Gajah: Spesies, Ciri-ciri dan Kelakuan

spesies gajah

Apakah spesies gajah dan ciri-cirinya? Artikel ini akan membincangkan berkenaan jenis spesies gajah, ciri-ciri dan kelakuan mereka

Pengenalan

Gajah adalah haiwan darat yang terbesar di dunia. Gajah boleh dijumpai di kawasan zoo dan juga kawasan luar seperti hutan dan padang rumput di mana terdapat banyak tumbuhan. Gajah kini tergolong dalam kategori haiwan terancam disebabkan berlakunya perburuan gading gajah dan kerosakan habitat.

Spesies(Jenis dan Perbezaan)

Terdapat dua jenis spesies gajah:

  1. Gajah Afrika
  2. Gajah Asia.

Sesuai dengan namanya, Gajah Afrika wujud di Afrika dan Gajah Asia wujud di Asia. Gajah Afrika terbahagi kepada dua jenis; gajah savannah dan gajah hutan. Gajah Asia pula terdiri daripada gajah India, Sumatra, Ceylon dan Bornish. Pelbagai perbezaan wujud antara Gajah Afrika dan Gajah Asia. Saiz badan Gajah Afrika adalah lebih besar berbanding Gajah Asia. Kumpulan sosial Gajah Afrika adalah lebih stabil, kompleks dan bersatu berbanding kumpulan sosial Gajah Asia. Selain itu, dari aspek pemakanan, Gajah Afrika suka memakan makanan berasaskan daun manakala Gajah Asia memilih rumput sebagai sumber makanan. Gajah Asia tidak diburu oleh haiwan pemangsa kecuali manusia manakala Gajah Afrika khususnya anak gajah terdedah kepada risiko serangan singa, buaya , dubuk dan juga manusia.

Ciri-ciri

Gajah mempunyai sepasang telinga yang besar dan luas yang mampu melindunginya ketika cuaca panas. Ia juga memiliki belalai yang panjang yang membantunya melakukan aktiviti seharian termasuk makan, minum dan mandi. Badan gajah berwarna kelabu dan jenis kulitnya berbeza mengikut spesies; ada yang kulit berkedut dan ada juga yang berkulit licin.

Gajah aktif pada waktu sejuk iaitu, fajar dan senja. Menariknya, walaupun saiznya besar, gajah merupakan perenang yang hebat. Ia menggunakan belalainya untuk bernafas ketika berada di dalam air. Pada kebiasaannya, seluruh badan gajah akan tenggelam di dalam air dan hanya belalainya yang kelihatan di permukaan air. Gajah mampu berenang selama beberapa jam.

Selain itu, gajah mampu berkomunikasi dengan gelombang suara yang rendah (kekerapan bunyi antara 1 hingga 20Hz) dalam jarak yang jauh. Ia mempunyai daya pendengaran yang amat sensitive di mana ia berkebolehan mendengar gelombang suara dengan kekerapan yang rendah. Penggunaan infrasonik yang di luar had pendengaran manusia ini dilakukan oleh gajah untuk mencari teman mengawan.

Kelakuan

Kelakuan makan

Gajah adalah haiwan herbivor. Ia memakan tumbuh-tumbuhan seperti ranting, rumput, tumbuhan kecil, buah-buahan, batang serta akar pokok. Gajah memakan kira-kira 149 hingga 169kg tumbuh-tumbuhan sehari bagi memenuhi keperluan tenaga seharian. Secara umumnya, gajah makan di waktu awal pagi dan lewat petang. Aktiviti mencari makanan dipengaruhi oleh faktor musim. Pada waktu tengahari di musim sejuk, gajah keluar mencari makanan manakala ketika di musim panas, gajah gemar untuk berehat pada waktu tengahari.

Saiz badan yang besar serta memiliki belalai memberi banyak kelebihan mencari makanan kepada gajah. Gajah besar mampu mencapai tumbuh-tumbuhan yang lebih tinggi berbanding gajah kecil yang terbatas pergerakan fizikalnya. Apabila ingin mencapai bahagian tumbuhan yang berada di kedudukan yang lebih tinggi, gajah cenderung untuk menolak atau merempuh pokok berkenaan supaya bahagian yang dikehendakinya mudah dicapai. Antara kerosakan lain yang dilakukan oleh gajah adalah mengupas kulit kayu, mematahkan ranting atau dahan pokok dan memusingkan batang pokok.

