Skip to content

Ulser Mulut: Punca, Simptom dan Rawatan

Apakah punca kepada masalah ulser mulut? Artikel ini akan membincangkan punca ulser mulut, simptom, rawatan dan pencegahan kepada masalah ini.

Pengenalan

Ulser mulut yang juga dikenali sebagai serawan, guam atau ‘mata ikan’ merupakan luka yang terjadi di mukosa mulut iaitu tisu yang melapisi bahagian dalaman mulut. Ia biasanya berlaku di bahagian dalaman bibir, pipi serta permukaan lidah. Walaupun saiz mereka adalah kecil, tetapi ulser mulut boleh menyebabkan kesakitan sehingga membuatkan seseorang berasa tidak selesa ketika makan, minum atau bercakap.

Masalah ini boleh berlaku kepada sesiapa sahaja sama ada kanak-kanak kecil mahupun orang dewasa. Namun, ia bukanlah sesuatu keadaan yang boleh dijangkiti kepada individu lain.

Punca Ulser Mulut

Ulser mulut boleh berlaku disebabkan oleh pelbagai faktor termasuk:

  • Tergigit bahagian dalaman pipi
  • Pemakaian pendakap gigi (braces)
  • Kecederaan semasa memberus gigi
  • Menggosok gigi yang tidak sejajar, tajam atau patah secara berterusan
  • Mulut melecur disebabkan makanan panas
  • Iritasi daripada ubat antiseptik seperti ubat kumur
  • Jangkitan virus (Herpes Simplex Virus)
  • Reaksi terhadap ubat-ubatan tertentu seperti ubat tahan sakit dan ubat darah tinggi (Beta-blocker)
  • Perubahan hormon semasa kehamilan, akil baligh atau menopaus
  • Stress
  • Faktor genetik
  • Kanser mulut

Sebilangan individu mungkin mengalami masalah ini disebabkan masalah kesihatan atau kekurangan nutrisi seperti:

  • Chron’s disease (penyakit autoimun yang menyebabkan keradangan pada saluran pencernaan)
  • Kekurangan vitamin B12 atau zat besi
  • Kelemahan sistem imun badan seperti kencing manis dan HIV/AIDS

Simptom

Simptom ulser mulut adalah seperti:

  • Luka yang menyakitkan di bahagian dalaman mulut
  • Luka yang bengkak di sekitar mulut
  • Sakit semasa mengunyah atau menggosok gigi
  • Sakit mulut terutamanya jika memakan makanan masin, pedas dan masam
  • Hilang selera makan

Penyakit Lain yang Berkaitan

Masalah ini merupakan keadaan yang boleh sembuh dengan sendiri atau melalui penggunaan ubat. Tetapi, sekiranya ulser atau pecahan pada rongga mulut tidak sembuh melebihi 2 minggu, ia mungkin boleh menjadi kanser mulut.

Kanser Squamous Cell Carcinoma (SCC) ialah kanser yang paling kerap berlaku di dalam rongga mulut iaitu sebanyak 90% daripada jumlah kes kanser mulut. Pesakit perlu mendapatkan rawatan segera bagi mengesan jika keadaan ketidaksembuhan itu adalah simptom awal kanser mulut.

Selain itu, penyakit lain yang boleh menyebabkan berlakunya ulser mulut ialah seperti:

  • Kencing manis
  • HIV/AIDS
  • Systemic Lupus Erythematous (SLE)
  • Chron’s disease

Komplikasi

Walaupun kebanyakan ulser mulut akan hilang dalam masa dua minggu, dalam kes yang sangat jarang, mereka mungkin boleh dijangkiti bakteria. Ini biasanya hanya berlaku pada kes-kes yang teruk, di mana kawasan ulser adalah besar.

Jangkitan bakteria ini boleh dirawat melalui preskripsi antibiotik oleh doktor.

Ujian Pemeriksaan

Dalam kebanyakan kes ulser, diagnosis dibuat berdasarkan sejarah kesihatan pesakit serta pemeriksaan fizikal oleh doktor.

Namun sekiranya ulser mulut yang dihadapi pesakit merupakan sesuatu yang kerap berlaku secara berulang kali, doktor mungkin akan melakukan penilaian dan pemeriksaan diagnostik yang lebih mendalam. Ini kerana dikhuatiri jika masalah ini disebabkan oleh masalah kesihatan lain yang lebih serius seperti Chron’s disease atau keadaan yang menyebabkan sistem imun badan menjadi lemah seperti kencing manis dan HIV / AIDS. Antara ujian yang mungkin dilakukan ialah:

  • Ujian darah : jika disyaki anda mempunyai kekurangan zat besi, folat atau vitamin B12 atau masalah keradangan usus
  • Biopsi : Sekiranya doktor tidak dapat menentukan penyebab masalah ini ataupun ulser mulut yang tidak sembuh melalui rawatan biasa, doktor mungkin mengambil sampel tisu bagi tujuan pemeriksaan makmal.

Rawatan

Dalam kebanyakan kes, ulser mulut boleh sembuh dengan sendiri tanpa sebarang rawatan. Namun begitu, terdapat beberapa cara bagi membantu dalam penyembuhan ulser mulut. Antaranya ialah:

  • Ubat anti-radang (juga boleh didapati dalam bentuk gel)
  • Ubat anti-septik seperti ubat kumur
  • Ubat antibiotik

Rawatan di rumah

Ulser mulut juga boleh dirawat di rumah menggunakan kaedah semulajadi seperti:

  • Kumur dengan air garam atau baking soda
  • Letak kiub ais di bahagian ulcer bagi mengurangkan keradangan dan bengkak
  • Sapukan madu kerana madu mempunyai fungsi anti-radang dan anti-bakteria
  • Sapukan susu magnesium pada ulser
  • Ambil supplemen vitamin B

Pencegahan

Walaupun ulser mungkin tidak dapat dielakkan, ada beberapa tips yang boleh dilakukan bagi mengurangkan ulser mulut seperti:

  • Elakkan mengambil makanan pedas dan masam sehingga ulser sembuh
  • Minum air yang banyak
  • Jaga kebersihan mulut
  • Lakukan flos setiap hari
  • Berjumpa doktor dengan awal sekiranya ulser ini tidak sembuh

Bila Perlu Berjumpa Doktor

Kebanyakan ulser mulut tidaklah terlalu membimbangkan kerana ia jarang meninggalkan kesan sampingan yang berpanjangan. Namun, anda dinasihatkan untuk berjumpa dengan doktor sekiranya anda mempunyai simptom-simptom di bawah:

  • Luka yang banyak
  • Sakit yang melampau
  • Luka baru yang muncul sebelum luka yang lama sembuh
  • Luka atau sakit tidak sembuh selepas dua minggu
  • Sakit merebak ke bibir
  • Menghadapi masalah kesukaran untuk makan dan minum
  • Demam

Rujukan:

  1. Aphthous ulcers. (2020, February 14). Retrieved February 14, 2021, from Ada.com
  2. Mouth ulcers: Types, causes, symptoms, and treatment. (n.d.). Retrieved February 14, 2021, from Medical News Today
  3. Mouth ulcers. Retrieved February 14, 2021, from Better Health
  4. Johnson, S. (2019, March 25). What Causes Mouth Ulcers and How to Treat Them. Healthline.
  5. Mouth ulcers. Retrieved February 14, 2021, from Dental Health
  6. McDermott, A. (2019, March 8). 16 Ways to Get Rid of Canker Sores. Healthline

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

five × 4 =