Skip to content

Pokok Ketapang: Spesies, Ciri-ciri dan Kegunaan

Apakah ciri-ciri dan spesies pokok ketapang? Artikel ini akan membincangkan ciri-ciri, spesies dan kegunaan pokok ketapang ini.

Pengenalan

Pokok ketapang merupakan tumbuhan yang senang dijumpai dan tidak asing lagi di Malaysia. Pokok yang berasal dari Asia Tenggara ini mampu menyesuaikan diri di kawasan tepi sungai, tepi laut dan sebagainya di kawasan  tropika.

Ia ditanam sebagai pokok hiasan kerana silaranya yang cantik serta memberi teduhan yang agak luas. Terdapat banyak kebaikan dan kegunaan yang dapat diperoleh dari pokok ketapang ini sehingga ia dapat dikomersialkan di peringkat antarabangsa. Jom kita mendalami dengan lebih lanjut mengenai pokok ketapang. 

Spesies Pokok Ketapang

Pokok ketapang atau nama saintifiknya ialah Terminalia catappa tergolong dalam famili Combretaceae. Ia turut dipanggil sebagai Indian Almond leaves. Setiap bahagian tumbuhan ini juga mempunyai khasiatnya yang tersendiri.

Ciri-ciri

Pokok ketapang merupakan sejenis pokok rendang yang mempunyai ketinggian sehingga 35 meter. Daunnya bersaiz besar, lebar dan dahan bertingkat membuatkan ia amat digemari sebagai tempat berteduh.

Buah ketapang kebiasaannya berbentuk leper serta bujur yang bersaiz 3.5-7.0 cm panjang dan 2-5 cm lebar. Buahnya berwarna hijau ketika muda dan akan bertukar warna menjadi merah atau kuning mengikut spesies pokok apabila matang. Terdapat lapisan kulit yang tebal pada buah ketapang dan ia mempunyai jus yang pahit.

Bunga ketapang lazimnya berada dalam bentuk jambak yang kecil dan berwarna putih kehijauan. Bilangan bunga agak banyak dalam satu tangkai, namun tidak kesemuanya menjadi buah. Kebiasaannya cuma terdapat 3-5 biji sahaja.

Penanaman

Pokok ketapang merupakan tumbuhan yang tahan lasak dan tidak mempunyai masalah serangan penyakit. Ia tumbuh dengan subur di pelbagai kawasan seperti tanah gambut, tanah pantai, tanah berpasir asalkan kawasan tersebut tidak ditenggelami air. Tumbuhan ini membiak melalui biji benih yang matang dimana ia mudah tumbuh di kawasan yang mempunyai tahap kelembapan yang tinggi. Biji benih ini mampu bertahan dalam satu jangka masa yang lama dan tahan terhadap kemasinan air laut. Lazimnya biji benih akan disemai dalam polibeg sebelum ia ditanam di taman-taman atau di tepi jalan. Tumbuhan ini juga boleh dibiakkan melalui keratang batang atau ranting.

Kegunaan

Landskap dan tempat berteduh

Pokok ketapang senang dijumpai di tepi-tepi jalan dan pantai. Ia digunakan bagi mencantikkan landskap kerana mempunyai bentuk pokok yang menarik. Selain itu, pokok ini mempunyai saiz kanopi yang besar dan lebar. Ia berperanan sebagai tempat berteduh terutamanya bagi peniaga-peniaga tepi jalan bagi mengurangkan panas ketika berniaga.

Merawat penyakit

Akar pokok ketapang boleh direbus dan airnya diminum. Ia dipercayai mampu merawat masalah hati, hempedu, cirit birit dan demam panas. Selain itu, air rebusan akar ini juga dapat merawat penyakit bisul, kudis dan juga sakit payu dara bagi ibu yang menyusukan bayi. Biji ketapang pula boleh merangsang penghasilan susu ibu. Biji ketapang ini juga boleh dimakan bersama sarang lebah yang dapat mengelakkan penyakit buasir dan sembelit. Daun ketapang dapat dijadikan penawar sakit tulang belakang dan menghilangkan masalah ruam. Penyakit kulit juga boleh dirawat dengan menghancurkan daun ketapang, dicampur dengan minyak biji ketapang dan disapukan pada tempat sakit kulit.  

Ikan laga

Daun pokok ketapang mampu memberikan banyak manfaat kepada ikan laga. Ikan laga yang hidup di bawah daun ketapang dipercayai dapat hidup dengan lebih sihat. Daun ketapang berfungsi untuk menurunkan pH air serta menyerap bahan kimia berbahaya bagi memberikan persekitaran yang kondusif kepada ikan laga.

Selain itu, daun ketapang mampu merawat luka-luka pada ikan laga dan mencegah ikan tersebut dari terkena penyakit.  Air daun ketapang amat digemari oleh penternak ikan hiasan kerana ianya boleh menghapuskan beberapa masalah parasit, patogen bakteria dan juga kulat pada ikan.

Pembinaan

Kayu pokok ketapang keras dan kukuh. Hal ini membuatkan kayu tersebut sangat sesuai untuk dijadikan perabot, lantai, bahan binaan dan juga bahan bakar.

Ekonomi

Daun pokok ketapang sangat bernilai sehingga ia dipasarkan di peringkat antarabangsa. Pokok ketapang hanya dapat dijumpai di Asia Tenggara. Hal ini menyebabkan tumbuhan ini mendapat permintaan yang tinggi dari luar negara. Kebiasaannya daun ketapang diletakkan di dalam akuarium bagi mengawal pH air serta menyerap bahan kimia yang terkandung dalam akuarium. Daun ini juga digunakan bagi menggalakkan pembiakan udang.

Selain itu, daun ketapang ini dikomersialkan dalam bentuk sabun. Penghasilan sabun herba ini membantu mengurangkan penggunaan bahan kimia sekaligus mengurangkan rawatan alahan kulit yang mahal. Daun ketapang mengandungi 12 jenis tanin atau antioksidan yang larut dalam air bagi merawat penyakit kulit. Sabun herba ketapang ini mendapat sambutan yang menggalakkan dari penduduk setempat dan akan dikomersialkan di peringkat antarabangsa. Secara tidak langsung, penghasilan sabun herba ini dapat menjana ekonomi tempatan.

Rujukan

  1. Ketapang. 2010. Retrieved from Dedaun Alam.
  2. Ketapang. 2021. Retrieved from Taman Tugu Malaysia.
  3. Manfaat daun ketapang yang telah kering. 2020. Retrieved from Sekejung.
  4. Pokok ketapang bernilai tinggi, daunnya terbuang tapi sebenarnya sangat lumayan. 2018. Retrieved from My Info Maya.
  5. Pokok ketapang. 2012. Retrieved from Anim Agro Technology.
  6. Pokok ketapang. 2018. Retrieved from Segalanya tentang Tumbuhan.
  7. Pokok ketapang. 2020. Retrieved from Wikipedia.
  8. Rosniza, M.T. 2015. Sabun daun ketapang. Retrieved from Berita Harian.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

three × 1 =