Persahabatan Diantara Bakteria dan Usus Kita

bakteria usus

Penulis tertarik untuk menulis bagaimana populasi bakteria yang menghuni usus lalat buah dapat mempengaruhi genom lalat ini seterusnya memberikan kesan kepada evolusi lalat buat ini. Ini bermaksud populasi bakteria yang menghuni usus lalat buat ini menentukan samada lalat buah ini cergas, sihat atau sakit.

Penyelidik daripada Universiti Pennsylvania telah melakukan satu eksperimen yang melibatkan pemberian pelbagai jenis bakteria berbeza kepada lalat buah melalui pemberian diet yang berbeza kepada lalat ini. Mereka mendapati corak genetik lalat buah atau evolusi kehidupan lalat buah dipengaruhi oleh pelbagai populasi bakteria usus ini.

Kepelbagaian populasi bakteria yang menghuni usus lalat buah ini pula dipengaruhi oleh jenis makanan atau jenis diet yang dimakan oleh lalat ini. Situasi ini  adalah sama bagi manusia. Sains menunjukkan bakteria yang menghuni usus kita berubah bergantung kepada jenis makanan atau diet yang kita ambil. Kita pernah mendengar ucapan ini ‘Diri kita adalah apa yang kita makan’.

Telah terbukti yang ianya adalah benar dengan penemuan dan pemahaman ilmu terkini yang menunjukkan diet yang kita ambil akan mempengaruhi bakteria usus kita dan ini kemudiannya akan mempengaruhi kesihatan dan mood kita.

Teknologi penjujukan DNA yang dikenali sebagai pyrosequencing ini membolehkan jujukan DNA bakteria usus lalat buah dikaji dengan cepat dan pantas. Komuniti pelbagai bakteria yang hidup dalam usus ini dikenali sebagai ‘mikrobiom’. Sebagai contoh dalam badan manusia sahaja terdapat trilion gen bakteria-bakteria yang menghuni usus kita dan ini melebihi bilangan gen manusia itu sendiri.

Perkembangan teknologi penjujukan DNA berkembang dengan pesat selari dengan penjujukan DNA genom manusia bermula dari Next Generation Sequencing (NGS), Third-Generation Sequencing (TGS) dan yang terkini ialah Shotgun Metagenomic Sequencing (SMS) telah membolehkan saintis menerokai serta memahami fungsi kehadiran bakteria-bakteria usus ini dalam tubuh manusia.

Penyelidik Tel Aviv menunjukkan yang hormon seksual yang dikenali sebagai feromon dalam lalat buat dipengaruhi oleh bakteria-bakteria yang hidup dalam usus lalat ini. Lalat buah menghasilkan hormon feromon untuk menarik pasangan berlainan jantina. Yang agak menarik, mereka mendapati bakteria-bakteria usus ini dapat mempengaruhi kecenderungan seksual lalat buah dalam memilih pasangan untuk mengawan.

Terdapat dua kumpulan lalat buah, kumpulan pertama diberi diet gula molas (gula tebu) dan kumpulan ke dua diberi diet kanji. Didapati generasi lalat buah yang ke 25 menunjukkan perubahan kecenderungan seksual, dimana lalat buah yang diberi makan diet gula molas lebih suka atau cenderung mencari pasangan yang memakan diet yang sama juga. Terdapat sesuatu didalam makanan mereka yang mungkin menyebabkan kelakuan mereka berubah.

Penemuan ini menunjukkan perilaku seksual lalat ini telah berubah dan ia disebabkan oleh diet yang diberi. Untuk menunjukkan yang hanya faktor diet sahaja yang menyumbang kepada perubahan hormon ini, antibiotik telah diberi kepada dua kumpulan lalat buah ini. Idea memberikan antibiotik ini tercetus kerana, apabila kita makan akan ada bakteria yang tinggal dalam usus membantu kita mencernakan makanan ini.

Antibiotik membunuh bakteria, jadi sekiranya bakteria usus ini mati, adakah kecenderungan seksual ini masih berlaku? Setelah diberikan antibiotik, didapati perubahan drastik terhadap kecenderungan seksual berdasarkan diet ini telah hilang. Lalat buah daripada kedua-dua kumpulan ini didapati bebas memilih pasangan dimana lalat buah diet molas memilih pasangan dari lalat buat diet kanji. Ini menunjukkan perubahan ketertarikan yang disebabkan hormone feromon ini adalah disebabkan oleh diet dan juga jenis bakteria yang menghuni usus kita berdasarkan diet yang diambil.

Kepelbagaian bakteria yang menghuni usus manusia mempunyai fungsi untuk menentukan kesihatan dan juga perasaan hati atau ‘mood’ kita. Bakteria yang menghuni usus bayi adalah berasal dari ibu. Walaubagaimana pun, perkembangan kepelbagaian bakteria dalam usus bayi ini akan berubah bergantung kepada jenis diet atau pemakanan bayi ini.

