Syampu: Sejarah, Jenis dan Kegunaan

jenis syampu

Sebagaimana yang kita tahu syampu digunakan untuk membersihkan kepala dan rambut. Artikel ini akan membincangkan sejarah dan jenis-jenis syampu

Apa itu syampu?

Syampu adalah sejenis bahan yang mana penggunaannya sangat meluas pada hari ini, digunakan oleh setiap lapisan umur, tidak kira tua atau muda, lelaki atau perempuan, mahupun untuk haiwan peliharaan. Syampu adalah sejenis bahan pencuci khas untuk mencuci dan menghilangkan kotoran, minyak di bahagian rerambut.

Terdapat pelbagai jenis syampu telah dicipta dan dilakukan inovasi daripada masa ke semasa sehingga fungsinya menjadi pelbagai, bukan lagi sekadar mencuci, tetapi boleh juga untuk melembutkan rambut yang kasar, membantu mengawal masalah rambut rosak, mengawal masalah kelimumur dan lain-lain.

Sejarah syampu

Syampu atau shampoo adalah perkataan yang diambil daripada perkataan ‘champo’ yang berasal dari negara India yang bermaksud picit atau urut. Pada zaman dahulu, orang India menggunakan sari buah-buahan yang dipanggil sebagai ‘beri sabun’ dicampurkan dengan herba dan bunga raya untuk dijadikan syampu untuk mencuci rambut seawal tahun 1500.

Syampu kemudiannya mula diperkenalkan ke Eropah oleh British apabila seorang pengusaha Bengali membuka rumah mandian untuk membasuh rambut. Di rumah mandian tersebut menyediakan servis untuk mencuci rambut  dan urutan kulit kepala kepada pelanggan yang berkunjung ke situ yang kemudiannya menjadi cetusan idea kepada British seterusnya mempopularkan syampu ke seluruh eropah.

Ketika menghampiri abad ke sembilan belas, syampu berjaya menjadi satu produk yang cukup komersial dan boleh didapati di pasaran serta mula diiklankan di majalah-majalah dan surat khabar dengan lebih meluas. Ketika itu, orang Inggeris menggunakan syampu sebagai alat untuk mencuci lebih daripada bahan untuk mengurut.

Pada asalnya, bahan-bahan yang terdapat dalam syampu dan sabun adalah lebih kurang sama. Syampu pertama yang direkodkan dengan formulasi bahan yang sama seperti yang wujud pada hari ini mula diperkenalkan pada tahun 1930 oleh John Breck, yang melancarkan produk syampunya khusus untuk penjagaan rambut jenis kering dan berminyak.

Jenis-jenis Syampu

Seperti juga masalah-masalah rambut yang berbeza-beza, bukan semua syampu itu adalah sama dan boleh menyelesaikan setiap masalah dengan hanya menggunakan satu produk sahaja. Syampu yang ada pada hari ini sudah diformulasikan dengan pelbagai penyelesaian kepada masalah rambut yang ada. Berikut adalah senari jenis-jenis syampu yang anda boleh lihat ada dijual di pasaran;

1. Syampu pembersih

Syampu jenis ini amatlah sesuai digunakan bagi mereka yang  rambutnya perlu dibersihkan setelah menggunakan produk-produk penggayaan rambut seperti semburan rambut, gel, dan pelbagai poduk lain dalam rutin seharian anda.

Rambut yang tidak dicuci selepas menggunakan produk penggayaan akan berasa sedikit melekit, berat dan rata. Syampu pencuci ini dicipta untuk menyingkirkan lebihan produk daripada setiap folikel, serta membuang pewarna yang ada di rambut anda. Syampu jenis ini bole digunakan sekali dalam seminggu atau kurang.

2. Syampu Kelemumur

Kelemumur di kepala sering terjadi apabila lapisan sel kulit mati menjadi seperti sisik di kulit kepala anda. Penampakan kelemumur boleh dilihat jatuh ke atas baju yang gelap seperti ‘salji’ atau tersangkut di rambut anda seperti habuk.

Untuk mengatasi masalah ini, syarikat pembuatan syampu telah mereka syampu kelemumur dengan bahan aktif yang bertujuan untuk mengurangkan masalah itu. Seringkali syampu untuk mengatasi masalah kelimumur ini dicampurkan dengan herba yang mungkin didapati sedikit tidak menyenangkan tetapi boleh memberi penyelesaian kepada masalah anda.

