Karbohidrat: Definisi, Jenis dan Kepentingan

karbohidrat

Apakah itu karbohidrat dan fungsinya? Artikel ini akan membincangkan definisi, jenis, fungsi dan kepentingan karbohidrat dalam kehidupan kita.

Tahukah anda hidangan makanan yang seimbang terdiri daripada tujuh kelas makanan? Protein, karbohidrat, lemak, vitamin, mineral, pelawas dan air. Pengambilan ketujuh-tujuh kelas makanan tersebut dalam kuantiti yang betul amat digalakkan dalam memenuhi keperluan badan kita.

Definisi karbohidrat

Artikel ini memfokuskan kepada karbohidrat. Karbohidrat adalah sejenis kelas makanan yang terdiri daripada unsur-unsur karbon, hidrogen dan oksigen. Karbohidrat adalah dari perkataan karbo dan hidrat. Karbo bermaksud karbon dan hidrat pula dari perkataan hidrasi yang melibatkan air iaitu ada unsur hidrogen dan oksigen.

Secara ringkasnya, kanji, gula, selulosa dan glikogen adalah karbohidrat. Manusia dan haiwan mendapatkan sumber karbohidrat melalui pengambilan makanan berasaskan tumbuhan. Terdapat pelbagai makanan yang mengandungi karbohidrat termasuk nasi, roti dan bijirin.

Jenis karbohidrat

Karbohidrat dibahagikan kepada tiga kategori berdasarkan darjah pempolimeran (merujuk bilangan unit monomer dalam molekul polimer); iaitu monosakarida, disakarida dan polisakarida.

1. Monosakarida

Monosakarida adalah karbohidrat teringkas (simplest carbohydrates). Ia mengandungi satu unit gula sahaja. Ia tidak boleh dipecahkan lagi kepada struktur yang lebih ringkas melalui proses hidrolisis. Ia adalah unit asas pembentukan disakarida dan polisakarida.

Ia mempunyai formula CnH2n On , di mana n adalah nilai sama ada 3 hingga 8.

Monosakarida terbahagi kepada dua jenis mengikut kumpulan kefungsian (functional groups)

  • Aldose (monosakarida yang mengandungi kumpulan aldehid)
  • Ketose (monosakarida yang mengandungi kumpulan keton).

Contoh Monosakarida

  • Glukosa – sumber glukosa adalah madu, buah-buahan yang dikeringkan seperti buah tin, kismis dan kurma, dan makanan yang diproses seperti jus dan sos pasta.
  • Fruktosa – Fruktosa boleh didapati dalam makanan seperti madu, buah-buahan segar termasuk pisang, anggur dan epal, dan jem buah.
  • Galaktosa – Contoh sumber galaktosa pula adalah yogurt berperisa dan susu bebas laktosa.

Dari segi ciri fizikal, monosakarida adalah pepejal yang tidak berwarna dan berbentuk seperti kristal serta memiliki rasa manis. Semua monosakarida boleh larut di dalam air dan juga etanol.  

2. disakarida

Disakarida pula terdiri daripada dua unit gula (monomer). Disakarida terbentuk apabila dua monosakarida bercantum melalui satu ikatan dinamakan glucosidic bond. Ikatan itu boleh dipecahkan melalui proses hidrolisis.

Contoh disakarida ialah

  • Sukrosa – Sukrosa adalah disakarida yang mempunyai rasa paling manis berbanding maltosa dan laktosa. Sukrosa yang boleh didapati dari tebu diperbuat daripada glukosa dan fruktosa
  • Maltosa – Maltosa pula adalah gabungan daripada dua unit glukosa. Contoh sumber maltosa adalah roti, oat dan bijirin sarapan pagi.
  • Laktosa – Laktosa biasanya boleh dijumpai di dalam pelbagai jenis susu (susu kambing, susu terkondensasi dan susu ibu) dan makanan berasaskan susu seperti keju, mentega dan ais krim. Laktosa adalah hasil gabungan glukosa dan galaktosa.

