Ubat Arang: kegunaan, Dos & Kesan Sampingan

ubat pil arang

Apakah kegunaan ubat atau pil arang? Artikel ini akan membincangkan kegunaan ubat arang dalam perubatan, dos dan kesan sampingan ubat ini.

Arang ubatan (medicinal atau activated charcoal) kerap mengingatkan penulis kepada suatu pengalaman paling ‘menyiksakan’ ketika saya terkena cirit-birit yang agak ketara dalam zaman masih seorang pelajar farmasi. Justeru, dah alang teringat-ingat peristiwa lama, penulis berhasrat untuk memperkenalkan serba sedikit berkenaan pil arang tersebut sebagai panduan bersama juga.

Penggunaan

Penggunaan arang ubatan tidak dinyatakan secara rasmi dalam FDA, namun begitu indikasi yang agak senang dijumpai berlegar dalam fungsi-fungsi tersebut:

  • Keracunan berkaitan ubat-ubatan dan bahan kimia organik lain (pengecualian akan dibincang dalam karangan ini)
  • Keracunan makanan
  • Cirit-birit, muntah-muntah, kembung perut (pemberian ubat dalam kalangan kanak-kanak tidak digalakkan kebiasaannya)
  • Keracunan buah pinggang berkaitan simptom uremia (pengumpulan protein dalam buah pinggang berlebihan yang tidak boleh dikeluarkan dari badan)
  • Kegatalan daripada hemodialisis (bagi pesakit buah pinggang).

Arang kerap dijumpai dalam pil berkekuatan 200 – 250 g arang ubatan, dan dalam bebutir kecil 50g, dijual dalam pelbagai jenama. Arang ubatan boleh didapati di farmasi komuniti berhampiran dan terdapat di sesetengah hospital dan klinik kesihatan.

Dos

Dos yang biasa diberikan kepada pesakit selalu menjurus kepada indikasi tertentu.

  • Cirit-birit dan muntah: 2-4 biji (atau 1-2 biji bagi kanak-kanak) dalam sela masa 4 – 6 jam. (ataupun 2 – 3 kali sehari)
  • Kekembungan perut (dewasa): 1 – 2 biji boleh diberikan secepat mungkin selepas makan dan diulang semula pada sela masa 2 jam sehinggalah kembung perut tiada.
  • Keracunan berkaitan ubat-ubatan: diberi mengikut berat badan (0.5 – 1 g/kg berat badan, dos kanak-kanak bawah setahun: 1 g/kg), jadi kebiasaanya paling kurang pesakit dewasa akan biasanya mengambil sehingga 2 – 4 biji per berat badan, dan kanak-kanak atas dari setahun boleh mengambil dari 3 – 4 biji per berat badan, semuanya dalam satu dos sahaja ataupun boleh diambil selang 6 – 8 jam jika digunakan secara kerap.

Cara Pengambilan Ubat

Bagaimana cara pengambilan ubat tersebut?

  • Dewasa dan kanak-kanak lebih 12 tahun: ditelan dengan air mineral dalam kuantiti yang banyak, tidak perlu dikunyah
  • Kes toksisiti melibatkan kecemasan ataupun dalam Unit Rawatan rapi (ICU):
    • Pesakit masih dalam keadaan sedar: doktor ataupun jururawat di bawah pengawasan pegawai perubatan biasanya mencampurkan arang tersebut dengan air dijadikan sebagai sebuah paste (konsistensi ubat seakan-akan ubat gigi yang biasa digunakan untuk memberus gigi) dan diberikan secara perlahan-lahan dalam kuantiti yang kecil dan secara berterusan kepada pesakit.
    • Pesakit tidak sedarkan diri: Ampaian ubat diberikan melalui tiub gastrik, boleh juga dicampurkan bersama sebatian garam elektrolit penuh atau salina isotonik bagi dos pelbagai.
    • Dalam kes toksisiti juga, penggunaan arang ubatan juga digalakkan untuk diambil bersama 1 sudu teh (atau ½ – 1 sudu teh dalam kanak-kanak) sebatian garam natrium sulfat (sodium sulfate atau garam Glauber) yang dilarutkan dalam segelas air 30 – 60 minit selepas mengambil dos ubat arang demikian. Ini disebabkan garam Glauber berfungsi sebagai ubat laksatif (ubat yang mendorong pergerakan usus untuk memudahkan proses nyahtinja tahi) yang membolehkan bahan toksik terbabit dapat dikeluarkan secepat mungkin dan mencegah penyerapan oleh badan.

