Terapi Muzik : Kesan Mendengar Lagu Kepada Minda

terapi muzik dan kesan pada minda

Dari permainan alat muzik tradisional yang dimainkan pada majlis keramaian zaman dahulu sehingga teknologi ‘streaming’ lagu tanpa had masa kini, muzik sudah mendapat tempat dalam peradaban manusia sejak sekian lamanya. 

Kita suka mendengar manusia bukan sahaja sebagai hobi, malah ‘mood’ kita juga dapat dibaiki bila mendengar lagu kegemaran diputarkan. Dalam sejarah sekitar tahun 1800 juga ada tercatat yang muzik dahulu pernah digunakan sebagai terapi untuk menyembuhkan penyakit. 

Kajian yang lebih terperinci dalam bidang neurosains mendapati muzik dapat memberi kesan baik kepada rangsangan otak. Antara kesannya ialah muzik dapat membaiki emosi, memori dan membantu untuk fokus. 

1. Meningkatkan ‘Mood’ & Emosi

Mendengar lagu boleh membawa emosi ke tahap puncak. Ketika mendengar lagu, dopamine iaitu sejenis neurotransmitter yang membantu dalam meningkatkan rasa tenang dan kekal bersemangat dihasilkan. Tak kisahlah lagu sedih atau gembira, lagu pasti memberi kesan baik kepada seseorang mengikut citarasa masing-masing. 

Biasanya kita selalu elakkan lagu sedih dan mencari lagu gembira untuk mengembalikan perasaan positif. Sesetengah orang lebih suka mendengar lagu sendu walaupun diri sendiri tengah sedih. Terdapat satu kajian yang menarik  mendapati lagu sedih pun  boleh dijadikan terapi bila seseorang merasai kehilangan contohnya ketika putus cinta! Pengkaji mengusulkan bahawa lagu sedih yang didengari boleh memulihkan emosi kerana lagu ini dianggap sebagai seorang kawan yang bersimpati terhadap kesedihan yang dialami. 

Kredit Foto : verywellmind.com

Sebuah kajian dijalankan bagi membuktikan muzik boleh djiadikan sebagai medium untuk memahami emosi kanak-kanak yang menghidap autistik. Lagu klasik Beethoven digunakan untuk mewakili rasa sedih manakala lagi “Happy” oleh Pharrel Williams digunakan bagi mewakili rasa gembira. Keputusan kajian itu mendapati kanak-kanak tersebut berjaya mengenalpasti emosi mengikut lagu yang telah ditetapkan. Ini juga membuktikan kuasa muzik sebagai komunikasi yang berkesan berbanding percakapan. Tanpa kita sedari, muzik dapat merungkai emosi seseorang tak kiralah gembira, sedih, atau takut. Secara tidak langsung, ini dapat membantu seseorang untuk memahami emosi sendiri dengan lebih baik.  

2. Membaiki Memori

Pernah tak tengok animasi Disney “Coco”?.  Mama Coco yang tua sudah lama terpisah oleh dunia akibat penyakit Alzheimer. Apabila Miguel datang padanya dan memainkan lagu yang menggamit memori, Mama Coco menunjukkan respon yang positif dan masih ingat dengan lagu yang dimainkan oleh ayahnya semasa dia kecil. Mama Coco mula menumpukan perhatian dan perlahan-lahan ingat semula pada zaman kanak-kanaknya yang indah. Perkara ini bukan hanya wujud sebagai salah satu adegan di filem, malah ia juga boleh berlaku di dunia realiti. Secara saintifiknya, pesakit Alzheimer terbukti boleh bertindak balas kepada muzik yang biasa didengari. Ini dapat membantu pesakit Alzheimer untuk kembali berhubung dengan hidup yang dia sudah lupakan. 

Kajian pada 2009 mendapati terdapat bahagian khusus yang  pada otak yang dapat mengaitkan muzik dengan memori apabila kita mendengar lagu yang sangat kita kenali. Bahagian otak ini terangsang dan dapat membuatkan kita ingat kembali kenangan yang tertentu pada masa lalu. 

