Minyak Kelapa Sawit: Sejarah, Proses Penghasilan dan Kegunaan

minyak kelapa sawit

Bagaimanakah minyak kelapa sawit dihasilkan? Artikel ini akan membincangkan sejarah, proses penghasilan dan kegunaan minyak kelapa sawit.

Pengenalan

Minyak kelapa sawit dihasilkan daripada buah kelapa sawit (Elaeis guineensis). Manusia telah menggunakan minyak kelapa sawit dalam diet pemakanan seharian sudah lebih beribu tahun lamanya.

Pokok kelapa sawit yang asalnya datang dari negara Afrika, sekarang telah ditanam dan diusahakan dengan sangat meluas di negara-negara tropika di seluruh dunia dengan kawasan  penanaman antara  yang terluas direkodkan di Malaysia dan Indonesia.

Pada tahun 2015 sahaja, kedua negara ini mencatatkan kira-kira 53.5 juta tan penghasilan minyak kelapa sawit. Di Indonesia sahaja, seluas 13 juta hektar tanah diperuntukkan untuk penanaman kelapa sawit yang mana saiz berkenaan hampir sama dengan saiz keseluruhan tanah perladangan yang ada di negara Jerman.

Sejarah Pokok Kelapa Sawit di Malaysia

Menurut MPOC (Malaysian Palm Oil Council), pemurnian minyak kelapa sawit mentah bermula di Malaysia semenjak awal tahun 70an yang mana ketika itu para peladang menyahut seruan kerajaan untuk meningkatkan kadar perindustrian.

Kemunculan kilang-kilang pemprosesan menandakan pengenalan kepada industri pemprosesan yang lebih meluas. Pada tahun 1870, British memperkenalkan pokok kelapa sawit sebagai pokok hiasan yang kemudiannya bertukar menjadi tumbuhan agrikultur.

Pada tahun 1917, penanaman pokok kelapa sawit secara komersial dilaksanakan di kawasan Estet Tennamaran di Selangor yang kemudiannya menjadi asas kepada kerancakan industri minyak  kelapa sawit di negara ini.

Proses Penghasilan Minyak Kelapa Sawit

Minyak kelapa sawit diekstrak dengan sangat berhati-hati dan melalui beberapa siri fasa pemprosesan untuk memastikan produk akhir yang terhasil adalah bermutu tinggi dan berkualiti.

Proses yang pertama dalam penghasilan minyak kelapa sawit bermula dengan penuaian buah kelapa sawit. Buah-buah kelapa sawit akan melalui proses pengelasan fizikal yang akan menentukan kualiti minyak kelapa sawit yang dihasilkan. Berikut adalah proses-proses yang terlibat:

1. Penuaian

Proses pertama adalah penuaian buah dari pokok kelapa sawit. Buah yang dituai perlulah cukup masanya untuk memberikan kualiti minyak yang baik

2. Peleraian dari tandan

Buah kelapa sawit yang sudah dituai kemudian dileraikan daripada tandannya. Proses ini boleh dilakukan secara manual ataupun menggunakan mesin mekanikal untuk proses yang lebih efisien dan pantas.

Kebanyakan mesin pemprosesan yang berskala kecil tidak mempunyai keupayaan untuk menjana stim untuk proses penstrilan buah kelapa sawit, maka buah-buah tersebut akan dimasak di dalam air.

3. Pensterilan

Selepas itu, buah  yang sudah lerai tadi akan disterilkan menggunakan rawatan haba basah (wet-heat treatment) dengan suhu yang tinggi. Air digunakan untuk memasak buah kelapa sawit, tetapi dalam proses pensterilan ini, stim yang bertekanan (presurrized steam) akan digunakan.

Proses ini dibuat bertujuan untuk menyingkirkan enzim pembelahan minyak (oil-splitting enzyme) dan menahan hidrolisis (reaksi yang memecahkan molekul lebih besar kepada lebih kecil). Haba akan membantu pengkentalan protein yang mana sel galas minyak (oil-bearing cells) akan terlepas secara miskroskopik.

Protein kemudiannya akan mengalami pembekuan (coagulation) yang mana ia akan membenarkan sel galas minyak menjadi hadir dan bergerak dengan lebih mudah dibawah aplikasi tekanan.

