Gel Rambut: Sejarah, Jenis dan Kandungan

gel rambut

Gel Rambut selalu digunakan untuk mendandan rambut agar nampak segak. Artikel ini akan membincangkan sejarah gel rambut, jenis dan kandungannya

Apa itu Gel Rambut?

Gel rambut adalah suatu produk penggayaan rambut yang tidak asing lagi yang sering digunakan oleh anak-anak muda pada era ini.  Kebanyakan anak-anak muda dan belia yang sedang dalam fasa ‘mencuba’ akan menggunakan gel rambut untuk menggayakan rambut mereka dengan pelbagai potongan dan fesyen untuk kelihatan kemas, kacak dan lain daripada yang lain khususnya bagi golongan lelaki kerana seperti juga wanita, rambut itu diibaratkan seperti sebuah mahkota yang begitu berharga.

Ramai anak muda lebih memilih untuk menggunakan gel rambut kerana ianya adalah produk mampu milik, harganya jauh lebih murah daripada harus membayar penggaya rambut di salon-salon. Dengan bermodalkan wang yang sedikit, gel rambut mampu membuatkan rambut kelihatan kemas, terletak elok tidak teralih, boleh dibentuk dalam pelbagai gaya yang dimahukan.

Sejarah Gel Rambut

Gel rambut bukanlah sesuatu yang baru dicipta pada abad ini kerana menurut sejarah yang tercatat, gel rambut telah digunakan selama 3500 tahun apabila pengkaji sejarah Mesir Purba membuat penemuan penggunaan gel berasaskan lemak haiwan di rambut mumia. Menurut pengkaji disebalik penemuan itu, manusia yang hidup di zaman Mesir Purba menggunakan gel berasaskan lemak di rambut bertujuan untuk memastikan gaya rambut mereka kemas di kedua-dua alam, hidup dan mati.

Sebelum gel rambut dicipta, para lelaki menggunakan bahan seperti jeli petrolium dan minyak jagung untuk menggayakan rambut mereka. Sejarah baru gel rambut tercipta apabila pada tahun 1929 di Birmingham apabila satu syarikat yang bernama Chemico Works membuat keputusan untuk memasarkan satu produk yang diberi nama Brylcream yang dicipta setahun sebelumnya, 1928.

Produk yang dipanggil sebagai Brylcream itu digunakan untuk membuatkan rambut tidak teralih selepas disikat dan buatkan rambut kelihatan kemas dan tidak berselerak. Brylcream adalah produk gel rambut pertama yang dipasarkan di pasaran pada ketika itu.

Selepas meraih kepercayaan dan menjadi terkenal dalam kalangan pengguna di sekitar England dan Eropah, ia kemudian dipasarkan pula ke bahagian Amerika Utara dan mendapat sambutan yang hangat sebagai produk penggayaan rambut yang digunakan bukan sahaja oleh lelaki, malah wanita juga.

Syarikat Chemico Work kemudiannya membangunkan pelbagai jenis gel rambut lagi yang lebih mengkhusus kepada jantina. Bertahun-tahun kemudian, beberapa syarikat lain juga mula menghasilkan produk gel rambut apabila melihat sambutan yang sangat memberansangkan daripada pengguna sehinggalah produk gel rambut berkembang kepada pelbagai jenis, jenama, dan tekstur sehingga ke hari ini.

Jenis-jenis gel rambut

Seperti juga produk-produk penjagaan yang lain, gel rambut tidak tertakluk di bawah satu jenis sahaja tetapi pelbagai mengikut kesesuaian dan kondisi rambut yang anda mahukan. Ada yang dicipta untuk membuatkan rambut kekal ikal tetapi gel tersebut tidak boleh digunakan untuk membuatkan rambut anda kekal anggun sepanjang hari.

Terdapar beberapa jenis gel rambut yang boleh digunakan mengikut gaya yang anda mahu, antaranya seperti berikut;

1. Gel rambut jenis membentuk (shaping) dan mengukir (sculpturing)

Gel jenis ini boleh digunakan apabila hendak membuat gaya rambut yang melibatkan gaya dan bentuk yang tertentu seperti gelombang jari (finger waves) atau pusingan sisi (side swoops), gel jenis membentuk dan mengukir ini adalah sangat sesuai untuk digunakan.

