Skip to content

Cara Tanam Pokok Tin yang Betul

Bagaimanakah cara tanam pokok tin yang betul? Artikel ini akan membincangkan cara tanam pokok tin yang betul;, pembajaan dan penjagaan pokok ini.

Pengenalan

Buah tin ataupun nama sainstifiknya Ficus carica L. merupakan tanaman yang amat popular bagi masyarakat Tanah Arab. Ianya merupakan pokok yang disebut dan tertera dalam Al-Quran dalam surah At-Tin dan juga merupakan makanan sunnah yang diamalkan oleh Nabi Muhammad. Tanaman ini mempunyai pelbagai khasiat terhadap kesihatan.

Antaranya ialah merawat kesuburan, kencing manis, mengawal berat badan, menguatkan tulang, merawat insomnia dan juga penyakit jantung dengan mengawal kolesterol dalam darah. Oleh kerana khasiatnya yang serba lengkap, ianya mendapat sambutan yang sangat menggalakkan di seluruh dunia. Kini secara perlahan-lahan, ianya mula mendapat perhatian rakyat Malaysia.

Penanaman buah tin termasuk dalam Rancangan Malaysia ke-11, di mana kerajaan telah mengusulkan untuk mengusahakan penanaman buah-buahan yang berkhasiat di bawah program National Plan of Action for Nutrition. Penanaman secara komersial mula dipergiatkan di Malaysia, baru-baru ini terdapat seorang usahawan tanaman ini mengusahakannya di Kajang, Selangor dan meraih pendapatan lumayan dengan jualan tanaman bernilai tinggi ini. Disamping meraih pendapatan melalui jualan buahnya, buah tin juga boleh diinovasikan kepada pelbagai produk hiliran yang lain seperti jus, the dan pil kesihatan.

Namun begitu untuk melaksanakan pengeluaran produk hiliran tersebut, sumber yang diperlukan hendaklah tersedia pada paras optimum bagi merealisasikan matlamat tersebut. Oleh yang demikian, usaha membangunkan industri ini hendaklah dilaksanakan oleh kerajaan mahupun badan-badan yang berkaitan terutamanya dalam memberi pendedahan terperinci tentang penanaman buah tin melalui pelbagai program. Ilmu terhadap penanaman ini amat penting untuk diambilkira kerana tidak semua varieti buah tin sesuai ditanam dengan iklim di Malaysia.

Risau perkara tersebut akan mengundang kerugian terhadap pengusaha sekiranya tidak menerima pendedahan awal. Ilmu penanamannya amat penting untuk dipelajari bagi menjamin kejayaan penanaman. Melalui artikel kali ini, saya ingin mendedahkan tentang cara-cara menanam buah tin dengan mudah dan berkesan.

Varieti

Melalui hasil kajian Institut Penyelidikan MARDI, terdapat 3 varieti yang bersesuaian dan berpotensi untuk diusahakan di Malaysia. Antaranya ialah:

Black Jack

Brunswick

Texas Everbearing

Keperluan Asas Tanaman

Dari segi faktor tanah, tanaman ini sesuai ditanam di atas pelbagai tanah. Akan tetapi, kawasan tanah yang digunakan hendaklah mempunyai saliran yang baik. Kawasan air bertakung akan menyebabkan akar menjadi rosak dan mereput, lalu menyebabkan kematian pokok. Manakala dari segi suhu pula, ianya sesuai ditanam pada kawasan bersuhu 24-37°C seperti suhu optimum di Malaysia.

Penyediaan Benih

Benih pokok tin boleh diperolehi melalui pembelian di nurseri ataupun atas talian. Kebiasaannya benih yang telah dibeli adalah benih yang telah dihasilkan melalui kaedah tut atau secara keratan batang dan boleh terus ditanam pada media yang sesuai.

Penanaman

Perkara pertama adalah sediakan polybag atau pasu untuk penyemaian. Pastikan polybag atau pasu yang digunakan itu mempunyai lubang untuk membuang lebihan air. Kemudian, isikan polybag tersebut dengan tanah campuran di antara tanah merah (70%), peatmoss (15%) dan sekam padi (15%) untuk hasil yang terbaik. Seterusnya buka balutan keratan tut tersebut dengan berhati-hati dan rendamkannya ke dalam larutan racun kulat untuk tempoh 30min.