Manusia memberikan rumah dan makanan kepada bakteria-bakteria ini dan kemudiannya bakteria ini akan membuat kerja untuk membantu badan kita berfungsi. Sebagai contoh, susu ibu yang dimakan oleh bayi mengandungi gula yang khusus untuk memberi makanan kepada bakteria yang khusus yang baik. Bakteria ini berfungsi untuk membantu meningkatkan sistem imun pertahanan bayi.  

Setiap individu mempunyai kepelbagaian bakteria yang unik. Terdapat tiga jenis bakteria yang menghuni badan kita. Pertama, yang tidak mengganggu sistem badan kita, hanya mengunakan ruang untuk hidup dan membantu memusnahkan makluk-makluk penceroboh merbahaya. Kedua, bakteria yang merosakkan tisu kita tetapi kita terpaksa hidup dengan mereka.

Contoh ialah bakteria yang menghuni gigi kita dikategori sebagai bakteria yang jahat kerana menghasilkan asid yang boleh merosakkan gigi tetapi kita terpaksa hidup dengan bakteria ini. Untuk hidup dengan aman damai bersama bakteria ini, kita kenalah kerap memberus gigi untuk mengurangkan pembiakan bakteria-bakteria ini. Ketiga, bakteria baik yang kita perlu.

Komuniti bakteria ini terdiri daripada 380,000 bilion bakteria yang terdiri daripada 5000 spesies berbeza dan adalah penghuni usus kita. Bakteria usus ini membantu menghadamkan makanan yang kita makan serta memusnahkan kalori daripada makanan yang kita tidak hadamkan.

Apa yang menarik disini ialah usus juga merupakan tempat dimana kuman-kuman merbahaya sering hadir dan terdapat sel-sel sistem pertahanan badan diusus untuk memusnahkan kuman-kuman ini. Jadi bagaimana sistem imun kita dapat membezakan bakteria usus kita dengan bakteria penceroboh yang merbahaya? Bakteria usus ini akan berinteraksi dengan sistem imun kita dan memberi isyarat pengenalan yang ia merupakan kawan dan bukan penceroboh. Bakteria usus kita juga mempunyai motivasi atau matlamat yang amat jelas iaitu untuk membantu usus kita menjadi sihat. 

Orang yang kurus mempunyai komuniti bakteria usus berbeza dengan orang yang obes. Tikus makmal sihat yang diberi bakteria yang menghuni usus individu yang murung juga telah menujukkan sifat-sifat depresi dan kegelisahan. Ilmu sains terkini menunjukkan bakteria yang menghuni usus kita juga mungkin mempengaruhi minda kita. Didapati 90% hormon serotonin dihasilkan didalam usus. Terdapat beberapa saintis mengesyaki bakteria-bakteria usus ini mempengaruhi dalam penghasilan hormon ini. Hormon serotonin ini mempengaruhi ‘mood’ dan emosi kita.

Untuk menggalakkan komuniti bakteria baik hidup dalam usus kita, kita mestilah makan makanan yang sihat (banyakkan sayur, buah serta protin) dan seimbang. Jika kita kerap mengambil makanan segera atau fast food, maka kita akan membiakkan bakteria yang suka kepada makanan segera dan tidak bagus untuk kesihatan dan juga ‘mood’ kita. Jadi kita patut membuat pilihan yang bijak dengan mengambil lebih banyak sayuran, buah-buahan, sumber protin dan kurangkan makanan segera supaya kita dapat menjadi perumah kepada bakteria-bakteria yang baik, sihat dan cergas yang kemudiannya akan membawa kebaikan kepada kesihatan dan emosi kita.

Kita juga patut bersyukur kepada Tuhan Yang Maha Berkuasa kerana memberikan sahabat-sahabat mikro baik yang dapat membantu memberi sumbangan kepada penjagaan kesihatan dan emosi diri. Alhamdulillah (segala puji untuk Allah Tuhan Yang Esa dan Berkuasa).

You Tube ini mempunyai illustrasi yang menerangkan bagaimana bakteria yang menghuni tubuh mempengaruhi kesihatan dan emosi kita.

Rujukan

  1. Seth M. Rudman, Sharon Greenblum, Rachel C. Hughes, Subhash Rajpurohit, Ozan Kiratli, Dallin B. Lowder, Skyler G. Lemmon, Dmitri A. Petrov, John M. Chaston, Paul Schmidt. Microbiome composition shapes rapid genomic adaptation of Drosophila melanogaster. Proceedings of the National Academy of Sciences, 2019; 201907787
  2. Gut Bacteria Change The Sexual Preferences of Fruit Flies – NatGeo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

14 + 6 =

Open

Close