2. Gel jenis kawalan tegas (firm control)

Pernahkah anda bersusah-payah menggayakan rambut anda supaya kelihatan anggun dan beberapa minit kemudian, rambut anda kembali ke keadaan asal? Bersepah dan berterabur?

Maka penyelesaian kepada masalah anda adalah dengan menggunakan gel rambut jenis kawalan tegas yang memberikan rambut anda ketahanan apabila berhadapan dengan kelembapan dan membuatkan rambut anda kelihatan kemas di tempatnya sepanjang hari tanpa perlu lagi risau akan rambut menjadi berselerak.

3. Gel jenis penentu kerinting (curl defining)

gaya rambut yang kelihatan kerinting dan ikal secara secara semula jadi adalah menjadi kegemaran ramai kerana kelihatan cantik, tetapi jika hendak dibicarakan dari segi penyediaan gaya tersebut, ia bukanlah suatu kerja yang mudah untuk dilakukan. Maka, gel jenis penentu kerinting boleh digunakan dalam rutin penggayaan rambut anda.

4. Gel untuk gaya yang ‘tajam’ (edgy)

Gaya rambut yang ‘tajam’ seperti gaya rambut mohawks tidak boleh dibuat secara semula jadi tanpa bantuan daripada produk luar seperti gel rambut.

Gel rambut yang digunakan pula adalah kebiasaannya dalam kuantiti yang banyak supaya posisi rambut kekal tegak di tempatnya. Maka, gel rambut yang paling sesuai digunakan untuk gaya ini adalah gel seperti Bed Head oleh TIGI Hard Head Mohawk Gel yang mana akan membantu mencipta dan mengekalkan gaya rambut terpacak anda.

Kandungan gel rambut

Seperti juga produk lain, gel rambut diperbuat daripada bahan kimia yang mana bahan asasnya adalah seperti berikut;           

  • Air
  • Karbomer (polimer yang digunakan sebagai pemekat)
  •  Disodium EDTA (agen penyesuain)
  •  Gliserin (pelembap)
  •  Benzophenone-4 (penstabil)
  • Dazolidinyl urea atau iodoprophynyl butylcarbamate (bahan pengawet)
  • Air (pelarut)
  • PVP K-90 (Polimer penggaya)
  • dimethylaminoethylmethacrylate copolymer (Gel penggaya)
  •  Oleth-20 (pelarut)
  •  Bahan pewangi
  • Aminomethylpropanol (peneutral)               

Bagaimana gel rambut bertindak balas?

Semasa membentuk gel rambut, polimer gaya seperti (PVP) atau polimer jenis kation bertindak balas dengan pelarut atau air untuk membentuk tekstur bersifat seperti gel.

Apabila gel disapukan ke ke permukaan rambut, polimer yang ada di dalam gel rambut akan membuatkan gel bertindakbalas dengan asid amino negatif dan keratin yang ada pada permukaan kulit dan rambut lalu membenarkan gel untuk mengeras dan anda boleh menggayakan rambut anda semahunya.

Kesan menggunakan gel rambut

Sesetengah produk gel rambut mengandungi bahan beralkohol yang mana ia digunakan bertujuan untuk membuatkan gel rambut kering dengan cepat kerana sifatnya yang mudah meruap.

Selain itu, pengkilang gel rambut juga cenderung untuk menambah beberapa bahan kimia lain sebagai bahan tambahan yang mana bahan-bahan ini berkemungkinan bersifat menghakis yang menanggalkan kesemua lembapan daripada rambut dan kulit kepala jika dipakai.

Pemakaian gel rambut yang kerap akan mengganggu paras kelembapan dan mengurangkan penghasilan sebum, yang mana akan mengakibatkan rambut mengalami masalah kekeringan, rapuh dan cenderung untuk rosak, dan seterusnya menyebabkan masalah kegatalan dan kulit kepala yang bersisik.

Rujukan

  1. Francois. A (2017). Types of Hair Gel: Here’s What To Use On Your Hair and When. All Tings Hair.
  2. Leaf Group Ltd (2021). The History of Hair Gel.
  3. Pompadour. M (2019). Why We Don’t Sell Hair Gel. Mister Pompadour.
  4. Smith. C (2020). The Chemistry of Hair Gel. Chemistry Is Life.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

eleven − two =

Open

Close