Selepas itu masukkan benih tersebut ke dalam polibeg atau pasu dan timbuskan dengan menggunakan media tanah yang tersedia. Pokok yang telah ditanam hendaklah diletakkan pada kawasan redup pada peringkat awal. Hal ini kerana, anak benih masih dalam keadaan lemah untuk beradaptasi dengan cuaca panas. Benih yang telah dipindah pada kawasan redup tersebut hendaklah disiram secara berkala bergantung kepada cuaca. Selepas beberapa minggu, pokok akan mula mengeluarkan tunas dan daun.

Pengairan

Untuk melakukan penyiraman, ianya adalah bergantung kepada cuaca dan keadaan semasa. Penyiraman yang ideal untuk tanaman ini adalah sebanyak 2 kali sehari pada cuaca normal.

Pembajaan

Sebagai sumber nutrien untuk pokok tin, pemberian baja adalah penting bagi memastikan pertumbuhan pokok dalam keadaan baik dan stabil. Secara umumnya, baja yang digunakan adalah baja NPK Hijau (15:15:15) sepanjang tempoh penanaman. Kadar pemberiannya adalah sekitar 20 -100g bagi setiap minggu bergantung kepada peringkat pertumbuhan.

Kawalan Penyakit

Penyakit yang umum terhadap tanaman ini adalah karat daun. Hal ini disebabkan faktor cuaca yang mengundang kepada gejala tersebut.  Permukaan daun tin yang mempunyai bulu halus memerangkap air secara tidak langsung dan menyebabkan masalah karat ini menular. Sebagai langkah kawalan perkara ini, disyorkan untuk mengaplikasikan penggunaan racun kulat ataupun pendekatan yang lebih organik secara berkala.

Penuaian

Untuk memulakan penuaian, perlu diketahui bahawa tempoh masa penuaian bagi setiap varieti buah tin adalah berbeza iatu dalam lingkungan 80-85 hari selepas pembentukan putik. Kulit buah tin adalah sangat nipis dan mudah rosak, oleh itu ianya perlu dipetik mengikut indeks kematangan yang sesuai. Sekiranya buah tersebut hendak disimpan dalam bilik sejuk, pastikan buah yang dipetik adalah buah yang seakan separuh masak kerana ianya akan mencapai indeks kematangan yang sesuai dalam tempoh seminggu penyimpanan.

Kebiasaannya, buah tin yang telah matang akan dituai sebanyak 2 kali sehari. Selain itu daun tanaman tin jangan sesekali diremehkan penggunaannya, ianya masih boleh diproses untuk dijadikan teh dan minuman. Anggaran hasil yang boleh dituai dalah bergantung kepada varieti dan kebiasaannya buah tin mampu menghasilkan 1kg buah setiap bulan setelah mencapai kematangan.

Diharapkan artikel cara tanam pokok tin ini akan memberi sedikit sebanyak maklumat kepada mereka yang ingin tanam pokok ini.

Cara Tanam pokok lain yang anda perlu tahu:

Cara Tanam Pokok ManggaCara Tanam Pokok Tin
Cara Tanam Pokok KuchaiCara Tanam Bunga Matahari
Cara Tanam Bunga TelangCara Tanam Kacang Botol
Cara Tanam Aloe VeraCara Tanam Pegaga
Cara Tanam Bawang PutihCara Tanam Ulam Raja
Cara Tanam Pokok BetikCara Tanam Pudina
Cara Tanam KetumbarCara Tanam Kaktus
Cara Tanam Bunga RosCara Tanam Orkid
Cara Tanam AnggurCara Tanam Padi
Cara Tanam Kacang PanjangCara Tanam Tembikai Susu

Rujukan

  1. Hartinee A., Zuraida A.R., Muhamad Hafiz M.H., Mohd Ridzuan M.D., Wan Mahfuzah W.I., Zul Helmey M.S., Muhammad Afiq T.A., Nor Dalila N.D., Mohd A.S. & Ahmad Hafiz B. (2018). Potensi penanaman tin berskala komersil di Malaysia. Buletin Teknologi MARDI. Bil. 14 (2018): 57 – 68
  2. Mohd Norizi (2015). Panduan penjagaan dan menanam pokok tin – Pokok Tin Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

4 × 5 =