Potensi Penggunaan Kopi Bagi Meningkatkan Kesuburan Hutan

Sesetengah orang tidak dapat memulakan paginya tanpa secangkir kopi. Secawan kopi panas begitu diminati ramai kerana aroma dan rasanya yang sedap. Ia juga sudah dijadikan minuman wajib sarapan pagi sejak dahulu lagi.Seperti manusia, kajian baru-baru ini juga mendapati hutan juga boleh mendapat manfaat dari kebaikan kopi. Namun kopi yang dimaksudkan bukanlah kopi serbuk yang kita gunakan, tetapi isi buah kopi.

Kajian yang baru dijalankan mendapati isi buah kopi yang sering dijadikan bahan buangan selepas proses penuaian dapat menghidupkan kembali hutan di Costa Rica. Pengkaji dari Universiti Hawaii telah menjalankan ujikaji dengan penggunaan isi buah kopi yang terbuang  pada 2 plot bagi melihat sama ada sisa isi buah kopi ini dapat memberi kesan kepada tanah yang sudah tebang. Satu plot tanah diletakkan dengan sisa isi buah kopi setebal 20 inci manakala satu lagi plot dibiarkan kosong.

Kedua-dua plot dahulunya merupakan hutan yang sudah diteroka selama bertahun-tahun bagi memulakan tanaman kopi atau ladang lembu sebelum dibiarkan terbengkalai. Kawasan ini akhirnya terbiar sehingga tumbuh rumpai dan rumput. Rumput yang tumbuh di sini boleh mencecah setinggi 16 kaki jika tidak dipotong untuk diberi makan haiwan ternakan. Pengurusan yang tidak dilakukan dengan baik membuatkan kawasan ini sukar bagi tanaman hutan untuk kembali hidup.

Selepas dua tahun, plot tanah yang telah diletakkan sisa isi buah kopi menunjukkan pemulihan yang begitu ketara. Sebanyak 80% kawasan plot ini sudah ditumbuh dengan pokok hutan kanopi muda setinggi 15 kaki serta tanaman spesis tropika yang hidup sihat dengan ketinggian  60 kaki Pokok yang tumbuh di tanah dengan isi sisa buah kopi juga tumbuh 3 hingga 4 kali lebih tinggi berbanding plot tanah kosong. Apabila dianalisa, plot tanah isi buah kopi ini kaya dengan nutrisi untuk perkembangan pokok. Rumpai juga tidak tumbuh lagi di kawasan ini. . Sebaliknya, plot tanah yang dibiarkan kosong pula menunjukkan penumbuhan tumbuhan hutan tropika sebanyak 20% sahaja dari keseluruhan kawasan.

 Untuk mendapatkan biji kopi, pengeluar akan membuang kulit, isi buah dan lapisan lain. Kemudian biji kopi ini akan dikeringkan dan dibakar, kemudian dikisar sehingga mendapat serbuk kopi yang selalu kita gunakan setiap pagi. Dalam proses pembuatan kopi, lebih kurang setengah berat buah kopi akan terbuang menjadi sisa. Penemuan ini dapat memberi jalan terbaik kepada pengurus ladang untuk membuang sisa hasil kopi dengan cara yang lebih mesra alam.

Kredit Foto : agricsite.com

PROSES PENYUBURAN TANAH HUTAN

Dengan meletakkan sisa isi buah kopi ke tanah hutan, semua rumpai dan rumput akan tertutup dan mati disebabkan tiada udara dan kemudian akan terurai sepenuhnya sehingga ke akar. Bahan yang terurai kemudiannya bercampur dengan isi buah kopi lalu terhasillah tanah yang subur. Oleh itu, haiwan seperti burung dan serangga akan tertarik ke tanah subur dan membawa biji benih ke tempat tersebut. Angin juga boleh bertindak sebagai agen penyebar benih. Dengan cara inilah, pokok dapat tumbuh dengan subur di plot yang diletakkan isi buah kopi. Tanah yang sangat subur pula membuatkan pokok dapat membesar dengan lebih cepat dan sihat.

Namun, bagi memastikan isi buah kopi menjadi kompos yang berkesan dan sekaligus dapat membunuh rumpai, ia perlu berada di dalam persekitaran dan cuaca yang kering.

Ia juga satu penemuan yang penting dan memberi harapan dalam menghidupkan kembali hutan yang musnah. Pakar ekologi, Rebecca Cole juga berkata “Biasanya pokok hutan akan mengambil masa beratus-ratus tahun untuk tumbuh. Melihat tumbesaran yang begitu cepat dalam dua tahun kajian ini adalah memberi harapan yang baru bagi aspek pemuliharaan hutan.”

Syarikat pengusaha kopi juga dapat menyumbang kepada penumbuhan hutan dengan menyalurkan sisa isi buah kopi kepada hutan untuk disuburkan. Jabatan yang berkait dengan pemuliharaan hutan pula mendapat manfaat dari penggunaan sisa isi buah kopi. Jadi ia dilihat sebagai ‘win-win situation’.

Walau bagaimana pun, kajian mendalam masih perlu dilakukan bagi memastikan tiada kesan jangka panjang  atau risiko pencemaran boleh berlaku dalam penggunaan sisa isi buah kopi. Kajian juga perlu dilakukan di negara kita sendiri dahulu bagi memastikan kaedah ini bersesuaian dengan cuaca tempatan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

five × 3 =

Open

Close