembap asalkan bukan pada tanah yang bukan menjadi takungan air ataupun tidak serap air seperti tanah liat.

Bagi keperluan suhu pula, ianya tumbuh dengan baik pada suhu lebih daripada 24°C dan pastikan kawasan penanaman terdedah kepada cahaya matahari untuk pertumbuhan yang lebih baik. Sebagai peringatan, untuk tempoh 6 minggu pertama, sekiranya berlaku musim kemarau yang perpanjangan ianya akan menjejaskan penghasilan. Jadi perkara itu perlu dititik beratkan bahawasanya tanaman ini masih memerlukan kelembapan tetapi kelembapan yang pada kadar minimum iaitu pada taburan hujan 50cm sehingga 75cm setahun. Untuk keperluan lain seperti pH pula, amat disyorkan ianya dalam lingkungan 5.6 hingga 6.6 ataupun separa asid dan neutral.

Varieti

Antara varieti yang komersial di pasaran adalah seperti berikut:

1. Gendut

2. Cina

3. Ungu

Penyediaan Tanah

Langkah pertama perlu dilakukan adalah menggemburkan tanah. Gemburkan tanah terlebih dahulu supaya tanah tidak terlalu padat. Kemudian setelah pengemburan tanah, sediakan batas dengan ukuran 60cm lebar X 30cm tinggi. Ini bertujuan bagi memastikan pertumbuhan yang lebih baik dan produktiviti maksimum kerana apabila tanah tidak terlalu padat, kuantiti dan pembentukan isi ubi mampu ditambahbaik lebih banyak dan berisi.

Penyediaan Bahan Tanaman   

Manakala untuk penyediaan bahan tanamannya pula, ianya boleh dilakukan samada dengan ubi dan keratan batang. Penanaman secara terus menggunakan ubi nampak mudah. Tetapi dengan menggunakan keratan adalah lebih mudah dan murah. Penanaman secara keratan boleh dilakukan dengan memotong batang ubi keledek dalam lingkungan panjang 20cm hingga 30cm. Kemudian, tanam keratan tersebut secara condong dan pastikan suku daripada bahagian keratan tersebut timbul pada bahagian permukaan tanah seperti gambar rajah di bawah:

Cara Tanam Ubi Keledek

Jarak di antara keratan yang ditanam adalah 30cm. Seperti yang sedia maklum tanaman ini tidak perlu disiram tetapi jika terlalu panas melebihi suhu yang disyorkan, lakukan penyiraman sekurang sekali sehari. Jika terdapat batang yang menjalar dan tumbuh merata, sebaiknya diangkat semula ke atas batas supaya akar tidak tumbuh meliar pada batang.

Ini perlu dielakkan kerana ia akan menjejaskan produktiviti tanaman. Sebagai contoh, ubi yang tumbuh pada hujung batang tersebut akan menghasilkan ubi yang bersaiz kecil-kecil dan merencat pertumbuhan ubi yang lain kerana persaingan nutrien.

Pembajaan

Seperti tanaman yang lain sebelum penanaman, pengapuran hendaklah dilakukan bagi memastikan tanah adalah pada tahap pH yang ideal. Begitu juga terhadap penanaman ubi keledek, pengapuran perlu dijalankan supaya tanah mencapai pH yang sesuai. Selepas ditanam selama seminggu, gunakan baja NPK 15:15:15 bagi tujuan pembajaan.

Kadar yang optimum adalah 500 hingga 1120kg per hektar. Andai kata sehektar mampu ditanam lebih kurang 30,000 keratan, gunalah 30g sepokok. Perubahan pada kadar baja perlu dilakukan mengikut pertumbuhan tanaman. Selepas tanaman cukup sebulan, lakukan pembajaan kali kedua dengan kadar yang berpatutan.

Kawalan Rumpai, Perosak dan Penyakit

Bagi pengawalan rumpai, penjagaan rapi perlu diutamakan selepas 2 bulan dari tempoh penanaman. Sekiranya dijaga rapi dari awal, pertumbuhan ubi keledek akan menjadi lebih bagus tanpa persaingan nutrien, air dan cahaya matahari berbanding dengan adanya rumpai pada batas. Untuk memastikan perkara tersebut tidak berlaku, amalan penyemburan racun rumput pra-cambah amatlah digalakkan. Terdapat pelbagai jenis racun pra-cambah yang berada di pasaran, salah satunya seperti Diuron.

Perosak dan penyakit merupakan faktor paling utama yang perlu ditangani kerana ianya akan menjejas produktiviti tanaman secara menyeluruh sekiranya tidak ditangani dari awal. Antara perosak yang paling berbahaya pada tanaman ini adalah kumbang ubi keledek (Cylas formicarius). Perosak ini akan memakan pada bahagian permukaan ubi keledek dan pada masa yang sama bertelur pada bahagian tersebut. Telur tersebut kemudiannya akan menjadi larva dan memakan isi ubi keledek sebagai sumber makanan. Selain itu, ada juga perosak lain seperti pengorek batang (Omphisa anastomosalis) dan tikus. Sebagai langkah kawalan, amalkan tanaman bergilir, penggunaan racun perosak dan serangga serta penuaian pada tempoh yang sesuai.

Manakala untuk penyakit pula, yang paling umum menyerang tanaman ini adalah skab dan Cercospora. Ianya dapat ditangani dengan penggunaan varieti yang resistan terhadap penyakit, amalan tanaman bergilir, pemangkasan ataupun pruning bahagian batang dan daun, dan mempunyai saliran air yang sistematik.

Penuaian Hasil

Tempoh masa tanaman boleh dituai adalah sekitar 4 hingga 6 bulan selepas ditanam. Sebelum pemungutan dijalankan, buang dahulu daun dan batang. Simpan batang untuk tujuan tanaman semula. Seterusnya, cangkul pada bahagian tepi batas bagi memudahkan penggalian ubi. Hasil yang dituai tersebut kemudiannya hendaklah digred mengikut saiz dan berat mengikut piawaian permintaan semasa sebelum dipasarkan.

Diharapkan artikel cara tanam ubi keledek ini dapat memberikan ilmu kepada anda untuk menenam ubi keledek dengan cara yang betul

Cara Tanam pokok lain yang anda perlu tahu:

DurianTembikaiLabu
Daun KesumBuah NagaLimau Purut
AvocadoPokok KariKangkung
KentangPisangTomato
Bayam BrazilTaugehPokok Cili
SeraiCendawanSawi
SaladNanas MD2Daun Sup
JagungBawang

Rujukan:

  1. Sinar Harian. (2019, November 17). Rezeki penanam ubi di musim tengkujuh
  2. Yakup Pendak, L., Eng & M.,Gumbek. (n.d.). Penanaman ubi keledek.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.