Sakit Tumit: Punca dan Cara Rawatan

Sakit tumit

Pernahkah anda mengalami rasa sakit di bahagian tumit sejurus selepas tumit anda mencecah lantai diwaktu pagi? Atau mungkin selepas berjalan pada tempoh yang agak lama? Artikel ini akan berkongsi tentang punca-punca utama berlakunya sakit tumit dalam kalangan individu serta cara-cara untuk merawatnya.

Isi Kandungan
  1. Anatomi
  2. Punca Sakit Tumit
  3. Rawatan Sakit Tumit
  4. Cara untuk kurangkan sakit tumit

Anatomi


Tapak kaki manusia terdiri daripada tulang kaki , ligamen dan tendon , lapisan otot , fascia, saluran darah dan saraf. Lazimnya , sakit pada tapak kaki atau tumit kaki adalah disebabkan oleh keradangan pada lapisan fascia ‘plantar fascia’ pada tapak kaki yang dinamakan sebagai ‘plantar fasciitis‘ .

Plantar fascia merangkumi sejenis tisu panjang yang terdapat di bawah tapak kaki, bermula dari ibu jari kaki hingga ke tumit. Antara fungsi utama tisu ini adalah untuk menyerap hentakan di kaki dan juga untuk mengekalkan bentuk ‘arch’ di kaki. Dalam kes-kes tertentu, tisu ini mengalami keradangan (inflammation).

Sebab berlakunya keradangan ini masih belum jelas diketahui namun telah dipostulasikan bahawa proses degenerasi memainkan peranan penting. Satu lagi postulasi adalah mungkin disebabkan trauma mikro berulang kali ke atas tisu tersebut.

Punca Sakit Tumit


Sakit tumit kaki selalunya akan terjadi kepada individu yang aktif bersukan dan golongan yang berumur 40 tahun ke atas. Namun begitu, terdapat banyak punca-punca lain yang menyebabkan berlakunya sakit tumit. Antaranya ialah:

1. Plantar Fasciitis

Punca sakit tumit lazimnya disebabkan oleh plantar fasciitis iaitu satu keadaan yang dipanggil sebagai sindrom bonjolan tulang (Heel Spur Syndrome). Ia adalah keadaan di mana terdapat bonjolan tulang pada tulang tumit, iaitu pada bahagian bawah tulang sehingga menyebabkan kesakitan yang teramat sangat pada tumit dan ia akan lebih sakit jika individu itu bergerak.

2. Berat badan berlebihan

Individu yang mempunyai berat badan berlebihan berisiko tinggi untuk mendapat sakit tumit. Secara amnya, berat badan ditampung oleh kaki semasa berdiri. Ia juga berfungsi untuk menyokong seluruh berat badan semasa berjalan dan pada masa yang sama berperanan menyerap tekanan apabila berjalan atau melompat. Tekanan yang berterusan akan menyebabkan keradangan. Keradangan pada plantar fascia diterjemahkan oleh otak sebagai ‘rasa sakit’ seperti dicucuk jarum . Tahap kesakitan pada tapak kaki bergantung pada tahap teruknya keradangan tersebut.

3. Calcaneul Spur

Keadaan ini sering terjadi kepada golongan wanita yang gemar memakai kasut tumit tinggi. Kasut tumit tinggi menyebabkan tekanan tidak seimbang tertumpu lebih pada hujung tapak kaki dan tumit. Apabila kaki terdedah kepada tekanan yang berterusan, ia akan menyebabkan tekanan di bahagian tumit dan tulang tumbuh secara tidak normal. Pada amnya, ini tidak memberi kesan kepada kehidupan seharian seseorang. Walau bagaimanapun, tekanan yang berulang dapat menyebabkan calcaneul spur menjadi semakin besar yang dilihat seperti tanduk atau tulang tajam pada tulang tumit.

Calcaneal spur

4. Sindrom terowong tarsal (Tarsal Tunnel Syndrome)

Pada bahagian kaki, terdapat satu terowong yang mana di dalamnya terdapat saraf yang menghubungkan bahagian tapak kaki. Sekiranya saraf pada bahagian tersebut terhimpit disebabkan oleh beberapa masalah atau keadaan, bahagian tapak kaki yang turut melibatkan tumit akan mengalami kesakitan.

5. Gout

Gout merupakan satu masalah kesihatan seperti arthritis. Keadaan ini mungkin boleh berlaku disebabkan oleh buah pinggang yang tidak dapat berfungsi dengan sebaiknya serta anda tidak mempunyai enzim tertentu untuk membantu memecahkan asid urik yang terdapat dalam daging, sebarang sos berat serta makanan laut sehingga mengakibatkan pembentukan kristal urik asid dan memberi kesan sendi kaki anda menjadi merah, rasa panas dan bengkak.

6. Pad lemak kaki berkurangan

Masalah pad lemak kaki berkurangan atau dikenali sebagai Fat Pad Atropy lazimnya terjadi kepada individu yang mempunyai masalah kesihatan seperti penyakit autoimun. Ini menyebabkan tisu lemak di bahagian tumit akan semakin berkurangan dan mengakibatkan fungsi tisu lemak yang berperanan untuk menyerap hentakan dan tekanan pada bahagian kaki, khususnya tumit akan semakin merosot dan berkurangan.

Rawatan


Terdapat beberapa rawatan yang boleh dilakukan oleh pesakit untuk masalah sakit tumit ini. Ia adalah:

  1. Kurangkan berat badan jika berat berlebihan.
  2. Sentiasa memakai kasut yang sesuai iaitu yang mempunyai tapak yang lembut seperti yang diperbuat dari getah atau foam sepertimana terdapat dalam kasut sukan serta mempunyai lengkung sokongan (arch support) untuk memastikan tekanan pada tapak kaki serata dan mengurangkan keradangan.
  3. Meletak ais untuk mengurangkan radang dan bengkak.
  4. Menggunakan ubat anti-radang dan ubat tahan sakit .
  5. Rawatan fisioterapi
  6. Suntikan anti-radang pada tapak kaki oleh doktor bertauliah.

Jika kesemua diatas tidak juga berjaya mengurangkan sakit pada tapak kaki, maka pembedahan mungkin dibuat oleh doktor mengikut kriteria tertentu.

Cara untuk kurangkan dan elakkan sakit tumit


rawat-sakit-tumit

1. Senaman Tapak Kaki

Amalkan regangan tapak kaki supaya aliran oksigen dan darah di kawasan kaki dan tumit lancar.

2. Rendaman kaki

Rutin ini amat bagus untuk melegakan tekanan pada tapak kaki. Sediakan air suam yang dicampur garam kasar dan rendam kaki sehingga setengah jam sehingga tumit kaki berasa lebih relaks.

3. Pilih aktiviti riadah yang sesuai

Kurangkan aktiviti riadah yang memerlukan anda untuk berjalan atau berdiri pada masa yang lama seperti berjoging atau berlari. Cuba lakukan aktiviti yang kurang memberi tekanan kepada kaki sepertiberenang atau berbasikal.

4. Hadkan pergerakan

Kurangkan berjalan atau bergerak supaya dapat memberi rehat pada tumit anda terutama ketika mengalami radang akut (acute inflammation).

Rujukan

  1. Shamsudin, Dr. A. (2020, March 26). Sakit Tumit. Retrieved June 30, 2020, from columbiaasia
  2. Doktor, P., & Isa, A. (2020, June 04). Selalu Sakit Tumit? Ini 13 Punca Yang Perlu Anda Tahu, No #8 PALING Tak Sangka! Retrieved June 30, 2020,

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.