Cara Tanam Tembikai Susu Yang Betul dan Mudah

cara tanam tembikai susu

Bagaimanakah cara untuk tanam tembikai susu yang betul? Artikel ini akan membincangkan cara tanam tembikai susu, penjagaan dan juga pembajaan pokok ini.

Pengenalan

Tembikai susu ataupun nama saintifiknya Cucumis melo merupakan sejenis buah-buahan yang diklasifikasikan bersama keluarga tembikai iaitu Cucurbitaceae. Tembikai susu juga lebih kurang sama seperti tembikai biasa, yang membezakannya adalah warna isinya. Ianya tumbuh secara menjalar dan mampu memanjat sekiranya disediakan kayu sokongan.

Tanaman ini sangat popular dengan masyarakat Malaysia kerana rasanya yang manis, tekstur yang pejal dan berair serta mengandungi pelbagai khasiat. Tembikai sangat sesuai dimakan ketika waktu panas kerana ianya mampu mengembalikan sensasi segar dan air dalam tubuh badan. Khasiatnya terhadap kesihatan tidak dinafikan lagi adalah sangat bermanfaat kepada manusia.

Antara khasiatnya adalah membantu mengatasi masalah berat badan, mencegah kanser, meningkatkan imunisasi, mengatasi darah tinggi dan mencantikkan kulit. Industri tanaman ini hari demi hari semakin pesat membangun dan ramai pengusaha mula menceburinya berikutan daripada potensi yang bagus. Jaminan terhadap permintaan dan hasil yang lumayan menjadi dorongan terhadap pengusaha untuk lebih produktif mengusahakan komoditi ini.

Mengusahakannya samada secara kecil-kecilan mahupun secara komersial bukan suatu masalah, yang penting adalah dedikasi dan motivasi dalam melaksanakan peluang tersebut. Untuk memulakan penanaman tembikai susu ini, ilmu asas penanamannya perlulah dipelajari supaya tidak berlaku sebarang permasalahan ketika penanaman dijalankan. Oleh itu, melalui artikel ini saya akan berkongsikan tentang cara menanam tembikai susu dengan betul dan mudah.

Varieti

Sky rocket

Jade dew

Honey dew

Autumn sweet

Golden prize

Rock melon

Keperluan Asas Tanaman

Terdapat beberapa faktor kritikal yang perlu dipertimbangkan sebelum memulakan penanaman tembikai susu. Pertama sekali, adalah suhu. Suhu yang ideal bagi tanaman ini adalah antara 25-35°C. Jenis tanah yang sesuai adalah loam berpasir kerana membekalkan saliran yang baik dan kandungan organik yang tinggi.

Disamping mencapai piawaian suhu tersebut, kawasan yang dipilih hendaklah terdedah kepada cahaya matahari dengan sempurna. Sekurang-kurangnya, tembikai tersebut  menerima cahaya di belah pagi untuk pertumbuhan yang baik. Disebabkan tembikai susu sensitif terhadap tanah yang terlalu beralkali dan berasid, maka pH yang ideal untuk penanamannya adalah antara 6.5-7.

Sekiranya, tanah pada kawasan anda tidak mencapai nilai tersebut, sebaiknya anda melaksanakan aktiviti pengapuran bagi memulihkan semula keadaan tanah. Selain itu dari segi struktur geografi, tanah pada kawasan penanaman hendaklah rata dan mempunyai saliran yang baik kerana sekiranya berlaku takungan air ianya akan menjejaskan akar tembikai susu dan menyebabkan pertumbuhan buah terjejas bahkan boleh menyebabkan pokok mati.

Penyediaan Tanah

Seperti biasa sebelum memulakan penanaman, proses pembajakan tanah hendaklah dilakukan bagi tujuan pemulihan tanah. Aktiviti ini menjadi lebih mudah dengan penggunaan jentera ladang dengan implementasi bajak piring supaya memudahkan kerja, tenaga dan masa. Langkah seterusnya dengan menggunakan jentera ladang, laksanakan kerja menterbalikkan tanah dengan menggunakan bajak piring sedalam 15-20cm.

Kemudian, sediakan batas berukuran 1.8m x 0.3m. Aktiviti pengapuran juga boleh dijalankan secara serentak semasa pembajakan. Seterusnya untuk penyediaan barisan dan lubang, pastikan jarak antara barisan adalah 2.5m, manakala jarak antara pokok pula adalah 1m dalam barisan yang sama.  Sebaiknya lubang disediakan terlebih dahulu bagi memudahkan aktiviti penanaman.

Untuk tanaman ini, ukuran lubang yang sesuai adalah 30cm x 30cm. Lubang hendaklah dikorek mengikut ukuran yang dinyatakan dan digaulkan dengan baja organik seperti kompos ataupun tahi ayam sebanyak 1kg bersama tanah. Akhir sekali, timbus media campuran tersebut ke dalam lubang tersebut.

