Kanak-Kanak Bantut. Apakah Langkah Pencegahan?

kanak-kanak bantut

Apakah punca dan penyelesaian kepada masalah kanak-kanak bantut? Artikel ini akan membincangkan kesan dan cara pencegahan masalah kanak-kanak bantut

Pengenalan

Masa kini, masalah bantut dalam kanak-kanak semakin meruncing. Pada Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2019 (National Health and Morbidity Survey 2019, NHMS 2019) yang lalu menunjukkan seramai 21.8% kanak-kanak di Malaysia mengalami masalah bantut atau 1 daripada 5  kanak-kanak di Malaysia mengalami bantut.

Statistik ini menujukkan peningkatan  berbanding 17.7% pada 2015 dan 16.6% pada 2011. Bantut merupakan masalah yang tidak boleh dirawat tetapi boleh dicegah.

Apa itu Bantut?

Bantut merujuk kepada kanak-kanak yang tidak mampu mencapai ketinggian optima berbanding dengan umur kanak-kanak tersebut.

Kanak-kanak bantut selalunya akan kelihatan rendah berbanding rakan seusia. Masalah bantut bukan sahaja dialami oleh kanak-kanak dari keluarga berpendapatan rendah, tetapi juga ditemui dalam keluarga yang berpendapatan tinggi. Justeru adalah penting untuk mengenalpasti risiko dan langkah pencegahan dari awal kehamilan lagi.

Fakto Penyumbang

Pelbagai faktor dikaitkan dengan masalah bantut dalam kalangan kanak-kanak.

1. Faktor Genetik

Antara punca yang sering disebut adalah faktor genetik di mana ibu bapa yang rendah akan mempunyai anakanak yang tidak cukup ketinggian juga. Namun faktor ini bukanlah faktor utama yang harus diperhalusi kerana masalah ini juga berkait dengan cara dan tabiat pemakanan.

2. Kekurangan Nutrien

Faktor paling utama adalah kekurangan nutrien penting ketika 1000 hari pertama kehidupan. 1000 hari kehidupan merupakan satu jangka masa meliputi 270 hari dalam kandungan, 365  hari untuk satu tahun pertama dan 365 hari untuk tahun kedua kehidupan. Ini boleh berlaku apabila ibu mengandung tidak mengamalkan pemakanan yang tidak seimbang ketika hamil dengan melebihkan pengambilan makanan tinggi gula, garam dan lemak.

3. Tabiat Permakanan Kanak-kanak

Selain itu juga, masalah bantut juga boleh berpunca dari tabiat pemakanan kanak-kanak tersebut ketika bayi dan seawal usia satu hingga ke dua tahun.

Bayi berusia 6 bulan ke atas disarankan untuk mengambil makanan pelengkap, namun mungkin lewat memulakannya. Apabila bayi tersebut masih bergantung kepada susu ibu sepenuhnya walau berusia 6 bulan ke atas, kekurangan nutrien penting mungkin berlaku lalu kanak-kanak tersebut mengalami masalah tumbesaran.

4. Faktor Ekonomi

Faktor ekonomi keluarga juga penyebab kanak-kanak bantut. Bagi keluarga yang kurang berkemampuan, mereka tidak mempunyai sumber makanan sihat dan segar yang mencukupi untuk menampung semua ahli keluarga.

Apabila catuan makanan berlaku, golongan kanak-kanak yang sedang membesar mungkin diabaikan keperluannya, dan tidak akan dapat khasiat yang sepatutnya.

5. Kanak-kanak yang memilih makanan

Kanak-kanak kecil juga sering dikaitkan dengan tabiat memilih makanan atau ‘picky eater’. Tabiat ini berlaku apabila kanak-kanak tersebut tidak mahu mengambil makanan berkhasiat seperti sayuran dan buahan. Sifat memilih ini mungkin berpunca dari pendedahan ibu bapa kepada anak-anak mereka sedari awal lagi. Jika kanak-kanak sudah terbiasa dengan makanan yang tinggi gula dan garam, besar kemungkinan kanak-kanak tersebut akan menolak untuk menikmati kebaikan buahan dan sayuran. 

Kesan Masalah Bantut

Kanak-kanak bantut akan mengalami beberapa kesan dan akibat jangka masa pendek dan juga untuk jangka masa panjang.

1. Lemah Imuniti

Antara kesan bantut adalah kanak-kanak akan mengalami lemah imuniti tubuh badan. Kanak-kanak bantut akan lebih mudah jatuh sakit berbanding kanak-kanak sebaya yang mempunyai ketinggian yang opitma. Ini adalah merujuk kepada kekurangan nutrien penting untuk sistem imunisasi badan seperti vitamin A, vitamin C, vitamin E dan Selenium.

