Lemak: Definisi, Fungsi, Jenis dan Kepentingan

struktur lemak

Apakah itu fungsi lemak dan jenis-jenisnya? Artikel ini akan membincangkan definisi, fungsi, jenis dan kepentingan lemak di dalam badan

Definisi

Lemak adalah salah satu daripada kelas nutrien yang diperlukan oleh badan kita. Lemak mempunyai unsur karbon, hidrogen dan oksigen. Lemak terdiri daripada satu molekul gliserol dan tiga molekul asid lemak. Lemak bersifat non-polar atau hidrofobik (“takut air”), jadi ia tidak larut di dalam air malahan ia mudah larut pada pelarut organik (non-polar) seperti etanol, ether, dan kloroform.

Jenis lemak

Lemak boleh dipecahkan kepada tiga kategori iaitu:

  • Lemak tepu,
  • lemak trans dan
  • lemak tak tepu.

Lemak tepu dan lemak tak tepu mempunyai perbezaan dari segi fizikal dan kimia.

Lemak tepu tidak mempunyai ikatan ganda dua dalam struktur kimianya manakala lemak tak tepu mempunyai ikatan ganda dua dalam struktur kimianya.

Dari aspek fizikal, lemak tepu membentuk sebagai pepejal manakala lemak tak tepu menjadi cecair pada suhu bilik.

Lemak Tak Tepu

Lemak tak tepu seterusnya boleh dibahagikan kepada:

  • Lemak monounsaturated dan
  • Lemak polyunsaturated.

Lemak monounsaturated dan polyunsaturated pula diklasifikasikan sebagai lemak diet yang lebih sihat. Ia bertindak mengekalkan kolesterol HDL di samping menurunkan kolesterol LDL.

Sumber lemak monounsaturated

Lemak monounsaturated mempunyai hanya satu ikatan berganda dua manakala lemak polyunsaturated mempunyai dua atau lebih ikatan berganda dua dalam struktur kimia mereka. Lemak monounsaturated boleh dijumpai dalam sumber tumbuhan (seperti kekacang dan avocado) dan minyak (seperti minyak sayuran, minyak biji sawi dan minyak kacang).

Sumber lemak polyunsaturated

Lemak omega-6 dan omega-3 termasuk dalam lemak polyunsaturated. Sumber lemak omega-3 adalah seperti walnut, flaxseed, canola oil dan minyak kacang soya. Sumber lemak omega-6 pula adalah termasuk kekacang dan minyak sayuran seperti minyak kacang soya, jagung dan safflower oil.

Lemak Tepu dan Lemak Trans

Lemak tepu dan lemak trans diklasifikasikan sebagai lemak diet yang kurang sihat. Kedua-dua lemak tersebut didapati meningkatkan aras kolesterol LDL (kolesterol jahat) dan menurunkan aras kolesterol HDL (kolesterol baik).

Sumber Lemak Tepu

Lemak tepu boleh didapati dalam makanan dari sumber haiwan dan tumbuhan. Namun begitu, produk haiwan seperti produk tenusu (keju, susu dan mentega) dan daging mempunyai kandungan lemak tepu lebih tinggi daripada kebanyakan minyak tumbuhan. Sumber utama lemak tepu termasuk lauric acid (C12:0), myristic acid (C14:0), dan palmitic acid (PA).

Sumber Lemak Trans

Lemak trans biasanya dijumpai dalam minyak yang dihidrogenasikan. Proses hidrogenasi melibatkan penukaran lemak cecair kepada lemak pepejal dan proses ini dilakukan oleh pengusaha makanan untuk meningkatkan jangka hayat makanan dan ketahanan terhadap ketengikan oksidatif.

Kepentingan lemak dalam badan dan sel

Terdapat beberapa fungsi dan kepentingan lemak dalam badan. Ia adalah

  • Pembekal tenaga : Lemak merupakan sumber tenaga yang cekap untuk badan kita. Ia mampu membekalkan tenaga dua kali ganda lebih banyak dari tenaga yang dibekalkan oleh karbohidrat atau protein. Apabila kita mengambil kalori lebih daripada kadar yang diperlukan oleh badan, lebihan lemak tersebut akan dihantar kepada tisu adipos untuk tujuan simpanan sehingga ia diperlukan. Namun begitu, lemak bertindak sebagai tenaga “backup” kerana badan kita bergantung kepada glikogen sebagai pembekal utama tenaga.
  • Penebat haba dan pelindung : Lemak membentuk lapisan lemak di bawah kulit yang bertindak sebagai penebat bagi mengekalkan suhu badan ketika keadaan yang sejuk. Selain itu, lemak yang disimpan di sekeliling organ bertindak sebagai pelindung bagi mencegah berlakunya kecederaan fizikal.
  • Pelarut vitamin : Lemak bertindak sebagai pelarut bagi vitamin larut lemak seperti vitamin A, D, E dan K.
  • Fungsi kekenyangan : Kandungan lemak yang tinggi dalam tisu adipos mendorong peningkatan aras hormon leptin. Hormon leptin yang tinggi akan meningkatkan rasa kekenyangan dan juga mengurangkan selera makan.
  • Komponen membran sel : Lemak membentuk komponen utama membran sel yang memisahkan bahagian luaran dan dalaman sel serta mengawal pergerakan keluar masuk bahan molekul. Lemak berfungsi dalam mengawal atur membrane fluidity dan permeability. 

Kesan Terlebih Pengambilan Lemak

Pengambilan lemak yang tinggi akan memudaratkan kesihatan pada jangka masa yang panjang.

Pengambilan lemak secara berlebihan sering kali dikaitkan dengan risiko menghidapi penyakit kanser seperti kanser kolon, payudara, prostat dan ovari. Kajian-kajian terdahulu telah membuktikan hubungan di antara pengambilan lemak secara berlebihan dengan kadar kematian akibat kanser.

Jumlah lemak tepu yang tinggi boleh meningkatkan kadar kolesterol dalam darah dan seterusnya mendorong pembentukan kolesterol pada dinding salur darah dan keadaan ini dinamakan sebagai atherosclerosis. Hal ini akan menyebabkan salur darah menjadi sempit dan mengganggu pengaliran darah dan besar kemungkinan serangan sakit jantung akan berlaku.

Selain itu, pengambilan lemak yang tinggi menjadi penyebab utama obesiti, tekanan darah tinggi, diabetes dan penyakit hempedu.

Rujukan

  1. Concepts Of Carbohydrate, Protein And Fat. Retrieved from BMC Sagar.
  2. Does the Body Store Fat Like Carbohydrates? Retrieved from Livestrong.com.
  3. Fah, T. S., Roslani, H. & Rosli, R. (2018). Revisi Smart KSSM Sains. Penerbit Ilmu Bakti Sdn. Bhd.
  4. Kuller, L. H. (1997). Dietary Fat and Chronic Diseases. Journal of the American Dietetic Association, 97(7), S9–S15.
  5. Nutrition and Health Info Sheet: Fat. Retrieved from UC Davis Department of Nutrition.
  6. The Functions of Fats in the Body. Retrieved from Eufic.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

four × five =

Open

Close