Protein: Definisi, Jenis, Fungsi dan Kepentingan

fungsi protein

Apakah itu protein? Artikel ini akan membincangkan berkenaan fungsi protein, jenis-jenisnya dan kepentingan benda ini dalam sistem badan

Definisi protein

Protein adalah makronutrien penting untuk badan kita. Ia terdiri daripada pelbagai asid amino yang dihubungkan dengan ikatan peptida.

Apabila kita memakan makanan berprotein, protein akan melalui proses pencernaan di bahagian perut dan usus kecil. Seterusnya, tripeptida, dipeptida dan asid amino (hasil daripada pencernaan protein) akan dibawa masuk ke saluran darah dari usus kecil, dan dihantar ke bahagian hati.

Hati adalah tempat pengawal aturan asid amino melibatkan aktiviti penghasilan protein baru dari asid amino yang tersedia dan juga pemecahan asid amino menjadi ammonia untuk tujuan penyingkiran keluar dari badan.

Asid Amino

Asid amino membekalkan nitrogen, rangka hidrokarbon dan sulfur, dan ia tidak dapat digantikan oleh bahan nutrien lain (termasuk karbohidrat dan lipid) kerana nitrogen dan sulfur tidak mampu dihasilkan oleh badan kita. Terdapat 20 jenis asid amino yang dikenal pasti penting untuk pertumbuhan dan metabolisme manusia.

Ia terbahagi kepada dua kategori;

  • Asid amino penting (essential amino acids) dan
  • Asid amino tak penting (non essential amino acids).

Asid amino penting merujuk kepada asid amino yang tidak dapat dihasilkan oleh badan kita dan perlu diambil melalui pemakanan.

Terdapat 9 jenis asid amino penting iaitu

  • Histidine
  • Isoleucine
  • Leucine
  • Lysine
  • Methionine
  • Phenylalanine
  • Threonine
  • Tryptophan
  • Valine.

Asid amino tak penting pula adalah asid amino yang boleh dihasilkan oleh badan kita dan tidak perlu diambil melalui pemakanan.

Antara jenis asid amino tak penting ialah

  • Arginine
  • Glutamine
  • Tyrosine
  • Cysteine
  • Glycine
  • Proline
  • Serine
  • Ornithine
  • Alanine
  • Asparagine
  • Aspartate.

Jenis protein

Terdapat dua jenis protein iaitu:

  • Protein dari sumber haiwan (seperti telur, daging, produk tenusu dan makanan laut) dan
  • Protein dari sumber tumbuhan (seperti produk soya, jagung, kacang, sayur-sayuran dan bijirin).

Protein dari sumber haiwan dianggap sebagai protein yang lengkap kerana ia mengandungi semua jenis asid amino penting. Manakala, protein dari sumber tumbuhan dianggap sebagai protein yang tidak lengkap kerana mempunyai kekurangan satu atau dua asid amino penting.

Sehubungan itu, sekiranya seseorang individu berhasrat untuk mendapatkan protein dari sumber tumbuhan sahaja (sebagai contoh vegetarian), dia perlu mengambil pelbagai sayur-sayuran, kekacang, bijirin dan buah-buahan untuk memastikannya memperoleh semua asid amino penting.

Selain itu, protein dari sumber haiwan lebih mudah dicernakan (higher digestibility) berbanding protein dari sumber tumbuhan. Namun begitu, pengambilan protein dari sumber haiwan dikaitkan dengan isu kesihatan ekoran kandungan lemak tepu dalam protein tersebut.

Fungsi protein dalam badan dan sel

Bekalan asid amino diperolehi daripada pemakanan dan juga pemecahan protein dalam badan. Badan kita menggunakan asid amino berkenaan untuk menghasilkan protein yang baru, peptida dan bahan-bahan dengan berat molekul rendah (seperti glutation, nitrik oksida, dopamin, serotonin, RNA dan DNA) dengan kepelbagaian kepentingan fisiologi.

