Migrain: Punca, Simptom dan Rawatan

punca migrain

Apakah punca kepada masalah migrain? Artikel ini akan membincangkan punca migrain, simptom dan rawatan kepada masalah ini.

Pengenalan

Setiap orang pasti pernah mengalami migrain sekurang-kurangnya sekali seumur hidup. Berbeza dengan sakit kepala biasa, migrain merupakan penyakit neurologi yang mempunyai simptom-simptom tertentu seperti perubahan deria yang juga dikenali sebagai aura.

Mengikut kajian, masalah sakit kepala ini telah mempengaruhi sekitar 1 bilion individu di seluruh dunia. Selain faktor genetik, golongan wanita adalah lebih kerap untuk mendapat migrain berbanding lelaki dengan nisbah 3:1. Bukan sahaja menyakitkan, malah ia juga boleh menganggu aktiviti seharian seseorang. Lebih daripada 90% penghidap tidak dapat bekerja, belajar atau melakukan aktiviti secara normal semasa serangan migrain.

Walaupun masalah ini boleh sembuh dengan sendiri, tetapi ia juga boleh menjadi simptom bagi penyakit-penyakit tertentu. Artikel ini akan menerangkan dengan lebih lanjut mengenai punca, simptom serta rawatan bagi masalah sakit kepala ini.

Punca Migrain

Walaupun punca migrain masih tidak difahami secara menyeluruh, para penyelidik percaya bahawa faktor genetik dan persekitaran juga memainkan peranan. Selain itu, pengurangan hormon serotonin yang berfungsi untuk mengawal kesakitan pada saraf juga dipercayai mempunyai kaitan dengan masalah ini.

Punca lain yang boleh menyebabkan migrain termasuklah:

  • Persekitaran seperti lampu yang terang, bunyi atau bau yang kuat
  • Cuaca yang terlalu panas atau sejuk
  • Kekurangan air (dehidrasi)
  • Perubahan hormon semasa haid, kehamilan atau menopaus
  • Pengambilan pil perancang atau terapi penggantian hormon
  • Aktiviti fizikal yang berlebihan
  • Tekanan emosi
  • Pemakanan tidak sihat seperti makanan masin, pemanis buatan atau penambah rasa monosodium glutamat (MSG).
  • Tidak mengambil makanan yang cukup juga boleh menyebabkan penurunan kandungan gula dan sakit kepala.
  • Pengambilan kafein dan alcohol secara berlebihan
  • Merokok
  • Perubahan corak tidur seperti tidur yang terlalu banyak atau terlalu sedikit
  • Pengambilan ubat secara berlebihan – sekiranya anda sering mengambil ubat untuk migrain melebihi 10 hari dalam sebulan, anda mungkin boleh mengalami ‘rebound headache’ iaitu sakit kepala disebabkan oleh ubat yang berlebihan.

Simptom

Terdapat empat fasa migrain yang berbeza. Namun begitu, seseorang tidak semestinya melalui ke semua fasa sebelum mengalami sakit kepala ini.

1. Fasa prodrom

Fasa ini merupakan fasa pertama migrain yang boleh terjadi dalam 1-2 hari sebelum mendapat mengelami sakit kepala. Antara simptomnya ialah:

  • Gangguan emosi seperti rasa tertekan
  • Kurang selera makan atau mengidam makanan
  • Sembelit
  • Keresahan
  • Leher berasa tegang
  • Muntah dan loya

2. Aura

Fasa kedua ini boleh muncul sebelum atau semasa sakit kepala. Aura bermula secara berperingkat dan biasanya berlaku sekitar 20 minit – 1 jam. Antara simptomnya ialah:

  • Melihat seolah-olah ada kelipan atau garisan zig-zag
  • Sukar untuk melihat
  • Berasa sensasi menyucuk di tangan atau kaki
  • Lemah atau kebas pada satu sisi badan
  • Sukar bercakap
  • Mendengar bunyi yang tidak ad
  • Sukar mengawal pergerakan

3. Sakit kepala (migrain)

Sakit kepala ini biasanya bermula secara beransur-ansur dan kemudian menjadi lebih teruk. Antara simptom yang boleh di alami ialah:

  • Sakit kepala berdenyut
  • Sakit di satu sisi kepala
  • Sensitif terhadap cahaya, bunyi atau bau
  • Sakit kepala yang menjadi teruk melalui pergerakan, batuk atau bersin

