Jangkitan Paru-paru: Punca, Simptom dan Rawatan

jangkitan paru-paru

Apakah punca dan simptom jangkitan paru-paru?

Artikel ini akan membincangkan berkenaan jangkitan paru-paru, punca-puncanya, rawatan dan faktor risiko.

Isi Kandungan
  1. Pengenalan
  2. Punca
  3. Simptom
  4. Faktor Risiko
  5. Komplikasi
  6. Ujian Pengesahan
  7. Rawatan

Pengenalan


Pneumonia = jangkitan kuman paru-paru.

Ini ialah penyakit yang menyebabkan radang dalam paru-paru akibat jangkitan kuman. Penyakit ini akan menyebabkan sistem pernafasan pesakit terganggu. Pneumonia mungkin akan berjangkit kepada salah satu atau kedua-dua paru-paru pesakit.

Penyakit ini amat merbahaya kerana sistem pernafasan ialah sistem yang memainkan peranan bagi menjamin manusia untuk terus hidup kerana sistem ini bertanggungjawab untuk membekalkan oksigen kepada seluruh organ tubuh badan kita. Oksigen ialah merupakan satu asas bagi setiap organ untuk meneruskan fungsi masing-masing.

Jika fungsi mereka tak dapat dijalankan, maka ini akan memberikan kesan buruk kepada badan kita, sekaligus mengancam nyawa dan boleh mengakibatkan maut.

Jangkitan kuman paru-paru amat merbahaya, lebih-lebih lagi untuk golongan kanak-kanak, warga emas, dan pesakit yang mempunyai masalah kesihatan atau lemah sistem immun badannya.

Punca jangkitan paru-paru


Para doktor dapat mengesan punca penyakit tersebut berdasarkan jenis jangkitan paru-paru pesakit. Di bawah tersenarai punca yang masyhur dalam kalangan pesakit, iaitu:

  • Jangkitan organisma sama ada:
    • Bakteria – Pneumococci, Mycoplasma, dan Chlamydia.
    • Virus – COVID19, Influenza, dan Herpes simplex.
    • Fungi – Pneumocystitis carinii, dan candida.
    • Parasit – Toxoplasma.
  • Bahan kimia.
  • Selepas radioterapi di kawasan dada.

Simptom Jangkitan Paru-paru


Simptom jangkitan paru-paru mudah untuk dikesan kerana penyakit ini banyak memberi kesan kepada sistem pernafasan manusia. Antaranya ialah:

  • Batuk-batuk.
  • Sukar untuk bernafas.
  • Sakit dada. Terutama semasa hirup nafasa secara dalam dan batuk-batuk.

Ada juga simptom-simptom lain di luar sistem pernafasan pesakit iaitu:

  • Demam.
  • Sakit kepala.
  • Berpeluh dengan banyak.
  • Rasa tidak selesa.
  • Hilang selera untuk makan.
  • Rasa mual dan muntah, terutama untuk kanak-kanak.

Faktor risiko untuk dijangkiti jangkitan paru-paru


Gaya hidup yang sihat adalah antara langkah asas untuk mengelakkan badan kita terhindar daripada penyakit pneumonia. Senarai berikut ialah faktor-faktor yang dapat memberi risiko kita menghadapi penyakit jangkitan kuman paru-paru:

  • Minum Arak.
  • Merokok.
  • Splenektomi (Pembedahan bertujuan untuk membuang limpa daripada badan pesakit secara keseluruhan).
  • Lemah sistem imum
  • Mempunyai penyakit lain di paru-paru.

Komplikasi


Selain memberi kesan kepada pernafasan pesakit, penyakit ini juga boleh menghasilkan komplikasi kepada tempat lain. Berikut ialah contoh-contohnya:

  • Meningitis.
  • Bakteremia, iaitu bakteria mengalir dalam darah. Ini boleh menyebabkan bakteria tersebar ke organ-organ lain, menyebabkan kerosakan pada sistem-sistem badan yang lain.
  • Paru-paru berair (pleural effusion).

Ujian pengesahan


Terdapat beberapa ujian yang perlu dilakukan untuk mengesahkan jangkitan ini. Ujian tersebut adalah:

1. Imbasan X-ray

Imbasan x-ray dilakukan pada kawasan dada pesakit. Langkah ini akan membantu doktor untuk memeriksa jenis penyakit pneumonia pesakit, serta tempat dan tahap penyakit itu merebak. Walau bagaimanapun, ujian ini tidak dapat menentukan jenis kuman yang menyebabkan jangkitan kuman tersebut.

2. Ujian darah

Ujian darah boleh digunakan untuk melihat bilang sel darah putih pesakit. Selalunya jika terdapat jangkitan paru-paru, sel darah putih akan meningkat dengan tinggi.

Ujian darah juga boleh digunakan untuk mengenalpasti kuman yang menyebabkan penyakit ini. Namun, hanya 30% daripada kes sahaja yang dapat dikesan kuman sepert Strep pneumoniae dalam darah mereka.

3. Pemeriksaan sputum (kahak)

Ujian ini dijalankan dengan menganalisis kahak pesakit untuk mengesan organisma yang menyebabkan berlakunya pneumonia.

4. Pulse oximetry.

Ini adalah untuk mengesan aras oksigen dalam darah pesakit kerana pneumonia dapat menghalang paru-paru daripada membekalkan kandungan darah yang mencukupi kepada aliran darah dalam badan pesakit.

5. CT scan.

Jika imbasan x-ray tidak dapat memberi maklumat yang cukup untuk diagnosis doktor, mereka akan melakukan CT scan. Langkah ini adalah untuk mendapatkan rajah paru-paru pesakit dengan lebih terperinci berbanding x-ray.

Rawatan Jangkitan Paru-paru


Terdapat beberapa perkara yang mempengaruhi langkah-langkah yang diambil oleh doktor untuk merawat pesakit:

  • Jenis jangkitan paru-paru pesakit.
  • Tahap sakit yang dihadapi.
  • Umur,
  • Pesakit mempunyai penyakit lain atau tidak.

Untuk rawatan pneumonia, ia terbahagi kepada tiga; spesifik, sokongan, dan simptom.

1. Rawatan spesifik

Rawatan spesifik memberi fokus untuk merawat punca kepada jangkitan kuman paru-paru dengan penggunaan antibiotik. Antara ubatnya ialah ciprofloxacin, amoxycilin, dan cephalosporin.

Namun begitu, sebarang penggunaan ubat haruslah mendapatkan nasihat atau predescription daripada doktor dahulu supaya rawatan tersebut berkesan.

2. Rawatan sokongan

Rawatan sokongan bertujuan untuk memberi sokongan kepada pesakit semasa dalam tempoh rawatan sehingga pulih sepenuhnya. Contohnya ialah sokongan pernafasan melalui ventilator, pembekalan air ke dalam saliran darah, dan saluran nutrisi (Total parental nutrition).

3. Rawatan simptom

Rawatan simptom untuk pneumonia adalah untuk merawat demam dan kurangkan rasa sakit.

Rujukan

  1. Dr. Ahmed Mowafy (2019). In Capsule Series Internal Medicine: Pulmonology. 4th edition. University Book Centre Sayed Mahmoud.
  2. Lung Health Disease. Lung
  3. Pneumonia – Mayoclinic

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.