Inersia: Huraian dan Aplikasi dalam Kehidupan Seharian

konsep inersia

Apakah itu inersia? Artikel ini akan membincangkan dengan lengkap berkenaan inersia dan aplikasi perkara ini dalam kehidupan seharian.

Pengenalan

Apakah kaitan Inersia dengan Hukum Gerakan Newton yang Pertama? Hukum Gerakan Newton Pertama ditakrifkan seperti berikut, objek yang berada dalam keadaan pegun akan terus kekal dalam keadaan pegun manakala suatu objek yang sedang bergerak dalam garis lurus dengan halaju seragam akan kekal bergerak dengan halaju seragam kecuali ada daya luar yang bertindak ke atasnya.

Konsep Inersia berkait rapat dengan Hukum Gerakan Newton Pertama iaitu kecenderungan objek untuk kekal pegun atau bergerak.

Inersia dan Jisim

Sesuatu objek pasti akan ada jisim, jisim sesuatu objek juga mempengaruhi inersia sesuatu objek. Semakin besar jisim, semakin besar inersia. Contoh situasi yang mudah difahami, sebuah troli di pasar raya yang kosong mudah digerakkan berbanding dengan troli yang diisi dengan barang yang penuh. Ini adalah kerana jika terdapat barang yang banyak di dalam troli, jisim troli juga akan bertambah. Oleh yang demikan, kesan inersianya juga lebih besar.

Contoh kedua, objek yang mempunyai jisim yang besar yang sedang bergerak susah untuk berhenti berbanding objek yang mempunyai jisim yang kecil. Perbandingan antara basikal yang mempunyai jisim yang kecil lebih mudah untuk bernenti manakala sebuah kapal terbang yang mempunyai jisim yang lebih besar lebih susah untuk berhenti. Oleh yang demikan, kapal terbang memerlukan landsan yang panjang untuk berhenti.

Inersia di Angkasa

Pernahkah anda terfikir bagaimana konsep inersia di angkasa dan bagaimana para angkasawan untuk mengukur jisim badan mereka? Di angkasa tiada daya graviti dan menyebabkan objek akan terus terapung di permukaan. Oleh itu, neraca inersia digunakan oleh para angkasawan untuk mengukur jisim badan mereka. Angkasawan akan terus pegun atau berada dalam keadaan terapung kerana tiada sebarang daya dikenakan ke atasnya.

Aktiviti Melibatkan Inersia

Terdapat beberapa aktiviti kehidupan seharian yang melibatkan Inersia. Contoh situasi dimana susunan buku di atas meja yang disusun rapi secara melintang, buku di tengah-tengah ditarik dan diambil dari susunan tersebut. Apakah yang akan terjadi pada buku-buku di bahagian atas? Buku di bahagian atas kekal pegun dan tidak bergerak bersama-sama dengan buku yang ditarik. Ini kerana Inersia buku membuatkan buku-buku di bahagian atas kekal pegun.

Duit syiling berada dalam keadaan pegun di atas kadbod. Kadbod ditarik dengan cepat dan menyebabkan duit syiling terus jatuh ke dalam gelas. Ini disebabkan Inersia duit syiling mengekalkannya dalam kedaan rehat walaupun kadbod ditarik.

Situasi Yang Melibatkan Inersia dalam Kehidupan Harian

  1. Titisan air hujan boleh dikeringkan dengan memutarkan payung. Apabila payung diputarkan, titisan air hujan dalam keadaan bergerak. Apabila payung berhenti berputar, Inersia titisan-titisan air hujan akan jatuh meninggalkan permukaan atas payung. Payung akan kering.
  2. Sos cili dalam botol semasa dituang dengan cepat senang mengalir keluar. Ini kerana, sos dalam botol bergerak bersama-sama dengan botol semasa dituang ke bawah. Apabila gerakan botol dihentikan, inersia sos menyebabkannya terus bergerak ke bawah dan mengalir keluar dari botol. Untuk menghentikan sos daripada terus keluar, kita perlu pusingkan gerakan botol sos tersebut.
  3. Lori tangki minyak petrol mempunyai inersia yang besar. Untuk mengurangkan impak inersianya apabila lori berhenti sacara tib-tiba, lori petrol direka khas kepada beberapa bahagian berasingan di dalamnya. Tangki yang berasingan dapat mengurangkan impak inersia minyak petrol ke atas dinding tangki jika lori berhenti secara mendadak.
  4. Sistem keledar dalam gerabak roller-coaster direka khas bagi memastikan penumpang kekal di tempat duduknya dan tidak terhumban keluar semasa perubahan arah dan laju gerakan roller-coaster.
  5. Situasi di mana penumpang dalam bas atau keretaapi, penumpang terhumban ke belakang apabila bas yang pegun bergerak ke hadapan secara tiba-tiba manakala penumpang terhumban ke hadapan apabila bas yang bergerak berhenti secara tiba-tiba. Inersia penumpang yang membuatkan mereka bergerak ke belakang ataupun ke depan.
  6. Penunggang basikal apabila melanggar sebiji batu dan akan terpelanting ke hadapan. Kenapa penunggang tersebut terpelanting sedangkan basikalnya telah berhenti? Ini kerana inersia penunggang tersebut mengekalkan gerakannya ke hadapan dan menyebabkan dia terpelanting ke depan.

Ciri Keselamatan dalam Kereta

Jika kenderaan yang sedang bergerak berhenti secara tiba-tiba, penumpang didalamnya akan terhumban ke hadapan. Ini berlaku kerana adanya inersia yang mengekalkan gerakan mereka ke hadapan. Perkara ini boleh dicegah dengan adanya ciri-ciri keselamatan di dalam kereta.

Tali pinggang keledar yang dipakai dapat mengelakkan daripada terhumban ke hadapan dan tercedera. Ini kerana apabila brek ditekan dengan mengejut, pemandu dan penumpang akan terhumban ke hadapan akibat inersia. Oleh yang demikian, pemakaian tali pinggang amat penting. Seterusnya, beg udara yang dipasang pada bahagian stereng akan mengembang apabila berlaku hentakan yang kuat. Ini dapat menghalang pemandu daripada terhantuk pada stereng. Stereng juga direka khas iaitu mudah patah untuk mengurangkan daya hentakan pemandu pada stereng. Selain itu, alas rehat kepala di tempat duduk hadapan dapat mengelakkan kecederaan di kepala apabila berlaku kemalangan.

Kesimpulan

Terdapat banyak perkara yang berlaku disekeliling kita adalah berkaitan dengan konsep ini. Ia boleh memberi kesan baik dan juga kesan negatif kepada kita. Tetapi dengan adanya ciri-ciri keselamatan untuk kenderaan dan juga mengamalkan etika yang betul terutamanya ketika menunggang basikal, kesan inersia dapat dikurangkan. Bersamalah kita sentiasa menjaga keselamatan diri terutamanya melibatkan pergerakan di atas jalan raya.

Rujukan

  1. Hukum Newton Pertama – Root of Science
  2. Fizik Tingkatan, M. (n.d.). . Nilam Publication. Retrieved February 20, 2021, from yuhuaphysics
  3. Naza, C. (2015, June 17). Sains 4 5. Online Education of Sciences and Mathematics.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

two × one =

Open

Close