Penyimpanan

Ubat biji dan bebutir ubat arang biasanya perlu disimpan dalam suhu kering dan dingin. Jangan disimpan dalam ruang melebihi 30°C.

Cara Ubat Berfungsi

Ubat arang dihasilkan melalui proses penyulingan musnah (destruction distillation) ataupun proses pirolisis (pyrolysis) bahan organik seperti batang kayu, yang kemudiannya dibakar dalam sebatian gas teroksida dalam suhu tinggi menghasilkan arang yang membentuk liang-liang kecil di dalamnya, lalu menambahkan luas kawasan permukaannya.

Struktur sedemikian memberikan ruang agak berguna buat ubat arang menyerap segala jenis bahan organik dan ubat-ubatan serta bahan kimia yang diambil pesakit, serta toksik dihasilkan bakteria dan virus dan juga dari sumber tumbuh-tumbuhan sekali. Disebabkan hal sedemikian jugalah, ubat arang amat berpotensi melegakan kesakitan berkaitan sistem penghadaman badan terutama kekembungan perut, muntah, sakit perut dan cirit-birit serta keracunan makanan dan ubat-ubatan.

Kesan sampingan

Kesan sampingan biasa

  • Muntah-muntah
  • Cirit-birit
  • Sembelit

Kesan sampingan serius

  • Aspirasi pulmonari (arang tersedut masuk ke sistem pernafasan) – digunakan secara berhati-hati jika pesakit ada kegagalan akut sistem pernafasan, sindrom gangguan respiratori akut, bronchilosis obliterans (paru-paru jagung) ataupun penyakit paru-paru kronik
  • Tekanan darah rendah (jarang)
  • Ketidakseimbangan elektrolit (garam) dalam tubuh badan (jarang)
  • Gangguan sistem penghadaman yang ketara (jarang)

Penggunaan ubat arang adalah amat tidak sesuai diberikan pada pesakit-pesakit sedemikian:

  • Kanak-kanak (bawah 1 tahun tidak sesuai)
  • Keracunan bahan kimia organik berasaskan sianida, asid mineral, alkali kuat mengkakis (sodium hidroksida dalam peluntur misalnya), zat besi dan keracunan melibatkan alkohol (metanol, etanol ataupun etilena glikol secara khususnya)
  • Kecacatan atau kelompangan sistem penghadaman badan (kecacatan struktur anatomi sistem penghadaman, penghadangan dalam sistem penghadaman yang disebabkan pelbagai faktor, pendarahan, serta kemunculan lubang-lubang dalam sistem penghadaman (gastrointestinal perforation)
  • Kegagalan buah pinggang (sesetengah sediaan ubat arang bersama katarsis dan laksatif – ubat lawas berak – mengurangkan penyerapan elektrolit penting untuk tubuh badan pesakit)
  • Mengandung dan menyusukan anak (hanya jika betul-betul memerlukan saja)

Peringatan (Precautions)

