10 Khasiat Kubis Yang Anda Perlu Tahu

khasiat kubis

Tahukah anda apakah nutrisi yang terdapat di dalam kubis dan kebaikannya kepada kesihatan kita? Artikel ini akan membincangkan mengenai khasiat kesihatan yang ada pada kubis.

Pengenalan

Kubis atau nama saintifiknya Brassica oleracea adalah sejenis sayuran berdaun yang tergolong dalam keluarga Brassica seperti brokoli, sayur park choy dan bunga kubis. Ia mempunyai rupa seperti salad yang mempunyai banyak lapisan daun yang boleh dimakan dan boleh didapati dalam pelbagai saiz serta bentuk.

Kubis juga boleh didapati dengan pelbagai warna termasuklah kubis merah, ungu, hijau ataupun putih. Kubis seringkali dijadikan sayuran di dalam masakan seperti nasi goreng dan juga sayur lemak.  Selain itu, ia juga seringkali dijadikan bahan utama di dalam makanan seperti coleslaw dan kimchi.

Kandungan nutrisi

Tidak dinafikan, kubis juga mempunyai nutrisi yang baik. Jadual di bawah menunjukkan kandungan nutrisi yang ada di dalam 100g kubis.

NutrienJumlah (setiap hidangan 100g)
Kalori (kcal)25
Air (g)92.18
Karbohidrat (g)5.8
*Jumlah serat2.5
*Jumlah gula3.2
Protein (g)1.28
Jumlah lemak (g)0.10
Zat besi (mg)53170
Kalsium (mg)560
Magnesium (mg)130
Kalium (mg)3450
Zink (mg)0.18
Natrium (mg)50
Mangan (mg)0.160
Vitamin A (IU)98
Vitamin C (mg)36.60
Vitamin B1 (mg)0.061
Vitamin B2 (mg)0.040
Vitamin B3 (mg)0.234
Vitamin B6 (mg)0.124
Vitamin B9 (µg)43
Vitamin E (mg)0.03-0.20

Berdasarkan jadual di atas, dapat dilihat bahawa kubis mengandungi kalori yang sangat sedikit iaitu hanya kira-kira 25kcal dalam setiap 100g kubis segar. Selain itu, majoriti daripada kubis juga terdiri daripada air. Ia juga mengandungi serat, zat besi dan pelbagai jenis vitamin seperti vitamin C dan E.

Kandungan Berkhasiat Dalam Kubis

Kubis biasanya kaya dengan pelbagai komponen penting yang boleh memberi khasiat kepada kesihatan kita. Antara komponen yang dapat ditemui di dalam kubis termasuklah vitamin, mineral, serat dan antioksidan. Antara vitamin yang boleh didapati di dalam kubis termasuklah vitamin A, C, dan E.

Vitamin-vitamin ini bertindak samada secara sendiri atau secara bersama bagi melawan radikal bebas yang boleh menyebabkan penyakit. Di samping itu, kubis juga mengandungi pelbagai jenis mineral seperti kalium, magnesium, dan mangan yang bagus untuk fungsi badan. Ia juga tinggi dengan zat besi yang memainkan peranan penting dalam proses pembentukan sel darah merah di dalam badan.

Selain itu, kubis juga merupakan sumber serat yang bagus di samping mempunyai pelbagai jenis antioksidan. Antara antioksidan yang ditemui di dalam kubis ini termasuklah vitamin C, vitamin A, karatenoid, fenol dan flavonoid. Kubis juga mengandungi glucosinolates, iaitu sejenis komponen yang mengandungi sulfur yang memberi rasa pahit kepada kubis. Komponen glucosinolates yang terurai akan menghasilkan beberapa produk seperti Isothiocyanates dan indoles yang mempunyai aktiviti antikanser seterusnya boleh membantu badan melawan kanser.  

10 Khasiat kubis kepada kesihatan

Memandangkan kubis mempunyai beberapa komponen yang penting untuk kesihatan, ia sekaligus memberi khasiat kepada kesihatan kita. Berikut adalah beberapa khasiat kubis kepada kesihatan:

1. Mengawal paras gula dalam darah

Antara khasiat kubis adalah ia boleh membantu mengawal paras gula dalam darah. Kubis mempunyai serat yang boleh membantu melambatkan penyerapan gula di dalam darah sekaligus boleh mencegah paras gula daripada menjadi tinggi secara mendadak.

