Penanaman taugeh merupakan antara tanaman yang paling mudah dan cepat. Namun, terdapat cara dan teknik yang betul untuk mendapatkan hasil yang segar dan selamat.
Taugeh dikenali sebagai tanaman yang tidak memerlukan penjagaan yang rapi, malah perlu dibiarkan tanpa diganggu selama beberapa hari. Taugeh juga tidak perlu dibaja dan tidak memerlukan tanah. Ini menjadikan penanaman taugeh sebagai pilihan terbaik bagi mereka yang ingin bercucuk tanam di rumah.
Walaubagaimanapun, aspek penting yang perlu diutamakan ialah menghasilkan taugeh yang segar dan selamat untuk dimakan. Pemilihan kacang hijau atau kacang hitam yang berkualiti, penggunaan air bersih, dan kawasan penanaman yang bersih adalah faktor penting untuk memastikan keselamatan taugeh.
Kelebihan Taugeh
Terdapat beberapa kelebihan menanam taugeh. Ia adalah:
- Mudah dan cepat ditanam.
- Tidak memerlukan tanah atau baja.
- Kaya dengan nutrien seperti protein, enzim, serat, antioksidan, asid lemak, dan vitamin.
- Sesuai dimakan mentah atau dimasak.
- Pilihan ideal untuk menu diet harian.
Cara-Cara Menanam Taugeh
1. Pemilihan Benih Berkualiti
Taugeh ditanam melalui percambahan kekacang seperti kacang hijau (Vigna radiata) atau kacang hitam (Vigna mungo). Untuk menghasilkan taugeh yang sihat dan bersaiz besar, pilihlah kacang yang besar dan bernas. Pastikan benih tidak berkedut, tidak pecah, dan bebas daripada serangga perosak.
2. Merendam Benih
Rendam benih kacang selama 8 hingga 10 jam. Proses ini membantu melembutkan kulit kacang dan mempercepatkan proses percambahan. Buang kacang yang terapung kerana ia tidak akan bercambah dengan baik.
Selepas itu, cuci kacang dengan air bersih sehingga air menjadi jernih untuk memastikan kebersihan dan kualiti taugeh.
3. Menyediakan Bahan untuk Penanaman
Gunakan bekas bertapis seperti penapis plastik atau periuk kukus. Alas bekas dengan kain bersih (contohnya tuala ‘Good Morning’) atau tisu dapur di bahagian bawah dan atas benih. Tujuan alas ini adalah untuk mengekalkan kelembapan dan mengelakkan air bertakung yang boleh merosakkan benih.
4. Menabur Benih
Toskan kacang selepas direndam dan taburkan di atas kain atau tisu dalam bekas. Ratakan benih agar pertumbuhan taugeh lebih sekata. Selepas itu, tutup benih dengan kain basah untuk memastikan kelembapan berterusan sepanjang proses percambahan.
5. Menyimpan di Tempat Gelap
Simpan bekas di tempat gelap atau tutup dengan kain hitam bagi mengelakkan pendedahan kepada cahaya. Cahaya boleh menyebabkan taugeh menjadi kurus dan panjang. Pastikan tempat penyimpanan bersih dan jauh dari bahan kimia untuk mengelakkan pencemaran.
6. Penyiraman
Siram taugeh 3 hingga 4 kali sehari menggunakan air bersih. Pastikan air lebihan disalirkan untuk mengelakkan air bertakung yang boleh menyebabkan bau busuk dan pembiakan bakteria. Air yang digunakan mestilah bersih dan bebas daripada pencemaran untuk memastikan pertumbuhan taugeh yang sihat.
7. Menuai Hasil
Taugeh boleh dituai selepas 3 hingga 4 hari. Setelah dituai, cuci taugeh dan asingkan dari kulit kacang. Kemudian, toskan dan simpan dalam bekas kedap udara di dalam peti sejuk untuk mengekalkan kesegaran sehingga seminggu.
Tips Tambahan untuk Hasil Lebih Berkualiti
- Gunakan Air Bertapis: Air yang bersih membantu mengelakkan pencemaran dan bau.
- Elakkan Siraman Berlebihan: Air yang berlebihan boleh menyebabkan benih rosak.
- Gunakan Kain Lembut: Kain tebal boleh menghalang pertumbuhan taugeh.
- Kawalan Suhu: Simpan taugeh di tempat yang tidak terlalu panas atau lembap.
Kesimpulan
Taugeh merupakan sayuran yang mudah ditanam di rumah tanpa memerlukan banyak kos dan masa. Selain murah, taugeh juga kaya dengan pelbagai nutrien yang bermanfaat untuk kesihatan.
Dengan mengikuti langkah-langkah penanaman yang betul, anda boleh menikmati taugeh yang lebih bersih, segar, dan selamat dimakan. Cubalah tanam taugeh sendiri di rumah dan nikmati hasilnya!