Cara Tanam Salad yang Mudah di Rumah

cara tanam salad yang mudah

Bagaimana cara tanam salad yang betul di rumah?

Artikel ini akan menerangkan secara lengkap bagaimana cara yang mudah bagi anda tanam salad di rumah anda.

Isi Kandungan
  1. Pengenalan
  2. Kelebihan Tanam Salad Di Rumah Sendiri
  3. Cuaca
  4. Pemilihan Kultivar
  5. Bagaimana Cara Tanam Salad di Rumah?

Pengenalan


Salad (Lactuca sativa L.) adalah sayur segar utama yang menjadi pilihan yang di mana daunnya biasa digunakan dalam campuran sayur salad dan sandwich. Di beberapa negara timur seperti China dan Mesir, batang dan daunnya bukan sahaja dimakan secara mentah dan dimasak, ia juga dijadikan acar dan sos.

Antara kegunaan lain adalah seperti dijadikan rokok tanpa nikotin, minyak yang boleh dimakan yang diekstraf dari biji salad, dan ubat penenang yang dibuat dari susu getah yang terdapat di batang salad.

Salad adalah dari keluarga botani Compositae sama seperti bunga matahari dan berasal dari kawasan Mediterranean. Ia sejenis herba tahunan yang mempunyai getah susu di daun dan batangnya. Sayuran ini mempunyai sistem akar yang cetek dengan panjang akar adalah lebih kurang 1 kaki ke dalam tanah. Walaupun kebanyakan salad berwarna hijau, tetapi anda juga mungkin akan berjumpa dengan salad berwarna merah.

Di Malaysia, jumlah keluasan penanaman salad adalah kira-kira 2323 hektar pada 2017 (Jabatan Pertanian, 2017) dengan jumlah pengeluaran hasil iaitu 40, 358 MT. Hasil pengeluaran hasil adalah 174 MT/hektar. Kandungan setiap 100 g salad jenis berdaun mengandungi kandungan mineral Ca (68%), P (25%), Fe (1.4%), Na (9%), K (264%); vitamin A (1420 mg), C (18g); air (94%) dan fiber (0.7 g).

Dengan itu, kandungan nutrisi salad yang bagus untuk kesihatan menjadikan salad sebagai pilihan utama di kalangan masyarakat Malaysia yang suka berkebun di rumah.

Kelebihan Tanam Salad Sendiri di Rumah


1. Segar

Menanam sayur salad sendiri akan memberi anda peluang untuk mendapatkan daun segar dan anda boleh mencuba pelbagai jenis dan bentuk salad yang menarik mengikut kemahuan anda. Untuk pengetahuan anda, semakin hijau daun salad anda semakin tinggi kandungan nutrien di dalam salad anda.

2. Hasil tuaian yang singkat

Anda boleh merasa hasil tuaian anda yang pertama yang singkat iaitu dalam masa beberapa minggu sahaja.

3. Hasil tuaian boleh dilakukan banyak kali

Salah satu kelebihan menanam di rumah adalah walaupun menanamnya sekali tetapi anda boleh menuai banyak kali. Sayuran berdaun ini boleh dipotong hampir ke permukaan tanah dan akan menghasilkan daun baru tidak lama selepas itu. Dengan itu, anda boleh menikmati tiga atau lebih penuaian dari setiap penanaman.

4. Salad boleh ditanam dengan sayur-sayuran lain

Salad boleh ditanam bersama sayur-sayuran lain kerana saiz nya yang sederhana. Untuk mendapatkan bekalan sayuran berdaun hijau yang berterusan, boleh lah di selang seli kan dengan sayuran lain.

5. Tidak memerlukan banyak usaha dan ruang untuk tanam

Berkebun dengan salad tidak memerlukan banyak usaha dan runag yang besar. Salad boleh di tanam di dalam beberapa pasu tanah liat atau sebidang tanah yang bersaiz 3×3 kaki di lokasi yang cerah.

Disini, kami menyediakan panduan mudah untuk menanam salad di rumah.

