Sains Di Sebalik Kesakitan Terpijak Lego

Setiap rumah pasti ada mainan Lego. Ada keluarga yang menyimpan Lego sehingga dua ke tiga generasi kerana sifat Lego yang tahan lasak dan  masih boleh digunakan sehingga ke hari ini. Kolaborasi Lego dengan jenama-jenama besar seperti Marvel, Star Wars sehinggalah Harry Potter pula membuatkan Lego semakin diminati ramai serata dunia termasuklah dalam kalangan orang dewasa.

Kredit Foto : nytimes.com

Di sebalik minat pada permainan Lego, terdapat satu  hakikat yang pemain Lego tidak dapat elakkan dan sering lalui iaitu betapa sakitnya tapak kaki bila terpijak Lego yang bersepah di lantai. Bagaimana bongkah Lego plastik bersaiz kecil ini membuatkan tapak kaki begitu sakit bila terpijak?

Mari kita selami sains di sebalik rasa sakit bila kaki terpijak bongkah Lego. Tapak kaki manusia dicipta dengan 200,000 reseptor deria yang penting supaya otak menerima isyarat tentang hala tuju badan dan bagi menentukan sama ada laluan tersebut selamat atau tidak untuk dilalui. Kesakitan yang dirasai juga memberi isyarat kepada otak bahawa kaki berada dalam situasi bahaya.  

Kredit Foto : brainfacts.org

Sebelum isyarat sakit sampai kepada otak, maklumat sampai dahulu ke saraf tunjang. Hasilnya, kaki bertindak balas untuk beralih dari kawasan yang berbahaya terlebih dahulu sebelum rasa sakit itu sampai ke otak. Sebab itulah kita cepat-cepat beralih bila terpijak sesuatu. Rasa sakitnya kemudian baru sampai.  TIndakan ini dipanggil ‘withdrawal reflex’ atau reflex penarikan.                         

 Sifat khas bongkah Lego juga menyumbang kepada kesakitan yang teramat sangat bila terpijak. Walaupun rekaan bongkah Lego nampak ringkas, ia sebenarnya telah direka secara saintifik bagi mendapatkan sifat  kuat dan tahan lasak sehingga boleh bertahan ke hari ini. Rahsia keutuhan bongkah Lego adalah daripada gabungan 3 jenis monomer mikroplastik iaitu acrylonitrile yang memberi kekuatan, 1,3-butadiene yang memastikan bongkah Lego tahan lasak dan tidak mudah patah, dan styrene yang memberikan sifat permukaan bongkah agar keras dan berkilat. Gabungan 3 jenis monomer mikroplastik yang kukuh ini menjadikan Lego sebagai bongkah mainan yang kuat, tahan lasak dan cukup digeruni kalau terpijak.

Kredit Foto : jameskennedymonash.wordpress.com

Sudah terbukti untuk beberapa generasi, Lego adalah antara mainan yang paling tahan lama mengalahkan anak patung dan permainan elektronik. Sifat tahan lasak dan kekuatannya juga terbukti oleh satu kajian dari Universiti Plymouth, United Kingdom yang membuktikan bongkah Lego dapat bertahan selama hampir 1300 tahun di dasar laut. Pendedahan kepada persekitaran air laut dan kandungan garam laut secara berterusan juga tak mampu merosakkan bongkah Lego pada waktu yang singkat. Bayangkanlah betapa kuatnya material bongkah Lego ini.

Kredit Foto : amazonaws.com

Kesakitan yang dirasakan pada tapak kaki bila terpijak Lego ditambah lagi disebabkan tekanan dari berat badan kita yang bertumpu pada bongkah Lego yang kecil. Semakin kecil ruang permukaan, semakin banyak tekanan yang diberikan. Sebenarnya lagi kurang sakit kalau terpijak Lego yang banyak kerana tekanan tersebar ke seluruh tapak kaki berbanding terpijak sebiji bongkah kecil. Kalau nasib tak baik terkena bucu halus bongkah Lego, kesakitannya akan berganda-ganda disebabkan ruang permukaan yang teramat kecil. Rasa macam terpijak duri!   Bukan itu sahaja, bongkah lego comel ini walaupun hanya seberat 2 gram namun mampu menampung tekanan sehingga 430 kilogram!

Memang seronok untuk bermain dengan Lego. Namun, hakikat bahawa bongkah Lego begitu sakit bila terpijak memang tak dapat dinafikan. Sehingga Lego bercadang untuk mengeluarkan produk iaitu ‘anti-Lego slipper’. Reka bentuk kasut yang berlapik tebal dengan logo “Lego” di permukaan depan begitu cantik dan menarik perhatian penggemar Lego. Secara tidak langsung, ia merupakan strategi pemasaran yang baik kerana masalah ini sudah dialami oleh pelanggan Lego sejak lama lagi. Selipar comel dengan gabungan merah dan kuning ini sudah pastinya ia akan menjadi aksesori yang mesti dimiliki oleh penggemar Lego.

Kredit Foto : boredpanda.com

Walaupun tidak dinafikan keseronokan ketika bermain Lego, namun pemain juga tidak terlepas daripada risiko untuk terpijak bongkah kecil.  Selain membeli ‘anti-Lego slipper’ untuk elak terpijak, cara mudah untuk elakkan situasi tak diingini berlaku ialah dengan bermain di atas meja supaya senang dikemas dan kita mudah perasan jika ada bongkah kecil lain yang terjatuh. Semasa mengemas, pastikan semua bongkah dikutip dan disimpan semula untuk elakkan orang lain terpijak. Kalau tak hati-hati, akan terjadilah lagi tragedi terpijak bongkah Lego yang menyakitkan!

Baca juga : Kesakitan : Perkara Buruk atau Baik?

Rujukan:

  1. Selalu Sakit Terpijak Lego. Mungkin ini Solusi Terbaik – The Vocket
  2. The Science Behind Why It Hurts So Much to Step on a LEGO – Mentalfloss
  3. A LEGO Brick Could Survive In the Ocean for Up to 1300 Years – Mentalfloss
  4. The Scientific Reason Why Stepping on a LEGO Hurts So, So Much – Redtri

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

4 + three =

Open

Close