Selain itu, ia juga tinggi dengan antioksidan yang boleh membantu dalam penghasilan insulin yang berperanan untuk  mengawal keseimbangan tahap gula dalam darah dan bertindak meningkatkan pengambilan gula oleh sel badan seterusnya boleh mencegah peningkatan paras gula dalam darah.

2. Menurunkan paras kolesterol dalam darah

Selain itu, kubis juga boleh membantu untuk menurunkan paras kolesterol dalam darah. Terdapat pelbagai kajian telah mendapati bahawa kubis mempunyai aktiviti hypolipidaemia yang boleh membantu menurunkan paras jumlah kolesterol dan kolesterol jahat (LDL-kolesterol) serta meningkatkan paras kolesterol baik (HDL-kolesterol).

Hal ini kerana kandungan serat yang terdapat di dalam kubis yang berperanan mengawal paras kolesterol dalam darah. Kubis juga mengandungi sejenis bahan dikenali sebagai phytosterol yang mempunyai struktur seperti kolesterol dan boleh menghalang penyerapan kolesterol di dalam sistem pencernaan sekaligus menurunkan paras LDL-kolesterol dalam darah.

3. Mengawal tekanan darah

Di samping itu, kubis juga boleh membantu mengawal tekanan darah. Hal ini kerana kubis mengandungi kalium yang berfungsi untuk mengawal otot jantung, menyebabkan salur darah mengembang, melancarkan aliran darah seterusnya menurunkan dan mengawal tekanan darah supaya menjadi normal.

Artikel Berkaitan: Tekanan Darah Tinggi

4. Mengurangkan risiko penyakit kardiovaskular

Oleh kerana manfaatnya dalam membantu menurunkan paras kolesterol dalam darah, kubis juga boleh membantu menurunkan risiko penyakit kardiovaskular sehingga 5%. Terdapat kajian yang dijalankan yang telah mendapati bahawa pengambilan diet yang tinggi sayur-sayuran seperti kubis boleh menyumbang kepada penurunan berat badan dan ukur lilit pinggang sekaligus berupaya menurunkan risiko mendapat penyakit kardiovaskular.

Artikel berkaitan: Sakit Jantung dan Angin Ahmar

5. Baik untuk sistem penghadaman

Di samping itu, kubis  juga bagus untuk sistem penghadaman dan boleh membantu mencegah masalah seperti sembelit. Hal ini kerana sayur kubis tinggi dengan serat yang penting untuk sistem penghadaman badan kerana fungsinya yang boleh meningkatkan kadar pergerakan usus sekaligus melancarkan sistem penghadaman makanan.

Kandungan prebiotik yang terdapat di dalam kubis juga berperanan penting dalam memastikan kesihatan usus yang baik sekaligus boleh membantu sistem penghadaman. Terdapat juga kajian yang menunjukkan bahawa ekstrak kubis boleh menghalang pembentukan ulser di perut yang boleh menyebabkan seseorang merasa pedih ulu hati, ketidakselesaan di perut dan loya.

Oleh itu, jelaslah bahawa kubis memainkan peranan yang penting dalam memastikan sistem penghadaman kita sentiasa dalam keadaan baik.  

6. Membantu menurunkan berat badan

Selain itu, kubis juga boleh membantu untuk menurunkan berat badan. Hal ini kerana sayur kubis mempunyai serat yang boleh memberi rasa kenyang dan puas apabila dimakan sekaligus mencegah seseorang daripada makan berlebihan. Serat yang ada di dalam kubis juga boleh mememberikan rasa kenyang yang berpanjangan.

Oleh itu, dapat dilihat bahawa kubis dapat mengawal nafsu makan seseorang seterusnya boleh membantu menurunkan berat badan.

7. Aktiviti antioksidan

Kubis juga adalah sumber makanan yang tinggi dengan antioksidan. Antara antioksidan yang terdapat dalam kubis termasuklah vitamin C, karatenoid, polifenolik, flavonoid dan produk glucosinalates hydrolysis  yang berperanan melawan radikal bebas sekaligus mampu mencegah penyakit.

