Kontroversi Polisi Privasi Baru Whatsapp yang anda Perlu Tahu

polisi privasi baru whatsapp

Begitu ironik sekali. Meskipun terdapat peningkatan dari segi kesedaran tentang kecurian identiti di alam maya, kita masih lagi berdegil untuk ‘menyalurkan’ maklumat peribadi kita di laman sosial. Kita rela percayakan ciri-ciri keselamatan aplikasi media sosial lebih daripada keluarga kita. Maka, tidak salah untuk katakan bahawa kebergantungan kita kepada platform laman sosial adalah mendalam. Kalau tak percaya, tengoklah diri kita. Apakah perkara pertama yang anda akan buat selepas bangun pagi?

Namun, bolehkah anda bayangkan aplikasi yang anda gunakan selama ini akan membuat perkara sedemikian? Selama ini, anda selesa menggunakan aplikasi tersebut. 24 jam sehari, 7 hari seminggu dan 365 hari setahun. Ia memudahkan anda berkomunikasi. Aplikasinya terkenal dengan ciri-ciri keselamatan serta polisinya yang mementingkan dan menghormati privasi para panggunanya. Tetapi, anda bangun dari katil anda hanya untuk menerima notifikasi bahawa anda mesti bersetuju dengan polisi baru mereka.

Mugkin anda tidak sedar. Mungkin polisi itu tidak penting. Facebook, Twitter dan WeChat juga berbuat demikian. Dalam dunia siber ini, adalah tidak ganjil untuk platform-platform tersebut mengemaskinikan polisi mereka. Namun, yang ganjilnya adalah polisi yang anda mungkin terlepas pandang ini menyebabkan ramai pengguna kecoh. Timbul rasa hairan dalam hati anda. Kemudian, anda melayari laman web untuk menyiasat. Anda tergamam. Semua pengguna mesti bersetuju? Jika tidak, anda dipersilakan untuk memadamkan akaun sebelum 8 Februari ini? Apa semua ini?

Kemudian, anda teringat. Anda tekan ‘setuju’. Lega hati anda. Namun, anda terfikir tentang akaun Facebook anda. Memang hampir kesemua data peribadi anda berada dalam pangkalan data Facebook. Jadi, apakah maksud polisi baru ini? Anda sedar yang anda baru sahaja menawarkan hak anda kepada platform tersebut. Sekali lagi, anda tergamam. Kenapa Facebook perlukan semua data peribadi ini? Adakah Facebook sedang memerhati anda?

*****

Persoalannya di sini adalah apakah polisi baru yang dikeluarkan oleh WhatsApp baru-baru ini? Apakah kontroversi di sebalik polisi tersebut?

Pada dasarnya, polisi baru dari WhatsApp ini (dan jika pengguna memilih untuk menerimaya) akan membolehkan Facebook dan anak syarikatnya mengumpulkan data WhatsApp yang merangkumi nombor telefon pengguna, nombor telefon kenalan, lokasi dan banyak lagi. Pengguna yang tidak bersetuju dengan syarat baru akan dikeluarkan pada 8 Februari.

Data yang akan dikongsikan dengan Facebook dan anak syarikatnya merangkumi tahap bateri, kekuatan isyarat, versi aplikasi, maklumat pelayar, rangkaian mudah alih, maklumat sambungan (dari nombor telefon hingga pengendali mudah alih dan lain-lain) bahasa dan zon masa, alamat IP, maklumat operasi peranti, dan pengecam unik untuk Facebook yang dikaitkan dengan peranti atau akaun yang sama.

Sememangnya, polisi baru ini merangkumi hampir kesemua maklumat peribadi anda.

“Tidak ada perubahan dari segi perkongsian data WhatsApp di rantau Eropah (termasuk UK) dalam terma perkhidmatan dan polisi privasi yang dikemaskini ini. Bagi yang meragui polisi baru ini, WhatsApp tidak akan berkongsi maklumat peribadi pengguna di rantau Eropah kepada Facebook bagi tujuan menambahbaik produk dan promosinya,”

WhatsApp, melalui jurucakap mereka, bahkan menyatakan bahawa penambahbaikan polisi seperti ini adalah satu kebiasaan dalam industri dan ‘pengguna mempunyai masa yang lama untuk menyetujuinya’. Polisi ini juga membolehkan Facebook untuk menambahbaik infrastruktur pangkalan data mereka dengan menyimpan data dari WhatsApp untuk kegunaan perkembangan perniagaan.

Polisi baru ini juga bermaksud bahawa hanya dengan sekadar memadam aplikasi WhatsApp tidak akan menghalang WhatsApp daripada menyimpan data-data peribadi penggunanya. Untuk berbuat demikian, pengguna perlu menggunakan in-app feature untuk menutup akaun secara keseluruhannya.

Namun begitu, in-app feature ini bukanlah cara penyelesaian yang efektif. Hal ini demikian kerana WhatsApp masih mampu menyimpan data-data yang masih kekal dalam sistem tersebut. Segala informasi mengenai anda daripada chat group yang anda sertai ataupun daripada individu-individu lain akan disimpan dalam pangkalan data WhatsApp.

Meskipun polisi baru ini akan membantu syarikat induk WhatsApp, iaitu Facebook, untuk berkembang, hakikatnya polisi ini menimbulkan rasa tidak selesa dalam kalangan para penggunanya. Sebelum pengambilalihan WhatsApp oleh Facebook pada tahun 2014, WhatsApp selama ini mementingkan keselamatan privasi para penggunanya. Semenjak pengambilalihan tersebut, WhatsApp mula mengendalikan operasi mereka mengikut cara pengendalian syarikat Facebook. Platform WhatsApp yang dulunya berfokuskan privasi kini seolah-olah telah berubah.