Cuaca


Suhu optimum untuk pertumbuhan salad adalah antara 20-27 °C. Jika cuaca terlampau panas, rasa salad akan menjadi pahit.

Pemilihan Kultivar


Pemilihan kultivar(tumbuhan Salad) adalah salah satu faktor yang penting perlu dibuat semasa proses pengeluaran tanaman. Ketahanan kepada penyakit dan kesesuaian kepada persekitaran adalah faktor yang perlu dibuat secara teliti. Jenis-jenis salad yang selalu dijumpai di pasaran adalah jenis head (crisphead atau iceberg), butterhead (bibb, Boston), leaf, cos (or romaine), dan stem lettuce.

Bagaimana Cara Tanam Salad Di Rumah?


1. Pemilihan bekas

Bekas seperti  tray, pot atau window box sekurang-kurangnya panjang adalah 18 inci dan dalam adalah 6-12 inci merupakan pilihan yang terbaik. Manakala pasu yang lebih dalam akan memberi lebih banyak ruang untuk pengembangan akar dan tidak akan mudah bertakung dengan air.

Bekas yang dipilih perlu dibuat dari tanah liat, plastik atau kayu, dan mempunyai lubang saliran di bahagian bawah. Pastikan anda meletakkan pelapik di bawah bekas untuk mengelakkan kebocoran. Pastikan bekas dibasmi kuman dengan menggunakan peluntur (1 bahagian peluntur: 9 bahagian air).

2. Penyediaan Tanah

Tanah yang sesuai untuk ditanam adalah tanah jenis berpasir dan liat. Tanah jenis ini yang mempunyai sistem pengairan yang baik dengan pH sedikit berasid atau neutral dan kandungan organik yang tinggi. Optimum pH yang diperlukan adalah antara 6.0 -6.5.

3. Benih

Sayuran hijau akan tumbuh dengan cepat berbanding sayuran berbuah. Oleh itu, penanaman bermula dari biji adalah digalakkan berbanding dengan kaedah transplanting.

Selain itu, adalah ekonomik jika penanaman salad dari biji dengan memilih dari pelbagai jenis salad berbagai jenis dan sayuran hijau berdaun lain. Selalunya salad berdaun merah dan hijau gelap akan lebih tinggi nutrient dan antioksidan.

4. Tanam

Benih ditanam antara 1.75 hingga 3 inci (4.4 to 7.5 cm) setiap barisan di dalam bekas tanaman bersaiz 40 inci (102 cm) . Pastikan tanah berkelembapan sederhana.

5. Pembajaan

Salad dengan baik apabila sumber baja P yang tinggi dan organik seperti tinja ayam. Program pembajaan yang betul adalah seperti berikut:

  • Sebelum penanaman –1 kg baja tinja ayam akan ditabur sebelum penanaman.
  • Semasa penanaman– baja kompoun seperti 10-30-10 diletakkan dalam setiap lubang dengan kadar 10 g/pokok
  • Pada minggu ke 3 – ammonium sulfate di letakkan 5 cm dari pangkal sayuran dengan kadar 15 g/pokok.

6. Penuaian

Tuaian pertama boleh dilakukan selepas 30-70 hari  selepas tanam. Anda perlu potong bahagian daun yang anda mahukan dan biarkan bahagian lain untuk tumbuh lagi.

Selepas tuaian, anda cuma perlu membuat thinning secepat mungkin dengan menggunakan gunting ataupun pemangkas jika ketinggian melebihi 4-6 inci.

Penuaian perlu dihentikan jika salad mula mengeluarkan bunga (lettuce bolting) kerana rasa salad akan bertukar menjadi pahit.

7. Penyimpanan

Sayur salad yang dituai perlu disimpan pada suhu yang sesuai dan dibasuh dengan air sebelum dimakan.

RUJUKAN

  1. Ryder, Edward J. “The new salad crop revolution.” Trends in new crops and new uses. ASHS Press, Alexandria, VA (2002): 408-412.
  2. STATISTIK TANAMAN SAYUR-SAYURAN DAN TANAMAN LADANG Vegetables and Cash Crops Statistic, 2017.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.