Skip to content

Arnab: Spesies, Ciri-ciri, Penternakan dan Ekonomi

Apakah spesies arnab dan ciri-ciri mereka? Artikel ini akan membincangkan berkenaan haiwan arnab, spesies dan ciri-ciri mereka beserta penternakan dan kesan pada ekonomi.

Pengenalan

Arnab atau nama saintifiknya Oryctolagus cuniculus adalah haiwan mamalia yang kecil dan berbulu. Arnab tinggal di kawasan tundra, semak, padang rumput dan hutan. Arnab dikenali sebagai penghuni bawah tanah. Ia berkebolehan membina terowong di dalam tanah yang mampu mencecah kedalaman sehingga 3 meter. Terowong ini dijadikan sebagai tempat untuk berlindung dan tidur.

Spesies Arnab

Terdapat dua sub-spesies arnab iaitu

  1. Oryctolagus cuniculus cuniculus yang wujud di Perancis dan hampir di semua kawasan yang diperkenalkan oleh manusia dan
  2. Oryctolagus cuniculus algirus yang menetap di Afrika Utara dan kawasan Mediterranean dan Atlantik.

Ciri-ciri Arnab

Badan

Arnab mempunyai badan yang berbulu, ekor yang pendek dan kaki belakang yang kuat dan besar. Arnab bergerak dengan cara melompat menggunakan kaki belakangnya. Ia mampu mencapai 56 hingga 72km per jam. Arnab wujud dalam pelbagai saiz dan warna. Beratnya adalah dalam julat 1 hingga 7 kg bergantung kepada jenis baka. 

Pembiakan

Arnab adalah haiwan yang cepat berkembang biak. Tempoh kebuntingan arnab adalah dalam lingkungan 30 hari. Ia juga mencapai kematangan seks dalam tempoh yang pendek iaitu antara 3 hingga 6 bulan.

Permakanan

Arnab adalah haiwan herbivor. Perut arnab berstruktur ringkas dan tidak mempunyai pecahan seperti haiwan ruminan. Arnab memiliki cecum yang lebih besar berbanding sistem penghadaman yang lain dan mempunyai kapasiti 10 kali ganda lebih besar daripada perut arnab. Organ ini dihuni oleh populasi mikrob (kebanyakannya Bacteroides).

Sosial

Arnab adalah haiwan yang sosial dan boleh meluangkan banyak masa di dalam lubang bawah tanah. Ketika waktu fajar dan senja, ia keluar untuk mencari makanan, memerhati kawasan persekitaran dan menanda kawasannya.

Kelakuan

Komunikasi olfaktori

Komunikasi olfaktori atau scent-marking behaviour merujuk kepada keadaan di mana haiwan menempatkan suatu benda yang memiliki bauan di kawasan tertentu bertujuan untuk menyampaikan isyarat kepada haiwan yang lain. Aktiviti ini dilakukan oleh kedua-dua arnab jantan dan betina. Arnab jantan cenderung untuk menetapkan saiz kawasannya dengan menggunakan najisnya.

Perbuatan ini bertindak memberi amaran kepada arnab dari kumpulan yang berlainan atau haiwan spesies lain supaya tidak mencerobohi kawasannya. Saiz kawasan arnab secara umumnya adalah kecil dan kumpulan arnab biasanya terdiri daripada 2 hingga 12 arnab dewasa termasuk jantan dan betina.

Arnab jantan dan betina melakukan aktiviti chinning iaitu tingkah laku menggosok dagunya pada objek lain atau arnab sekumpulannya untuk menyebarkan bau-bauan yang dihasilkan. Aktiviti ini dilaporkan berkait rapat dengan kematangan seks arnab khususnya penghasilan hormon testosteron dan estrogen.

Aktiviti ini meningkat seiring dengan paras testosteron arnab jantan. Aktiviti ini juga memberi keyakinan kepada arnab jantan untuk mendominasi interaksi sosial dalam persekitaran yang baru. Bagi arnab betina, aktiviti chinning meningkat apabila ia bersedia untuk mengawan dan didapati berkurangan apabila sedang bunting.

Kelakuan makan

Arnab mempunyai strategi pemakanan untuk mengatasi masalah protein berkualiti rendah. Perubahan pergerakan usus besar memisahkan makanan serat dan bukan serat di mana makanan serat bergerak masuk ke dalam colon manakala makanan bukan serat bergerak masuk ke dalam cecum untuk proses penapaian (fermentation).

Komponen serat ini kemudiannya dikeluarkan dari badan selepas 4 jam pengambilan makanan. Ia dikeluarkan dalam bentuk najis yang keras pada waktu siang hari. Komponen bukan serat pula dikeluarkan dari badan selepas 6 jam pengambilan makanan. Ia dikeluarkan dalam bentuk najis yang lembut pada waktu malam.

Najis yang lembut tersebut kemudiannya dimakan semula oleh arnab untuk mendapatkan protein dan vitamin yang dihasilkan ketika di cecum dan proses ini adalah bahagian penting dalam proses penghadaman arnab. 

Tingkah laku kemandirian

Perbuatan anak arnab yang kerap kali berlari ke pelbagai arah dan melemparkan badannya secara tiba-tiba dilihat sebagai suatu permainan namun begitu sebenarnya aktiviti itu adalah suatu latihan melarikan diri daripada pemangsa. Aktiviti tersebut meningkatkan kemahiran arnab mengubah arah pergerakan dengan cepat dan mengelirukan haiwan pemangsa.