4. Postdrome

Fasa terakhir ini boleh berlangsung dalam masa 24 jam selepas serangan migrain. Antara simptomnya ialah:

  • Rasa letih dan lesu
  • Lemah
  • Keliru
  • Pening
  • Gangguan emosi
  • Sensitif terhadap cahaya, bunyi atau bau

Penyakit Lain yang Berkaitan

Simptom sakit kepala yang kerap berlaku boleh juga terjadi sekiranya seseorang mempunyai keadaan lain seperti:

  • Cluster headache
  • Jangkitan kuman di bahagian otak
  • Kanser otak
  • Pendarahan otak
  • Brain aneurysm

Ujian Pemeriksaan

Kebanyakan masalah ini boleh di diagnos secara klinikal iaitu melalui sejarah kesihatan pesakit serta pemeriksaan fizikal. Namun, sekiranya doktor mengesyaki bahawa migrain yang terjadi adalah disebabkan oleh penyakit tertentu, maka beberapa ujian lain akan dilakukan seperti

1. CT Scan dan MRI

Untuk melihat jangkitan kuman di bahagian otak, tumor, atau sebarang pendarahan di otak.

2. Lumbar puncture (air tulang belakang)

Dilakukan jika migrain berlaku disebabkan oleh jangkitan kuman di bahagian otak

Rawatan Migrain

Rawatan boleh dibahagi kepada dua iaitu ketika serangan migrain dan rawatan pencegahan.

Semasa serangan migrain

Ketika ini, pesakit akan diberikan beberapa jenis ubat bagi membantu mengurangkan simptom. Antaranya ialah:

  • Ubat tahan sakit seperti NSAIDs (Mefenemic Acid, Ibuprofen dan Diclofenac)
  • Ubat migrain seperti Triptans dan Ergot alkaloids(Sumatriptan, Rizatriptan dan lain-lain)
  • Ubat muntah seperti Metoclopramide atau Promethazine

Rawatan pencegahan

Rawatan ini dilakukan bertujuan untuk:

  • Mengurangkan simptom pesakit serta kekerapan serangan sakit kepala
  • Mengembalikan kualiti hidup pesakit yang mungkin telah terjejas disebabkan oleh penyakit ini.

Namun begitu, rawatan ini hanya akan diberikan kepada pesakit yang memenuhi kriteria seperti

  • Sakit kepala yang kerap sekurang-kurangnya 2 kali dalam masa sebulan
  • Sakit kepala melebihi 24 jam
  • Aktiviti harian yang terjejas
  • Simptom masih kekal walaupun telah mengambil ubat
  • Kerap menggunakan ubat tahan sakit iaitu sekitar 2 kali seminggu

Antara ubat yang diberikan (dan memerlukan preskripsi doktor) ialah:

  • Ubat tekanan darah tinggi seperti Propranolol atau Timolol
  • Ubat sawan seperti Sodium Valproate
  • Ubat anti-depressant seperti Amitryptiline

Pencegahan

Antara langkah pencegahan yang boleh anda cuba bagi mengelakkan migrain ialah:

  • Ketahui apa yang mencetuskan migrain anda dan elakkan perkara tersebut
  • Kekal hidrat melalui pengambilan air sekurang-kurangnya 8 gelas sehari
  • Ambil makanan yang sihat serta elakkan melangkau masa makan
  • Dapatkan tidur yang cukup dan berkualiti
  • Berhenti merokok
  • Kurangkan pengambilan kafein dan minuman beralkohol
  • Belajar mengatasi tekanan dengan cara yang
  • Kerap bersenam. Ini kerana penyelidik percaya bahawa obesiti juga mempunyai kaitan dengan migrain.

Rujukan

  1. Migraine facts. (2021, January 15). Retrieved February 22, 2021
  2. Nall, R. (2017, December 20). Everything you want to know about migraine. Retrieved February 22, 2021, from Healtline
  3. Chawla, J. (2020, June 10). Migraine Headache Differential Diagnoses. Emedicine.
  4. Saad, L. (2020, November 29). Migrain: Punca, Simptom dan Rawatan. The Diagnosa.
  5. Migraine. (2021). MedlinePlus.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

eight + seventeen =

Open

Close