Skip to content

Cara Tanam Ulam Raja yang Betul dan Mudah

Bagaimanakah cara yang betul untuk tanam ulam raja? Artikel ini akan membincangkan cara tanam ulam raja seperti pemilihan benih, penggunaan tanah, pembajaan dan juga penjagaan pokok yang perlu anda tahu.

Pengenalan

Ulam raja merupakan sejenis tumbuhan liar yang mudah tumbuh pada kawasan yang luas serta terdedah kepada cahaya matahari dan ianya pada asalnya berasal dari Amerika latin. Kini, tumbuhan ini semakin mudah didapati di seluruh negara Asia dan mendapat permintaan ramai berikutan daripada khasiatnya yang bermanfaat. Ianya mengandungi nutrien lengkap yang berkhasiat seperti protein, lemak, kalsium, karbohidrat dan juga vitamin A.

Kebiasaannya, tanaman ini digunakan oleh rakyat Malaysia sebagai penambah selera makan. Tanaman ini dijadikan sebagai ulam-ulaman dalam menu makanan oleh masyarakat umum di Malaysia. Selain itu, ianya juga turut dijadikan penyeri landskap di rumah kerana mempunyai bunga yang cantik, berwarna unggu dan menarik.

Untuk makluman umum, tanaman ini merupakan tanaman herba semusim yang mampu mencapai ketinggian 2m sepanjang kitaran hidupnya. Dengan harga purata sekitar RM4-5 sekilo di pasaran, tanaman ini amat digalakkan untuk diusahakan kerana ianya mempunyai potensi yang cerah dan bakal memberikan pulangan yang lumayan tanpa mengeluarkan kos operasi yang tinggi.

Ianya amat mudah ditanam dan tidak memerlukan penyelenggaraan rapi. Oleh itu sebagai salah satu usaha membangunkan komoditi ini, kita perlulah mempunyai sedikit sebanyak tentang ilmu penanamannya. Melalui artikel kali ini, saya akan berkongsi kepada pembaca tentang cara menanam ulam raja.

Artikel Berkaitan: Khasiat Ulam Raja

Varieti Ulam Raja

Terdapat 2 jenis ulam raja yang mudah didapati di Malaysia iaitu yang berwarna kuning dan ungu. Perbezaan kedua-dua ulam raja ini hanyalah pada warna bunga sahaja. Ciri pada daun secara jelas adalah sama. Kebiasaannya, ulam raja yang digunakan oleh masyarakat sebagai ulam-ulaman adalah yang berwarna ungu.

ulam raja bunga kuning

Ulam raja kuning

ulam raja bunga ungu

Ulam raja ungu

Cara Mendapatkan Benih Ulam Raja

Untuk mendapatkan benih ulam raja adalah suatu perkara mudah. Benihnya boleh diperolehi melalui bunganya yang telah kering. Penanaman menggunakan biji benih adalah yang paling konvensional kerana ianya mudah didapati, senang ditanam dan tinggi peratus hidupnya.

Sekiranya benihnya tidak dipetik, ianya akan tersebar dan tumbuh secara meliar melalui angin. Benih yang diperolehi boleh terus ditanam pada tanah atau pasu tanpa memerlukan tempoh semaian seperti tanaman komoditi yang lain. Ianya masih relevan untuk semaian awal, bagi mendapatkan hasil yang lebih baik dan berkualiti. Semua itu bergantung kepada pilihan masing-masing.

biji benih ulam raja

Biji Benih Ulam Raja

Penanaman

Seperti telah saya maklumkan, ianya boleh ditanam terus pada tanah dan boleh juga disemai dalam media semaian sebelum penanaman pada tanah. Melalui subtopic ini, saya akan menfokuskan pada semaian awal. Pertama sekali, biji benih yang diperolehi hendaklah terlebih dahulu direndam bagi mengenalpasti benih yang subur dan sihat.

Benih yang tenggelam yang bakal digunakan untuk semaian. Seterusnya dengan benih tersebut, ianya boleh disemai di dalam bekas-bekas yang bersesuaian seperti pot tray dan sebagainya. Untuk penyediaan media semaian, sebaiknya adalah penggunaan tanah yang mengandungi kandungan organik yang tinggi. Tanah campuran berkomposisi (3:2:1) adalah asas media tanaman, oleh itu bagi penanaman ini juga ianya adalah bersesuaian.