4. Penghadaman

Seterusnya, proses penghadaman akan mengambil alih. Penghadaman adalah cara di mana minyak yang ada di dalam buah kelapa sawit akan dilepaskan melalui pembelahan atau pemusnahan sel galas minyak.

Penghadam (digester) yang selalu digunakan mengandungi silinder yang dipanaskan oleh wap yang dipasang dengan pengacau yang berpusing untuk melumatkan buah kelawa sawit.

Menghadam buah kelapa sawit pada suhu yang tinggi mengurangkang kelikatan minyak, memusnahkan lapisan selaput luar buah kelapa sawit, dan menyelesaikan gangguan daripada sel minyak yang sudahpun terjadi ketika proses pensterilan tadi. Ketika proses ini, kontaminasi daripada logam adalah di paras maksima yang mana ia akan meningkatkan kadar pengoksidaan dan menyebabkan minyak yang terhasil menjadi tengik.

5. Proses Pengekstrakan

Apabila sudah sampai ke bahagian ini, fokus utama dalam proses ini adalah untuk menekan dan mengekstrak minyak daripada buah kelapa sawit. Pulpa buah kelapa sawit akan ditolak masuk ke dalam mesin pengusir (expeller machine) yang akan menahan dan membebaskan minyak daripada buah kelapa sawit.

Seterusnya, apabila minyak sudah berjaya diekstrak, ia akan dibawa ke seksyen penjelasan untuk membuang bendasing (impurities). Ketiga fasa ini, produk akhir minyak kelapa sawit akan diterima, diperhatikan dan kemudian akan disimpan ke dalam tangki pukal.

6. Pengasingan

Proses yang terakhir adalah pengasingan kekacang dan serat selepas kesemua  pepejal disingkirkan. Produk serat yang terhasil di proses ini boleh digunakan sebagai minyak biomas yang berkualiti di dalam dandang, dan kekacang boleh digunakan dalam proses pengekstrakan  biji sawit.

Kegunaan Minyak Kelapa Sawit

Umum mengetahui, minyak kelapa sawit adalah salah satu bahan yang paling utama yang digunakan dalam masakan di Malaysia, tetapi, selain daripada itu minyak kelapa sawit juga merupakan bahan utama dalam pembuatan pelbagai produk yang lain seperti pemendek (shortening), margerin, dan lemak gula-gula.

Minyak kelapa sawit sangat popular penggunaannya dalam kedua-dua keadaan, di dalam bentuk pepejal juga dalam bentuk cecair yang digunakan secara meluas untuk industri memasak. Minyak kelapa sawit menawarkan beberapa karakter teknikal yang diinginkan di dalam aplikasi makanan seperti ketahanan pengoksidaan, di mana ia menyumbang kepada jangka hayat produk yang lebih panjang.

Minyak kelapa sawit secara idealnya sesuai digunakan sebagai bahan dalam pembuatan pemendek dan margerin kerana ia cuma mengandungi 20 hingga 22 peratus kandungan lemak pejal pada suhu 20°C, di mana ia membantu dalam proses formulasi produk berasaskan lemak di dalam plastik.

Kumpulan pengkaji dari MPOB telah berjaya menformulasikan minyak kelapa sawit kepada pelbagai jenis produk lain yang memenuhi permintaan pasaran seterusnya meningkatkan permintaan pengeluaran tanaman kelapa sawit, antaranya adalah mayonis, margerin boleh dicurah, keju tiruan, serta minyak salad yang dihasilkan melalui minyak kelapa sawit merah.

Minyak kelapa sawit bukan sahaja digunakan dalam produk makanan malah turut mendapat sambutan dalam aplikasi pembuatan produk bukan makanan. Ia menjadi satu bahan yang penting dalam penghasilan produk sabun dan pencuci, produk farmaseutikal, kosmetik serta produk oleokimia. Penghasilan sabun merupakan salah satu aplikasi terpenting minyak kelapa sawit menggantikan bahan mentah yang lain.

Rujukan:

  1. James Dance (2013). The production of Palm Oil.
  2. Hashim, K., Tahiruddin, S., & Asis, A. J. (2012). Palm Oil Production in Malaysia and Indonesia. Palm Oil, 235-250.
  3. Malaysian Palm Oil Council. Malaysian Palm Oil.
  4. Malaysian Palm Oil Board. Uses In Food And Non-Food Applications Of Palm Oil (2016),

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

five + 9 =

Open

Close