*****

Kontroversi polisi privasi baru ini membawa implikasi yang tidak boleh diremehkan.

WhatsApp sememangnya tidak asing daripada kritikan tentang ciri-ciri privasi dan keselamatan sejak penubuhannyapada tahun 2009. Namun, semenjak WhatsApp menjadi subsidiari Facebook pada tahun 2014, kritikan tersebut bertambah. Operasi syarikat WhatsApp mula dipengaruhi oleh syarikat induknya. Tetapi perkara yang menyedihkan adalah pertukaran cara operasi ini berlaku di mana-mana syarikat di seluruh dunia. Operasi dalaman syarikat yang tidak mencerminkan wawasan syarikat induk akan disingkirkan meskipun kakitangannya dikekalkan seperti biasa.

Dan kecenderungan Facebook untuk mengewangkan data peribadi bagi tujuan perkembangan perniagaannya telah meminggirkan kakitangan-kakitangan yang masih setia dengan polisi lama WhatsApp. Pengasas bersama WhatsApp Jan Koum meninggalkan syarikat tersebut pada tahun 2018 sebagai ketua eksekutif kerana beliau tidak bersetuju dengan hala tuju Facebook yang lebih mementingkan keuntungan.

Oleh itu, tidak hairan jikalau berlakunya exodus daripada WhatsApp. Bagi pengguna, WhatsApp sememangnya telah memeras ugut pengguna secara terbuka untuk menyerahkan maklumat peribadi mereka dan mengancam untuk mengusir mereka yang enggan mematuhi polisi tersebut. Kesemua kegiatan ini memberikan alasan yang sempurna bagi para pengguna untuk mencari platform yang lebih ‘selamat’. Aplikasi-aplikasi yang lain seperti Telegram mula diberi perhatian. Malah, Elon Musk juga mengkritik tindakan WhatsApp dan mengesyorkan aplikasi Signal dalam akaun Twitter.

Meskipun WhatsApp cuba menjelaskan dengan lebih lanjut tentang polisi baru mereka, penjelasan mereka tidak mampu menghalang para pengguna daripada meninggalkan platform tersebut. Pada 16 Januari, WhatsApp mengumumkan bahawa mereka akan menangguhkan polisi selama tiga bulan, dengan tujuan untuk melancarkan polisi baru pada 15 Mei.

Sejujurnya, langkah sementara ini semirip dengan pendekatan Presiden Trump terhadap pandemik COVID-19. Pendekatan sementara ini bukan jalan penyelesaian yang semua pengguna inginkan. Malah, pendekatan ini memberikan pengguna lebih banyak masa untuk berubah ke platform yang lain.

Kini, kontroversi ini telah menjadi bahan bualan para politik di India. Pada 20 Januari, kerajaan India menuntut WhatsApp untuk menurunkan polisi tersebut atas faktor diskriminasi. Isu diskriminasi ini wujud disebabkan oleh perbezaan pelaksanaan polisi yang seakan-akan memanfaatkan pengguna dari Eropah dan meminggirkan pengguna dari India.

*****

Jadi, adakah ini menandakan kejatuhan WhatsApp? Betulkah terdapat platform lain yang mampu menjamin keselamatan data privasi yang lebih baik? Ataupun kita sebagai pengguna tidak mampu menghadapai kenyataan bahawa soal privasi tidak lagi wujud dalam laman media sosial?

Hakikatnya, tiada betul dan salah dalam hal ini. Kewujudan kita pada era ini dikaitkan dengan hubungan jaringan sosial yang semakin mendalam. Meskipun kita sentiasa berwaspada dengan elemen-elemen yang mencurigakan dalam media sosial, kebenarannya adalah kita masih lagi menawarkan jiwa kita. Setiap hari, kita menawarkan sebahagian daripada hidup kita ke dalam platform laman sosial. Bak kata pepatah, sedikit-sedikit, lama-lama menjadi bukit. Peribahasa ini mungkin sinonim dengan kegigihan dan kesabaran dalam mencapai sesuatu matlamat. Inilah keadaan yang kita hadapi sekarang. Kita lebih gigih menggunakan platform lama sosial.

WhatsApp masih akan kekal sebagai sebuah platform terkemuka di dunia. WhatsApp juga masih akan mendapat keuntungannya. Setiap perubahan perlu ada pengorbanannya. Matlamat WhatsApp juga akan berubah. Ini juga termaksud platform-platform lain yang dikatakan lebih baik daripada WhatsApp. Selagi WhatsApp mendapat sokongan dari segi kewangan daripada syarikat induknya, kedudukan WhatsApp masih kukuh tanpa mengira kita sebagai pengguna menyukainya ataupun tidak.

Habis itu, bagaimana dengan kita sebagai pengguna? Adakah kita tidak lagi mempunyai hak untuk melindungi privasi kita?

Satu-satunya cara untuk merasa selamat adalah dengan tidak menggunakan media sosial sama sekali. Dan itu tidak masuk akal memandangkan bagaimana kita berhubung sekarang.

Dan kebenaran yang menyedihkan adalah bahawa kita masih memerlukan rangkaian sosial. Walaupun itu bermaksud mengorbankan sebahagian privasi kita.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

19 + seventeen =

Open

Close