Kredit Foto : nytimes.com

3. Meningkatkan Kebolehan Neuroplasticity

Muzik bukan sahaja berpotensi dalam memulihkan ingatan pesakit Alzheimer, malah bagi pesakit dengan kecederaan otak. Neuroplasticity ialah kebolehan otak untuk menyusun semula dan mencipta hubungan neuron baru. Sebagai contoh mudah, jika kita terperangkap di  laluan yang tertutup, kita akan mencari jalan alternatif untuk sampai ke destinasi.  Kajian sains mendapati harmoni dari muzik dapat membantu otak merangka laluan alternatif neuron melalui kebolehan neuroplastik. 

Ia juga membolehkan neuron untuk menyesuaikan diri dengan penyakit dan mengolah aktiviti sebagai tindak balas kepada situasi atau perubahan baru pada persekitaran. Bila otak mengalami kerosakan, ia boleh bertindak dengan mencipta laluan baru bagi supaya dapat berfungsi seperti biasa. Hasil kajian mendapati muzik dapat menjadi perangsang untuk membantu otak dalam mencipta laluan baru dan sekaligus memulihkan otak sekiranya cedera. Hujah ini dikuatkan lagi dengan hasil kajian dari Australia. Melalui kajian ini, pesakit dengan kecederaan otak didedahkan dengan muzik popular dan hasilnya pesakit berjaya mendapatkan kembali memori peribadi. Ini membuktikan muzik mampu memberi kesan baik kepada untuk berhubung kembali dengan memori lama. Kebolehan muzik dalam merangsang neuroplasticity juga membantu pesakit dalam masalah lain seperti pertuturan.  

Kredit Foto : ukhealthcare.net

4. Membantu Untuk Fokus

Setiap orang mesti ada satu lagu yang buatkan perhatian kita terus tertumpu. Muzik terbukti dapat membantu seseorang untuk membaiki dan mengekalkan daya fokus.

Menggunakan imbasan imej otak, kajian telah dijalankan bagi melihat pengaruh lagu dalam mengawal fokus ketika lagu dimainkan. Hasil kajian mendapati aktiviti kemuncak otak untuk fokus terjadi ketika waktu senyap yang singkat antara lagu. Corak selingan lagu dengan bahagian senyap yang singkat ini dilihat sebagai cara komposer lagu untuk memberi peluang pendengar untuk menafsir dan menghayati lagu dengan lebih baik. Waktu senyap singkat ini juga dilihat dapat sebagai cara untuk minda bermeditasi kerana kebolehan otak yang boleh menumpukan perhatian sepenuhnya ketika itu.

Di samping itu, kita juga pasti mengalami keadaan di mana sesetengah jenis muzik membuatkan kita berubah angin dan susah rasa nak fokus. Berbanding dengan kajian di atas, sesetengah lagu didapati mampu menarik perhatian kita secara negatif. Lebih-lebih lagi apabila kita mendengar lagu dengan lirik dan muzik yang berat membuatkan minda kita mudah bercelaru. Oleh itu untuk kekal fokus, kita perlu mencari lagu yang sesuai supaya dapat menumpukan perhatian, bukan sebaliknya! 

Muzik sebagai medium terapi dilihat mempunyai potensi yang tinggi dalam dunia kesihatan psikologi.  Persatuan Muzik Terapi Amerika Syarikat (AMTA) melaporkan bahawa program terapi muzik dapat dirangka bagi menangani masalah seperti pengurusan stress dan memori.  Kajian pada 2015 juga mendapati pesakit yang mendengar lagu pilihan sebelum, semasa atau selepas pembedahan didapati mengalami rasa cemas dan sakit yang kurang berbanding dengan pesakit yang tidak mendengar lagu. Pesakit yang mendengar lagu juga didapati kurang memerlukan ubat  tahan sakit. Menurut, World Journal of Psychiatry, terapi muzik dilihat berkesan sebagai kaedah rawatan bagi penyakit neurologi seperti Parkinson, nyanyuk dan strok. 

Terapi muzik juga dilihat berkesan untuk mengurangkan risiko kemurungan serta membaiki ‘mood’ dan keyakinan diri. Memandangkan kajian terapi muzik yang telah dijalankan juga tidak merekodkan apa-apa kesan sampingan, ia dikategorikan sebagai rawatan berisiko rendah dan berpotensi tinggi untuk dipraktikkan secara lebih meluas.   

Rujukan :

  1. Music and the Brain: The Fascinating Ways That Music Affects Your Mood and Mind – consciouslifestylemag.com
  2. Does Music Affect Your Mood – healthline.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

eleven − five =

Open

Close