Kelakuan rehat/ tidur

Sama seperti lembu dan kuda, gajah berehat dalam posisi berdiri dan berbaring. Ia biasanya akan berehat dalam kedudukan berdiri dahulu, kemudian diikuti kedudukan berbaring dan terus tertidur. Badannya kaku dan tidak bergerak sambil kedua matanya tertutup, adakalanya pernafasannya tidak seragam, kelopak mata dan muskulatur kelihatan bergerak sedikit serta berdengkur. Aktiviti rehat semakin berkurangan apabila umur gajah bertambah. Masalah kesihatan dan juga saiz habitat juga mempengaruhi aktiviti rehat gajah.

Gajah Afrika tidur selama 2 jam sehari manakala Gajah Asia tidur selama 3 jam sehari. Perbezaan in mungkin disebabkan oleh beberapa faktor; (1) jenis persekitaran (2) risiko pemangsaan.

Terdapat spesies gajah yang melakukan teknik tukar ganti antara tempoh rehat dan tempoh mencari makanan. Gajah Asia yang tinggal di kawasan yang kaya dengan sumber makanan didapati meluangkan tempoh masa yang pendek untuk mencari makanan berbanding Gajah Afrika. Selain itu, Gajah Asia gemar memilih kawasan tidur yang terlindung daripada pemangsa berbanding Gajah Afrika. Gajah biasanya berehat pada waktu malam, di antara pukul 1 hingga 5 pagi.

Kelakuan mengawan

Gajah adalah haiwan polyestrous di mana tempoh estrus atau waktu kesuburan berlaku beberapa kali dalam setahun. Gajah betina yang hidup secara liar mencapai kematangan pada usia 10 hingga 12 tahun manakala gajah betina yang dipelihara oleh manusia mencapai kematangan pada usia 3 setengah tahun dan 7 tahun bagi spesies Gajah Asia dan Gajah Afrika.

Tempoh estrus berlaku selama 4 hingga 5 hari. Gajah betina boleh mengawan dengan lebih daripada seekor gajah jantan, namun begitu keadaan ini jarang berlaku kerana kehadiran gajah jantan yang dominan. Apabila berada dalam tempoh estrus, gajah betina akan menunjukkan pelbagai gerakan untuk menarik perhatian gajah jantan untuk mengawan.

Sebagai contoh, gajah betina berjalan meninggalkan kumpulannya sambil mencondongkan kepalanya ke sisi untuk ‘memberitahu’ statusnya kepada gajah jantan. Selain itu, ia mengeluarkan laungan suara yang kuat dan menggerakkan dan mengangkat ekornya ke udara buat seketika. Selain gerakan seksual dan laungan suara, gajah betina juga mengeluarkan feromon melalui air kencing untuk menarik perhatian gajah jantan dan seterusnya merangsang gajah jantan untuk menunjukkan tingkah laku seksual.

Rujukan

  1. African and Asian Elephants Exhibit Distinct Social Behavior Patterns. Retrieved from medium.
  2. Comparison between Asian and African Elephants. Retrieved from wildlife tours sri lanka.
  3. Diet. Retrieved from seaworld.
  4. Garstang, M. (2004). Long-distance, low-frequency elephant communication. Journal of Comparative Physiology A, 190(10), 791-805.
  5. Hildebrandt, T. B., Lueders, I., Hermes, R., Goeritz, F., & Saragusty, J. (2011). Reproductive cycle of the elephant. Animal reproduction science, 124(3-4), 176-183.
  6. Holdgate, M. R., Meehan, C. L., Hogan, J. N., Miller, L. J., Rushen, J., de Passillé, A. M., … & Shepherdson, D. J. (2016). Recumbence behavior in zoo elephants: determination of patterns and frequency of recumbent rest and associated environmental and social factors. PLoS One, 11(7), e0153301.
  7. Jenis gajah. Penerangan, nama dan gambar spesies gajah. Retrieved from ms.highriverlabs.
  8. Joshi, R., & Singh, R. (2008). Feeding behaviour of wild Asian elephants (Elephas maximus) in the Rajaji National Park. The Journal of American Science, 4(2), 34-48.
  9. Lessing, J. (2007). Elephant feeding behaviour and forage offtake implications in the Addo Elephant National Park. Unpublished Msc. Thesis: South Africa, Nelson Mandela Metropolitan University.
  10. Reuter, T., Nummela, S., & Hemilä, S. (1998). Elephant hearing. The Journal of the Acoustical Society of America, 104(2), 1122-1123.
  11. West, J. B. (2002). Why doesn’t the elephant have a pleural space?. Physiology, 17(2), 47-50.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

5 − three =

Open

Close