Tanam benih sekurang-kurangnya pada kedalaman 1cm daripada permukaan. Kemudian, ianya boleh dibiarkan sehingga mencapai ketinggian 10-15cm dan memerlukan penyiraman berkala bagi mengekalkan kesuburan pokok. Kebiasaannya, pokok ulam raja akan tumbuh pada ketinggian tersebut setelah 5 hari selepas penanaman. Setelah mencapai ketinggian tersebut, digalakkan melakukan pemindahan segera ke tanah dan pasu dengan saiz yang bersesuaian.

Hal ini kerana sekiranya dibiarkan untuk tempoh yang lama pada peringkat semaian, akan menyebabkan pertumbuhan akar tersekat, lantas menyebabkan pertumbuhan pokok juga terjejas. Penanaman di dalam pasu tidak memerlukan penjarakan tanaman yang spesifik, tanam sepokok untuk sepasu sudah memadai, Jika tanam pada tanah atau batas, penjarakan adalah penting bagi mengelakkan persaingan. Jarak yang disyorkan untuk penanaman atas tanah adalah lebih kurang 30cm x 30cm.

Pembajaan

Disebabkan penggunaan media tanah campuran, nutrien dalam tanah telah tersedia dan mencukupi untuk pertumbuhan ulam raja. Pembajaan secara intensif akan dimulakan setelah penuaian pertama dijalankan iaitu setelah 2 bulan.

Pemberian baja berasaskan tinja yang mengandungi kandungan organik yang tinggi adalah bagus untuk aktiviti pembajaan. Baja yang dimaksudkan itu adalah seperti tahi ayam, tahi lembu dan sebagainya. Baja kimia juga boleh digunakan. Baja sebatian (15:15:15) boleh digunakan sebanyak 10-20g sepokok sekiranya perlu.

Penyelenggaraan

Tanaman ini adalah resistan terhadap penyakit dan musuh biologi berikutan ianya mempunyai aroma penghalau serangga. Akan tetapi, ianya memerlukan penyelenggaraan intensif setelah tempoh matang. Pokok yang telah matang perlu kerap dicantas pucuknya untuk penghasilan yang lebih produktif.

Ulam raja yang telah menjalani 3-4 minggu tempoh penanaman, akan dicantas pucuknya sepanjang 4-6 inci untuk dijadikan ulam. Kemudian bahagian yang tersebut boleh dituai semula setelah 5-7 hari setelah cantasan dilakukan.

Penuaian

Aktiviti ini akan mula dijalankan selepas 6 minggu dari tempoh penanaman. Anggaran hasil yang boleh dituai kebiasaannya adalah di antara 50-70g sepokok. Manakala dari segi harga pasaran pula adalah sekitar RM1-2 seikat (100-150g). Akhir sekali dari segi pengendalian lepas tuai, ulam raja mampu kekal segar di dalam peti sejuk selama 1 minggu dengan penyimpanan pada suhu yang bersesuaian.

Penutup

Tanaman ini juga boleh dijadikan sebagai agen kawalan pertumbuhan lalang. Pada masa yang sama, menjadi tanaman yang bermanfaat dan boleh menjana pendapatan melalui jualannya di pasaran.

Diharapkan artikel cara tanam ulam raja ini dapat memberi sedikit sebanyak ilmu kepada para pembaca mengenai cara penanaman tumbuhan ini.

Cara Tanam pokok lain yang anda perlu tahu:

Cara Tanam Pokok ManggaCara Tanam Pokok Tin
Cara Tanam Pokok KuchaiCara Tanam Bunga Matahari
Cara Tanam Bunga TelangCara Tanam Kacang Botol
Cara Tanam Aloe VeraCara Tanam Pegaga
Cara Tanam Bawang PutihCara Tanam Ulam Raja
Cara Tanam Pokok BetikCara Tanam Pudina
Cara Tanam KetumbarCara Tanam Kaktus
Cara Tanam Bunga RosCara Tanam Orkid
Cara Tanam AnggurCara Tanam Padi
Cara Tanam Kacang PanjangCara Tanam Tembikai Susu

Rujukan:

  1. Mansor, P. (1988). Ulam-ulam tradisional Malaysia. Teknol. Sayur-sayuran. Kementerian Pertanian Malaysia, Kuala Lumpur: Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI). 4: 1-5.
  2. Jabatan Pertanian Malaysia (1988). Hidangan Ulam dan Sayuran Tradisional. Risalah Pertanian. Bil. 51. Kuala Lumpur: Penerbitan Adabi.
  3. Bicara Tani (2012). Panduan Menanam Ulam Raja. Diambil dari

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

eighteen + 12 =