Selain itu, apabila berhadapan dengan persekitaran yang mengancam nyawanya, arnab akan mempertahankan diri sama ada dengan membekukan diri, melarikan diri atau menyerang. Pada permulaannya, arnab akan cuba untuk tidak bergerak supaya keberadaanya tidak disedari. Namun begitu, sekiranya ancaman bahaya itu semakin hampir, arnab akan bertindak melarikan diri atau menyembunyikan diri. Arnab hanya akan menyerang sekiranya tiada jalan untuk melarikan diri.

Penternakan

Arnab kian mendapat perhatian oleh kerana saiznya kecil, tempoh kebuntingan yang pendek, usia layak untuk disembelih (90 hari) serta usia layak untuk mengawan (6 hingga 8 bulan). Penternakan arnab dijalankan untuk pelbagai tujuan termasuk pemasaran daging arnab, penyelidikan dan companionship.

Kepelbagaian bentuk sangkar dilihat mempengaruhi tingkah laku serta tahap kesihatan arnab ekoran berlakunya sekatan ruang. Arnab yang diletakkan di sangkar kecil berseorangan didapati meluangkan banyak masa dengan berehat (tidak aktif) dan kurang melakukan pergerakan serta tingkah laku penerokaan.

Arnab berkenaan juga menunjukkan aktiviti yang luar biasa dan berbeza dari kebiasaan seperti fur chewing, sham digging dan bar biting. Aktiviti stereotaip ini kemungkinan menunjukkan bahawa arnab berada dalam keadaan tekanan dan kecewa.

Sebagai perbandingan, arnab yang diletakkan di sangkar yang besar didapati melakukan aktiviti-aktiviti biasa seperti melompat, berlari dan meregangkan diri. Aktiviti tersebut amat penting untuk menjamin kebajikan serta kesihatan arnab.

Ekonomi

Aktiviti penternakan arnab mampu menghasilkan pelbagai output seterusnya menyumbang kepada kegiatan ekonomi. Daging arnab kaya dengan protein, vitamin dan mineral serta mempunyai kandungan lemak yang rendah. Pemakanan daging arnab juga tidak berhubung kait dengan isu adat dan keagamaan.

Pada tahun 2017, penghasilan daging arnab di seluruh dunia mencecah kira-kira 1482000 tan. Selain itu, bulu arnab diproses untuk pembuatan pakaian, tapak kaki dan ekor arnab digunakan untuk pembuatan barang kemas dan najis arnab digunakan sebagai baja dan sumber tenaga baru (gas metana).

Sehubungan itu, pengoptimuman sumber penternakan arnab termasuk penggunaan teknologi, pengurusan dan tenaga kerja serta kemajuan pembangunan genetik arnab mampu meningkatkan keuntungan kepada para penternak arnab. 

Rujukan

  1. Branco, M., Ferrand, N. & Monnerot, M. Phylogeography of the European rabbit (Oryctolagus cuniculus) in the Iberian Peninsula inferred from RFLP analysis of the cytochrome b gene. Heredity 85, 307–317 (2000).
  2. DiVincenti Jr, L., & Rehrig, A. N. (2016). The social nature of European rabbits (Oryctolagus cuniculus). Journal of the American Association for Laboratory Animal Science, 55(6), 729-736.
  3. Dixon, L. M., Hardiman, J. R., & Cooper, J. J. (2010). The effects of spatial restriction on the behavior of rabbits (Oryctolagus cuniculus). Journal of veterinary behavior, 5(6), 302-308.
  4. Franck, Y. K., Athanase, O. K., Marie, W. L. R., Anselme, K. K., & Sebastien, N. (2016). Growth Parameters, Protein Digestibility And Health Status Of Rabbit (Oryctolagus cuniculus) fed With Palatable Leafy Vegetables. European Scientific Journal, 12(27).
  5. Hoffman, K. L., Decasa, D. H., Ruiz, M. B., & González-Mariscal, G. (2010). Scent marking by the male domestic rabbit (Oryctolagus cuniculus) is stimulated by an object’s novelty and its specific visual or tactile characteristics. Behavioural brain research, 207(2), 360-367.
  6. Irlbeck, N. A. (2001). How to feed the rabbit (Oryctolagus cuniculus) gastrointestinal tract. Journal of animal science, 79(suppl_E), E343-E346.
  7. Krupová, Z., Wolfová, M., Krupa, E., & Volek, Z. (2020). Economic values of rabbit traits in different production systems. Animal, 14(9), 1943-1951.
  8. Lombardi, L., Fernández, N., Moreno, S., & Villafuerte, R. (2003). Habitat-related differences in rabbit (Oryctolagus cuniculus) abundance, distribution, and activity. Journal of Mammalogy, 84(1), 26-36.
  9. M. E. , Buseth, and Saunders RIchard. Rabbit Behaviour, Health and Care. CABI, 2014, sci-hub.tw/10.1079/9781780641904.0000.
  10. McClure, Diane (2020). Description and Physical Characteristics of Rabbits. Retrieved from MSD Manual Veterinary manual.
  11. Monclús, R., Saavedra, I., & de Miguel, J. (2014). Context-dependent responses to neighbours and strangers in wild European rabbits (Oryctolagus cuniculus). Behavioural processes, 106, 17-21.
  12. Ruiz-Aizpurua, L., Planillo, A., Carpio, A. J., Guerrero-Casado, J., & Tortosa, F. S. (2013). The use of faecal markers for the delimitation of the European rabbit’s social territories (Oryctolagus cuniculus L.). acta ethologica, 16(3), 157-162.
  13. Ume, S. I., Ezeano, C. I., Nwaneri, T. C., & Eluagu, C. (2017). Economics of Rabbit (Oryctolagus cuniculus) production in Ivo Local Government of Area of Ebonyi State. International Journal of Research and Review, 4(1), 126-136.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

seventeen − 5 =