3. Syampu Keratin

Syampu keratin dirumus khas bagi mereka yang mengalami masalah rambut yang tidak sihat. Ia dicipta bersama bahan-bahan yang boleh menggalakkan pertumbuhan rambut yang mana syampu keratin ini kebiasaannya mempunyai bahan kimia dan bahan semula jadi yang akan memulihkan protein dalam rambut anda.

Selain daripada itu, syampu jenis ini sesuai untuk digunakan bagi mereka yang mempunyai masalah rambut rosak dan kering.

4. Syampu Pelembab

Rambut yang kering boleh terjadi disebabkan faktor genetik, kerosakan yang disebabkan haba, atau boleh juga berlaku disebabkan produk yang anda gunakan di rambut. Bagi mengatasi masalah rambut kering, menggunakan syampu jenis pelembap adalah jalan penyelesaiannya.

Kebiasaannya, syampu jenis ini akan mempunyai bau yang ringan dan menyengarkan seperti kelapa atau bauan bunga yang segar dan banyak boleh didapati di pasaran dengan harga yang berpatutan.

5. Syampu chelating

Syampu chelating adalah produk yang jarang digunakan oleh orang awam. Syampu jenis ini banyak digunakan oleh atlet renang, terjun atau atlet-atlet yang terlibat dengan sukan air kerana ia bertindak mengurangkan kerosakan pada rambut yang disebabkan oleh klorin.

Klorin yang terkandung di dalam air akan bertindak balas dan seterusnya melunturkan rambut, melemahkan folikel yang akan mengakibatkan kerosakan kepada rambut jika tidak dijaga dengan rapi.

6. Syampu dua dalam satu

Syampu dua dalam adalah gabungan antara syampu dan perapi rambut. Anda tidak perlukan dua produk yang berasingan, cukup dengan menggunakan satu produk sahaja. Formulasi dua produk ini akan memberikan hidrasi, membersihkan, merapikan, serta membekalkan kelembapan yang rambut anda perlukan.

Syampu dua dalam satu ini tidaklah memberikan hasil yang sama jika hendak dibandingkan dengan anda menggunakan dua produk berasingan, tetapi ianya adalah satu rahmat jika anda perlu bergegas!

7. Syampu kering

Selain daripada cecair, syampu juga sekarang sudah wujud dalam bentuk kering. Syampu jenis ini sering digunakan di hospital dan fasiliti perubatan untuk membersihkan pesakit di dalam koma dan mereka yang tidak boleh bergerak daripada katil.

Syampu kering ini wujud dalam keadaan serbuk atau aerosol (semburan). Ia digunakan dengan cara sapukan di pangkal rambut kemudian urutkan sedikit dengan jari. Syampu akan menyerap minyak yang terhasil secara semula jadi di rambut anda dan akan meninggalkan bauan yang harum.

Syampu daripada sudut kimia

Syampu dibuat dengan cara menggabungkan bahan kimia yang boleh mengurangkan ketegangan permukaan cecair (surfactant agent) dengan bahan tambahan yang membantu meningkatkan kadar keterlarutan  minyak (cosurfactant). Di dalam pembuatan syampu, surfactant bekerja sebagai bahan pencuci untuk membersihkan rambut, ia juga boleh bertindak sebagai agen pelembab, agen yang menghasilkan buih serta bertindak sebagai pengelmusi (emulsifier).

Antara bahan-bahan asas yang biasa dapat ditemui dalam syampu adalah seperti berikut:

  • Natrium klorida (NaCl) -digunakan untuk melaraskan kelikatan syampu
  • Natrium lauril sulfat (CH3(C2)11(C2H4O)nOSO3Na)- surfactant
  • Cocamidopropyl betaine (C19H38N2O3)- membuat ikatan dengan air supaya senang menghilangkan kotoran
  • Ammonia klorida (H4ClN)- buatkan syampu mudah larut di dalam air
  • Amminia lauril sulfat (C12H29NO4S)- membantu syampu menyingkirkan minyak daripada rambut
  • Glikol -meningkatkan kadar pengekalan kelembapan di dalam syampu

Rujukan

  1. Brennan. K (2017). What Is Shampoo Used For?. Oureverydaylife.
  2. Chronicle. D (2015). Watch: The history of shampoo. Deccan Chronicle.
  3. Guru. B (2016). Seven Shampoos Every Woman Should Know. Cosmetic and Beauty.
  4. Porcel. N (2020). The Chemistry of Shampoo. Chemistry is Life.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

14 − 13 =

Open

Close