2. Fungsi Kognitif yang Rendah

Masalah bantut juga akan menyebabkan fungsi kognitif atau IQ menjadi rendah. Kekurangan mikronutrien seperti omega-3 dan omega-6 yang tinggi dalam ikan dan ayam boleh menyebabkan kemampuan kanak-kanak berfikiran kreatif dan kritikal menjadi terhad.

Ini juga boleh membawa kepada prestasi akademik kanak-kanak tersebut tidak memberansangkan. Jangan terkejut jika terdapat ramalan dan pandangan yang mengatakan kanak-kanak bantut akan lebih terdedah dengan kemiskinan pada masa hadapan berikutan perkara ini.

3. Risiko Kematian yang tinggi

Selain itu, kanak-kanak bantut lebih cenderung untuk mengalami risiko bantut sepanjang hayat. Kanak-kanak mungkin kelihatan aktif dan normal pada fizikal luarannya, namun mungkin mengalami masalah kekurangan nutrien kronik jika tidak diatasi dari awal.

Terdapat juga pandangan mengatakan masalah bantut akan menyebabkan kematian seseorang itu lebih awal. Seorang perempuan yang bantut akan lebih terdedah dengan rangka yang kecil, ini akan membawa kepada risiko semasa hamil dan melahirkan. Nyawa ibu dan bayi yang bakal dilahirkan boleh terancam.

Langkah Pencegahan

1. Permakanan yang Seimbang

Sejak dari bayi masih dalam kandungan, ibu mengandung perlu mengamalkan pemakanan seimbang bagi memastikan bayi membesar dengan sihat. Ini adalah termasuk dengan menghadkan pemakanan yang tinggi gula, garam dan minyak sebaliknya menfokuskan makanan yang padat nutrisi-nutrisi penting. Pantau kenaikan berat badan secara berkala untuk memastikan tumbesaran janin yang normal sepanjang kehamilan.

Apabila bayi sudah dilahirkan, para ibu digalakkan untuk menyusu badan bayi secara eksklusif tanpa memberi sebarang minuman/makanan tambahan selama 6 bulan pertama. Ini adalah kerana susu ibu sudah cukup untuk membekalkan semua nutrien penting untuk bayi tersebut. Penyusuan susu badan perlu diteruskan sehingga bayi berusia 2 tahun untuk memastikan bayi tersebut mempunyai cukup khasiat yang penting.

Ibu bapa perlu mendedahkan anak dengan makanan yang berkhasiat untuk tubuh apabila menjelang 6 bulan ke atas. Didik lidah anak untuk membiasakan dengan sayuran dan buahan segar dan sihat. Kawal pemberian gula dan garam agar anak lebih menikmati makanan yang sepatutnya.

Sediakan makanan yang mengandungi satu hidangan lengkap mengandungi semua nutrien penting seperti karbohidrat, protein, lemak dan fiber. Pelbagaikan  makanan yang dihidang dan berwarna-warni untuk menarik minat dan perhatian anak-anak. Didik anak untuk menghargai dan menikmati makanan yang baik dan segar.

2. Ambil Berat Secara Berkala

Ibu bapa juga digalakkan untuk sentiasa melakukan pemeriksaan kesihatan kanak-kanak secara berkala. Ambil berat perkembangan tumbesaran anak-anak jika terdapat peningkatan seperti saranan dan normal.

3. Belajar Amalan Pemakanan Sihat

Belajar amalan pemakanan sihat yang betul dari pakar kesihatan dan pemakanan. Gunakan ‘teknologi di hujung jari’ dengan sebaiknya. Seterusnya, sebarkan amalan pemakanan yang sihat dalam keluarga, sahabat dan komuniti kita. Usaha anda hari ini akan membuahkan hasilnya pada masa akan datang.

Kesimpulan

Masalah bantut di Malaysia kian meruncing dan memerlukan perhatian dari segenap ceruk masyarakat untuk menangani dan membanteras masalah ini. Kanak-kanak pada masa kini adalah pemimpin negara pada masa hadapan. Pemakanan yang baik dan sihat bukan sahaja akan memberi manfaat pada jangka masa pendek, tetapi juga akan membuahkan hasil pada masa hadapan.

Rujukan:

  1. NK, K. (n.d.). Institute For Public Health – NHMS 2019
  2. Stunting: What It Is And What It Means | Concern Worldwide U.S. (n.d.). Retrieved July 25
  3. Santos, C., Bustamante, A., Vasconcelos, O., Pereira, S., Garganta, R., Tani, G., Hedeker, D., Katzmarzyk, P. T., & Maia, J. (2020). Stunting and Physical Fitness. The Peruvian Health and Optimist Growth Study. International journal of environmental research and public health, 17(10), 3440.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

20 + 14 =

Open

Close