Pembinaan otot

Protein merupakan komponen penting dalam pembentukan otot. Amalan pengambilan protein dalam kalangan atlet-atlet sukan adalah bertujuan untuk mendorong keseimbangan nitrogen positif dalam badan dan seterusnya memaksimumkan ketahanan dan kekuatan otot.

Penghasilan Enzim

Selain itu, enzim juga adalah protein dan enzim berperanan dalam meningkatkan kadar tindak balas bagi pelbagai proses yang berlaku dalam badan kita, contohnya proses pencernaan, proses glukolisis, proses pemecahan toksin di hati dan proses replikasi DNA.

Pertahanan Badan

Terdapat beberapa protein yang terlibat dalam keimunan khusus (iaitu imunoglobulin) dan keimunan tidak khusus (contohnya, opsonin).

Pembinaan tisu badan

Di samping itu, protein juga menyumbang kepada reka bentuk dan struktur organ dan tisu. Sebagai contoh kolagen menyokong struktur tulang dan kulit.

Penghasilan tenaga

Protein juga terlibat dalam penghasilan tenaga terutamanya ketika keadaan kekurangan bekalan glukosa. Glukosa dihasilkan daripada asid amino untuk membekalkan tenaga kepada sel- sel badan.

Kesan Terlebih Protein

Pengambilan protein dalam kuantiti yang besar dalam jangka masa yang panjang akan memberikan kesan negatif kepada kesihatan kita. Pengambilan protein melebihi dari kadar maksimum yang selamat bagi pelbagai lingkungan umur akan membebankan dan mencabar kemampuan hati, usus dan buah pinggang untuk menyahtoksin ammonia dan perkara sebegini sepatutnya dielakkan.

Kesan negatif lain akibat pengambilan protein yang tinggi adalah termasuk ketidakselesaan usus, kerengsaan, cirit-birit, dehidrasi, loya, kecederaan hati dan buah pinggang, keletihan, pening kepala, sawan, peningkatan risiko penyakit kardiovaskular atau kemungkinan berlaku kematian.

Masalah kesihatan ekoran pengambilan protein yang tinggi akan menjadi bertambah buruk dengan kekurangan pengambilan karbohidrat kerana adanya pertambahan kerja pada hati dan buah pinggang (iaitu penghasilan glukosa daripada asid amino) selain menyingkirkan ammonia dan urea yang berlebihan.

Kesan Kekurangan Protein

Seperti mana pengambilan protein secara berlebihan, kekurangan pengambilan protein turut memberikan kesan yang tidak baik kepada kesihatan kita.

Pengambilan protein dalam kuantiti yang rendah dari yang disyorkan akan menyebabkan penyakit kwashiorkor (kaki membengkak, kerosakan rambut dan penyahpigmenan kulit), marasmus (kemerosotan otot, lemah dan penurunan berat badan), dan oedema (pembengkakan pada pelbagai bahagian tubuh seperti kaki, tangan dan perut).

Selain itu, kekurangan pengambilan protein akan mengakibatkan berlakunya kegagalan fungsi organ, pengecutan otot, sistem imun menjadi lemah dan juga menjejaskan kesihatan mental.

Rujukan

  1. Hoffman, J. R., & Falvo, M. J. (2004). Protein–which is best?. Journal of sports science & medicine, 3(3), 118.
  2. Khan, A., Khan, S., & Jan, A. (2017). Health complication caused by protein deficiency. J. Food Sci. Nutr, 1, 645-647.
  3. Malcolm Watford, Guoyao Wu, Protein, Advances in Nutrition, Volume 9, Issue 5, September 2018, Pages 651–653,
  4. Protein Digestion, Absorption and Metabolism. (2020, August 14). Retrieved June 19, 2021, from
  5. Weijs, P. J., Cynober, L., DeLegge, M., Kreymann, G., Wernerman, J., & Wolfe, R. R. (2014). Proteins and amino acids are fundamental to optimal nutrition support in critically ill patients. Critical care, 18(6), 1-13.
  6. Wu, G. (2016). Dietary protein intake and human health. Food & function, 7(3), 1251-1265.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

12 + fifteen =

Open

Close