Terdapat pelbagai kajian yang telah mendapati bahawa kubis putih mempunyai aktiviti antioksidan yang boleh membantu melawan radikal bebas dan juga membaiki kerosakan yang disebabkan oleh radikal bebas. Terdapat juga kajian yang menunjukkan bahawa aktiviti antioksidan di dalam kubis putih juga adalah lebih tinggi sekiranya kubis tersebut mengalami proses penapaian.

8. Mencegah keradangan

Selain itu, kubis juga berpotensi untuk mencegah keradangan yang boleh membawa kepada pelbagai jenis penyakit seperti kanser, gangguan metabolik (seperti diabetes) dan penyakit kardiovaskular.

Hal ini kerana kandungan antioksidan dan serat yang terdapat di dalam kubis yang mempunyai sifat antiradang sekaligus berpotensi menjadi terapi pencegahan dan mengurangkan kesakitan akibat keradangan.

Secara tradisionalnya, daun kubis juga telah digunakan oleh ibu yang menyusukan anak bagi merawat masalah bengkak susu seterusnya boleh menghalang keradangan pada payudara.

9. Baik untuk penyakit Alzheimer

Kubis juga didapati bagus untuk penyakit Alzheimer. Kajian telah mendapati bahawa kubis merah mempunyai kandungan anthocyanin yang boleh melindungi sel daripada radikal bebas yang boleh menyebabkan oksidatif stres yang membawa kepada kerosakan sel-sel di otak seterusnya menyebabkan penyakit Alzheimer.

Terdapat juga kajian yang mendapati bahawa kandungan isothiocyanate yang terdapat di dalam kubis juga boleh melindungi saraf daripada berlakunya penyakit Alzheimer.

10. Mencegah kanser

Akhir sekali, kubis juga berpotensi untuk mencegah kanser. Hal ini kerana kubis mempunyai aktiviti antikanser yang kebanyakannya disumbangkan oleh produk penguraian glucosinates seperti isothiocyanates, nitriles, thiocyanates, epithionitriles dan oxazolidines.

Kajian juga telah mendapati produk penguraian glucosinates seperti sulforaphane dan indole-3-carbino di dalam kubis putih yang mempunyai ciri-ciri antikanser dan mampu menghalang pembentukan kanser.

Kesimpulan

Kesimpulannya, dapat dilihat bahawa kubis mempunyai pelbagai komponen penting seperti antioksidan, vitamin dan mineral yang boleh memberi manfaat kesihatan kepada tubuh badan kita. Kubis berperanan penting untuk kesihatan tubuh badan seperti mengawal paras gula, kolesterol dan tekanan darah seterusnya mengurangkan risiko penyakit kardiovaskular.

Ia juga bagus untuk sistem penghadaman, baik untuk penyakit Alzheimer dan boleh membantu menurunkan berat badan. Kubis juga tinggi dengan aktiviti antioksidan, berpotensi mencegah keradangan dan kanser. Akhir sekali, diharapkan artikel ini dapat memberi manfaat kepada pembaca mengenai khasiat kubis kepada kesihatan.

Rujukan

  1. Adeoye, B. K., Adeyele, S. O., Adeyeye, J. A., Oyerinde, O. O., Olanrewaju, M. F., & Ani, I. F. (2019). Therapeutic Effect of White Cabbage (Brassica oleracea) Aqueous Extract on Hyperglycemia in Prediabetes-induced Male Albino Rats. Journal of Applied Sciences, 19(5), 413–420.
  2. Kubala, J. (2017). 9 Impressive Health Benefits of Cabbage. Healthline.
  3. Moreb, N., Murphy, A., Jaiswal, S., & Jaiswal, A. K. (2020). Cabbage. In Nutritional Composition and Antioxidant Properties of Fruits and Vegetables (pp. 33–54). Elsevier Inc.
  4. Šamec, D., Pavlović, I., & Salopek-Sondi, B. (2017). White cabbage (Brassica oleracea var. capitata f. alba): botanical, phytochemical and pharmacological overview. Phytochemistry Reviews, 16(1), 117–135.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

four × two =

Open

Close