Kesemua disakarida ini ditukarkan menjadi monosakarida di dalam badan untuk dibekalkan kepada sel-sel badan. Proses pencernaan tersebut dibantu oleh enzim-enzim pencernaan yang khusus, enzim maltase terlibat dalam pencernaan maltosa, enzim sucrase terlibat dalam pencernaan sukrosa dan enzim lactase terlibat dalam pencernaan laktosa.

3. Polisakarida

Monosakarida dan disakarida hanya meliputi sebahagian kecil daripada jumlah karbohidrat yang wujud di dunia ini. Majoriti karbohidrat wujud dalam bentuk polisakarida.

Polisakarida adalah karbohidrat kompleks yang memiliki berat molekul yang besar. Ia adalah polimer yang mengandungi monosakarida dalam jumlah banyak serta disambungkan dengan glycosidic bond.

Contoh polisakarida adalah

  • Kanji – Kanji adalah karbohidrat dalam bentuk simpanan di dalam tumbuh-tumbuhan
  • Glikogen – Glikogen dikenali sebagai kanji haiwan. Ia terdapat terutamanya di dalam hati dan otot
  • Selulosa – Selulosa membentuk dinding sel tumbuhan. Jadi, selulosa boleh didapati di dalam tumbuhan seperti sayur-sayuran dan buah-buahan.
  • Kitin – Kitin adalah bahan asas bagi pembinaan kulit bahagian luar (exoskeleton) invertebrat

Kepentingan karbohidrat dalam badan dan sel

1. Penghasilan Tenaga

Karbohidrat berfungsi membekalkan tenaga kepada semua sel-sel dalam badan. Kebanyakan sel-sel memilih glukosa sebagai substrat untuk menghasilkan tenaga melalui proses respirasi. Tenaga-(ATP) itu digunakan untuk aktiviti-aktiviti penting di dalam sel seperti penghasilan DNA dan RNA dan pengisyaratan dalaman sel.

Selain itu, karbohidrat berperanan sebagai tempat penyimpanan tenaga. Apabila badan mendapat tenaga yang secukupnya, glukosa yang berlebihan akan ditukarkan kepada glikogen dan seterusnya disimpan di paru-paru dan otot. Satu molekul glikogen mungkin mengandungi sebanyak 50000 unit glukosa.

Simpanan glikogen berkenaan akan digunakan sekiranya berlaku keadaan kekurangan glukosa berlaku. Namun begitu, apabila bekalan glikogen habis, glukosa akan dihasilkan daripada asid amino untuk mengekalkan homeostasis.

Artikel Berkaitan: Apakah itu Sel?

2. Pembinaan Makromolekul

Karbohidrat juga terlibat dalam pembinaan makromolekul. Glukosa ditukarkan kepada ribos dan deoksiribosa, yang seterusnya terlibat dalam pembinaan makromolekul penting seperti DNA, RNA dan ATP.

Selain itu, apabila penghasilan glikogen telah mencapai had kapasitinya, glukosa akan ditukarkan kepada lemak untuk tujuan simpanan.

Kesan terlebih kandungan karbohidrat

Pengambilan makanan berkarbohidrat seharusnya bersesuaian dengan keperluan badan kita. Hal ini kerana pemakanan karbohidrat secara berlebihan buat jangka masa yang panjang boleh menjejaskan kesihatan kita di mana.

Ini kerana berlebihan karbohidrat akan menyebabkan badan menukarkan ia dalam bentuk simpanan yang lain sama ada menjadi lemak ataupun kolesterol.

Kita berkemungkinan mengalami pertambahan berat badan sehingga mencapai tahap obesiti, penyakit kardiovaskular, diabetes dan kerosakan gigi.

Rujukan

  1. Carbohydrates. Retrieved from Purdue University website.
  2. Chapter 4 Carbohydrates and Fats: Implications for Health. Retrieved from Jonse and Barlett Publisher
  3. Khowala, Suman & Verma, Deepak & Banik, Samudra Prosad. (2008). Carbohydrates.
  4. Sources and types of carbohydrates and sugar. Retrieved from Sugar Nutrition Resource Centre.
  5. The Functions of Carbohydrates in the Body. (2020, August 14). Retrieved June 6, 2021, from Libretexts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

19 − 16 =

Open

Close