Skip to content

Itik: Spesies, Ciri-ciri, Penternakan dan Ekonomi

Apakah spesies Itik yang ada? Artikel ini akan membincangkan berkenaan spesies Itik, ciri-ciri haiwan ini, penternakannya dan juga ekonomi

Pengenalan

Itik atau nama saintifiknya Anas Platyrhynchos adalah sejenis burung akuatik iaitu burung yang boleh berenang dan hidup berdekatan kawasan air. Itik biasanya boleh didapati di kawasan sungai, tasik, dan kolam.

Spesies Itik

Itik mempunyai tiga subspesies iaitu,

  • Anas platyrhynchos conboschas
  • Anas platyrhynchos diazi
  • Anas platyrhynchos platyrhynchos.

Ciri-ciri Haiwan ini

Itik mempunyai paruh yang besar dan leher yang agak pendek. Jari kakinya bersambung dengan kulit memudahkan itik berenang di dalam air. Itik wujud dalam pelbagai warna; kelabu, kuning, coklat, hijau, hitam dan putih dan badannya dilitupi oleh bulu.

Itik dikenali sebagai haiwan yang lemah. Jadi, ia mempunyai banyak pemangsa, antaranya musang, serigala dan buaya. Namun begitu, itik adalah haiwan omnivor di mana ia memakan tumbuhan akuatik, ikan-ikan bersaiz kecil serta serangga. Itik menggunakan paruhnya yang kuat untuk menangkap makanannya dan seterusnya menelan secara sekaligus. Menariknya, terdapat tiny plate dalam mulut itik yang berfungsi untuk menapis keluar air tanpa kehilangan makanan.

Kelakuan

Kelakuan makan

Itik memiliki kelebihan menyesuaikan diri mengikut perubahan persekitaran dalam soal mendapatkan sumber makanan. Salah satu caranya adalah mengubah aktiviti mencari makanan. Secara umumnya, itik mempunyai dua jenis aktiviti mencari makanan;

  1. Menyelam di paras air yang dalam dengan keadaan kepala dan tengkuknya berada di dalam air,
  2. Menggali dan mencari makanan di kawasan lumpur atau air cetek dengan keadaan matanya berada di atas permukaan air untuk tujuan berjaga-jaga terhadap kehadiran pemangsa.

Kedua-dua aktiviti ini berbeza dari segi kadar pengambilan makanan, risiko diserang pemangsa dan kos penggunaan tenaga.

Tingkah laku menggoda

Itik jantan menggoncangkan bulu dan kepalanya untuk menarik perhatian itik betina. Ketika musim mengawan ini, itik betina akan bertindak balas dengan menggoyangkan kepalanya ke atas dan ke bawah berulang kali sebagai tanda menerima pelawaan itik jantan untuk mengawan. Terdapat juga itik betina yang bertindak meratakan badannya pada permukaan air (postur mengawan) untuk menarik perhatian itik jantan yang disukainya. Itik biasanya mengawan di kawasan air namun ia juga boleh mengawan di kawasan darat.

Cara tidur

Itik tidur dalam keadaan kepalanya dipalingkan dan disandarkan ke belakang badannya. Menariknya, pada waktu yang sama sebahagian otak itik tidur manakala sebahagian lagi kekal aktif dan peka terhadap persekitaran termasuk kehadiran pemangsa. Sehubungan dengan itu, itik tidur dalam keadaan berjaga-jaga di mana sebelah mata tutup dan sebelah mata lagi terbuka.

Kelakuan meniru gaya

Anak itik akan meniru kelakuan ibunya atau adik-beradiknya yang meluangkan masa dengannya pada tempoh beberapa jam selepas menetas. Sekiranya anak itik menetas di dalam inkubator, kemungkinan anak itik berkenaan akan mengikut kelakuan si penjaganya dan wujud suatu ikatan di antara mereka. Keadaan ini akan menyebabkan anak itik kerap mengekori penjaganya ke sana sini apabila ia semakin membesar.  

Penternakan

Kegiatan penternakan itik dijalankan untuk mendapatkan daging, telur dan bulu itik (untuk proses pembuatan selimut dan bantal). Pelbagai baka itik telah diwujudkan untuk tujuan meningkatkan kualiti produk daging dan telur itik di pasaran dunia. Sehubungan itu, keperluan nutrisi baka-baka ini perlu diambil kira.

Sebagai contoh, protein adalah sumber utama tenaga yang diperlukan untuk melakukan aktiviti seharian termasuk aktviti pembiakan. Vitamin E meningkatkan penghasilan telur, kualiti telur dan kesuburan. Asid amino pula dilaporkan memaksimumkan kenaikan berat badan, imuniti dan prestasi telur dan daging. Kekurangan nutrisi dalam kalangan ternakan itik akan menjejaskan kesihatan serta aktiviti mereka dan seterusnya mempengaruhi pengeluaran daging dan telur itik.

Ekonomi

Pada peringkat global, pengeluaran daging dan telur itik didapati meningkat pada setiap tahun. Program pembangunan genetik bagi itik yang dikhususkan untuk pengeluaran daging telah dilakukan dan baka berkualiti contohnya Pekin duck berjaya diwujudkan. Pekin duck kini mampu membekalkan jumlah daging yang besar serta kandungan lemak yang rendah.

Bagi itik yang dikhususkan untuk pengeluaran telur, beberapa rancangan sedang dibuat untuk mewujudkan baka yang mempunyai penghasilan bilangan telur yang banyak, ketahanan terhadap penyakit dan suhu persekitaran yang tinggi.  

Rujukan

  1. Anas platyrhynchos Linnaeus. Retrieved from Interagency Taxonomic Information System (ITIS).
  2. Duck Sleeping Habits. Retrieved from Cuteness.
  3. Fouad, A. M., Ruan, D., Wang, S., Chen, W., Xia, W., & Zheng, C. (2018). Nutritional requirements of meat-type and egg-type ducks: what do we know?. Journal of animal science and biotechnology, 9(1), 1-11.
  4. Guillemain, M., Fritz, H., & Blais, S. (2000). Foraging methods can affect patch choice: an experimental study in Mallard (Anas platyrhynchos). Behavioural processes, 50(2-3), 123-129.
  5. Interpreting Duck Behavior. Retrieved from The Happy Chicken Coop.
  6. Zimmer, C., Boos, M., Bertrand, F., Robin, J. P., & Petit, O. (2011). Behavioural adjustment in response to increased predation risk: a study in three duck species. PloS one, 6(4), e18977.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

five × 3 =