  • Arang ubatan lebih bagus digunakan dalam waktu perut kosong (sebelum makan) ataupun diambil kira-kira 2 jam selepas makan. Jika sistem penghadaman pesakit agak laju, boleh diambil 1 jam selepas makan.
  • Arang ubatan tidak boleh diambil bersama pengambilan ubat-ubatan kronik lain (jika ada), sebaik-baiknya asingkan pengambilan ubat-ubatan dan arang selama 2-4 jam.
  • Jangan makan ubat arang bersama-sama makanan, susu dan bahan terbitan susu (lebih-lebih lagi ais krim, sherbet dan sebagainya) serta ubat-ubatan lain.
  • Pengambilan sirap ipecac untuk batuk-batuk bersama arang ubatan perlu diasingkan paling kurang selang 2 jam.
  • Pengambilan arang bersama sorbitol (dalam sesetengah sediaan, sorbitol juga berfungsi sebagai laksatif) perlu dikurangkan untuk mengelak kehilangan garam dari tubuh badan. Dalam kes toksisiti melibatkan cecair mudah meruap atau bahan hasil penyulingan petroleum, penggunaan laksatif sorbitol dengan arang ubatan boleh diambil bersama tetapi tidak boleh digunakan secara kerap kerana boleh mengganggu sistem penghadaman badan pesakit.
  • Jika pesakit didapati mengalami simptom-simptom berkaitan gangguan sistem penghadaman ataupun aspirasi pulmonari, segeralah berjumpa doktor.

Interaksi antara ubat

Seperti yang dibincangkan sebentar tadi, pengambilan kebanyakan ubat kronik dan ubat-ubat lain akan mengurangkan kesan terapeutik ubat mereka kerana diserap terlebih dahulu dengan ubat-ubatan.

  • Sirap ipecac (ubat batuk sediaan herba) mengurangkan kesan terapeutik sirap.
  • Pengambilan methionine (antara ubat penyelamat bagi keracunan paracetamol dan sakit hati) kurang diserap badan apabila diambil bersama arang ubatan.

Pengambilan makanan turut mempengaruhi keefektifan arang ubatan, seperti:

  • Sherbet dan marmalade (buah-buahan sitrus yang diperam)
  • Susu dan terbitan susu (keju, yogurt, ais krim)

Namun begitu, adalah amat penting untuk bertanyakan terlebih dahulu pada doktor atau farmasis anda jika ada sebarang keraguan berkaitan ubat anda.

Kesan terlebih dos

Ubat arang jika diambil berlebihan sebenarnya boleh juga menjadi toksin kepada badan sendiri, biasanya muncul dengan kesan sampingan biasa dan serius seperti yang telah dibicarakan di atas. Namun begitu, kes tersebut jarang-jarang dijumpai.

  • Kes ringan dan sederhana: Rawatan diberikan secara simptomatik dan sebagai alat sokongan untuk memudahkan pesakit.
  • Kes serius: Sama seperti rawatan untuk kes ringan dan sederhana tetapi dengan pengecualian:
  • Aspirasi pneumonia: Simptom yang boleh terjadi pada pesakit yang mengalami aspirasi pulmonari. Rawatan dikawal menerusi parameter penting: kepekatan gas oksigen dalam pembuluh arteri, nadi oksimetri, serta ujian fungsi pulmonari, dan ujian X-ray pesakit. Prosedur yang mungkin diberikan melibatkan intubasi endotrakeal, ventilasi mekanikal untuk membantu pernafasan serta bronkoskopi.
  • Penilaian doktor juga perlu dilakukan untuk mengenalpasti keaktifan sistem penghadaman pesakit, menerusi pengawalan simptom-simptom yang kerap dilihat: abdomen badan tegang dan kesakitan, muntah-muntah dan sembelit.
  • Ketidakseimbangan elektrolit badan: pemberian garam elektrolit menerusi saluran intravena dengan normal salina boleh difikirkan jika pesakit kehilangan garam penting agak banyak dari badan.

Rujukan:

  1. Cupisti, A., Piccoli, G. B., & Gallieni, M. (2020). Charcoal for the management of pruritus and uremic toxins in patients with chronic kidney disease. Current Opinion in Nephrology and Hypertension, 29(1), 71–79.
  2. Charcoal, activated. Dalam: MIMS Online
  3. Micromedex

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

3 × one =

Open

Close