Penanaman

Pertama sekali, sediakan media tanah campuran atau boleh menggunakan cocopeat untuk diisi ke dalam dulang semaian. Setelah itu, tanam biji benih tembikai susu sedalam 1cm dalam setiap lubang pada dulang semaian tersebut. Seterusnya, pastikan semaian disiram secara berkala dan menerima didedahkan pada cahaya matahari selama 2 jam sehari untuk proses pengukuhan cambahan.

Biarkan ianya bercambah selama 4-14 hari. Dalam tempoh tersebut, pastikan lebihan pokok yang bercambah dan tinggalkan satu cambahan sahaja dalam setiap lubang. Setelah tamat tempoh semaian, pindahkan benih cambah tersebut pada lubang yang disediakan pada batas.

Setelah dibiarkan sehingga pokok mempunyai 4 set daun, tunas utamanya perlu digunting untuk merangsang pertumbuhan tunas baru. Setelah 2 minggu kemudian, buang tunas yang lemah dan biarkan 4 tunas yang kukuh. Akhir sekali, lakukan pendebungaan manual dengan menggunakan bunga jantan untuk mendebungakan bunga betina.

Pembajaan

Berikut adalah jadual pemberian baja beserta kadar pemberian baja yang diperlukan mengikut peringkat pertumbuhan:

Pengairan

Keperluan air adalah kritikal terhadap tembikai susu kerana tanpa air yang cukup pertumbuhan dan kualiti buah akan terjejas. Buah akan menjadi kurang berair dan manis. Sebagai saranan, tembikai susu perlu disiram sebanyak 2 kali iaitu di sebelah pagi dan petang. Untuk lebih memudahkan kerja tersebut, laksanakan implementasi sistem pengairan renjis atau sprinkler disyorkan.

Kawalan Serangga dan Penyakit

Secara umum, tanaman ini sering diserang oleh serangga seperti kutu daun dan lalat buah. Serangga tersebut boleh menjejaskan kualiti buah tembikai susu sekiranya tidak ditangani pada kadar segera. Kaedah efektif bagi menanganinya adalah dengan melaksanakan semburan racun serangga seperti  Deltamethrin pada kadar yang disyorkan.

Dari segi penyakit pula, tanaman ini mudah terdedah kepada lecuh atau ‘wilting’, antraknos, layu fusarium dan kulapok downy. Penyakit-penyakit seperti yang dinyatakan kebiasaannya berpunca daripada kulat, oleh itu ianya perlu ditangani menggunakan racun kulat seperti Mancozeb. Sekiranya keadaan pokok atau buah terlalu kritikal untuk ditangani, adalah sebaiknya dimusnahkan segera.

Setelah penanaman selesai sehingga ke peringkat penuaian, laksanakan amalan kultur yang baik seperti amalkan sistem tanaman bergilir kerana ianya juga membantu dalam mengawal populasi penyakit dan perosak secara semulajadi.

Penuaian Hasil

Tempoh untuk tembikai mula berbuah adalah selepas 60-70 hari selepas penanaman dan hasilnya boleh dituai selepas 20-25 dari tempoh tersebut. Hasil tuaian biasanya adalah bergantung kepada cuaca, sekiranya cuaca terlalu panas akan menyebabkan buah lebih ringan daripada yang dijangkakan.

Sebagai langkah pengendalian lepastuai, buah-buah yang telah dipetik perlu dikumpulkan untuk sementara waktu di tempat teduh, diasingkan mengikut kriteria seperti saiz, bentuk dan varieti sebelum disusun ke dalam bakul-bakul atau raga bersesuaian.

Selepas itu, ianya perlu dimuatkan ke dalam pengangkutan untuk dihantar ke destinasi jualan. Terkini, harga tembikai susu mampu mencecah RM1.80-RM2.50/kilo dengan berat purata 2.0-2.5kg sebiji.

Diharapkan artikel cara tanam tembikai susu ini dapat memberikan para pembaca berkenaan info tentang penanaman ini.

Cara Tanam pokok lain yang anda perlu tahu:

DurianTembikaiLabu
Daun KesumBuah NagaLimau Purut
AvocadoUbi KeledekKangkung
KentangPisangTomato
Bayam BrazilTaugehPokok Cili
SeraiCendawanSawi
SaladNanas MD2Daun Sup
JagungBawang

Rujukan

  1. Jabatan Pertanian Semenanjung Malaysia (1999). Pakej Teknologi Tembikai.
  2. Tanam Sendiri (2013). Tembikai Susu/Tembikai Wangi. Diakses pada April 4, 2021.
  3. Rentas Asia (2020). Tips Dan Potensi Pendapatan Tanaman Tembikai Susu. Diakses pada April 4, 2021.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

16 + sixteen =

Open

Close