Buah Dabai atau ‘Sibu Olive’ : Manfaat dan khasiat nya.

khasiat buah dabai

Buah dabai atau nama saintifik nya Canarium odontophyllum adalah buah yang amat popular di Sabah, Sarawak dan juga Brunei. Buah ini tergolong dalam keluarga Burseraceae. Buah ini dapat dijumpai di Pulau Borneo, khususnya di wilayah Sibu dan Kapit di Sarawak. Buah ini dikenali sebagai ‘Sibu Olive’ kerana tekstur dan rasanya menyamai buah zaitun.

Rasa Buah Dabai

Rasa berlemak buah ini menyebabkan ia ada peminatnya yang tersendiri. Buah yang dipetik dari pokok perlu direndam dalam air suam sekitar 15 minit untuk tujuan melembutkan isinya sebelum dimakan. Setelah isinya lembut, buah ini kebiasaannya dimakan bersama gula atau kicap.

Ini adalah cara tradisional yang biasa dipraktikkan dikalangan penduduk Sabah dan Sarawak. Selain cara tradisional pemakanan buah ini, buah ini turut dikomersialkan kepada beberapa jenis produk seperti buah dabai beku, jus dabai, mayonis dabai, halwa dabai (dabai yang diawet), sos dabai dan bahan perasa seperti pes dabai.

Harga

Buah ini biasa dijual di pasar-pasar di Sabah dan Sarawak pada harga RM20 per kilogram dan ia mampu mencecah sehingga RM40 satu kilogram bergantung kepada jenis dan kualitinya. Untuk pengetahuan ramai, buah ini hanya berbuah pada musim tertentu.

Walaupun dabai biasa dimakan di Sarawak, buah ini tetap asing bagi orang di luar kawasan (Semenanjung Malaysia) kerana ianya tidak dipromosikan secara agresif, dan ini menyebabkan potensi ekonominya belum dapat dibangunkan sepenuhnya. Saiz buah ini seperti buah kurma iaitu sekitar 3 sentimeter dan warna kulitnya seakan-seakan buah anggur hitam.

Kandungan Buah Dabai

Berat kulit buah ini adalah sekitar 7 peratus dari keseluruhan berat buah ini.  Manakala, 70 peratus daripada berat buah ini adalah berat isinya. Buah ini mengandungi 22% kandungan lemak, 3% kandungan protein, 9% karbohidrat dan 15% kandungan fiber. Rasa berlemak yang unik pada buah ini menarik ramai orang terutamanya peminat buah avocado atau buah kerana persamaan sifat ‘berlemak’nya.

Komposisi lemak yang seimbang (kandungan asik lemak tepu sebanyak 47%, kandungan asid lemak tidak tepu sebanyak 40%) menyamai atau seakan-seakan kandungan lemak pada  minyak kelapa sawit. Kedua-dua minyak dari buah dabai dan minyak kelapa sawit kaya dengan lemak asid palmitik. Kajian ketoksikan juga menunjukkan buah ini selamat untuk dimakan di mana kajian ketoksikan terhadap arnab menunjukkan tiada kesan ketara kenaikan paras penunjuk ketoksikan (alanin aminotransferase dan aspartate aminotransferase)

Khasiat Penting Buah Dabai

Dua khasiat penting buah dabai yang perlu masyarakat Malaysia tahu adalah :

  1. Buah dabai mengandungi kandungan antioksidan (antocyanidin) yang tinggi, terutamanya di bahagian kulitnya. Warna ungu gelap kulit buah dabai ini menunjukkan satu kali ganda kandungan antioksidan lebih tinggi berbanding isinya. Kandungan antioksidan yang tinggi mampu melawan penyakit-penyakit dan risiko kanser.
  2. Kajian terhadap minyak yang diekstrak dari buah dabai ini mendapati minyak ini mempunyai kesan pencegahan terhadap risiko penyakit kardiovaskular seperti penyakit jantung dan hiperkolestrolemik. Kajian ini telah dilakukan terhadap haiwan kajian iaitu arnab di mana pemberian makan buah ini mengurangkan jumlah kolesterol plasma dan kolesterol LDL plasma arnab hiperkolesterolemik berbanding dengan arnab kawalan. Kajian ini membuktikan jika kita mengamalkan pemakanan buah dabai mampu menyeimbangkan paras kolesterol dalam darah lantas mengurangkan risiko penyakit jantung.

Dalam keadaan zaman sekarang di mana kita lebih terdedah dengan pelbagai penyakit-penyakit kronik dan berbahaya termasuk Coronavirus dan pelbagai penyakit lain, sudah pasti kita rakyat Malaysia perlu lebih cergas untuk menyambut seruan kerajaan Malaysia untuk meningkatkan pengambilan buah-buahan dan sayuran bagi mengekang penyakit-penyakit berleluasa di dalam masyarakat kita.

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, dengan mengamalkan pemakanan buah dabai ini mampu membantu rakyat malaysia untuk memilih atau mendapatkan sumber lemak semulajadi yang lebih sihat dari buah-buahan tempatan berbanding sumber lemak yang berbahaya dan merosakkan badan dan kesihatan terutamanya dari makanan-makanan yang bergoreng, mee segera, dan makanan ringan. Selain menjadikkan buah dabai ini sebagai sumber minyak/lemak yang sihat, ia juga boleh digunakan dalam penghasilan makanan-makanan harian kita seperti dalam penyediaan salad dan pelbagai menu sajian yang lain.

Rujukan :

  1. Evaluation of Acute Toxicity Induced by Supercritical Carbon Dioxide Extract of Canarium odontophyllum (CO) Miq. Pulp Oil in SPF Sprague Dawley Rats
  2. Lim, A., N. T. R. N. Kumara, A. L. Tan, A. H. Mirza, R. L. N. Chandrakanthi, M. I. Petra, L. C. Ming, G. K. R. Senadeera, and P. Ekanayake. 2015. Potential natural sensitizers extracted from the skin of Canarium odontophyllum fruits for dye-sensitized solar cells. Spectrochim. Acta – Part A Mol. Biomol. Spectrosc. 138:596–602 Available at http://dx.doi.org/10.1016/j.saa.2014.11.102.
  3. Kadir, N. A. A. A., A. Azlan, F. Abas, and I. S. Ismail. 2018. Beneficial effect of supercritical carbon dioxide extracted (SC-CO2) Dabai (Canarium odontophyllum) pulp oil in hypercholesterolemia-induced SPF sprague-dawley rats. Nat. Prod. Commun. 13:1583–1586.
  4. Azlan, A., Prasad, K. N., Khoo, H. E., Abdul-Aziz, N., Mohamad, A., Ismail, A., et al. (2010). Comparison of fatty acids, vitamin E and physicochemical properties of Canarium odontophyllum Miq. (dabai), olive and palm oils. J. Food Compos. Anal. 23, 772–776. doi: 10.1016/j.jfca.2010.03.026
  5. Faridah Hanim, S., Azrina, A., Khoo, H. E., and Amin, I. (2015). Protective effects of pulp and kernel oils from Canarium odontophyllum fruit in normal and hypercholesterolemic rabbits. Int. Food Res. J. 22, 1318–1326.
  6. https://doa.sarawak.gov.my/page-0-0-412-AGRICULTURE-RESEARCH-CENTRE-BACKGROUND.html

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

1 × 4 =

Open

Close