Skip to content

Teknologi Perubatan Nuklear Yang Anda Perlu Tahu

Apakah itu teknologi perubatan nuklear dan penggunaannya di dalam bidang kesihatan?

Nuklear. Sebut saja perkataan nuklear, akan terbayang mengenai kerosakan, kemusnahan dan tidak kurang juga ada yang membayangkan kecacatan yang akan dialami. Tapi, benarkah segala anggapan itu? Atau hanya sekadar ‘ketakutan’ yang dirasai berdasarkan peristiwa peperangan (Hiroshima & Nagasaki) dan kemalangan nuklear (Chernobyl, Three Miles Island, Fukushima) di masa lalu?

Sedar atau tidak sedar, ilmu sains dan teknologi nuklear ini banyak membantu kehidupan manusia dari sudut kesihatan, sehinggalah ke barangan pengguna. Jika kita pergi melawat Hospital Kuala Lumpur (HKL), kita akan terpandang satu Jabatan Perubatan Nuklear yang berada di tepi jalan utama HKL. Malah, Jabatan Perubatan Nuklear ini juga terdapat di Hospital Kuching Sarawak, Hospital Pulau Pinang dan Hospital Sultanah Aminah Johor.

Tapi, apakah sebenarnya Perubatan Nuklear ini?

Apakah itu Perubatan Nuklear?

Perubatan nuklear adalah perubatan yang melibatkan pengunaan radiasi. Di dalam perubatan nuklear, bahan radioaktif iaitu radioisotop atau radiofarmaseutis (radiopharmaceutical) akan dimasukkan ke dalam badan. Manakala, radiologi pula akan melibatkan penggunaan sinar X yang akan menembusi tubuh dari luar badan.

Menurut Center for Nuclear Science and Technology Information, dianggarkan satu per tiga dari prosedur yang digunakan di hospital moden kini melibatkan penggunaan radiasi atau radioaktiviti. Prosedur ini digunakan kerana ianya adalah antara alat penyelamat nyawa yang terbaik dan berkesan, selamat, tidak menyakitkan dan boleh digunakan untuk pelbagai bidang perubatan (pediatrik, kardiologi, psikiatri)

Walaupun perubatan nuklear dan radiologi ini digunakan di dalam prosedur diagnosis (untuk menentukan kesihatan pesakit, memantau ‘perjalanan’ penyakit, atau mengikuti perkembangan rawatan) dan prosedur terapi (merawat penyakit), tetapi prosedur penggunaannya adalah berbeza.

Cara untuk Mengesan Penyakit

Perubatan nuklear digunakan untuk mendiagnosis penyakit. Secara amnya, pesakit akan menyedut, menelan atau akan disuntik dengan radiofarmasusis yang digunakan sebagai penyurih. Setelah itu, pesakit akan baring di atas meja, sementara kamera khas akan melakukan pengimejan (Positron Emission Tomography). Kamera khas tersebut akan difokuskan ke kawasan di mana bahan penyurih radioaktif tertumpu lalu imej di dalam badan terhasil di komputer. Imej ini akan memberikan petunjuk kepada doktor mengenai jenis penyakit yang dialami dan membantu membuat penilaian.

Kebanyakkan pusat perubatan akan menindihkan imej yang diperolehi dari perubatan nuklear dengan Computed Tomography (CT) atau Magnetic Resonance Imaging (MRI) untuk menghasilkan imej lakuran (fusion image). Imej ini membantu doktor untuk mengkorelasi dan membuat tafsiran dari satu imej yang terhasil dari dua jenis pemeriksaan yang berbeza. Perkara ini akan memberikan maklumat yang persis dan diagnosis yang lebih tepat.

Perbezaan imej yang terhasil dari mesin pengimbasan yang berbeza (Sumber: PET SCAN)

Manakala Single Photon Emission Computed Tomography/Computed Tomography (SPECT/CT) dan Positron Emission Tomography/Computed Tomography (PET/CT) adalah gabungan dua mesin pengimbasan yang boleh melakukan dua pemeriksaan yang berbeza pada satu masa yang sama.

Imej yang diperolehi dari SPECT/CT (Sumber: Duncan, 2009)

Sebagai Rawatan Pesakit

Perubatan nuklear juga menawarkan prosedur terapi seperti radioterapi, kemoterapi dan radioimunoterapi. Radioterapi (RT) ialah kaedah rawatan yang digunakan untuk rawatan penyakit kanser. Kaedah ini menggunakan radiasi mengion bertenaga tinggi untuk membunuh sel-sel kanser. Radioteterapi boleh diberi secara bersendirian atau digabungkan dengan kaedah rawatan lain seperti pembedahan, kemoterapi dan terapi hormon.

Radioterapi diberi dengan dua cara iaitu:

  1. Teleterapi – radiasi yang dihasilkan oleh mesin yang dikenali sebagai Pemecut Linear dan  ditujukan kepada bahagian badan yang dirawat.
  2. Brakiterapi– melibatkan penggunaan sumber radioaktif semula jadi. Rawatan diberi dengan menempatkan sumber asli yang mengeluarkan radiasi, di dalam kaviti, lumen, tisu atau di permukaan kulit, bahagian badan pesakit yang dirawat.

Mesin teleterapi atau mesin pemecut linear (Sumber: KKM)

Kemoterapi pula rawatan yang menggunakan ubat ubatan anti kanser dalam merawat kanser. Lazimnya kemoterapi ini diberikan menerusi suntikan melalui pembuluh darah. Sesetengah ubat kemoterapi makan boleh diambil dalam bentuk tablet atau cecair dan akan diserap oleh usus ke dalam darah. Dalam keadaan tertentu, ubat kemoterapi juga boleh diberikan melalui suntikan intra-otot, ruang dalam paru-paru, dan juga terus ke bahagian kanser yang terlibat.

Radioimunoterapi (RIT) pula adalah gabungan antara radioterapi dan imunoterapi. Imunoterapi adalah molekul kejuruteraan yang dihasilkan di dalam makmal yang dipanggil antibodi monoklon. Antibodi monoklon ini akan mengenalpasti dan akan tertambat ke permukaan sel kanser. Apabila pesakit dicucuk dengan radioimunoterapi, antibodi monoklon-radioaktiviti akan bergerak dan tertambat ke sel kanser. Sel kanser tersebut akan merasai dos radiasi yang tinggi.

Radioimunoterapi ini digunakan untuk merawat kanser limfoma bukan Hodgkin (non-hodgkin’s lymphoma) dan juga terhadap pesakit yang dimana kemoterapi tidak berkesan lagi untuk merawat penyakitnya. Pelbagai penyelidikkan sedang giat dilakukan bagi membolehkan RIT ini digunakan untuk merawat kanser prostat, kanser ovari, leukimia, glioma dan kanser kolorektal di masa hadapan.

Rujukan:

  1. Diagnostic imaging-Nuclear Medicine – World Health Organization
  2. Jabatan Perubatan Nuklear Hospital Kuala Lumpur – hkl.gov
  3. General Nuclear Medicine, RSNA
  4. Radioimmunotherapy (RIT), RSNA
  5. Limfoma, Kementerian Kesihatan Malaysia
  6. Radioterapi Secara Am, Kementerian Kesihatan Malaysia
  7. Kemoterapi: Penjagaan Selepas Rawatan, Universiti Putra Malaysia
  8. Ubat Kemoterapi, Kementerian Kesihatan Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

thirteen + four =